Saturday 22 February 2014

KEPENTINGAN ASAS

Apa khabar pengamal senibeladiri dan Lian Padukan khususnya, sihat?

Bagaimana dengan latihan, ok?

Pencapaian semakin baik atau statik?

Atau menurun langsung?

Apa-apa pun, terpulanglah pada diri sendiri.

Kembali ke tajuk. Kita berbincang berkenaan kepentingan asas. 

Dalam pembelajaran agama, asas terpenting perlu dipelajari adalah Aqidah, Feqah dan Akhlak. Ia bersangkutan langsung dengan Iman, Islam dan Ihsan (rujuk hadith masyhur riwayat Umar Al-Khattab berkenaan kunjungan Jibrail a.s kepada Junjungan Rasulullah s.a.w)

Dalam pengajian Al-Quran, asas terpenting ialah penguasaan huruf-huruf hijaiyah alif ba ta bawa ke ya. Tak kenal huruf macam mana nak mengaji, nak memahami.

Dan di persekolahan dari peringkat pra lagi, kanak-kanak diterapkan asas mengenal huruf dan nombor (literasi dan numerik) a.b.c dan 1.2.3...

Asas membawa ke mana kita sekarang. Dan di setiap waktu, asas-asas itulah yang kita gunakan. Contohnya, walaupun kita dah mempelajari pembezaan dan kamiran dalam matematik tambahan, asas tambah tolak bahagi darab jugak yang kita gunakan untuk mengira bajet BR1M, kira belanja anak-anak, kira hutang dengan ah long dan lain-lain. 

Dalam bertumbuk juga begitu...

Kita boleh jadi didendangkan dengan pebagai istilah, falsafah dan petua yang tercatat dalam nukil atau gorengan mana-mana guru atau 'kaki-sembang-lebat-dalam-facebook-tapi-obes-nak-bawak-diri-pun-jenuh-harap-tumpang-nama-keturunan-je-lah' , namun yang terutama perlu kita tekankan adalah asas. Tanpa asas yang kukuh, kita takkan mampu sampai pada mana-mana falsafah dan petua. Contohnya, bagi pengamal Lian Padukan, kita mungkin memahami dan boleh mentafsirkan 'hendaklah mendulu jangan menunggu, bertalu-talu agar tak tualu' sambil pejam mata dan hembus asap rokok (merokok difatwakan HARAM), namun apabila asas jurus 1 tidak dimahirkan sesungguhnya, petua tersebut sekadar lafaz 'menanam tebu di bibir sahaja'.

Sebab itu, Ayahanda Haji Hasyim sangat-sangat keras mahukan pelatih memahiri Jurus 1 iaitu asas kepada segala asas dalam Lian Padukan. Pusinglah ke lian mana sekali pun, peringkat mana sekalipun, ceritanya itu juga.

Itu bab bertumbuk. Bagaimana pula persiapan sebelum terjadinya bertumbuk?

Sebelum kita cerita tentang 'dulu kau tiba aku', 'pukul dibunuh dengan dulu, dulu dibunuh dengan ......' dan lain-lain lagi mutiara kata, bagaimana dengan iktikad kita yang kita ni tak punya daya? Mainlah yang asli ke, yang purba ke, yang terhebat mana sekalipun, persiapkan diri kita dengan asas 'kita tak punya daya melainkan Allah'. Nama family gah mana pun, kalau dah Allah tetapkan kita tak bergerak, tak bergeraknya kita.

Juga asas kesihatan yang baik. Terus terang cakap, banyak pengamal silat dan buah pukul Melayu tidak menunjukkan tauladan yang baik berkenaan menjaga kesihatan. Kita disurahkan dengan senaman itu, senaman ini dalam silat Melayu, namun yang mengajarnya itu pun bernafas bak naga, asap semedang di mulutnya. Mengajar ilmu persilatan kepada anak-anak yang masih bersekolah dengan selamba rokok di mulut dan di jari. Apa ni? Bukan main meluat benci pada Yahudi, tapi hat rokok nak buang pun sayang. Bila kawan baca dalam keluaran terkini Senibeladiri (cover depan guru YM Tengku Musa. Syabas Gayang Lima!), Guru Jack Bulat, Melayu pekat dari Itali ada menyuarakan bibit kekesalan dengan sesetengah pengamal silat yang mengajar tentang sihat namun tidak dengan cara sihat. Mengajar silat tapi dengan rokok terlekat. Mengangguk laju kawan, berkongsi kekesalan yang sama.

Dan kondisi fizikal pengamal silat juga banyak yang out. Tu tandanya asas perguruan tidak dipegang dengan kukuh. Ye lah, bayangkan kalau sebutir penumbuk dilatih beribu kali, sempat ke lemak nak berkumpul. Kalau satu lian dilatih seratus kali, ok, jangan banyak, 10 kali, bayangkan gagahnya fizikal, sajaknya pengamal lian. Yang ini, kawan angkat topi respek pada salah seorang sahabat baik Ayahanda Haji Hasyim iaitu Guru Po Yee Gerak Lian. Idola kawan bab fitness. Umur dah banyak, tapi segak. Hasil lian yang tak jemu dilatih. Tengok anak buah Pok Yee pun gagah-gagah belaka. Asas kesihatan dipegang kuat.

Banyak lagi cerita bab asas ni. Kena fikir di luar kotak, hatta tanpa kotak. Bercerita tentang asas pun tak ada sudahnya, apatah lagi yang lain.





Wednesday 19 February 2014

LIAN PADUKAN, SEDIA! JURUS 1, PASANG!

Mari kita berkenalan dengan silibus pertama dalam Kurikulum Standard Lian Padukan (KSLP) iaitu Jurus 1.

Selesai pelatih baru berkenalan dengan 'Buka Gelanggang' dan latihan-latihan pelampas pra jurus, pelatih dibawa berlatih dengan awal Lian Padukan iaitu mengenal jurus.

Peringkat jurus dalam Lian Padukan turut dikenali sebagai Jurus Senjata Lapan atau Pengenalan Senjata Lapan. Dalam peringkat ini, pelatih diajar melatih penggunaan senjata lapan iaitu penumbuk, siku, lutut dan kaki secara efektif. Pergerakan jurus pula adalah bertapak titi sebatang atau papan sekeping. Sebelum melanjut, kaedah papan sekeping adalah kaedah bertapak dalam silat yang bukan hak milik mutlak mana-mana perguruan. Susah jugak kalau tiba-tiba ada yang claim itu dia punya sahaja.

Permulaan jurus adalah perbuatan serangkai titik, perisai dan tumbuk. Bunyinya macam banyak kerja dalam satu perbuatan, namun huraiannya biarlah bergelanggang. Jurulatih atau pelatih senior akan menunjukkan satu persatu perbuatan tersebut dan aplikasinya. Kaedah tersebut menepati petua buah pukul yang selalu disebut-sebut iaitu '2 gerak 3 ruat'.

Seronoknya, jurus ini dikaedahkan secara mudah agar semua pelatih boleh menguasainya dengan cepat. Biar  cepat dapat, cepat dikuasai, boleh digunakan apabila terdesak nanti. Kalau ke gelanggang induk, di hari awal mendaftar lagi pelatih baru akan diberi rasa dan buah terbitan jurus satu ini, dan biasanya dalam keadaan betul-betul bertumbuk supaya pelatih baru merasai sendiri the essence of Lian Padukan iaitu keras dan ganas. Yang tak syoknya kadang-kadang itulah, tak kurang juga pelatih yang hilang selepas kelas pertama.

Tanya Ayahanda Haji Hasyim, jurulatih dan pelatih senior, kenapa titik dahulu, bukan tumbuk. Dari mana asalnya penumbuk. Apa itu buah, apa itu pukul. Kenapa mendulu, tidak menunggu. InsyaAllah anda akan dihidangkan dengan huraian yang mudah difahami dan tidaklah terlalu 'purba' untuk dirahsiakan. Terlalu berahsia pun tak elok sebenarnya. Pelatih dah datang menunjukkan kesanggupan mempelajari ilmu setitis yang kita ada, tak salah kita ajarkan selagi pada waktu dan peringkatnya. Nanti bila digunakan pada tempat yang betul untuk menyelamatkan diri dan keluarga, kita juga dapat pahalanya.

Jurus ada empat, namun buahnya, jurus 1 sahaja sudah beribu. Bukanlah buahnya ada seribu satu untuk hafalan semata-mata, tetapi seribu satu itu adalah terbitan sendiri dari kefahamannya yang kita perolehi melalui latihan dan pengalaman. Apa pun, kuasai dahulu buah silibus jurus 1 yang sangatlah mudah. Selepas itu olahlah sendiri buah-buah terbitan ikut kefahaman sendiri. Nasihat kawan, dahulukan praktikaliti berbanding fancy-fancy. Mahirkan satu dua buah cukup memadai daripada gah dengan ratusan buah yang belum pasti dimahiri. Orang tua-tua cakap dah, "biar sikit, tapi diamal (dilatih), boleh dibuat haikal, daripada banyak selalu tertinggal, dapat sial tak pasal-pasal".

Memahiri jurus 1 juga tidaklah lama, bergantung kepada kefahaman dan kemahiran individu. Jangan diligan nak cepat naik peringkat, naik lian jika jurus 1 masih meraban-raban. Tidak memahiri jurus 1 bagi pelatih Lian Padukan adalah suatu kerugian yang amat, kerana inilah permulaan segala permainan Lian Padukan. Dalam senibeladiri apa sekalipun, jangan memandang rendah pentingnya asas, kerana yang asas lah permulaan bagi sebuah kefahaman dan kemahiran.

Dan mohon maaf dari kawan, kawan tidak akan detailkan secara part by part berkenaan jurus, buah atau lian. Tulisan sekadar ibarat 'membuka tudung saji'. Nak tau lanjut, ke gelanggang terdekatlah untuk 'menjamah hidangan' Lian Padukan. Mungkin anda semua biasa lihat di mana-mana persembahan, rancangan televisyen atau Youtube. Memang dilihat mudah, namun untuk ditiru payah. Kawan sendiri duk tiru-tiru buah-buah Lian Padukan bertahun lamanya melalui Youtube, namun bila dah join sendiri, baru tahu yang sebenarnya. Apa pun, lebih baik berguru secara rasmi. Lebih berkat dan selamat, insyaAllah.








Sunday 16 February 2014

MEMAHAMI LIAN 2.0 - MENCERAKINKAN LIAN

Kita ke maksud perkataan 'cerakin' terlebih dahulu. Cerakin - mengikut daftar Pusat Rujukan Persuratan Melayu - membawa maksud menghuraikan sesuatu bahan kepada bahagian -bahagian, menceraikan, melakukan penyelidikan pada sesuatu dan lain-lain makna lagi.

Dalam Matematik Tahun 4, cerakinkan nombor diajarkan di awal silibus mengikut KSSR. Nombor dicerakinkan mengikut nilai digit dan nilai tempat. Boleh refer buku anak-anak yang darjah 4 kalau mahu. Nanti meleret pulak jadinya.

Bagaimana pula mahu mencerakinkan lian? Melalui kefahaman.

Sebagai contoh, kita ke Lian 3 mengikut silibus Lian Padukan, iaitu Lian Singkap. Kawan sukakan lian ini kerana mudah untuk menerangkan buah-buah yang boleh diterbitkan dari lian ini. Dalam sesi aplikasi, kita diajar mengaplikasikan lian mengikut gerak yang sudah dibakukan, mengikut kehendak lian tersebut. Namun, cuba kita pecahkan lian tersebut 'part by part', maka akan terbitlah buah-buah yang sangat ringkas dan mampu dikembangkan mengikut kemahiran kita. Contohnya, perbuatan singkap dalam Lian 3 cukup memadai dan bertepatan pula dengan petua silat 'makan gerak' dan 'selak daun petik buah'. Kawan sendiri menerbitkan kaedah '4 tingkap' hanya dari gabungan perbuatan singkap dan cengkadak.

Itulah peri pentingnya memahami lian, mendalami lian, mengkaji lian dan melatih lian. Tidak lain, untuk kegunaan kita juga. Pun begitu, walaupun buah-buah boleh diproses dan diasingkan dari lian, lian wajib dilatih kerana gerak utama dalam lian adalah 'ibu' kepada pergerakan kita memukul dan mempertahankan diri.

Bak kata Ayahanda Haji Hasyim, 'pergerakan pada kaki, perbuatan pada tangan'. Bab ini, latihannya ada dalam lian. Ramai juga sebenarnya hanya melekat di peringkat jurus, belum sampai ke lian dah cabut, sebab beranggapan dengan jurus sahaja sudah cukup untuk menjadi jagoan jalanan. Sayang, belum pun menggapai bintang, sudah berpuas hati lena berselimutkan awan...

Apa pun, ini pandangan peribadi kawan, sepanjang secebis pengalaman kawan bergelanggang di Lian Padukan. Mungkin kefahaman kawan berbeza dengan rakan pelatih yang lain. Maka, apa -apa pun, rujuklah guru gelanggang berdekatan.

Friday 14 February 2014

SIHAT MELALUI SILAT - CERGAS DAN SIHAT DENGAN LIAN PADUKAN

Ok, kali ni kawan nak posting ala-ala kempen kesihatan. Hidup sihat melalui silat.

Silat secara umum adalah pola pergerakan yang mempunyai faedah-faedah umum dan khusus, antaranya dari sudut kesihatan.

Saudara Azlan Ghanie dari SeniBeladiri mempopularkan senaman tua yang bertunjangkan silat sebagai alternatif mencapai kesihatan luaran dan dalaman. Ayahanda Haji Hasyim sendiri mahukan anak-anak buahnya berfizikal kemas dan sihat, sesuai dengan kekemasan ilmu yang ditanggung pelatih Lian Padukan.

Malah, hampir semua senibeladiri menekankan kesihatan luaran dan dalaman sebagai persiapan membentuk pahlawan yang lengkap.

Lian Padukan juga tidak terkecuali, ada senaman tersendiri yang menjadikannya antara pilihan bagi warga senibeladiri untuk kekal sihat.

Kawan kongsikan serba sedikit senaman-senaman unik yang menjadi silibus wajib bergelanggang Lian Padukan. Kawan mulakan dengan squat kicking yang merupakan favourite kawan.  Squat kicking adalah core exercise bagi melatih abdominal area dan ke bawah. Squat sendiri dalam dunia kecergasan moden  dikenali sebagai ibu senaman (ibu lian?). Perbuatannya mudah sahaja, mencangkung - bangun - tendang tikam - mencangkung. Namun tanpa kawalan nafas yang betul, 10 kali squat dah mencungap. Senaman ini yang diamalkan berterusan mampu menguatkan bahagian bawah badan, perut dan memberi ketepatan tendangan. Janganlah hendaknya pelatih Lian Padukan meninggalkan langsung senaman ini. Walaupun dilihat mudah, namun impaknya besar. Bagi kaum suami, ini boleh jadi adalah senaman kegemaran anda.

Pelampas-pelampas tangan juga wajib dilatih untuk menghidupkan anggota agar 'bermata'. Kawan ingat lagi, awal melangkah ke gelanggang induk, senaman tepuk-menepuk disajikan kepada kawan. Kekok juga mulanya, tapi bila dah mahir, seronok. Bukan itu saja, pelampas-pelampas tangan ini juga hendaklah dilatih sekuat hati, hingga perit-perit, bengkak-bengkak tangan. Sakit dipermulaannya, namun alah bisa tegal biasa. Pelampas dicipta sedemikian rupa untuk melasakkan anggota. Bayangkan kita melempang tangan sendiri sekuat hati hingga sendiri rasa sakit dan peritnya, daya melempang yang sama kita pindahkan ke musuh. Buah melempang pun ada liannya yang tersendiri, latihlah asasnya supaya mudah kita terima lian tersebut apabila tiba masanya. Peringkat reju juga memerlukan kita mahir akan penggunaan pelampas.

Lagi senaman yang menjadi kegemaran kawan adalah 'laga senjata'. Berpasangan, kita lagakan anggota badan kita bersama rakan sepelatihan. Di sini kita melatih untuk bertoleransi dengan kesakitan yang bakal kita hadapi apabila kemahiran bertumbuk diperlukan. Perlu diingat, 'sediakan payung sebelum hujan. Bukanlah tak kena hujan, tapi kalau kena pun pada tempat-tempatnya'. Cuba teka, ini ayat siapa?

Dalam melatih jurus juga, kita boleh mempelbagaikan kaedah latihan. Antara yang pernah digunapakai di gelanggang Lian Padukan adalah 'Jurus Perdana' 3 langkah senafas. Kepantasan dan kawalan nafas adalah kunci kesempurnaan senaman ini. Kawan sendiri juga selalu mengubah-ubah cara latihan peribadi, agar tidak plateau. Antaranya buat lian semuka senafas, buat lian 4 muka senafas (kalau larat la), buat lian dengan selaju yang boleh, buat lian satu muka satu lian (1-16), dan macam-macam lagi. Dalam bab berlian pula, kawan turut fokus kesempurnaan melatih Lian 16 iaitu Lian Gulung dalam silibus Lian Padukan. Lian ini menekankan kawalan pernafasan untuk kecergasan luaran dan dalaman,  yang kawan lihat boleh disimilarkan dengan latihan erat anggota nafas atau 'lean' dalam aliran Sendeng Haji Hamid atau 'kata sanchin' dalam aliran karate. Malah, kaedah pernafasan dalam Lian Gulung juga kawan aplikasikan dalam lain-lain lian, sekadar mengvariasikan latihan. Benda memang tak diajar guru gelanggang, namun tidakkah ada sifat keguruan dalam diri kita sendiri, untuk mendisiplinkan diri?

Banyak lagi senaman sebenarnya, yang boleh kita adaptasikan dalam berlatih. Malah, tak salah andai dengan kreativiti kita, kita mempelbagaikan latihan untuk kemahiran kita. Ingat, yang nak bertumbuk, nak gunakan kemahiran adalh diri kita sendiri. Guna juga bahan bantu latihan seperti punching bag, pao, wooden dummy (kalau ada duit), dumbell dan apa-apa sahaja. Pelajaran di gelanggang namun kemahiran hendaklah terus dilatihkan tak kira mana pun. Stamina dan kecergasan, kewajipan sendiri.

Secara peribadi, Lian Padukan adalah jalan kawan mencari kecergasan dan kesihatan. Lain orang, lain cara. Yang penting, kemahuan ada.

Taknak lah masuk golongan trademark yang bersilat. Apa, tak tau golongan trademark bersilat? Mudah je. Sembang lebat, tapi umur tak capai 40an dah obes. Kadang-kadang lagi tebal sandang, lagi tebal lemak di perut. Ilmu banyak-banyak turun ke perut.

Sebab tu, walaupun berLian Padukan, antara idola kawan dalam bersilat ialah Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman, pengasas Silat Seni Gayong. Badannya katang, sekatang ilmunya. Beliau di hayatnya mahukan pengamal gayong dan silat umumnya berfizikal gagah, agar menimbulkan gerun di mata musuh negara. Dan kalau kita lihat di Jepun sendiri, semakin tinggi 'dan', semakin mereka menjaga fizikal mereka. Tak bagi malu pada 'dan' yang disandang katanya.

Maka, kawan menyeru warga Lian Padukan. Sentiasalah berlatih, dan bersenam. Ada riwayat yang Allah lebih sayangkan hambaNya yang sihat dan kuat. Yakinlah, kita memerlukan umat Islam yang gagah luaran dan dalaman untuk menghadapi masa depan. Siap sedialah dengan segala kemampuan yang kita ada.

Saturday 8 February 2014

WARGA BUAH PUKUL - MENYUMBANGLAH KEPADA MASYARAKAT

Soalan 1

Apabila anda memilih untuk menyertai Lian Padukan, sebenarnya anda sudah pun memilih sebuah perguruan yang:

a) sering dicemburui
b) sering difitnah
c) sering jadi mangsa buli 'cyber'
d) sering diadudomba
e) semua di atas.

Jawapan terpulang pada individu. Tapi kalau tanya kawan, kawan akan jawab "e".

Bagi mereka yang rajin ke page atau group atau forum yang melibatkan buah pukul, akan terselit satu dua cacian pada Lian Padukan. Namun bukan semua. Dan yang badi dengan nama 'Lian Padukan' ini pun hanyalah secubit dua.

Dan bukan hanya Lian Padukan sahaja dimangsakan begitu. Mana-mana perguruan buah pukul yang kononnya 'sanad tidak jelas' dan 'diragui keaslian' akan sentiasa diintai peluang untuk dihentam oleh puak-puak yang tak pernah senang dengan perguruan 'yang tak senada' dengan perguruannya.

 Mudah untuk mengenali puak-puak ini. Jenis duk jaja nama keturunan, jaja keaslian permainan lian dan kondem kelainan yang dibawa perguruan lain. Itulah dia.

Sepanjang kawan menjadi penghuni senyap di beberapa page dan group buah pukul FB ni, kawan ada beberapa hipotesis tersendiri, iaitu:

1) Jenis sembang lebat dalam internet ni, takde gelanggang kendalian sendiri pun (kebanyakannya).
2) Lebih banyak nama-nama buah yang 'purba' dihafal, lagi banyak modal nak tunjuk handal dalam FB.
3) Nama keturunan membawa gah dalam FB, hinggakan orang lain ibarat napuh, terpaksa akur pada setiap kata-kata kau yang besar bak gajah.
4) Banyak bincang teori dalam FB lebih dari menyumbang kepada masyarakat.
5) Cukup setakat 4 di atas.

Kawan seikhlas hati mengagumi beberapa guru buah pukul di Mersing dan lain-lain tempat yang tak terjebak dalam menidak-nidakkan perguruan lain, antaranya yang kawan lihat di Persatuan Buah Pukul Mersing (PERBUKU) dan Raja Pukul Awang Daik (RPAD). Hanya perbincangan ilmiah dan aktiviti persatuan yang dipaparkan, dan dilihat sangat aktif. Ini contoh guru yang membawa amanah buah pukul untuk disebarkan kepada masyarakat. Menyumbang kepada masyarakat.

Memang benar, resam buah pukul ini untuk bertumbuk, kasar dan keras. Namun guru-guru kita juga merujuk kepada Hadith 40 susunan Imam Nawawi, di awalnya hadith masyhur ''innama a'malu binniat'. Segala sesuatu dimulakan dengan niat. Ketika terdesak dan diperlukan, buah pukul memang tiada lain, hanya 'berdiri musuh, bergerak bunuh, tutuh musuh jatuh'.

Namun, bukankah pengajaran dan pembelajaran dalam buah pukul itu juga melibatkan elemen merentas kurikulum seperti keagamaan, tauhid, fikah, akhlak, disiplin, pendidikan jasmani kesihatan, matematik dan lain-lain lagi.

Ramai kita gah dengan 'rahsia'. Oh, tak boleh ajar sebarangan. Aku dah tengok permainan yang kompem asli (tidak pula kawan tau dia pernah bertemu Syed Abdul Rahman Al-Yunani). Lian Padukan caca marba, hanya kulit tiada isinya. Dan macam-macam lagilah.

Dan dengan keegoan kita itu, adakah jenayah di negara kita semakin berkurang? Tidak!

Dengan rahsia penuh di dada dan di laman internet, adakah jenayah di negara kita semakin berkurang? Tidak!

Itu maknanya kita sembang kencang!

Sepatutnya kita sehati. Ilmu buah pukul kita pelajari ini, untuk dikembalikan kepada masyarakat. Sama-sama perbaiki diri dan masyarakat. Ilmu yang pelbagai, lain antara lain, diajarkan kepada masyarakat. Sepatutnya lebih handal kita berlian, lebih kurang kadar jenayah setempat di kejiranan kita. Namun, ini tidak berlaku kini...

Orang dulu, silatnya 3,4 tapak sahaja. Buahnya 7 biji sahaja. Namun segala kepincangan masyarakat berani ditegur. Orang luar usung anak dara kampung berani dihambat. Masjid jadi rumah kedua. Jadi tempat mengadu masyarakat. Namun, itu tidak berlaku kini...

Yang berlaku, lagi banyak tahu, lagi jadi pemecah belah. Nafikan perguruan orang, nafikan gerak orang.

Sayang, kan.

Ayuh, warga buah pukul. Satukan hati kita. Sekarang bukan waktu berbalah untuk hal-hal furuk. Hal utama, wajib kita perbetulkan masyarakat dengan sedikit keilmuan yang kita ada.

Mampu buka gelanggang, buka gelanggang. Didik murid bab adab, bab akhlak. Paling tidak, ajar anak bini peri penting seni beladiri. Tau buah 'telur mata' pun cukup dah. Tala tang telur, tang mata musuh. Tak mampu buka gelanggang, masuk gelanggang terdekat. Berlatih. Mantapkan lian anutan masing-masing. Mantapkan jasad rohani sendiri. Ini nak usung perut pun jenuh, mudah-mudah nak mengutuk orang. Haih.

Sesungguhnya ini adalah peringatan untuk diri kawan sendiri.


Sunday 2 February 2014

BUDAYA DI GELANGGANG LIAN PADUKAN

Setiap gelanggang seni beladiri punyai cerita dan budaya tersendiri. Dari setradisi silambam hingga semoden-moden MMA. Budaya yang diwujudkan secara langsung atau tidak mencerminkan peribadi guru, pengamal dan aliran itu sendiri.

Mari kawan nak ceritakan lebih kurangnya tentang gelanggang Lian Padukan, spesifiknya di gelanggang induk Ros Merah, Johor Jaya, Johor.

Bagi pencinta buah pukul dan persilatan yang berdekatan, kawan alu-alukan datang ke gelanggang induk dan bertemu rapat dengan guru utama Lian Padukan, Ayahanda Dr. Hj. Hasyim bin Hj. Salleh. Insyaallah, banyak persoalan yang boleh dirungkaikan.

Pertama, keterbukaan ayahanda dan rakan-rakan pelatih. Semua pengamal diasuh supaya menghormati tetamu dan tidak menidakkan permainan lain, sementelah Hj. Hasyim sendiri adalah pengamal pelbagai jenis aliran sebelum bersama Lian Padukan, dan masih ada pelajaran terpilih aliran-aliran tersebut yang ayahanda kongsikan bersama pelatih.

Keterbukaan itu juga mendorong tetamu atau penuntut baru supaya tidak meninggalkan langsung apa yang pernah dipelajari sebelum ke gelanggang Lian Padukan. Kadang-kala kita didendangkan dengan 'kosongkan cawan kamu' apabila melangkah ke gelanggang baru, tapi tidak di Lian Padukan. Penuntut baru digalakkan membawa bersama permainan asal dan berkongsi (berdemonstrasi, kalau tidak 'berdiri') dengan pengamal sedia ada dan Ayahanda  Hj. Hasyim. Insyaallah, kadangkala perbincangan di luar aliran membawa lebih kefahaman buat kita.

Sesi di gelanggang induk juga agak santai, ada minum-minum dan kadang-kadang makan-makan yang dihidangkan oleh Aunty Fifi dan rakan-rakan pelatih yang bermurah hati. Cuma, pendapat peribadi kawan, jangan terlalu hanyut dengan kesantaian. Dalam duduk-duduk pun, sembang-sembanglah tentang keilmuan. Ayahanda Hj. Hasyim kalau kena gaya sembang, mudah keluar macam-macam. Kita je lah larat atau tidak nak hadam.

Hormat-menghormati adalah budaya utama dalam mana-mana kelas sekalipun, tak terkecuali Lian Padukan. Tua dihormati, muda disayangi. Teringat kawan akan pesan yang dipanjangkan oleh orang tua-tua kampung kawan. 'Hormat itulah senjata kedua kita berdepan dengan sesiapa pun. Yang pertama, doa,'

Kefahaman adalah fokus utama pembelajaran di gelanggang utama Lian Padukan. Lain penuntut, lain corak pergerakan, lain kekemasan lian. Namun kefahaman adalah yang terpenting. Pantang ayahanda Hj. Hasyim bila penuntut tidak faham apa yang dikerjakan. Tidaklah dimaki, cuma yang tidak faham akan diperhaluskan lagi dengan terperinci.

Lagi yang kawan perhatikan, penuntut juga tidak didendangkan dengan istilah yang 'purba-purba'. Ceritanya tetap berkisar penumbuk dan bertumbuk. Falsafah  tetap diajar berlandaskan nukil dan buku nukil, serta petua-petua lama, cuma tidaklah istilah purba ini dilambung-lambungkan macam 'kalau kau tau maksud iu, maksud ini, kau lah orang yang lebih sekali'.

Satu lagi yang perlu difahami oleh tetamu dan penuntut baru, Hj. Hasyim dan gelanggang induk adalah tempat yang 'mesra buku', bersesuaian dengan title 'Dr.'nya. Penuntut sangatlah digalakkan membawa buku nota dan pen untuk mencatat pelajaran, petua, amalan dan lain-lain dari guru. Ini kawan perhatikan sendiri, Hj. Hasyim lebih menyenangi penuntut yang tak segan mengeluarkan buku dan mencatat setiap tunjuk ajar guru berbanding penuntut yang hanya dengar dan angguk sahaja. Juga pantang Hj. Hasyim, kalau penuntut yang mahu mencatat ilmu minta kertas dan pen dari rakan penuntut yang lain. Tidak ada kesungguhan menuntut di situ. Kedapatan juga tetamu dan penuntut yang menghadiahkannya buku. Kalaulah berkesempatan melihat koleksi buku-buku, terutamanya al-Quran, peminat buku pasti tertawan.

Hj. Hasyim dan rata -rata guru persilatan adalah insan yang mudah berbual. Macam-macam topik boleh dipanjangkan. Maka, sebagai anak muda dan penuntut, budayakanlah bertanya jika ada sebarang kekusutan. Buat research, pembacaan, tontonan dari mana-mana sumber. Ada persoalan, ada soalan. Ada soalan, ada modal berbual. Di mana-mana pun kita lihat, murid yang bertanya lebih biasanya dapat pun lebih. Dan bertanya pula biarlah dengan sikap dan tempatnya. Ada pelajaran yang mungkin hanya diajarkan kepada pengamal khatam, mungkin kita boleh tanyakan, namun jawapannya K.I.V dulu... Belum waktunya kan. Taat, insyaallah dapat.

Dan sudah semestinya, resam menuntut di gelanggang buah pukul - keras dan ganas. Tidak hanya di Lian Padukan, lain-lain gelanggang buah pukul juga menghadapi pasang surut penuntut yang mungkin tidak secocok dengan latihan yang serba keras. Kalau dah di peringkat pengenalan pun bengkak-bengkak dititik, ada harapan itulah hari pertama dan akhir ke gelanggang. Apa pun, atas minat masing-masing. Bukan semua senibeladiri bercerita tentang bertumbuk semata-mata. Selera masing-masing. Namun kalau mencari keras, antaranya Lian Padukan lah jawabnya.

Dan teras utama pengajian Lian Padukan, selain hal bertumbuk adalah, menghalusi maksud 'P.A.D.U.K.A.N' itu sendiri. Handal mana pun bertumbuk, jika Allah tak izin, takkan selamatnya kita.

Banyak lagi nak kawan ceritakan perihal gelanggang Lian Padukan, samada induk atau cawangan. Semuamya ada keistimewaan tersendiri. Begitu juga gelanggang beladiri lain.

Semuanya tentang mengenal diri sendiri.