Wednesday 22 January 2014

MENILAI KEBERKESANAN 1.0


Apabila menyentuh berkenaan seni beladiri, antara isu yang selalu dibahaskan di forum-forum online, di kedai-kedai kopi, di gelanggang dan di mana – mana sahaja, adalah KEBERKESANAN.
Keberkesanan juga boleh dimaknakan sebagai kemenjadian dan kebolehbergantungan (dependable), samada dari segi jenis beladiri, teknik, praktikaliti dan logikaliti.

Persoalan berkenaan keberkesanan sesuatu beladiri atau teknik diperdebat dan dipersoalkan atas beberapa sebab dan medium, dan kawan nukilkan hanya beberapa iaitu:

1.       Ego pengamal sesebuah beladiri
2.       Pengalaman on field pengamal (pertandingan atau jalanan)
3.       Perkongsian (melalui seminar atau cross training)
4.       Kajian

EGO PENGAMAL

Ini adalah faktor besar, jika bukan utama, sesebuah beladiri atau teknik beladiri diperdebatkan. Ego wujud dari ketakjuban dan ketaksuban seseorang penuntut terhadap aliran yang dipelajari. Minda ‘’silat aku yang terbaik’’ adalah ‘booster’ bagi maraknya api keegoan. Mengkritik corak perguruan lain, menafikan keaslian perguruan lain, menidakkan keberkesanan sesebuah teknik tanpa kajian teliti dan lain-lain lagi kudis menambahkan lagi parah kurap keegoan ini.

Antara aliran yang sering menjadi mangsa keegoan sesebuah aliran ialah muay thai dan taekwondo. “Silat aku, setakat taekwondo duk main tendang tinggi tu, mudah-mudah je nak makan. Petik je teluq dia” dan “Tomoi? Depa memang keras, tapi kita boleh main lagi dengan depa. Guru kita pun pernah tumbangkan champion depa” adalah antara ayat klise yang menghukum pengamal kedua-dua aliran tersebut sebelum diuji di medan. Kedua-dua aliran tersebut sering menjadi penanda aras ‘kehebatan’ sesebuah aliran kerana ramainya (taekwondo) dan kerasnya (muay thai) aliran-aliran tersebut.

Apa pun, secara peribadi, gurulah punca sesebuah keegoan. Dalam mempertikaikan keberkesanan sesebuah beladiri, guru lupa menerapkan akhlak dan keterbukaan minda kepada penuntut.

PENGALAMAN ON FIELD
Pengalaman adalah guru terbaik. Betul. Tidak dapat dinafikan, manusia belajar terlalu banyak dari pengalaman hidup, dalam apa jua bidang sekalipun. Bayi perlu belajar merasa jatuh beberapa kali sebelum merasa nikmatnya berdiri dan tersadung beberapa kali sebelum merasa nikmatnya berjalan dan tersungkur beberapa kali sebelum merasa nikmatnya berlari.
Dalam hal beladiri, begitu juga. Terdapat pengamal yang tegar sanggup menyudi lain-lain perguruan hanya untuk membuktikan sendiri apa yang dipelajari adalah berkesan. Ego masih menyeliputi di sini. Menjatuhkan lawan lain aliran adalah sebuah kebanggaan dan perakuan yang aliran dianuti adalah terbaik. Turut biasa dilihat di pertandingan.

Ada juga kes sebenar, sesebuah aliran diuji keberkesanan. Cubaan ragut, rompak atau rogol dipatahkan melalui teknik beladiri yang dipelajari. Di sini, nilai sebenar BELADIRI menonjol keluar, iaitu digunakan pada keadaan yang mendesak. Dan di sini juga keberkesanan sesebuah aliran dipersoalkan, apabila seseorang yang mempelajari beladiri gagal memanfaatkan ilmu sebaiknya dan menjadi mangsa.

Bersambung…

Monday 13 January 2014

MUHAMMAD

Allahumma solli ala Saidina Muhammad wa ala alihi wasahbihi ajmain

Pertama sekali, sama-samalah kita memanjatkan kesyukuran dilahirkan ke dunia sebagai umat RasulAllah s.a.w..

Berjasanya ibu ayah dan guru kita, lebih berjasa lagi RasulAllah s.a.w kepada kita..

Bayangkan, sebesar-besar rahmat Allah s.w.t kepada alam ialah dengan kelahiran Muhammad s.a.w. Maka berselawatlah sebanyak-banyaknya, sedangkan Allah s.w.t dan para malaikat berselawat kepadanya.

Selawat juga adalah kunci kepada segala amalan dan doa. Sombongnya kita jika berdoa, tidak disebut nama RasulAllah s.a.w. sedangkan Islamnya kita datangnya dari baginda..

Sebagai pengamal buah pukul, Islam, tidak ada lagi pendekar, pahlawan, pendeta, mahaguru, guru yang lebih terbilang, lebih handal, lebih sempurna, lebih segala-galanya melebihi baginda nabi. Bagindalah gedung segala ilmu. SEGALA ILMU. Maka berselawatlah kepada baginda, kerana sepatah bismillah yang guru dan ibu ayah ajarkan kepada kita adalah bersusurgalur hingga ke baginda.

Jiwailah kisahnya, keperibadiannya, kecantikan akhlaknya. Ya, dewasa ini, kita mengaku memperjuangkan ajaran nabi. Namun sayangnya, kita menipu. Perjuangan banyak dari kita hanyalah berlandaskan emosi dan ikut ikutan. Berani hanya kerana kita ramai, sedangkan nabi dulu perjuangannya bermula dalam keadaan terasing. Lihatlah kita sekarang, ramai pun hanya seperti buih di lautan...

Kita lupa barangkali, dakwah nabi adalah bersenjatakan akhlak. Lebih ramai yang mentauhidkan Allah hanya dengan jalan akhlak yang dicontohkan nabi dan para sahabat, melebihi jalan perang.

Lihatlah kemelut kini, contohnya polemik 'kalimah'. Memang benar, kaum kafir tidak akan pernah senang dengan kebenaran. Mereka akan cari jalan untuk membawa kita kepada kesesatan. Namun adakah dengan 'melawan 'dengan emosi' boleh menawan kebatilan? Muhammad dibaling najis, tetap dibalas dengan doa supaya hidayah diberi kepada yang tidak mengerti.

Benar kita wajib bersikap keras dengan kafir. Namun berteriak, bersorak, bukanlah kekerasan yang dituntut. Keras yakni tegas, bukan mengasah parang dan berselempang semata-mata. Masjid rumah Allah tempat yang patut dihadiri setiap hari, bukan medan mandi-mandi bersiap perang.

Kita belum punya akal yang sihat, kerana membiarkan amarah menguasai diri.

Sayang, sedangkan senjata akhlaklah warisan para nabi, tidak kita gunakan sebaik mungkin.

Lailaha illallah..muhammadurrasulullah...

Salam maulidurrasul..

Friday 10 January 2014

CROSS TRAINING IN MARTIAL ARTS

Tajuk je omputih. Tapi kawan nak ceritakan dalam Bahasa Melayu. Cross training bermaksud silang latihan atau latihan bersilang. Istilah ini merujuk kepada seseorang atlet yang berlatih sesuatu sukan yang lain dari bidang sukan yang diceburi untuk meningkatkan prestasi secara menyeluruh.

Dewasa ini, dengan peningkatan populariti sukan Mix Martial Arts atau MMA, cross training di dalam senibeladiri semakin berkembang baik. Zaman dahulu, atas ego 'aliran aku yang terbaik', sangat sukar kita melihat mana-mana pengamal senibeladiri duduk bersembang dan berlatih bersama senibeladiri lain.

Fenomena cross training ini sudah bermula awal, namun dipopularkan secara massive oleh mendiang Bruce Lee. Selain pengamal wing chun, beliau juga memahiri boxing barat, wushu cina, dan mengkaji seni pedang barat. Pengaruh seni pedang barat boleh dilihat dalam kaedah 'stop hit' yang digarap dalam Jeet Kune Do beliau. Malah, beliau juga diberitakan sebagai juara tarian cha cha sewaktu di Hong Kong, menambahkan lagi protfolio bagi kelincahan beliau.

Tahukah kawan-kawan, bahawa Lian Padukan sendiri adalah senibeladiri yang bertunjangkan crosstraining? Umum mengetahui bahawa genius buah pukul, Allahyarham Pak Mat Kedidi merupakan seorang guru buah pukul yang pandangannya jauh ke hadapan. Walaupun Buah Pukul Mersing sudah sangat solid bagi kebanyakan pengamalnya, Arwah masih mampu melihat dan mengkaji ruang penambahbaikan yang boleh dibuat tanpa meninggalkan petua-petua dan rahsia pukul tinggalan zaman berzaman. Setelah diturunkan kepada Ayahanda Haji Hasyim, Lian Padukan turut berevolusi sehingga 'asli' dalam bentuknya yang tersendiri.

Arwah Pak Mat Kedidi menyelitkan segala unsur persilatan dan senibeladiri yang dipelajarinya seperti buah pukul mersing, sendeng, sunting, muay thai dan bersama-sama arwah menantu beliau iaitu Razak Sharif (buah pukul, taekwando) lahirlah Lian Padukan. Sehingga kini, di bawah kendalian Haji Hasyim, Lian Padukan masih membuka ruang penambahbaikan. Kata-kata guru seperti 'tambah boleh, buang jangan' sentiasa jadi pegangan, namun hendaklah tahu apa yang boleh ditambah, jangan sebarang tambah.

Berbalik kepada cross training, untuk lebih memantapkan permainan, atau setidak-tidaknya diri kita sendiri, kita hendaklah berfikiran terbuka dan positif menerima falsafah, latihan dan teknik senibeladiri lain. Dengan peningkatan populariti Brazillian Jiu Jutsu seiring perkembangan MMA, kawan melihat ruang pengkajian teknik ground fighting dan kuncian. Memandangkan kebanyakan aliran buah pukul adalah 'stand up fight' dan 'offensive art', maka kuncian dan pertarungan lantai tidaklah dititikberatkan. Namun jika pergaduhan ke peringkat 'bergelut-gelut', setidak-tidaknya kita tahu apa yang patut dilakukan. Silat Melayu kita sendiri handal dengan pergelutan dan kuncian, malah bagi sesiapa yang biasa menonton silat jatuh yang popular di Kelantan, menonton sahaja sudah buat kita mengah.

Selain menyerap teknik, corak latihan juga boleh di'crosstraining'kan. Contoh terbaik latihan yang meningkatkan prestasi secara menyeluruh adalah latihan boxing. Latihan-latihan boxing menggabungkan latihan tradisional tinju dan sentiasa ditambah baik secara saintifik untuk peningkatan atlet. Kalau kita lihat pun, atlet tinju adalah antara atlet yang terbaik kondisi fizikalnya. Latihan kepantasan tangannya seperti menggunakan speed ball, focus pad dan lain-lain tidak salah jika diterapkan di gelanggang. Latihan bercorak keolahragaan juga wajar diterapkan seperti sprinting, drilling dan lain-lain supaya pengamal Lian Padukan khususnya dan pengamal senibeladiri amnya berprestasi seperti atlet. Tidaklah hanya 'handal sembang di facebook', menumpang gah nama keturunan tapi fizikal out walhal umur 30an awal 40an.

Bab kuncian, pengamal Lian Padukan boleh refer kepada Ayahanda Haji Hasyim sendiri. Semua tahu tentang latar belakang beliau yang bermacam silat dan senibeladiri sebelum berkecimpung full time dalam Lian Padukan. Kawan pernah disajikan dan 'dihidangkan' buah -buah kunci dan pukulan dari silat pulut yang - subhanallah - memeritkan. Dari beliau sendiri kawan banyak belajar tentang konsep keterbukaan menerima ilmu.

Apa pun, ini hanya pandangan peribadi kawan. Gurulatih gelangganglah yang memainkan  peranan dalam mendidik anak murid. Yang pentig, keterbukaan dan sikap hormat menghormati walau berlainan aliran. Yang ada ni pun, ilmu Allah punya, jangan dibuat bangga-bangga, macamlah kita punya, nanti Allah murka.






Tuesday 7 January 2014

SENJATA






Terdapat pelbagai senjata dalam dunia senibeladiri. Senjata alam Melayu sahaja sudah terlalu banyak untuk dikaji dan dikenali seperti keris, kerambit, tumbuk lada, parang, tekpi, cindai, buku lima,...... banyak la.. Sesiapa yang ada kawan-kawan dari persilatan lain seperti Seni Silat Gayong Dato Meor Rahman, cuba tanya-tanya...

Senjata juga merupakan sebahagian daripada kebudayaan dan ketamadunan sesebuah bangsa. Umum mengetahui kehebatan Melayu dalam teknologi perlogaman dan persenjataan melalui penemuan dan tinggalan senjata api seperti lela rentaka, senapang pemuras dan banyak lagi. Penemuan-penemuan senjata seperti keris purba di Jepun umpamanya, membawa kita mengenang sejarah perhubungan alam Melayu dengan dunia timur jauh suatu masa dahulu.

Dalam tulisan ini, kawan ingin membawa pembaca ke skop penggunaan senjata dalam situasi sebenar. Dahulu, senjata merupakan kewajipan setiap individu. Lelaki gah dengan keris tersisip di pinggang. Wanita menyelitkan kerambit di sanggul rambut. Dengar juga cerita, gedebe di Kelantan sajak dengan kapak di belakang pinggang.

Namun, zaman berubah. Membawa dan menyimpan senjata-senjata tajam boleh mengundang padah undang-undang kepada yang membawanya. Maka, apa lagi pilihan kita? Adakah sebagai pengamal buah pukul, mengusung tekpi ke sana sini itu perkara biasa pada mata khalayak?

Itulah pentingnya kreativiti dan kebolehan membuat keputusan dengan tepat. Tambah lagi, silat memang terkenal dengan tipu helah dan kreativiti yang diakui dunia. 

Dalam situasi sebenar, apa yang ada di sekeliling kita boleh dijadikan senjata, bersesuaian juga dengan tugas harian kita. Contohnya, penjawat berkolar seperti guru, doktor, peon, atau apa-apa sahaja kerja yang memakai tali leher, boleh menggunakannya dengan kaedah senjata fleksibel seperti cindai atau dalam Lian Padukan, aplikasikan Lian Tasbih. Begitu juga wanita bertudung. Selain tudung sebagai pakaian menutup aurat, tudung juga senjata ampuh berkaedah cindai jika tahu menggunakannya. Cuma kalau tudung Fareeda, tak tau la kawan. Itu dah kira 'senjata menggoda'...

Bagi golongan pendidik pula, pen marker boleh dijadikan senjata berkaedah kayu / besi sejengkal. Dalam Lian Padukan, kawan sudah melihat Cikgu Azhar Kapar menggunakan kayu urut yang panjangnya sejengkal sebagai senjata dengan diaplikasikan bersama jurus 1. Kreatif.

Kawan sendiri, ke mana-mana pun bawa pen. Isteri kawan pun kawan nasihatkan sentiasa bawa pen untuk setidak-tidaknya menjaga diri bila situasi memerlukan. Dalam kereta, lock steering wajib ada. Kunci lock steering sentiasa dipegang, siap siaga cega curiga jika bala mendatang tiba-tiba.

Dan senjata paling wajib bagi kita umat Islam - DOA. Sayanglah, Rasulullah dah ajarkan 'senjata-senjata mukmin' yang ampuh lagi sangat-sangat boleh diandalkan, tapi tidak pula mahu kita gunakan. Tambahan lagi, hormat-menghormati dan menjaga tutur kata itu juga 'senjata' kita dari dimusuhi.








Monday 6 January 2014

LAIN NAMA, LAIN KAEDAH, TAPI ILMUNYA SAMA



 Ayahanda Dr. Hj Hasyim menerangkan aplikasi Lian Tasbih yang dicipta oleh beliau
Dato' Pak Andak Majid dari Pusaka Gayung dengan kaedah Seni Cindai



Kawan suka melihat kepelbagaian aliran yang ada di dunia ini. Kita pun hidup di zaman serba segalanya di hujung jari. Nak tau itu ini, Google saja.

Kawan tertarik dengan suatu seni yang menggunakan senjata yang bersifat fleksibel. Kalau dalam Silat Seni Gayong Dato' Meor Rahman, perguruan itu cukup dikenali dengan Seni Cindainya yang ampuh. Sejak keluar Nat Geo, lagi bertambah gah permainan itu.

Dalam Seni Gayong Dato' Meor Abd. Rahman, Seni Cindai merupakan silibus peringkat atasan. Mengikut cerita kawan-kawan kawan, permainan cindai ini untuk pengamal yang matang, kerana permainannya yang merbahaya, jerut-menjerut dan pukul memukul. Belum masuk tentang Seni Cindai Basah. Itu, cerita lain..

Bagaimana pula dalam buah pukul? Pun ada juga. Cuma mungkin lain nama, istilah, penyampaiannya. Namun matlamat ilmu tetap sama, iaitu pukul-memukul dan jerut menjerut.

Dalam Lian Padukan, Ayahanda Hj. Hasyim telah diilhamkan untuk mencipta kaedah Lian Tasbih. Selain tasbih boleh dijadikan sebagai senjata rohani umat Islam, tasbih juga boleh dijadikan senjata yang ampuh. Dengan kaedah liannya yang tersendiri, tersembunyi permainan pukul-memukul dan jerut-menjerut mengikut dasar buah pukul. Namun untuk dijadikan senjata, tasbihnya harus 'lain sikit' dari tasbih kebiasaan. Nak tahu lanjut, rujuk Ayahanda Hj. Hasyim atau guru-guru khatam yang lain. 

Dari pemerhatian kawan, Seni Cindai dan Lian Tasbih ini boleh diadaptasi ke lain-lain peralatan yang fleksibel sifatnya seperti rantai, tali, kain, tali pinggang, tudung, dan lain-lain. Tinggal lagi kita mengambil kaedah geraknya dengan guru dari aliran-aliran yang diminati. Kawan percaya, seni beladiri lain juga ada kaedah seperti ini.

Lain nama, lain kaedah, tapi matlamat akhir ilmunya sama. Bak kata Allahyarham Guru Pak Mat Kedidi, "tertakluk pada akal budi bicara."

PELAMPAS DALAM LATIHAN



Perkataan 'pelampas' ni kawan cuma dengar apabila mula mempelajari buah pukul. Maksudnya dari Kamus Dewan, tidaklah kawan tahu. Setakat yang kawan faham, pelampas itu adalah drill tertentu yang dilatih untuk kemahiran.

Dalam apa juga bidang sekalipun, latihan penting. Pelajar-pelajar institusi pendidkan dari tadika sampai ke universiti sentiasa dibekalkan dengan latihan untuk menambah kemahiran dan kefahaman. Atlet-atlet sukan juga dilatih dengan drill tertentu untuk meningkatkan stamina, fleksibilit dan kemahiran dalam sukan yang diceburi. Contohnya, atlet olahraga trek sentiasa dilihat melakukan drill seperti lunge, high knee, scissor run, ankling dan banyak lagi drill untuk melatih otot kecil dan besar bahagian bawah badan bagi menambahkan kelancaran larian. Itu, cerita lain.

Dalam senibeladiri, umum melihat ahli-ahlinya melakukan latihan tendangan dan tumbukan berulang-kali. Untuk menambah kekuatan dan akurasi serangan, beg tubi, pao dan lain-lain bahan bantu mengajar digunakan. Tak ketinggalan teknik bantingan dilatih menggunakan heavy bag dan gulingan dilakukan berulang kali, membawa ke muntah. Itu semua untuk mencapai tahap kemahiran dan kesmpurnaan dalam aliran yang dianuti.

Bagi buah pukul - kawan kongsikan dalam konteks Lian Padukan yang kawan pelajari - antara drill atau pelampas yang dilatih adalah pelampas tangan. Titik, siku dan tumbuk disasarkan pada tapak tangan secara berganti-ganti. Sebelum belajar dulu, kawan pelik jugak tengok silat ni, berlatih tepuk-tepuk tangan. Bila dah alami sendiri, baru faham. Itu untuk membiasakan kita dengan senjata-senjata pada tubuh kita. Tangan ada pelampasnya, kaki ada pelampasnya serti 'squat kicking' dan lutut juga ada pelampasnya yang tersendiri. Hatta mata juga ada pelampasnya yang juga tersendiri, untuk fokus penglihatan semasa berlaku sayembara pertarungan.

Malah, bagi kawan, jurus dan lian yang kita pelajari juga merupakan pelampas bagi pergerakan menyeluruh kita. Yang penting dilatih selalu. Untuk elak plateu dalam latihan, kadang-kadang kawan ikhtiarkan kaedah sendiri. Tak la jemu jadinya. Ayahanda Hj. Hasyim sendiri mempunyai 1001 pelampas yang jarang-jarang kita ketahui. Nak tau, rajin-rajin datang menjenguk beliau.

Yang penting, berlatih. Pelampas ke, apa ke, kalau tak dilatih, hampaslah jadinya...

PERNAFASAN DALAM MELATIH LIAN



Nafas adalah suatu yang sangat diberi penekanan dalam seni beladiri. Mana-mana martial art dalam dunia, selain silat juga memperincikan aspek ini mengikut fahaman masing-masing.

Dalam aspek kerohanian juga, nafas ada cerita dan detailnya yang tersendiri. Itu, cerita lain..

Yang kawan nak kongsikan di sini, fungsi nafas dalam beladiri. Singkatan LIAN yang diterangkan oleh Ayahanda Dr. Haji Hasyim Salleh ialah Latihan Itu Ada Nafas. Pok Yee Seni Gerak Lian pula mentakrifkan sebagai Latihan Istiqamah Anggota Nafa. Setiap pergerakan kita dalam jurus dan lian yang kita latihkan, ada 'nyawa'nya yang tersendiri, yakni ada fungsinya, ada gunanya, ada pengertiannya yang tersendiri lagi sejati..

Secara fizikalnya, nafas turut menjadi keutamaan. Dalam sukan, stamina sering dikaitkan dengan kebolehan kita bertahan melakukan sesuatu aktiviti dalam sela masa yang lama. Ini berkait dengan fungsi kardio kita, iaitu kebolehan jantung mengepam darah ke seluruh badan, dan sumber pembakar tenaga utama yang diperlukan badan ialah Oksigen iaitu udara yang disedut ketika kita bernafas.

Maka, tidak hairanlah nafas memainkan peranan utama. Banyak kaedah untuk melatih nafas ada dalam ilmu Melayu dulu-dulu. Bacaan al-fatihah senafas yang kita amalkan (bagi pengamal Lian Padukan) ketika membuka gelanggang juga adalah antara latihan pernafasan yang baik, selain lain-lain aktiviti fizikal yang kita latihkan. Malah, dengan melatih pernafasan juga sebenarnya kita secara tidak langsung melatih kekuatan fizikal. 

Oleh itu, jangan hanya terhadkan latihan semata-mata di gelanggang atau kelas latihan sahaja. Joging, berbasikal, berenang, main futsal dan lain-lain aktiviti fizikal juga hendaklah dirajinkan kerana banyak manfaatnya. Elakkan merokok, kerana secara peribadi, bagi kawan, merokok merendahkan martabat kita sebagai pengamal seni beladiri yang berdisiplin. Tak elok kan, anak-anak murid yang masih muda belia dan bersekolah, melihat guru atau jurulatih apa-apa beladiri sekalipun merokok. Terang-terang merokok menjadikan nafas kita berbau, dan lagi, Ayahanda Dr. Haji Hasyim sendiri bukanlah seorang perokok.

Antara latihan lian untuk pernafasan ialah jurus perdana 3 langkah senafas, buat lian senafas dan sudah tentu, amalan lian gulung iaitu lian 16 dalam silibus Lian Padukan. Mesti ada sebab, kenapa Lian Gulung adalah lian terakhir yang dipelajari sebelum khatam.... Lain-lain latihan adalah mengikut kreativiti masing-masing, dan panduan guru.

MEMAHAMI LIAN - BUAH APLIKASI DAN BUAH KEFAHAMAN

Pertama sekali, kemunculan blog ini adalah kesinambungan kepada blog http://titikperisai.blogspot.com yang kawan kehilangan passwordnya. InsyaAllah, kawan akan usahakan secara aktif menyumbangkan tulisan berkenaan seni beladiri, Lian Padukan khususnya.

Sebagai permulaan, kawan membawa pembaca ke sebuah tajuk iaitu 'Memahami Lian'. Andai ada kekurangan, minta berilah pandangan memandangkan kawan masih mentah dalam arena buah pukul. Kawan juga menulis dari konteks Lian Padukan yang kawan pelajari, dan sebarang perbezaan pendapat sama-samalah kita raikan dengan hati terbuka dan berlapang dada, insya Allah..

MEMAHAMI LIAN

Pelbagai makna boleh diberi dalam memahami Lian.  Lian boleh disimilarkan dengan pattern dalam taekwando, kata dalam karate atau belebat dalam silat, malah ada juga aliran silat menamakannya sebagai kawad jurus. Juga boleh disamakan dengan bunga silat. Akan ada yang mengatakan permainan lian atau buah pukul tidak ada bunga tari, namun sebagai peminat silat, kawan ada hujah berdasarkan pengalaman dan perkongsian dengan guru-guru silat dan buah pukul, terutama dari Ayahanda Haji Hashim Salleh.

Mengikut kefahaman kawan, Lian adalah himpunan pergerakan dan buah-buah pukul yang di ‘pre-arrange’kan untuk tujuan latihan dan ingatan. Setiap pola pergerakan, langkah, buah yang dihimpun adalah bersesuaian berdasarkan situasi. Sebagai contoh, perbuatan gelek dalam lian menepati petua ‘tumpang kederat’ yang banyak dipakai dalam permainan silat.

Lian juga tidak lain adalah kesepaduan anggota senjata lapan bergayang lima berlandaskan rukun-rukun, petua dan rahsia pukul.

Namun, adakah dengan sekadar menghafal lian, penuntut boleh memahami tujuan dan kegunaan Lian?

Jawapannya samalah dengan menghafal F=ma. Sekadar dihafal, tahukah murid apakah maksud F, m dan a? Fahamkah murid akan aplikasinya? Tidak. Pastilah hanya dengan penerangan oleh guru dan latihan yang berterusan, murid mampu mengaplikasikan formula tersebut dalam soalan-soalan yang berlandaskan 'Daya'.

Begitu juga Lian. Lian adalah formula sebenarnya, supaya pelatih-pelatih mampu berlatih sendiri atau berpasangan untuk memantapkan kemahiran dan kefahaman Lian.

Bagaimana pula cara mengaplikasian Lian dalam situasi sebenar? Soalan yang sama juga ditanyakan pada semua seni beladiri yang terdapat di dunia, bagaimana menilai keberkesanan dan keampuhan sesuatu senibeladiri atau teknik beladiri apabila berhadapan situasi sebenar. Belajar bertahun bagai nak rak, bila terpaksa, koboi juga keluarnya.

Dalam silibus Lian Padukan, diperincikan oleh guru-guru kepada 2 bahagian, iaitu buah aplikasi dan buah kefahaman. Buah aplikasi Lian menuntut pelatih menggayakan Lian secara berpasangan mengikut kehendak Lian yang dipelajari. Sebagai contoh, Lian 1 (Lian Selak Panjang). Apabila berlatih, pelatih yang menyerang akan menggayakan pergerakan gelek 2 belah dalam menyambut lapis-lapis yang dibuat oleh pelatih yang menyambut serangan (konsep mendulu-menunggu). Ini merupakan suatu bentuk 'pre-arranged sparring' dalam menguji pengetahuan pelatih mengaplikasikan bentuk Lian yang dipelajari.

Setelah pelatih mahir dengan buah aplikasi, pelatih akan diuji pula dengan buah-buah kefahaman Lian yang mampu menerbitkan pelbagai buah (mengikut kreativiti) berlandaskan Lian yang dimahiri. Jika sebelum ini pelatih bergelek 2 belah semasa berlatih untuk mengikut bentuk Lian, dalam situasi sebenar pelatih mungkin hanya perlu bergelek sebelah sahaja dalam melapis pukulan, sekadar mengalih atau menumpang kederat musuh sebelum memukul musuh bertalu-talu dengan buah-buah jurus. Di sinilah nampak ke'koboi'annya, namun koboi yang berseni dan berpetua. Bentuk Lian sudah tidak 'berbentuk' lagi.

Jadi, apa perlunya belajar gelek 2 belah, kiri kanan? Gelek sebelah kan dah cukup?

Dalam Lian Padukan, apabila menyebut istilah "Senjata Lapan", ini bermakna kesemua anggota senjata - kanan dan kiri - hendaklah dilatih. WAJIB dilatih. Maka, untuk membiasakan kesemua senjata tangkas bertindak, semuanya hendaklah dilatih tanpa tapi-tapi. Contohnya, dalam Jurus Perdana, adakah anggota kanan sahaja yang 'pergi'? Mahu pergi bertalu-talu, biarlah semua senjata dilatih bersama.

Mungkin Lian Padukan berbeza dari lain-lain aliran, dan mungkin juga kefahaman kawan menghuraikan berbeza dengan rakan-rakan sealiran. Apa pun, semuanya ilmu Allah. Sama-samalah kita kongsikan..