Sunday 28 September 2014

MEMAHAMI LIAN 7.0 : MENGAPA PERLU MEMAHIRI LIAN?

Sambungan tulisan semalam.

Sekali lagi, untuk lebih mesra dibaca, kawan tulis dalam bentuk point.

1. Gerakan-gerakan dalam seni beladiri adalah gerakan yang bukan norma kehidupan kita. Ada yang mengatakan pergerakan aliran mereka dirumus berdasarkan gerakan semulajadi manusia. Terpulang. Tapi kalau tanya kawan, tidak. Cuba bagitau kawan, siapa di sini yang berjalan dalam keadaan bergelek saban waktu? Ada tak orang yang berjalan sentiasa dalam keadaan menendang ke hadapan, tangan menepis-nepis angin dan lain-lain? Tidak, bukan.

2. Oleh kerana seni beladiri bukanlah pergerakan norma manusia seharian, maka gerakan-gerakan itu perlulah dilatih selalu supaya sebati dengan diri. Perlu diingat, tujuan seni beladiri adalah untuk mengasah diri bertindak mengikut situasi. Pelajaran-pelajaran fizikal Lian Padukan khusus untuk tempur. Melalui lian, gerakan-gerakan yang khusus untuk bertumbuk dilatih supaya sebati dan sedia digunapakai.

3. Melalui lian, kita melatih bahagian-bahagian atau otot-otot badan yang terlindung dari berfungsi dengan kerap. Contohnya, perbuatan gelek. Sungguhpun dalam kehidupan seharian, core section iaitu kawasan abdomen dan pinggang adalah antara otot terbesar digunakan, namun tidaklah banyak melakukan rotation seperti gelek. Maka, melalui lianlah, otot tersebut dilatih dan dihidupkan fungsinya.

4. Sungguhpun pergerakan dalam Lian Padukan bukanlah pergerakan kebiasaan dalam pekerjaan seharian, namun setiap pelajaran dan pergerakan yang disetkan adalah diminimakan bagi menghampiri pergerakan seharian. Oleh itu, pengamal akan merasa neutral apabila melakukan gerakan-gerakan tersebut. Sebagai contoh, keluasan tapak dan langkah. Apabila melakukan jurus dan melangkah, keluasan tapak adalah sesedap rasa, namun stabil. Tidaklah terlalu rendah. Ini adalah untuk memudahkan gerakan dalam silibus mudah diaplikasikan dalam tempur sebenar. Begitu juga badan, sentiasa berhadapan musuh agar kekuatan kelapan-lapan senjata dapat dimaksimumkan penggunaannya.

5. Lian, selain rangkuman pergerakan anggota senjata lapan yang bergerak atas landasan gayang lima, juga adalah himpunan konsep-konsep yang menjadikan pukulan kita sampai kepada lawan. Kawan setuju dengan pendapat seorang sahabat yang mengatakan bahawa buah pukul sebenarnya adalah 'concept based martial art', bukanlah suatu 'style based martial art'. Maksudnya, yang terlebih penting untuk dihayati dalam buah pukul ini adalah konsep-konsep atau petua-petua pukul, syarat pukul, rukun pukul, kata-kata hikmah dan lain-lain. Perbezaan bentuk lian, silibus dan lain-lain hanyalah perbezaan 'style' yang taklah perlu diperbesarkan, cukup sekadar diraikan. Ini kerana, ketika  betul-betul bertumbuk, segala 'style' akan ditenggelami oleh 'concept', seperti buah pukul, 'bertalu-talu' dan 'tidak bermalam' yang akan kelihatan diandalkan.

6. Kawan teringat pula tentang mendiang Bruce Lee. Ketika mengasaskan 'Jeet Kune Do', perkara yang paling merisaukan beliau adalah orang akan mengatakan beladiri yang diasaskannya itu adalah 'style' kepada 'Jeet Kune Do' itu sendiri, seperti kaki yang rajin 'shuffle', jeritan 'wooooo' ketika bersedia dan lain-lain. Baginya, JKD adalah 'style with no style', iaitu beladiri tanpa pattern tertentu yang rigid, hanya kebebasan pelatih mengekspresikan gerak tersendiri melalui konsep 'the way of intercepting fist'.

7. Begitu halnya yang menjadi dilema silat pulut. Silat pulut sebenarnya lebih dari apa yang kita lihat. Bunga sembah atau lela sembah yang dilatih itu sebenarnya adalah persediaan menjadikan seorang biasa kepada seorang yang menuntut jalan pendekar. Pergerakan silat pulut iu sendiri bermotif melatih anggota badan meliuk berdasarkan pergerakan bertumbuk. Namun, orang kebanyakan macam kita ni hanya melihat luarannya, sedangkan seni sebenarnya terkandung buah-buah berbisa.

8. Maka kita orang Lian Padukan, latihlah apa yang kita pelajari. Aliran terbaik sebenarnya adalah aliran yang kita latihkan dan kita pelajari.

Saturday 27 September 2014

MEMAHAMI LIAN 6.0 : MENGAPA PERLU MELATIH LIAN?

"Tak payah lian-lian ni. Masuk ukur, pukul je terus."

"Bagi aku, jurus dah cukup dah untuk bekal kat luar. Tak payah lian-lian semua ni."

Dan lain-lain lagi.

Biasa dengar bukan, ayat-ayat di atas? Ayat-ayat di atas juga sama justifikasinya pada ayat-ayat yang menolak 'bunga' atau 'lela' dalam persilatan, seperti "buat apa nak bunga-bunga semua tu. Masa bertumbuk, mana ada masa nak berbunga-bunga."

Well, bagi fighter, mungkin mereka ada alasan tersendiri menggubah ayat-ayat sedemikina, lebih-lebih lagi mereka yang biasa di lapangan pergaduhan. Namun, bagi kita yang melalui jalan 'way of Padukan' iaitu jalan kependekaran berlandaskan Lian Padukan, setiap sesuatu itu sudah pasti ada sebab dan akibat tersendiri, seperti mana lian-lian yang dirangka oleh pendiri buah pukul zaman berzaman sebelum kita.

Untuk lebih mesra dibaca, kawan rangkakan pendapat kawan tentang kepentingan melatih lian dan aplikasinya.

1. Seperti yang pernah direncanakan sebelum ini, lian adalah rangkuman pergerakan anggota senjata lapan dan gayang lima tubuh badan dalam keadaan menyerang dan menyerangbalas yang disetkan mengikut formasi tertentu. Ok, soalan. Perasan tak, kawan tulis 'menyerangbalas', bukan 'membela' atau 'pertahanan'. Agak-agak, kenapa?

2. Terdapat perbezaan dalam penyampaian pelajaran bagi setiap perguruan. Dalam Lian Padukan, seawal pelajaran jurus lagi, pelatih sudah didedahkan dan diperturunkan permainan 'buah', dengan harapan bahawa sedari hari awal menuntut lagi pelatih sudah dibekalkan dengan 'buah' sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

3. Namun, itulah yang kadangkala menjadi 'mental block' kepada pelatih untuk meneruskan latihan dan pengajian. Sekurang-kurangnya ada 2 situasi yang menjadi 'mental block' kepada pelatih yang 'quit' awal sebelum ke peringkat lian. Pertama, tiada ketahanan fizikal bagi bertoleransi dengan kesakitan yang dirasa ketika dititik atau dipukul. Kedua, merasa cukup dengan 'buah-buah' yang diperolehi di peringkat jurus, malah sudahpun mencubanya di lapangan sayembara dan membuktikan keberkesanannya.

4. Hakikatnya, jurus adalah persediaan diri dalam memperkemas gerak fizikal sebelum mara ke peringkat lian. Memang benar, dengan jurus sahaja sudah cukup untuk menghadapi lawan yang 'lemas' dalam taluan pukulan bertali arus, namun lawan juga ada kelebihan yang tidak kita ketahui. Maka, lian perlu dalam usaha melapis 'counterattack' lawan. Jangan dilupa, jurus juga terkandung dalam lian.

5. Golongan minor yang quit ketika peringkat lian adalah mereka yang tidak mampu menghafal pola pergerakan lian. Sebenarnya, lian tidaklah perlu dihafal semberono. Yang penting, penghayatan dan kefahaman. Atas dasar itulah, di awal pelatih mempelajari sesuatu lian, pelatih sudah diperturunkan 'buah' yang terkandung dalam lian, sebagai 'eye opener' kepada pelatih. Setelah diberi pendedahan dan rasa buah lian tersebut, langkah lian pelatih diperkemaskan dan buah-buah silibus diajarkan, sebelum pelatih diuji dengan kefahaman sendiri berkenaan lian tersebut.

6. Lian dilatih secara individu atau berkumpulan. Kemudian, secara berpasangan, lian diaplikasikan. Lian tanpa aplikasi bolehlah diibaratkan seperti 'kotak tanpa isi'. Aplikasi atau 'buah' itu sendiri adalah inti kepada permainan lian itu sendiri, dan sudah pasti adanya inti yang lain lagi.

7. Maka, lian perlu dilatih dan kita sebagai warga buah pukul wajib bersahabat erat dengan lian. Betul, setiap aliran berlainan pembawakan lian. Namun, raikanlah sahaja perbezaan unik itu dengan hati terbuka dan saling kagum-mengagum.

8. Pokok pangkalnya, Lian wajib dilatih. Tanpa dilatih, beribu jenis lian sekalipun takkan ada ertinya. Dengan latihan, walaupun hanya satu lian sebagai bekalan, sudah cukup untuk dijadikan andalan.


Friday 19 September 2014

KAKI

Selamat Hari Lahir diucapkan kepada Ayahanda Haji Hasyim dan pelatih-pelatih yang meraikan hari lahir di bulan September. Hari ini kita bebicara tentang kaki.

Kaki merupakan anggota keempat dalam mengasah senjata lapan. Penggunaan kaki untuk menendang dihuraikan dalam Jurus 4, dan sebelumnya turut dilatih dalam pelampas-pelampas seperti 'squat kicking' yang menjadi antara senaman 'trademark' Lian Padukan, seperti yang dipaparkan dalam rancangan Human Weapon - Silat.

Seperti mana anggota senjata yang lain, kaki juga wajib dilatih dengan intensiti dan kuantiti yang sama. Ini kerana, kemahiran menendang sangatlah penting dalam pertempuran sebenar, dan juga sebagai jurus akhir yang mampu menyelamatkan diri jika keadaan memerlukan, iaitu 'langkah seribu'.

Seperti mana kebanyakkan silat Melayu yang lain, tendangan dalam Lian Padukan lebih berkisarkan kawasan pusat musuh ke bawah. Ini kerana kawasan tersebut lebih selamat untuk kaki melakukan 'kerja'nya. Bukanlah menafikan praktikaliti tendangan-tendangan tinggi, namun begitulah budaya latihan yang diterapkan dalam Lian Padukan. Dan tidak dinafikan, berlatih melakukan tendangan-tendangan tinggi juga memberi kelebihan kepada pelatih, kerana turut melatih fleksibiliti kaki, kepantasan dan ketajaman sasaran kaki. Perlu diingat, Haji Hasyim di waktu sihatnya mampu melakukan tendangan aras tinggi walaupun bertubuh agak tinggi dan besar, hasil pengajian tae kwan donya.

Antara perkara yang perlu dititikberatkan dalam melatih kaki ialah kekuatan, kepantasan, ketepatan dan fleksibiliti kaki. Kekuatan kaki boleh diasah melalui senaman-senaman seperti 'squat kicking', senaman beban, berbasikal, larian, laga keting, potong wajik, beg tubi dan lain-lain. Senaman-senaman itu juga membantu mengasah kepantasan kaki. Ketepatan sasaran boleh dilatih melalui focus pad, beg tubi dan sesi sparring. Fleksibiliti pula boleh dilatih melalui senaman regangan seperti 'split' yang kawan gagal di situ. Gagal-gagal pun, kena jugak latih, walaupun tak mampu buat 'full split', kerana fleksibiliti kaki sangat memperngaruhi kepantasan dan ketepatan sasaran. Kerap-kerap menendang tinggi melepasi kepala juga membantu orang-orang yang tak fleksible macam kita ni.

Semua latihan-latihan ini membantu meningkatkan stamina kita, selain sangat baik dalam membakar lemak dan pembinaan otot, memandangkan bahagian kaki mempunyai banyak otot-otot besar. Seperti yang kita ketahui dan alami, melatih kaki adalah lebih memenatkan berbanding tangan.

Tidak boleh tidak, peranan kaki sebagai paksi kita berpijak di bumi. Tanpa tapak yang kukuh, serangan atau pertahanan tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya. Dari hal kaki juga, terbit istilah 'kekuda', 'tapak' dan 'langkah'. Setiap istilah ini ada peranannya yang tersendiri. Apa pun, jangan pusing kepala. Sampai waktunya, terserlahlah ia. Lian Padukan pula pernah Ayah nyatakan dalam suatu temubual dengan rancangan TV, adalah suatu permainan yang 'berpijak di bumi yang nyata'. Dan jangan lupa, sebagai anak buah pikul, kita selalu dengar istilah 'berdiri', bukan?

Kaki juga mempunyai 'buah-buah' yang khusus seperti tendang tikam, sepak badik, terajang, lawi ayam, tendang simbur, potong wajik, potong kiat dan lain-lain lagi. Selain bermotif serangan dan pertahanan, ada juga buah-buah kaki yang bersifat 'kuncian'. Eh, kan Lian Padukan ni buah pukul. Mana ada kunci-kunci. Rilek, saudara. Ingat konsep 'tertakluk pada akal budi bicara'. Bab kuncian, kawan serahkan kepada Ayahanda Haji Hasyim yang huraikan. Kena cara mintak, dapatlah.

Landasan pergerakan kaki dalam menyerang dan bertahan juga tertakluk pada konsep 'gayang lima'. Juga antara petua yang kawan perolehi dari seorang guru silat yang sangat terkenal melalui ziarah hormat ialah 'tangan boleh buat kerja kaki, tapi kaki jangan buat kerja tangan'. Juga, seorang gurulatih Lian Padukan pernah mengungkapkan lebih kurangnya 'kita sibukkan atas, dia lupa yang bawah. Bila kita sibukkan yang bawah, dia lupa yang atas'. Kedua-dua petua ini menjurus pada kesepaduan anggota tangan dan kaki.

Dan sudah semestinya kata-kata yang selalu diungkap oleh Ayah, 'menumbuk dengan kaki, menendang dengan tangan'.