Saturday 27 December 2014

MEMILIH 'BUAH' PAKAIAN DIRI?

Setelah kita berborak berkenaan kesesuaian Lian Padukan dengan tubuh badan kita berdasarkan silibus-silibusnya, hari ini kita luangkan masa untuk sama-sama berfikir tentang buah pakaian diri sendiri.

Selama kita bergelanggang dalam Lian Padukan, pernah tak kita fikir atau pilih sekurang-kurangnya 1 buah untuk menjadi andalan kita? Tak kisahlah berapa lama kita menuntut,

Sepatutnya, ya. Kita patut fikirkan 1 buah yang bakal kita jadikan 'buah angkat' untuk kita harapkan. Haaa, ada pulak 'buah angkat'...

Sebelum itu, cuba kita renung kembali, selama pengajian kita dalam Lian Padukan, tak kira baru seminggu atau sudah bertahun-tahun. Kita maklum bahawa dalam Lian Padukan tidak ada susunan buah-buah tertentu yang perlu kita hafal. Yang ada ialah susunan silibus asas pergerakan Jurus dan Lian yang perlu kita fahamkan dan drill selalu, atau ada silat yang istilahkan sebagai belebat atau pecah.

Jurus atau Lian kalau kita mudahkan, sebenarnya adalah susunan kombinasi pukulan dari senjata lapan kita yang bergayang lima. Seperti mana dalam boxing yang ada kombo 1-2, 1-2-3, 1-2-5-2, 1-6-3-2... apa-apalah. Kombinasi adalah infiniti.

Maka, Jurus dan Lian yang kita latih adalah kombinasi terpilih yang sudah dirumuskan oleh Allahyarham Pak Mat Kedidi, diperkasakan lagi oleh Allahyarham Razak Sharif dan dimurnikan lagi oleh Ayahanda Haji Hasyim. Disampaikan pula kepada kita melalui gurulatih-gurulatih dan senior-senior yang diiktiraf oleh Ayah.

Oleh yang demikian, pelajaran Jurus dan Lian yang kita perolehi itu sebenarnya membantu kita mengolah permainan 'hak' kita bersesuaian dengan fizikal, minat, kemampuan dan peribadi kita, berpandukan landasan petua-petua dan kata-kata pukul.

Namun, sebelum kita berkebolehan mengolah sendiri permainan atau buah, kita dibekalkan dengan buah-buah cadangan yang boleh diaplikasikan semasa melaksanakan sesuatu silibus. Sebagai contoh, bagi membiasakan diri dan memahamkan diri tentang Jurus 1, pelatih baru akan didedahkan dengan buah Jurus 1, kemudian dilatih lapisnya seperti 'buah kopak' dan 'buah seberang'. Ini adalah kombinasi asas atau cadangan untuk memahamkan pelatih tentang Jurus 1. Hari demi hari, latihan demi latihan dan kefahaman demi kefahaman, kemahiran yang siap di'install' dalam diri pelatih akan memungkinkan pelbagai lagi variasi buah hanya dari Jurus 1. Baru Jurus 1. Ada lagi Jurus 2 hingga ke Lian 16. Bayangkan banyaknya variasi buah. Infiniti.

Akan tetapi, dalam sayembara sebenar, kita tidak mempunyai waktu untuk berfikir atau memilih buah antara pelbagai buah yang boleh digunakan dalam berhadapan musuh. Maka, dalam keadaan terdesak, 'muscle memory' yang kita sudah 'install'kan kemahiran Jurus dan Lian akan mengambil alih, meng'output'kan buah mengikut situasi dan keadaan.

Sebab itu, kita boleh cuba harapkan pada 'buah angkat' kita tadi. Apa yang kawan maksudkan dengan 'buah angkat' ialah pilih satu buah, dari mana-mana Jurus atau Lian yang kita rasa paling sesuai dengan tubuh badan kita. Buat analisis SWOT pada buah tersebut dengan mengkaji kelebihan buah (mudah dilaksanakan), kelemahan buah (kemungkinan mudah dilapis), peluang melaksanakan buah dan ancaman pada buah (musuh orang berpengalaman) tersebut.

Melalui analisis tersebut, kita boleh juga menilai kelebihan dan kekurangan diri kita. Mungkin dari segi pengalaman, kekuatan, kepantasan, keberanian dan lain-lain.

Tu baru satu. Kalau rajin, analisis semua buah yang kita dah belajar. Yang paling mahir itulah kita bawa bersama diri kita. Tapi analisis-analisis ini sesuainya dilakukan waktu tenang. Kalau kat situasi sebenar baru nak fikir macam-macam,  masak kita. Apa pun, latihanlah yang paling utama. Kalau selalu berlatih, insyaAllah, tak fikir tentang buah pun, buah akan keluar sendiri mengikut kehendak situasi.

Kalau tanya kawan, buah andalan kawan adalah buah dari Jurus 2 Lian Padukan.

Anda bagaimana?




Wednesday 24 December 2014

SESUAIKAH PERGERAKAN LIAN PADUKAN DENGAN TUBUH BADAN KITA?

Jam menghampiri 9.00pm. Kawan dan sekalian jemaah memenuhi ruang dewan, menanti bermulanya ceramah perdana yang bakal disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Kazim Elias Al-Hafiz. Diiringi laguan selawat dan nasyid sementara menunggu ketibaan penceramah yang diraikan, kawan belek-belek fesbuk. Lalai betul kawan. Kan elok sepatutnya ikut selawat. Oh.

Tapi selepas membaca pertanyaan seorang hamba Allah berkenaan 'sesuaikah pergerakan dalam lian dengan tubuh badan kita?' dalam sebuah page, kawan terpanggil unuk menukilkan pendapat kawan di sini. Harap ini dikira perkongsian ilmu, mengimbangi kelalaian kawan berselawat ke atas Nabi s.a.w.

Memandangkan aliran buah pukul rasmi yang kawan ceburi adalah Lian Padukan, kawan menulis dari kaca mata seorang pengamal Lian Padukan.

Sesuaikah pergerakan dalam Lian Padukan dengan tubuh badan kita?

Kawan pernah menulis sebelum ini, lupa di topik mana, bahawa pergerakan dalam seni beladiri bukanlah pergerakan norma manusia. Kalau ada yang mengatakan aliran mereka berpergerakan semulajadi manusia, terpulang. Kawan belum pernah bertemu dengan orang yang berjalan sambil menendang 'front kick' sepanjang masa atau menepis-menepis angin tangannya.

Pergerakan dalam seni beladiri adalah berkenaan tempur!

Dalam Lian Padukan, setiap silibusnya adalah berkenaan tempur, dicipta semata-mata untuk tempur. Maka setiap jurus dan lian yang dirangka oleh pendiri terdahulu adalah menepati gerak-gerak tempur, berlandaskan penggunaan senjata lapan yang bergayang lima.

Pernah kawan ungkapkan dahulu, berdasarkan pengamatan kawan, pelajaran fizikal dalam Lian Padukan adalah seiring dengan pergerakan tubuh badan. Setiap jurus dan lian tercipta seselesa mungkin, bersesuaian dengan mana-mana saiz atau berat badan pengamal. Betul, diawal pembelajaran, pelatih akan merasa kekok dan tualu mengawal pergerakan segerak anggota kiri dan kanan. Biasalah tu, bayi nak mahir meniarap pun ambil masa. Dan pandai meniarap, nak bawa ke merangkak pun ambil masa. Lagi-lagi nak mahir berjalan, berlari. Ikut kesesuaian pengalaman bayi tersebut, dan kekuatan otot serta tulangnya.

Begitulah pelatih baru, kekekokkan itu hanyalah mental block terawal yang perlu dilalui. Namun stelah dikuasai dan bergerak lancar, alangkah seronoknya pergerakan Jurus 1. Dah mahir Jurus 1, membawa ke Jurus 2 dan seteusnya, hingga naik peringkat lian dan tahu-tahu, eh, dah nak khatam?

Sabar itu perlu.

Dan untuk meyakinkan lagi diri kawan dan pelatih-pelatih, pergerakan dalam Lian Padukan terbukti tidak menyalahi pergerakan norma tubuh badan manusia, yang agak terbatas. Dalam silibus Lian Padukan, tidak perlu 'split' sampai 180 darjah. Namun tak salah pun kalau boleh 'split', malah lagi bagus, kerana flexibility dan 'range' serangan kaki lebih luas (tapi tetap kena hati-hati dengan menendang melebihi paras aurat lawan). Silibus Lian Padukan juga tiada disuruh melompat menghambur, kerana dalam tempur sebenar tiada keperluannya. Namun tak juga salah kalau nak dilatih kemahiran melompat menghambur, kerana kemahiran tersebut ternyata mampu menambah keyakinan dan kelasakan kepada pelatih, dan mungkin berguna pada situasi-situasi jatuh basikal atau motor, dan lain-lain.

Maka, untuk orang biasa-biasa, macam kita-kita ni, macam kawan sendiri yang masih bergelut kecederaan di beberapa anggota akibat aktif bersukan, pergerakan dalam Lian Padukan amatlah bersesuaian dan selesa digayakan.

Yang penting, pengetahuan am kita, samada pengendali gelanggang, gurulatih atau pelatih sendiri. Memandangkan senibeladiri adalah aktiviti bercorak fizikal, wajib dimulakan dengan aktiviti pemanasan badan dan regangan. Setiap otot dan sendi wajib bersedia untuk bergerak lebih aktif, kerana aktiviti tempur, walaupun latihan, bukanlah kerja harian kita selaku orang biasa-biasa ni. Sebaik mungkin,  regangan dibuat part by part, bermula dari kepala hingga ke kaki. Terus masuk main Jurus, tak kena rasanya, apatah lagi terus main buah. Anggota yang tak disiapkan untuk berlasak-lasak, akan mudah tercedera. Ini common sense, pengetahuan am.

Kemahiran pelatih juga wajarlah dimatangkan secara ansur maju. Betul, pelatih baru wajib didedahkan betapa sakitnya bergaduh, bertumbuk, dititik. Selepas pendedahan begitu, mesrakan mereka dengan penerangan demi penerangan. Pelatih baru adalah tetamu, dan tetamu wajib diraikan sebaik mungkin bertepatan dengan ajaran Rasulullah s.a.w yang sangat meraikan tetamu. Kan molek, berlatih dapat, geng baru dapat, pahala ikut sunnah pun dapat. Niat.

Kesimpulannya : Lian Padukan sangatlah sesuai diamalkan menggunakan tubuh badan manusia yang serba terhad lagi daif. Kalau rasa tak mampu nak lompat tinggi-tinggi, terbang jauh-jauh, regang kaki 180 darjah, tak mampu nak jadi orang hebat, handal, Lian Padukan mungkin ada jawapan untuk anda.

Senjata lapan gayang lima, ta' Lian Padukan hilang di dunia.

Monday 15 December 2014

R&D

Sedar tak sedar, kawan dah menulis kira-kira 70 post dalam blog ni. Dalam banyak-banyak tu, meti ada yang mengguris hati mana-mana pihak. Kawan minta maaf dari hati yang terdalam. Sebarang ketidakpuashatian, harap ajukan secara peribadi kepada kawan melalui emel titikperisai@gmail.com

Hari ini, kita sama-sama fikirkan tentang R&D. Research and Development. Kajian dan Pembangunan.

Dunia dewasa ini adalah berkisar tentang perlumbaan untuk menempatkan diri menjadi yang terbaik. Saintis berlumba-lumba membuat kajian untuk menghasilkan dapatan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat sedunia. Ahli politik berlumba-lumba memikirkan manifesto yang boleh membantunya terus di takhta kuasa. Murid sekolah berlumba-lumba dalam persaingan merebut tempat pertama dalam kelas. Semua kita saling berlumba untuk meletakkan diri di tempat terbaik, kalau pun tidak menjadi yang terbaik.

Untuk menjadi yang terbaik, atau menghasilkan yang terbaik, R&D adalah jalan yang perlu dilalui dan diterokai. Semua bidang  memerlukan kajian dan pembangunan, disusuli dengan tindakan bagi memastikan tujuan, objektif, misi dan visi tercapai.

Selalu juga kawan menulis terlalu umum berkenaan senibeladiri. Hari ini, kita spesifikkan kepada aliran yang kita pelajari dan cintai, LIAN PADUKAN.

Umum mengetahui bahawasanya Lian Padukan adalah hasil R&D Allahyarham Pak Mat Kedidi (al-Fatihah) melalui rangkuman pengalaman dan pengamalan beliau dari Buah Pukul Mersing dan lain-lain persilatan, juga tomoi. R&D beliau kemudian diteruskan oleh pewaris beliau yang kini merupakan Guru Utama Lian Padukan, iaitu Ayahanda Dr. Haji Hasyim.  Sehingga kini, R&D masih diteruskan.

Persoalan - adakah Lian Padukan tidak lengkap sehingga terus menerus memerlukan R&D? Jawapan kawan, Lian Padukan sudah lengkap sebagai ilmu tempur, namun kita sebagai manusia yang terhad kemampuannya, sebagai pelatih Lian Padukan perlu terus menerus mengkaji dan membangunkan diri supaya seiring dengan kehebatan Lian Padukan yang kita banggakan.

Maka, dalam melaksanakan R&D untuk memantapkan diri kita sebagai pengamal Lian Padukan (bukan sekadar pelatih yang mendaftar dan berlatih hanya seminggu sekali), beberapa modus operandi bolehlah dilaksanakan meliputi corak latihan, cara memperoleh kefahaman dan macam-macam lagi.

Antara uslub yang boleh kita jalankan sebagai R&D ialah menerapkan latihan fizikal bercorak kesukanan, selain meneruskan senaman-senaman tradisi warisan buah pukul dan persilatan. Penggunaan bahan bantu berlatih turut membantu peningkatan prestasi pelatih.

Perbincangan berkenaan teori-teori, falsafah-falsafah, kata-kata hikmah, petua dan catatan buah pukul juga boleh menyumbang kepada R&D dalam meningkatkan kefahaman dan kecintaan kita kepada Lian Padukan. Sebagai contoh, huraikan maksud kata-kata 'buah dagang yatim piatu, sambut dua tanti satu'. Bincangkan bersama rakan-rakan pelatih kerana boleh jadi masing-masing mempunyai tafsiran tersendiri. Rujuk hasil perbicangan dengan gurulatih gelanggang. Guru sebagai fasilitator akan memudahkan pelatih sampai kepada kefahaman yang sepatutnya.

Juga, rajin-rajinlah menonton acara-acara sukan berbentuk kombat seperti UFC,boxing, silat olahraga, karate (terutama aliran kyokushin yang bared knuckle), muay thai dan lain-lain. Di sini, imaginasi kita dilatih. Bagi setiap situasi yang ditempuhi oleh atlet, tempatkan diri kita dan cari jalan mengatasinya. Kawan kenal beberapa pelatih Lian Padukan yang pernah dan masih komited berlatih sukan kombat seperti silat olahraga. Disiplin sukannya sangat mengagumkan. Namun, kawan juga kenal beberapa rakan yang handal di medan gaduh bersenjatakan buah pukul. Memandangkan approach kawan Lian Padukan sebagai medium penyatuan, kesukanan, kesihatan dan kebudayaan, kawan menolak budaya samseng berpuak-puak. Tak setuju, lantak kamu ler.

Banyak lagi yang mahu kawan kongsikan, memandangkan kaedah melaksanakan R&D adalah infiniti. Memandangkan Maghrib dah dekat dan mak sudah bising ananknya belum bergerak ke surau lagi menghadap tab, kawan sudahkan tulisan ini di sini. Kita sambung lagi bicara di R&D part 2.

Tuesday 2 December 2014

SENI BELADIRI TERBAIK?

Agak lama juga tak berkumpul ramai-ramai dengan kawan-kawan zaman belajar, sementelah masing-masing sibuk dengan kerjaya dan keluarga. Melihat kawan-kawan bahagia dan berjaya dengan jalan kehidupan yang dilalui, membuat hati bersyukur dan berharap persahabatan akan kekal langsung hingga ke akhirnya.

Antara perkara yang menyatukan kita dengan kawan-kawan adalah minat. Kebetulan, minat kebanyakan kami yang berkumpul adalah seni beladiri. Secara amnya, kawan dan kawan-kawan lain terdiri daripada peminat dan pengamal silat, buah pukul, boxing, mma, muay thai, taekwando, karate, dan lain-lain yang tak reti kawan menyebutnya.

Timbul persoalan pada kami, seni beladiri apakah yang terbaik wujud di muka bumi?

Taekwando sangat maju dengan kajian saintifik. Karate sangat hebat dalam himpunan falsafah dan rejim latihan. Boxing merupakan sukan combat paling pantas 'pacing'nya dan seronok ditonton, terutama menonton infighter bertemu infighter. Muay thai, dikatakan 'stand up fight' terulung. MMA merupakan sukan combat paling pantas berkembang dan berevolusi. Silat, seni beladiri paling banyak variasi dan buah pukul masih lagi diperbahaskan samada berdiri sendiri atau merupakan cabang persilatan.

Masing-masing berhujah dengan pengalaman dan pengamatan. Ada antara kami merupakan atlet sukan kombat, maka keberhasilan teknik dan taktik turut dibangkitkan. Ada juga yang biasa menggunakan seni beladiri di jalanan, maka taktikal kesukanan dilanggar langsung, kerana jalanan adalah 'real' dan tiada undang-undang betul salah.

Maka, apakah seni beladiri terbaik?

Pusing-pusing, kesimpulan yang kami perolehi ialah, seni beladiri terbaik adalah aliran yang dilatih dengan penuh komited dan kecintaan. Spesifiknya, mana yang terbaik? Yang terbaik adalah aliran yang kita yakini untuk diandalkan.

Banding-membanding tidak akan membawa kita kepada yang terbaik. Ibarat membandingkan Dato' Lee Chong Wei dengan Dato' Nicole Ann David. Siapakah yang terbaik antara mereka? Masing-masing nombor 1 dunia dalam lapangan mereka. Maka, mereka adalah yang terbaik untuk apa yang mereka bidangi.

Sehandal-handal atlet MMA, cuba masukkan mereka ke medan taekwando, undang-undang taekwando. Pasti menarik ceritanya. Sehandal-handal Manny Pacquiao, juara dunia WBO welterwheight, lagakan dengan atlet silat olahraga universiti di gelanggang silat olahraga, lain jadinya.

Kehebatan hanya akan tertonjol apabila diletak pada tempatnya.

Yang penting, berlatih, fahami sejarah, falsafah dan latihan dalam perguruan yang dipelajari. Cintainya dengan sepenuh hati. Itulah seni beladiri terbaik yang dimiliki.

Dan kawan tak malu mengaku, LIAN PADUKAN lah yang terbaik. Untuk kawan dan lain-lain pelatih Lian Padukan.