Saturday 27 August 2016

MERDEKA

Alhamdulillah....

Kita berada di ambang sambutan kemerdekaan, hanya beberapa hari sahaja lagi.

Semoga Allah subhanahu wa taala mengurniakan kita keamanan yang berpanjangan dan berterusan lagi berkekalan, buat kita wariskan kepada generasi selepas kita, sesudah kita menerima amanah 'Bahtera Merdeka' daripada nenek moyang kita yang berpenat berpayah berdarah bergadai segala yang mereka ada, hatta nyawa, demi memastikan kemerdekaan dapat dikecapi kita generasi anak cucu.

Perbanyakkanlah doa dan tahlil buat para pejuang terdahulu. Al- Fatihah...

Kadang-kadang kita lupa nikmat kemerdekaan, kerana kita lahir-lahir terus jatuh atas tilam empuk, atas harta menggunung, atas segala macam kesenangan duniawi. Ibarat semut jatuh atas timbunan gula, lama-lama lupa akan hakikat susah payah yang dilalui demi mengangkut seketul gula ke koloninya. 

Atas sebab itu, didiklah diri, didiklah anak-anak bini, didiklah masyarakat terdekat akan pentingnya mengekalkan kemerdekaan. Bersyukurlah kita masih boleh ke surau masjid tanpa risau, masih boleh menyanyikan lagu Negaraku dengan bebas, masih boleh melihat kibaran Jalur Gemilang gah menghias angkasa. Bayangkan, andai kata Jalur Gemilang tiba-tiba ditukar warna dan rupa kepada negara yang menjajah kita, sudah pasti kita kembali bermimpi ngeri, sengeri nenek moyang kita yang terpaksa menyanyikan lagu penjajah Jepun suatu ketika dahulu.

Sembang-sembang tentang merdeka, baru-baru ini kawan ditanya oleh sahabat handai kedai kopi, apa maksud Merdeka? Amboih, ilmiah bebenor bunyinya sembang kedai kopi kami ni. Haha. Biasalah, benda mengarut tetap ada, tapi tanggungjawab sosial kepada negara tetap kena jaga. Masing-masing kami memberi tafsiran tersendiri tentang erti Merdeka yang dikecapi. Sampai giliran kawan, kawan senaraikan beberapa ikut gorengan suka hati kawan. Antara definisi Merdeka ikut suka hati kawan ialah:

1. Bebas berusaha meningkatkan diri sendiri tanpa sekatan ideologi yang membingkai perkembangan.

2. Bebas diri dan keluarga mengamalkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bermanhaj As-Syairah wal Maturidiyah serta berfiqah mazhab As-Syafie seperti yang diyakini ulama-ulama nusantara yang tak putus mata rantai hubungan dari Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam hingga kini tanpa gangguan fikrah sesat puak pelampau yang ideologinya membawa kepada penubuhan ISIS Daesh. Nauzubillah...

3. Bebas mengamalkan kehidupan bermasyarakat harmoni dari menjumudkan diri dengan ikatan rasis keterlaluan. 

4. Bebas berlatih beladiri terutama Lian Padukan sebagai senaman dan persediaan untuk agama, bangsa dan negara tanpa pandangan jumud sesetengah pihak yang penuh prejudis.

5. Bebas mengekalkan kemerdekaan sedia ada, dengan mengabdikan diri berkhidmat untuk masyarakat tanpa membenarkan anasir negatif kembali menjajah tanah air, mahupun minda generasi kini.

6. Dan lain-lain.

Apa pula tafsiran MERDEKA kepada anda?








No comments:

Post a Comment