Tuesday 2 December 2014

SENI BELADIRI TERBAIK?

Agak lama juga tak berkumpul ramai-ramai dengan kawan-kawan zaman belajar, sementelah masing-masing sibuk dengan kerjaya dan keluarga. Melihat kawan-kawan bahagia dan berjaya dengan jalan kehidupan yang dilalui, membuat hati bersyukur dan berharap persahabatan akan kekal langsung hingga ke akhirnya.

Antara perkara yang menyatukan kita dengan kawan-kawan adalah minat. Kebetulan, minat kebanyakan kami yang berkumpul adalah seni beladiri. Secara amnya, kawan dan kawan-kawan lain terdiri daripada peminat dan pengamal silat, buah pukul, boxing, mma, muay thai, taekwando, karate, dan lain-lain yang tak reti kawan menyebutnya.

Timbul persoalan pada kami, seni beladiri apakah yang terbaik wujud di muka bumi?

Taekwando sangat maju dengan kajian saintifik. Karate sangat hebat dalam himpunan falsafah dan rejim latihan. Boxing merupakan sukan combat paling pantas 'pacing'nya dan seronok ditonton, terutama menonton infighter bertemu infighter. Muay thai, dikatakan 'stand up fight' terulung. MMA merupakan sukan combat paling pantas berkembang dan berevolusi. Silat, seni beladiri paling banyak variasi dan buah pukul masih lagi diperbahaskan samada berdiri sendiri atau merupakan cabang persilatan.

Masing-masing berhujah dengan pengalaman dan pengamatan. Ada antara kami merupakan atlet sukan kombat, maka keberhasilan teknik dan taktik turut dibangkitkan. Ada juga yang biasa menggunakan seni beladiri di jalanan, maka taktikal kesukanan dilanggar langsung, kerana jalanan adalah 'real' dan tiada undang-undang betul salah.

Maka, apakah seni beladiri terbaik?

Pusing-pusing, kesimpulan yang kami perolehi ialah, seni beladiri terbaik adalah aliran yang dilatih dengan penuh komited dan kecintaan. Spesifiknya, mana yang terbaik? Yang terbaik adalah aliran yang kita yakini untuk diandalkan.

Banding-membanding tidak akan membawa kita kepada yang terbaik. Ibarat membandingkan Dato' Lee Chong Wei dengan Dato' Nicole Ann David. Siapakah yang terbaik antara mereka? Masing-masing nombor 1 dunia dalam lapangan mereka. Maka, mereka adalah yang terbaik untuk apa yang mereka bidangi.

Sehandal-handal atlet MMA, cuba masukkan mereka ke medan taekwando, undang-undang taekwando. Pasti menarik ceritanya. Sehandal-handal Manny Pacquiao, juara dunia WBO welterwheight, lagakan dengan atlet silat olahraga universiti di gelanggang silat olahraga, lain jadinya.

Kehebatan hanya akan tertonjol apabila diletak pada tempatnya.

Yang penting, berlatih, fahami sejarah, falsafah dan latihan dalam perguruan yang dipelajari. Cintainya dengan sepenuh hati. Itulah seni beladiri terbaik yang dimiliki.

Dan kawan tak malu mengaku, LIAN PADUKAN lah yang terbaik. Untuk kawan dan lain-lain pelatih Lian Padukan.

No comments:

Post a Comment