Saturday 14 November 2015

COMBAT SPORT : SALAHKAH MENYERTAINYA?

Isu lepas, tulisan kawan berbaur mem'backing' mereka yang tidak menyertai 'combat sport'. Tulisan kali ini, kawan mahu menjurus ke arah kebaikan menyertai sukan tempur dengan menimbulkan persoalan, 

SALAHKAH MENYERTAI SUKAN TEMPUR?

Sangat selalu juga kedengaran, para pendukung senibeladiri tradisi mencemuh keberadaan sukan tempur. Di awal kewujudan silat olahraga dahulu, kawan pernah mendengar kalangan senior menceritakan perihal perjuangan Allahyarham Pendita Anuar Wahab, tunjang utama Seni Gayung Fatani Malaysia dalam menjadikan sukan tempur silat yang diwujudkan diterima umum.

Selain ramai yang menerimanya, ada juga yang menolak dengan alasan silat olahraga tidak menonjolkan silat dalam erti kata sebenar. Tumbukan tendangan yang ditonjolkan tidaklah berbeza dari seni aliran Jepun atau Korea. Bunga silat di awal perlagaan hanyalah sekadar syarat sahaja. Serangan yang dilancarkan sekadar menghadirkan markah, tidak dengan kekuatan sebenar.

Dan macam-macam lagi.

Ada juga yang beranggapan, kehebatan di atas ring tidak menonjolkan kehebatan sebenar. Ya, kawan juga berpendapat yang sama. Medan sukan tempur masih ada undang-undang boleh tak boleh, sedangkan di luar semuanya asal boleh.

Walaupun kawan bersetuju yang kehebatan sebenar tidaklah boleh sekadar bergantung kepada penglibatan dalam sukan tempur, kawan juga bersetuju bahawa potensi diri paling banyak ditonjolkan melalui gelanggang tempur. 

Sungguhpun kita adalah pendukung aliran tradisi, tak salah kita mencapahkan pandangan kita ke suatu sudut yang lain, dari padangan mata burung, bukan dari dalam tempurung.

Melalui sukan tempur, diri kita dan potensi kita diuji secara sah oleh pakar-pakar atau autoriti yang terlibat dalam sesuatu kejohanan. Kita juga tahu tahap diri kita jika dibandingkan dengan lawan kita. Kalah kita bermakna lebihnya latihan yang dilalui oleh lawan kita. Kita tidak berlaga atas nama aliran yang disertai, tetapi kita membawa kemampuan diri kita sendiri ke atas ring. Dalam MIMMA sendiri, terdapat atlet yang hanya mempelajari teknik-teknik MMA melalui Youtube sahaja tanpa menyertai mana-mana persatuan senibeladiri berdaftar, tetapi mampu mendominasi kelas beratnya.

Ia tetap berbalik kepada diri kita sendiri. Latihan.

Sukan tempur menguji stamina, ketahanan diri, skil, kemahiran berfikir pantas, teknikal dan taktikal, olahan strategi, kebolehan mengawal keadaan, kecepatan bertindakbalas, motivasi diri, dan lain-lain.

Kawan mulakan dengan stamina kerana stamina adalah halangan utama bagi kebanyakan atlet, terutama yang baru berjinak-jinak dengan sukan tempur. Maka, lihat sahajalah disiplin yang diterapkan oleh atlet sukan tempur. Corak pemakanan, jadual latihan yang ketat, kepatuhan kepada jurulatih, dan lain-lain.

Dan disiplin yang diterapkan oleh atlet sukan tempur tervisualisasi pada fizikal mereka. Lihat sahajalah fizikal kebanyakan atlet sukan tempur yang layak dicemburui. Maaf cakap, yang 'keyboard warrior' yang menolak kewujudan sukan tempur ni pun, fizikal ke laut. Jangankan nak bertempur, naik tangga bangunan 2 tingkat pun mencungap dah. Termasuklah diri kawan yang menaip ni. 'Keyboard Warrior' jugak kawan ni rupanya. Haha. Itu pun nak beralasan, kalau bergaduh betul-betul masa bertumbuk tak sampai seminit dua pun. Mudahnya bercakap...

Kawan juga berpendapat, kesenian pada senibeladiri tidak pun hilang dalam gelanggang tempur. Contohnya, 'bunga' tangan atau 'lela sembah' yang dikatakan tidak relevan di atas pertempuran sebenar.

Kalau kita mengatakan 'bunga silat' atau 'silat pulut'  itu tidak relevan untuk tempur sebenar, tidakkah dalam masa sama kita menidakkan juga Jurus dan Lian yang kita amalkan dalam buah pukul, atau Pecah, Golongan, Belebat, Jurus dalam Silat, Sil Lum Tao dalam Wing Chun, Kata dalam Karate dan Poomsae dalam Taekwondo dan drill and combination dalam Boxing?

Kawan peminat Lyoto Machida, orang lama dalam UFC. Kawan sangat suka akan pendekatan beliau yang 'mempadukan' aliran karate tradisi bawaan keluarganya ke dalam MMA. Banyak dilihat beliau mengaplikasikan 'kihon' yang terselit dalam Kata ketika menumbangkan lawannya. Lihat sahaja Kata application beliau dalam banyak video di Youtube.

Jauh sangat? Kita lihat yang terdekat. Ruzaidi Rahman atau lebih dikenali sebagai Wak Didi, atau Abang Moin Tanah Kubur. Arwah dah dia dalam cerita tu... Beliau tegas mengatakan silat olahraga adalah silat sebenar, dan aplikasi teknik dalam silat olahraga terdapat dalam silat Melayu. Kalau dengar cerita latihan beliau ketika bersilat olahraga dahulu, dari mendengar cerita sahaja kita dah tewas mental.

Dan sudah semestinya, antara kebaikan sukan tempur adalah silaturahim yang terjalin. Tanpa sukan tempur, cabar mencabar antara aliran kerap berlaku untuk menaikkan nama perguruan, yang kadang-kala secara tak langsung menjatuhkan maruah bangsa sendiri. Nah, gelanggang sukan tempur tersedia untuk kita buktikan kemampuan diri, tanpa bersandar kepada sejarah pendukung aliran yang kita banggakan.

Lama dah kita terlalu bergantung harap kepada kehebatan nama Syed Abdul Rahman Yunan, Dato Awang Daik, Pak Long Mat Yassin dan penerus warisan buah pukul yang lain.

Bila lagi nak melakar sejarah sendiri?

Kesimpulannya : Sukan tempur adalah medan menguji potensi diri. Menghayati intipati aliran yang dipelajari adalah permulaan mencari kehebatan diri. Kehebatan diri hanya terwujud apabila kita mengakui kelemahan diri kita sendiri dalam sujud menghadap Ilahi.


No comments:

Post a Comment