Sunday 25 September 2016

MAKNA KEMENANGAN - TAHNIAH SARJAN!

Alhamdulillah, dalam kejohanan Free-style Full Contact Fight Championship (F3) yang berlangsung pada 25 September 2016, wakil Lian Padukan Gelanggang Induk Johor yang lebih dikenali dengan nama 'Sarjan' Huzarmy berjaya dalam penampilan sulungnya di pentas sukan tempur.

Apa pun, tahniah diucapkan kepada semua peserta yang terlibat dalam kejohanan tersebut yang melibatkan pelbagai format, antaranya MMA dan Muay Thai. Yang menang, teruskan usaha untuk mengekalkan kecemerlangan. Yang kalah, anda hanya kalah di atas kertas dan pentas. Hakikatnya, anda sudahpun juara sebaik menjejakkan kaki ke medan sukan tempur tersebut.

Tahniah juga kepada Ayahanda Haji Hasyim dan rakan-rakan pelatih yang bertungkus-lumus berkorban masa, tenaga, belanja dan tak putus melontarkan sokongan padu. Ya, sokongan. Tanpa sokongan, mana-mana atlet takkan cemerlang di medan. Tanpa sokongan penyokong, JDT juga tidak akan ke mana. "Bateri" kepada kekuatan seseorang atlet adalah 'sokongan'.

Sekadar ingatan buat diri kawan dan kawan-kawan yang lain. Kemenangan adalah sebuah tanggungjawab. Kemenangan juga adalah suatu rezeki yang Allah kurniakan. Maka, apabila dikatakan 'rezeki', ia bukanlah sesuatu untuk dimegah-megahkan, melainkan ia adalah sesuatu untuk disyukuri dan dikongsi.

Dikongsi? Kita maklum kemenangan adalah untuk disyukuri. Bagaimana untuk dikongsi? Dikongsi dengan cara terus bersahabat dengan lawan di medan laga. Tanpa lawan tersebut yang kalah, kita takkan jadi pemenang. Hadiah utama hasil pertarungan adalah sebuah ukhwah yang terjalin. Pelik sebenarnya atlet tempur ni. Bertumbuk berterajang bergumpal di medan laga, hujungnya boleh berpeluk dan lepak minum bersama. Ukhwah terjalin.

Kemenangan juga dikongsi dengan cara berterima kasih kepada setiap insan yang terlibat sepanjang kita mencipta kemenangan. Keluarga, sahabat handai, guru, jurulatih, dan sesiapa sahaja. Perkataan 'terima kasih' itu sendiri cukup besar maknanya, sekalipun mudah dituturkan.

Kongsikan juga tips kemenangan dengan rakan gelanggang. Tidak itu sahaja, tanyakan juga rakan penonton apa yang kurang dalam persembahan kita. Ya, sekalipun menang, tetap ada kekurangan di mana-mana, sebab kita manusia. Kalau kita kurang dari segi 'form' tubuh badan melancarkan serangan, perbaiki yang itu. Jangan segan bertanya. Orang tua-tua lama sudah berpesan, 'malu bertanya sesat jalan'.

Memperolehi kemenangan hakikatnya lebih mudah dari mengekalkan kemenangan. Apabila kita bertempur di medan laga, dan menang, sebenarnya kita sudahpun diperhatikan banyak mata. Mata yang menganalisis kelebihan kekurangan kita. Jika kita leka dengan kemenangan, 'mata-mata' tersebut pulun berlatih untuk mengupayakan diri menjatuhkan kita di kemudian hari. Maka, pertajamkan lagi senjata (kekuatan) yang kita sedia ada, dan tambah lagi sebagai bekalan. Melihat video 'Sarjan' menang dalam tempoh kurang 1-2 minit dalam pusingan pertama sahaja, ada sesuatu yang perlu diberi perhatian serius, terutama jika beliau berpeluang bertarung lagi di kemudian hari bertemu dengan lawan yang lebih berpengalaman. Ada 'sesuatu' dari perlawanan tersebut yang boleh menjadi bekal buat bakal lawan kelak. Namun, kita percaya beliau akan cepat 'discover' kekurangan tersebut melalui latihan demi latihan.

Memaknakan kemenangan adalah melalui latihan yang istiqamah lagi berterusan. Latihan yang berterusan akhirnya akan membentuk jati diri seorang insan yang tawaduk dan sentiasa bergantung harap kepada Allah subhanahu wa taala.

Tahniah Lian Padukan!




No comments:

Post a Comment