Monday 3 November 2014

KECEWA DALAM GEMBIRA, GEMBIRA DALAM KECEWA

Alhamdulillah, usai sudah majlis langir pedang yang diadakan pada hari Jumaat tempohari. Majlis yang diserikan dengan tahlil kepada guru-guru buah pukul terdahulu dari kita. Lama atau baru, janganlah ditidakkan sumbangan guru-guru yang meneruskan kelangsungan permainan buah pukul yang sudah pun semakin mendunia sekarang.

Bersyukurlah kita, kerana Allah memilih kita sebagai antara jurai yang akan meneruskan kelangsungan buah pukul amnya, dan Lian Padukan khususnya. Ilmu yang kita ada itu, pelajarilah ia, fahamilah ia, amalkan lah ia dan ajarkan ia pada mereka yang berkehendak. Kelangsungan ilmu akan berterusan dengan adanya guru dan murid.

Bercerita tentang guru-murid, dewasa ini kita melihat kejatuhan akhlak muda-mudi kita banyak yang bermula dengan sirnanya akhlak dan adab berguru. Media-media sosial sudah menunjukkan bukti yang banyak untuk kita telusuri. Semakin hilang adab menghormati guru, semakin hanyut generasi kini dengan kerosakan akhlak yang sangat merisaukan. Dan pada mereka pula kita bakal mewariskan negara ini? Tanya diri sendiri.

Itu secara umum. Tak terkecuali, turut berlaku dalam institusi persilatan kita.

Murid-murid yang dahulunya bersumpah setia untuk sebangun sebangkit dengan guru dan keluarga, akhirnya membawa haluan sendiri hanya kerana salah faham yang tidak mahu dirungkaikan dan dibincangkan.

Itu baru yang merajuk, belum campur lagi yang mengkhianat.

Murid-murid yang dilatih dan diasuh sehingga handal berdiri dan berdikari, akhirnya membuka perguruan sendiri. Kemudian dengan tidak malu mendakwa diri ditauliah Pak Guru yang sudah pun tiada umur lagi (al-Fatihah), sedangkan diri dikhatamkan oleh Guru Utama yang masih ada lagi hayatnya.

Terfikir juga kita, perguruannya mahu disanadkan pada siapa, sedangkan 'benang tali'nya sudahpun putus jua, pengisian ilmunya bagaimana, dan silibusnya pula bagaimana.

Kecewa bunyinya, bukan.

Namun setiap kejadian ada rahmat Allah di sebaliknya. Di balik perpisahan dan perpecahan, kita sudah boleh tapis siapa yang benar-benar ikhlas meneruskan kelangsungan ilmu dan perjuangan, dan siapa yang tewas dengan nafsu dan kemegahan.

Bila orang-orang begini bisa tertapis, kecewa lara jadi ria gembira.

Senjata Lapan Gayang Lima, Ta' Lian Padukan Hilang Di Dunia.



No comments:

Post a Comment