Monday 3 October 2016

KHATAM ISTIADAT 2016

Alhamdulillah, pada 2 Oktober 2016 lepas, malamnya bersamaan 1 Muharam 1438, telah berlangsung Majlis Khatam Istiadat Lian Padukan 2016 yang dinanti-nantikan setelah kali terakhir dilangsungkan pada tahun 2012.

Berlangsungnya majlis khatam ini tidak lain adalah bukti Lian Padukan masih cemerlang bergerak dan aktif bergelanggang, malah semakin maju ke hadapan. 18 ahli terpilih dari gelanggang seluruh Malaysia telah menjalani beberapa ujian untuk disahkan menamat silibus pelajaran yang terkandung dalam perguruan Lian Padukan.

Kawan pernah tuliskan perihal khatam ni di sini pada tahun lepas, jadi tak laratlah kawan nak mengulang tulis (perasan sibuk). Apa pun, diharap ahli-ahli khatam yang baru sedar tanggungjawab yang digalas selepas khatam. Setiap ahli khatam secara rasminya adalah pemegang standard kualiti Lian Padukan.

Tertib, tingkah laku, adab, perangai perlulah melambangkan 'pakaian' seorang bergelar 'cikgu'. Ya, anda sudah tergolong di kalangan 'jurulatih', kalau bukan 'guru', bagi permainan Lian Padukan. Maka, hendaklah berakhlak yang sewajarnya, sebagai pakaian para 'pendekar Melayu'.

Perkukuhkan lagi asas beragama. Fahami sedalam-dalamnya bab aqidah, akhlaq dan fiqah. Jangan ada retak renggang antara ketiga-tiga asas Fardhu Ain ini, sesuai dengan ajaran Ahlussunnah wal Jamaah yang sudah disepakati para mufti dan ulama muktabar di negara kita, yang sanad mereka sambung-menyambung hingga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. 

Latihan, jangan ditinggalkan. Malah wajib dipertingkatkan. Untuk menjaga kualiti permainan, tidak ada cara lain melainkan berlatih, berlatih dan berlatih. Selepas khatam, melalui latihan berterusan, pencerahan demi pencerahan akan semakin singgah kepada kita, untuk memahami setiap perlakuan yang kita latihkan melalui Jurus dan Lian. Lian yang kita pandang sebelum khatam, akan 'dirasakan' berlainan selepas khatam. Nampak sama pada perbuatan, tapi....... adalah yang lainnya. 

Tahniah kawan ucapkan. Sama-sama kita doakan Lian Padukan akan kembali ke mercu kejayaan yang lebih tinggi. 

No comments:

Post a Comment