Saturday 19 November 2016

KONSEP

Baru-baru ini, setelah sekian lama tak bukak emel, kawan jengah jugaklah emel titikperisai@gmail.com. Rupanya ada 1 emel dari seorang pengirim yang bertanyakan tentang statement kawan dalam entry yang lepas-lepas, tentang Lian Padukan sebagai sebuah 'concept based martial art'.

Makna konsep kalau kita merujuk laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu ialah 'pengertian am atau idea yang mendasari sesuatu'. Secara umumnya, konsep dalam Lian Padukan adalah asas kefahaman yang membentuk apa yang ada dalam Lian Padukan.

Mengapa kawan mengatakan Lian Padukan adalah seni beladiri yang berasaskan konsep?

Pertama, tunjang Lian Padukan adalah berdasarkan 'kefahaman'. Setiap perbuatan dalam pelajaran Lian Padukan sentiasa ditekankan supaya 'difahami', bukan 'dihafal' semata-mata. Atas dasar itulah, sedari Jurus 1 lagi, penuntut baru akan diasuh dan diasah memahami setiap inci perbuatan titik-perisai-tumbuk. Jurus 1 adalah terpenting untuk dikuasai kerana ia adalah pintu memahami konsep-konsep dia dalam Lian Padukan.

Hebatnya pendiri buah pukul terdahulu, terutama Lian Padukan, konsep-konsep ini tersembunyi dalam madah pujangga. Maka, ahli-ahli tak lekang mendengar istilah 'hendaklah mendulu, jangan menunggu, bertalu-talu, tak tualu', 'enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas', 'buah dagang yatim piatu, sambut 2 tanti 1', dan banyak lagi. Konsep-konsep ini kalau diistilahkan boleh juga sebagai 'petua'.

Jurus, Buah, Lian yang disusun dan diseragamkan dalam pelajaran Lian Padukan tak lain adalah untuk mengisi konsep-konsep tersebut ke dalam jiwa raga penuntut Lian Padukan. Ia adalah jalan latihan, kerana latihan wajiblah berstruktur. Latihan tanpa struktur, olahan atau perancangan tidak akan membawa kita memahami konsep Lian Padukan, atau seni beladiri secara umumnya. Bermain gym angkat berat siang malam takkan menjadikan kita pendekar, atau paling tidak, tidak menjadikan penumbuk kita sampai mencecah ke muka lawan.

Kalau diizinkan kawan memerihalkan suatu petua atau konsep, kita ambil contoh 'bertalu-talu' dari salah satu madah di atas. Fungsi bertalu-talu adalah untuk mengisi ruang yang kosong antara kita dan lawan kita. Dalam situasi pertarungan atau pergaduhan, sela masa yang terbazir ketika kita 'tualu' memungkinkan musuh kembali menguasai kita. Atas sebab itu, pukulan kita hendaklah bertalu-talu, dan di dalam bertalu-talu itu masih ada petua yang boleh menyusul seperti 'mengarahkan musuh'. Sekadar contoh.

Maka, kalau kita lihat secara umum, asal Lian Padukan ini adalah tiada bentuk (belum dipelajari) hingga berbentuk (dipelajari dan dihayati) kemudian kembali tiada bentuk (terasimilasi menjadi kefahaman kendiri). Semuanya daripada kefahaman konsep-konsep atau idea asas yang terdapat dalam Lian Padukan.

Kawan berharap sangat, pengetahuan tentang konsep-konsep ini dikekalkan, agar keaslian dan kelainan Lian Padukan dapat dipertahankan. Alhamdulillah, keaktifan Lian Padukan dalam acara sukan tarung bebas memungkinkan konsep-konsep ini disebarluaskan penghayatannya. Namun beringatlah, kemenjadian penuntut Lian Padukan juga mahu kita jadikan keutamaan.

Kemenjadian dari segi integriti, akhlak, kerohanian dan kenegaraan. Konsep-konsep dalam Lian Padukan kalau kita fahami, bukan hanya teraplikasi dalam sesi bertumbuk semata-mata, malah boleh juga dihidupkan dalam kehidupan seharian.

'Hendaklah mendulu' dalam membuat kebajikan. 'Hendaklah mendulu' awal bersubuh-subuhan. 'Jangan menunggu' sahaja hidayah tiba ke riba, menunggu seru membuat kebajikan dunia akhirat. Kita yang memaksa jasad kita 'mendulu' memburu ilmu. 'Bertalu-talu' bermaksud tidak putus, yakni istiqamah. 'Bertalu-talu'lah membuat amal, 'jangan tualu' yakni putus asa pada amal yang dijalankan.

Sekadar itu dahulu. Wassalam.


No comments:

Post a Comment