Wednesday 24 December 2014

SESUAIKAH PERGERAKAN LIAN PADUKAN DENGAN TUBUH BADAN KITA?

Jam menghampiri 9.00pm. Kawan dan sekalian jemaah memenuhi ruang dewan, menanti bermulanya ceramah perdana yang bakal disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Kazim Elias Al-Hafiz. Diiringi laguan selawat dan nasyid sementara menunggu ketibaan penceramah yang diraikan, kawan belek-belek fesbuk. Lalai betul kawan. Kan elok sepatutnya ikut selawat. Oh.

Tapi selepas membaca pertanyaan seorang hamba Allah berkenaan 'sesuaikah pergerakan dalam lian dengan tubuh badan kita?' dalam sebuah page, kawan terpanggil unuk menukilkan pendapat kawan di sini. Harap ini dikira perkongsian ilmu, mengimbangi kelalaian kawan berselawat ke atas Nabi s.a.w.

Memandangkan aliran buah pukul rasmi yang kawan ceburi adalah Lian Padukan, kawan menulis dari kaca mata seorang pengamal Lian Padukan.

Sesuaikah pergerakan dalam Lian Padukan dengan tubuh badan kita?

Kawan pernah menulis sebelum ini, lupa di topik mana, bahawa pergerakan dalam seni beladiri bukanlah pergerakan norma manusia. Kalau ada yang mengatakan aliran mereka berpergerakan semulajadi manusia, terpulang. Kawan belum pernah bertemu dengan orang yang berjalan sambil menendang 'front kick' sepanjang masa atau menepis-menepis angin tangannya.

Pergerakan dalam seni beladiri adalah berkenaan tempur!

Dalam Lian Padukan, setiap silibusnya adalah berkenaan tempur, dicipta semata-mata untuk tempur. Maka setiap jurus dan lian yang dirangka oleh pendiri terdahulu adalah menepati gerak-gerak tempur, berlandaskan penggunaan senjata lapan yang bergayang lima.

Pernah kawan ungkapkan dahulu, berdasarkan pengamatan kawan, pelajaran fizikal dalam Lian Padukan adalah seiring dengan pergerakan tubuh badan. Setiap jurus dan lian tercipta seselesa mungkin, bersesuaian dengan mana-mana saiz atau berat badan pengamal. Betul, diawal pembelajaran, pelatih akan merasa kekok dan tualu mengawal pergerakan segerak anggota kiri dan kanan. Biasalah tu, bayi nak mahir meniarap pun ambil masa. Dan pandai meniarap, nak bawa ke merangkak pun ambil masa. Lagi-lagi nak mahir berjalan, berlari. Ikut kesesuaian pengalaman bayi tersebut, dan kekuatan otot serta tulangnya.

Begitulah pelatih baru, kekekokkan itu hanyalah mental block terawal yang perlu dilalui. Namun stelah dikuasai dan bergerak lancar, alangkah seronoknya pergerakan Jurus 1. Dah mahir Jurus 1, membawa ke Jurus 2 dan seteusnya, hingga naik peringkat lian dan tahu-tahu, eh, dah nak khatam?

Sabar itu perlu.

Dan untuk meyakinkan lagi diri kawan dan pelatih-pelatih, pergerakan dalam Lian Padukan terbukti tidak menyalahi pergerakan norma tubuh badan manusia, yang agak terbatas. Dalam silibus Lian Padukan, tidak perlu 'split' sampai 180 darjah. Namun tak salah pun kalau boleh 'split', malah lagi bagus, kerana flexibility dan 'range' serangan kaki lebih luas (tapi tetap kena hati-hati dengan menendang melebihi paras aurat lawan). Silibus Lian Padukan juga tiada disuruh melompat menghambur, kerana dalam tempur sebenar tiada keperluannya. Namun tak juga salah kalau nak dilatih kemahiran melompat menghambur, kerana kemahiran tersebut ternyata mampu menambah keyakinan dan kelasakan kepada pelatih, dan mungkin berguna pada situasi-situasi jatuh basikal atau motor, dan lain-lain.

Maka, untuk orang biasa-biasa, macam kita-kita ni, macam kawan sendiri yang masih bergelut kecederaan di beberapa anggota akibat aktif bersukan, pergerakan dalam Lian Padukan amatlah bersesuaian dan selesa digayakan.

Yang penting, pengetahuan am kita, samada pengendali gelanggang, gurulatih atau pelatih sendiri. Memandangkan senibeladiri adalah aktiviti bercorak fizikal, wajib dimulakan dengan aktiviti pemanasan badan dan regangan. Setiap otot dan sendi wajib bersedia untuk bergerak lebih aktif, kerana aktiviti tempur, walaupun latihan, bukanlah kerja harian kita selaku orang biasa-biasa ni. Sebaik mungkin,  regangan dibuat part by part, bermula dari kepala hingga ke kaki. Terus masuk main Jurus, tak kena rasanya, apatah lagi terus main buah. Anggota yang tak disiapkan untuk berlasak-lasak, akan mudah tercedera. Ini common sense, pengetahuan am.

Kemahiran pelatih juga wajarlah dimatangkan secara ansur maju. Betul, pelatih baru wajib didedahkan betapa sakitnya bergaduh, bertumbuk, dititik. Selepas pendedahan begitu, mesrakan mereka dengan penerangan demi penerangan. Pelatih baru adalah tetamu, dan tetamu wajib diraikan sebaik mungkin bertepatan dengan ajaran Rasulullah s.a.w yang sangat meraikan tetamu. Kan molek, berlatih dapat, geng baru dapat, pahala ikut sunnah pun dapat. Niat.

Kesimpulannya : Lian Padukan sangatlah sesuai diamalkan menggunakan tubuh badan manusia yang serba terhad lagi daif. Kalau rasa tak mampu nak lompat tinggi-tinggi, terbang jauh-jauh, regang kaki 180 darjah, tak mampu nak jadi orang hebat, handal, Lian Padukan mungkin ada jawapan untuk anda.

Senjata lapan gayang lima, ta' Lian Padukan hilang di dunia.

No comments:

Post a Comment