Monday 28 November 2016

KONSEP 2

Dalam tahun ini juga, tersebar di media sosial tentang suatu artikel yang memerihalkan lebih kurangnya 'silat tak boleh pakai dalam real fight'. Kemudian timbullah pelbagai andaian dan sangka-sangka bagi menjawab tuduhan tersebut.

Antara ayat yang kawan ingat dari tulisan tersebut lebih kurang bunyinya 'belajar silat bertahun, bila gaduh koboi juga yang keluar'.

Maka, kawan kira kefahaman tentang konsep perlulah diberi penekanan, dan secara peribadi pada kawan, Lian Padukan dan konsep-konsepnya memberi jawapan yang sangat baik untuk tuduhan tersebut.

Seperti yang kawan nyatakan dalam entri lepas, tunjang utama Lian Padukan adalah kefahaman dalam melakukan setiap inci pergerakan yang termaktub dalam silibusnya. Habis tu, kalau harap ke faham, apa guna kita menghafal lian yang 16 tu?

Kawan pernah hurai dalam entri yang dolu-dolu berkenaan maksud dan tujuan Lian ikut faham kawan, silakanlah digali kalau mahu tahu lagi. Namun seperti yang kawan sebutkan dalam entri sebelum ini, latihan hendaklah terancang lagi berstruktur bagi memastikan kita mencapai kefahaman yang kita perlukan. Maka, Lian-lian dicipta selaku suatu bentuk olahan latihan yang berstruktur dan terancang, di samping menjadi khazanah yang menyimpan konsep-konsep buah pukul.

Kita lihat sendiri perbuatan-perbuatan dalam Lian 1, iaitu lian Selak Panjang. Kenapa kena sisip? Kenapa kena gelek? Bagaiman nak gelek? Macam mana nak melangkah masuk balik? Ini soalan-soalan yang kalaupun tak dijawab oleh ahli baru, akan dihuraikan oleh para jurulatih. Bila dah faham, walau tak dihafal pun perbuatan lian itu tetap akan melekat dalam memori kita.

Latihan demi latihan, akan menjadikan konsep-konsep itu ikut sebati dalam 'muscle memory' kita. Maka, janganlah juga kita memandang enteng pada bunga silat, yang kalau kita fahami sebenarnya fungsinya lebih kurang sama dengan lian yang kita mainkan. Menyimpan khazanah konsep persilatan. Cuma yang lainnya mungkin pendedahan tentang fungsi atau olahan bunga silat dalam pertarungan kurang didedahkan, berdasarkan pengalaman kendiri kawan. Namun dewasa ini, ada gerakan atau persatuan atau orang perseorangan yang kembali menaikkan warisan bunga silat sebagai rahsia tempur sebenar orang Melayu kepada khalayak. Pujian patut kita kalungkan kepada mereka, kerana meneruskan wasilah persilatan.

Atas dasar itu, bila berlaku pertarungan sebenar, tidak akan berlaku seperti yang dipaparkan di wayang-wayang. Yang ada hanyalah bersilih ganti bertukar penumbuk dan penendang, hingga ada sebelah pihak yang kecundang. Rupa Lian 1 akan tidak berupa kerana tuntutan masa untuk menghabiskan pergaduhan secepat mungkin. Namun konsep-konsepnya tidaklah tertinggal, tetap ada 'mendulu bertalu', 'tak bermalam', tetap ada geleknya, tetap ada sisipnya. Ikut mana yang sempat nak cecah ke lawan dahulu.

Dari sini perlulah kita fahami juga konsep 'Hendak mengena, tak nak kena'. Buatlah apa cara sekalipun, asalkan pukulan kita mengena ke batang tubuh lawan, dan usahakan agar badan kita tak diasak pukulan atau kuncian lawan. 'Haram sentuh'.

Dengan memahami konsep-konsep ini juga, kita boleh menyanggah pendapat mendiang Bruce Lee yang mengatakan 'kata', 'pattern' dan sebagainya,( atau kalau dia tahu tentang buah pukul di Tanah Melayu, dia akan sebut 'Lian')bersifat 'crystalized', iaitu rigid, baku lagi kaku yang tidak membuka ruang pengamal beladiri mengembangkan potensi diri. Ini berdasarkan pengalamannya ber'Wing Chun'. Apa pun, tentang itu sudah banyak autoriti dalam bidang senibeladiri menjawabnya.

Apa pun, fahamilah konsep utama seni beladiri. Kalau anda tidak menemui kemajuan dalam aliran yang anda ceburi, cuba buat kajian sendiri tentang kemungkinan jawapan dan aplikasi bagi setiap pergerakan yang anda disuruh hafalkan. Mungkin ketika itu belum waktunya untuk anda faham, kata gurulatih anda. Buatlah, kerana kesabaran juga merupakan suatu konsep yang mendidik peningkatan jatidiri kita.

Namun kalau anda terfikir untuk menceburi Lian Padukan, jangan risau. Seawal pelajaran lagi anda akan difahamkan tentang maksud, aplikasi dan keperluan setiap pergerakan.

Kerana 'kefahaman' adalah tunjang utama berLian Padukan.








No comments:

Post a Comment