Sunday, 23 April 2023

INSYAALLAH, SAMPAI MASANYA NANTI...

 Alhamdulillah...

Allah Subhanahu Wa Taala masih menganugerahkan kawan kesempatan untuk mengarang di sini. Walaupun di sela masa yang agak panjang...

Lagipun, siapa je yang sudi baca tulisan kawan ni. Ni kan zaman Tik Tok. Baca-baca ni dah 'outdated'. Generasi sekarang nakkan sesuatu yang cepat dan tidak kompleks. Kalau bab bertumbuk tu, kalau boleh nak satu malam belajar cukup, dah khatam. Maka, Tik Tok, Reels, Shorts, merupakan suatu medan yang lebih mudah diterima.

Kadang-kadang kalau kita ulas sesuatu isu di media sosial panjang berjela pun, habis koman dibalasnya "panjang sangat tulis pun. Lukis boleh?"

Kawan masih lagi agak ortodoks dalam pencarian dan penyimpanan ilmu. Berguru masih perlu melalui bersemuka dan fizikal, namun tidak pula kawan menolak pembelajaran melalui online. Asalkan berguru, yakni ada pengiktirafan yang kita ni berguru, melalui pembayaran yuran, diskusi atau soal jawab atau pembetulan gerak gaya melalui hantaran rakaman. 

Namun bab 'mengikat' ilmu, kawan masih menggunakan medium 'menulis'. Rakaman melalui video ni kadang-kadang ibarat angin berlalu sahaja, tak dapat nak 'ditambat'  ingatan. Buku jugak yang best.

Sepanjang kawan menulis beberapa keluaran, kawan sedar sebenarnya ada juga tulisan kawan yang di'quote' oleh senior atau guru Lian Padukan, mahupun luar daripada perguruan Lian Padukan. Sebab ada antaranya terlalu 'copy paste' sangat, sampaikan font dan saiz tulisan pun tak diubah.

Kawan perlu ingatkan, tulisan kawan di sini adalah lahir dari kefahaman kawan sendiri melalui latihan dan tanya-tanya orang lama. Ada antaranya sulit untuk didedahkan, namun kawan permudahkan ayat supaya kawan faham. Sudah tentu kefahaman kawan akan berbeza dengan khalayak pembaca, kerana walaupun pelajaran dan pengalaman yang dilalui sama, penerimaan boleh jadi berbeza.

Maka kawan nasihatkan janganlah dijadikan tulisan kawan sebagai sumber primer untuk berhujah tentang Lian Padukan. Media sosial utama Lian Padukan boleh dirujuk melalui FB Persatuan Seni Silat Lian Padukan Malaysia yang lebih berautoriti, kerana bawah pemantauan langsung Guru Utama Lian Padukan, Ayahanda Haji Hasyim Salleh. Yang kawan tulis di sini, adalah rentetan kefahaman kawan yang mungkin menyimpang daripada penyampaian Guru Utama mahupun guru-guru senior yang lain.

Maka, kenapa diwujudkan blog ini?

Tidak lain, untuk memeriahkan sumber bacaan, walaupun bukan sumber rasmi. Bertambahnya sumber bacaan bermakna bertambah sumber pencetus pemikiran. Ya, Lian Padukan adalah seni untuk orang yang berfikir, walaupun kisahnya tentang bertumbuk, bertumbuk, bertumbuk. Orang yang berfikir pasti akan melihat lapik-lapik pelajaran yang disampaikan melalui ilmu bertumbuk tersebut.

Apa pun, insyaAllah, sampai masanya kawan akan isytihar juga siapa diri ini selaku penulis di sini, walaupun tak penting pun untuk diketahui. Tak lama dah pun, kawna nak jangkau usia 40an. Dan lebih dari sedekad dah kawan belajar Lian Padukan. Maka kawan rasa, kawan perlu lebih bertanggungjawab dengan hala tuju hasil tulisan kawan. Sekurang-kurangnya, pembaca tahu siapa hendak mereka hamburkan kemarahan jika tulisan kawan tidak bertepatan dengan kefahaman mereka.

Kawan juga sedar, ada jurulatih dan guru aktif Lian Padukan yang mengambil tulisan kawan di sini untuk dipos di media sosial peribadi mereka. Dengan rendah diri, kawan persilakan dan berdoa semoga ia memberi manfaat kepada pembaca. 

Dan kepada pengamal keluarga buah pukul Syed Abdul Rahman Al-Yunani yang lain, maaf jika kawan tidak ataupun jarang berkongsi tentang perguruan lain. Sudah tentu kawan tidak berani untuk menyentuh hal yang tidak kawan bidangi. Di sini, kawan berpada dengan Lian Padukan semata-mata, kerana hanya Lian Padukan sahaja kawan beroleh izin untuk bercerita dan berkongsi sekadar adanya, selaku 'keluarga'.

Salam Aidil Fitri buat semua. Semoga terus bersemangat awan dalam melegasikan Lian Padukan.

Sunday, 18 December 2022

PERLUKAH ELEMEN ‘GRAPPLING’ DIMASUKKAN KE DALAM SILIBUS LIAN PADUKAN?

Dalam era pertandingan diterima sebagai suatu indikator untuk menentukan keabsahan atau praktikaliti suatu seni beladiri, terdapat suatu tuntutan untuk memasukkan beberapa elemen yang sebelum ini agak asing dalam permainan buah pukul, iaitu elemen gusti, kuncian atau ‘grappling’. Tidak terkecuali, Lian Padukan.

Secara peribadi, sungguhpun kawan merupakan pengamal rasmi Lian Padukan yang bersifat progresif, namun kawan boleh dikategorikan sebagai pengamal ortodoks yang masih memegang kepada rukun dan petua yang terdapat dalam Lian Padukan, dan buah pukul secara tradisinya. Antaranya ialah ‘Berdiri Musuh’.

Permainan Lian Padukan tertegak atas prinsip tersebut, dan masih berpegang kepada saranan yang tercatat di nukil, iaitu ‘Ukur dan Jangka Hendaklah Dipelajari, Barulah Diketahui Syarat Berdiri’. Setiap silibus pelajaran Lian Padukan adalah berkisar kepada rukun yang ini, iaitu ‘Ukur’ dan ‘Jangka’, di mana kawan perhatikan bab inilah yang mengikat setiap aliran buah pukul yang berakar kepada Syed Abdul Rahman Al-Yunani, walaupun tafsirannya pelbagai mengikut penilaian guru pendiri masing-masing.

Lian Padukan juga secara aktif mempromosikan petua ‘mendulu’ yang dipelajari sedari Jurus 1 lagi di peringkat Pengenalan Senjata Lapan, di mana inilah ‘wajah’ Lian Padukan, apabila kita bercerita kepada orang baharu berkenaan Lian Padukan.

Selaku permainan ‘Buah Pukul’, setiap pelajaran dari Jurus 1 sehingga ke Lian Tapak 100 (khusus kepada pelatih yang sudah menjalani istiadat khatam, bukan yang ‘dah nak khatam’, kerana ada sumpahnya dengan Ayahanda Guru Utama), identiti buah pukul diterapkan dalam setiap terjemahan gerak dan lian. Hatta, perbuatan ‘simpan’ itu sendiri ada aplikasinya dalam buah pukul.

Namun, kehendak zaman, ada ahli yang beranggapan bahawa pelajaran Lian Padukan tidak lengkap tanpa adanya pelajaran banting-membanting, pergelutan di lantai, kunci-mengunci dan lain-lain yang dilihat relevan di pentas pertandingan. Malah, sudah terdengar ada yang mengatakan perbuatan titik-perisai-tumbuk tidak pun berfungsi di gelanggang tempur.

Selaku pelatih baru yang masih bertatih di kelas Lian Padukan, kawan selalu merasakan yang ‘ketidaklengkapan’ pelajaran Lian Padukan itulah yang menjadi keistimewaannya yang tersendiri.

Pertama, pelatih hendaklah memegang hakikat yang Lian Padukan adalah ‘buah pukul’, yang sudah pun berjasa sebelum adanya pentas pertandingan, di ‘pentas’ tanpa peraturan, yang menang kalah ditentukan dalam keadaan ‘berdiri’ dan lebih realiti.

Kedua, sekiranya terdapat pelatih yang mempertikaikan tentang pelajaran titik-perisai-tumbuk, rujuklah kepada guru gelanggang atau kelas masing-masing berkenaan petua ‘2 gerak 3 ruat’ yang diwajahkan oleh titik-perisai-tumbuk tersebut, yang membawa kepada petua ‘bertalu-talu’ yang mengiringi ‘mendulu’. Petua ini apabila kita regukan dengan kejadian atau sifat ‘air’, lihatlah bagaimana air akan sentiasa mengalir mencari hala melalui atau menembusi halangan.  Lian Padukan yang resminya ‘buah pukul’, juga mendasari petua ‘berguru kepada alam’ dengan unsur-unsur ‘api, angin, air dan tanah’.

Ketiga, sungguhpun Lian Padukan adalah pelajaran ‘buah pukul’, namun pengajiannya tidak menghalang pelatih meneroka khazanah persilatan atau beladiri yang terdapat dalam silibus Jurus dan Lian-liannya. Ayahanda Haji Hasyim sendiri kadang-kala menunjukkan aplikasi kuncian yang diolah daripada pelajaran Jurus dan Lian, selain dari persilatan atau beladiri lain yang pernah dipelajarinya. Kawan sendiri biasa melihat seorang guru khatam menggunakan aplikasi Lian Tapak 100 membanting pasangannya dalam suatu sparring bebas.

Keempat, ‘ketidaklengkapan’ Lian Padukan ini sebenarnya membuka ruang kepada pelatih untuk mempelajari seni tempur yang lain, jika mahu diasosiasikan dengan peraturan gelanggan tempur. Sudah ada pun guru khatam yang bersijil jurulatih sukan tempur Muay Thai, ada juga guru khatam yang mendalami seni Brazillian Jiu Jutsu, dan ada juga guru khatam yang masih menggali khazanah persilatan yang lain. Tidak kurang juga, ada pelatih Lian Padukan yang merupakan jurulatih seni beladiri atau silat yang lain, dan masih aktif mendalami Lian Padukan. ‘Ketidaklengkapan’ Lian Padukan membuka pesona ilmu lain, yang akhirnya menjadi bonus buat pelatih Lian Padukan sendiri.

Namun, secara peribadi, kawan berpandangan sebagaimana pandangan Ayahanda haji Hasyim sendiri iaitu ‘boleh tambah, jangan ubah’. Silibus yang telah diseragamkan, janganlah diubah, kerana itulah ‘blueprint’ Lian Padukan yang nak disampaikan kepada pelatih generasi seterusnya. Namun untuk ditambah dalam aplikasi atau huraian atau perkongsian teknik luar, pada kawan, tiada masalah, malah digalakkan. Dalam Lian Padukan sendiri masih terdapat beberapa pelajaran luar silibus yang dihimpunkan dalam Lian-lian Asing.

Sebenarnya, dalam kita mengajarkan Lian Padukan, selain diperturunkan teknik tempur atau kesukanan, janganlah dilupakan sama perturunkan konsep ‘penyerahan’, selayaknya terjemahan PADUKAN itu sendiri, iaitu Pada Allah Diserahkan Untuk Keselamatan Anda Nanti. Inilah pelajaran yang sebenar-benarnya perlu kita hayati, kerana dengan menyerahkan diri kita semata-mata kepada Allah Subhanahu Wa Taala sahajalah, keselamatan diri kita terpelihara dan menundukkan keakuan atau keegoan kita.

Untuk mengatakan Lian Padukan tiada teknik itu, tiada teknik ini, sebenarnya kita kena berbalik kepada tujuan buah pukul itu sendiri iaitu ‘Hendak Mengena Tak Nak Kena’. Matlamat Allahyarham Pak Mat Kedidi sendiri mahukan yang Lian Padukan menjadi himpunan teknik-teknik tempur terbaik, di mana istilah ‘terbaik’ itu sendiri adalah terpakai di situasi yang berbeza. Teknik yang tak terpakai di gelanggang sukan tempur, boleh jadi adalah teknik terbaik mempertahankan nyawa di situasi jalanan. Contohnya buah ‘telur mata’ itu sendiri. Tuju tang telur, tang mata. Ada lagi ka ‘buah’ yang lebih berkesan dari ‘buah’ yang ini dalam menghentikan pergaduhan?

Dan, secara peribadi, kawan berpendapat yang Lian Padukan itu sendiri, di suatu peringkat kefahaman, sudah hilang ikatan ‘rupanya’ yang tersendiri, kerana berpegang kepada istilah P.A.D.U.K.A.N itu sendiri. Sebagi contoh, seorang guru kawan pernah berkongsikan kefahaman ‘Pakai-Tak Pakai, Tak Pakai-Pakai’ yang popular di kalangan pesilat Cekak sebagai “kalau kita bergantung kepada teknik (pakai), tak menjadi teknik tu (tak pakai), tapi kalau kita buang keakuan diri (tak pakai), insyaAllah terpakailah ilmu yang kita pelajari, dengan kehendak Allah (pakai)’’. Sungguhpun kawan tak pasti huraian sebenar di kalangan pesilat Cekak, namun yang kawan fahami adalah kita dituntut meletakkan diri dalam penyerahan kepada Allah Subhanahu Wa Taala tanpa menafikan usaha belajar dan terus memperbaiki diri.

Maka, berbalik kepada tajuk, tak salah menyesuaikan pelajaran Lian Padukan dengan tuntutan pertandingan atau zaman, namun janganlah diubah pelajarannya. Atas akal budi bicara guru gelangganglah. Insaflah, bukan semua pelatih Lian Padukan berhasrat untuk memasuki gelanggang sukan tempur. Jika perlu, wujudkan cabang kesukanan di gelanggang atau kelas masing-masing, dan import sahaja jurulatih luar yang diiktiraf badan sukan tersebut untuk perkongsian teknik. Pelatih kita pun ada yang sekadar berhobi untuk mengurus stress, dan ada yang sekadar mahu menyiapkan diri dengan sedikit ilmu mempertahankan diri. Menambah-nambah pelajaran dikhuatiri hanya akan melama-lamakan tempoh pembelajaran, yang suatu ketika dahulu, hanya dengan bekalan Jurus 1 sahaja sudah cukup buat pelatih menambah keyakinan diri.

Mungkin sekiranya ada pelatih yang beranggapan perlunya penerapan teknik tempur lantai atau bantingan kerana kehendak susunan ‘tumbuk – pukul – lapis – gelut – bergelut-gelut berkeputusan pantas tewas’, kerana suasana tempur kini sudah tidak sama dengan tempur dahulu, pun boleh jadi.

Apa pun, pada kawan, ‘ketidaklengkapan’ Lian Padukan itulah ‘keistimewaannya’ yang tersendiri. Namun, jika difikirkan kembali dengan akal yang waras, benarkah ‘tidak lengkap’?

Kalau ikut Ayahanda Haji Hasyim sendiri, pelajaran buah pukul ni dikategorikan kepada 3, iaitu ‘buah tunjuk/ gelanggang’, ‘buah try’ dan ‘buah gaduh’. Tanggungjawab pelatihlah untuk mengkaji letak duduk setiap pelajaran di kategori yang mana. Buah yang sama, boleh ‘dirupakan’ pelbagai mengikut suasana. Sebab itu kawan ada sebutkan ‘hilang rupa’.

Tulisan kawan ini sedikit pun tidak menafikan keperluan pertandingan sukan tempur. Sukan tempur tetap ada kelebihannya, antaranya ialah disiplin, ukhwah, kesedaran diri, kerendahan ego dan kefahaman teknik mengikut situasi dan diadili melalui juri yang profesional. Kawan sendiri pernah berkecimpung dalam sukan tempur, namun ketika ini lebih selesa menyampaikan pelajaran Lian Padukan mengikut kehendak pelajaran itu sendiri.

 Apa pun, terpulang kepada kefahaman masing-masing. Sebab itulah pentingnya istiadat khatam, kerana selepas khatam, insyaAllah datang pencerahan tentang sebenar permainan LIAN PADUKAN. Selagi belum khatam atau ‘dah nak khatam’, kita akan terapung-apung dalam andaian demi andaian. Semoga Allah Subhanahu Wa Taala memudahkan majlis khatam istiadat dijalankan dalam tahun ini, kerana sudah ramai kedapatan pelatih yang layak dikhatamkan. InsyaAllah.

Thursday, 10 March 2022

INNALILLAHI WA INNA ILAIHI ROJIUN - CIKGU COMEL




 Innalillahi wa inna ilaihi rojiun...

Salam takziah diucapkan buat keluarga Cikgu Ustaz Ungku Najib Bin Ungku Abu Bakar atau lebih dikenali di kalangan ahli Lian Padukan Johor sebagai Cikgu Comel.


Agak lewat sebenarnya kawan mencatatkan berita ini di sini. Namun, semoga paparan pemergian beliau ini diiringi doa agar rahmat Allah Subhanahu Wa Taala sentiasa bersamanya.

Allahyarham merupakan antara guru awal kawan semasa mempelajari Lian Padukan dahulu. Seorang yang memegang teguh konsep 'cega curiga waspada' di celahan peribadinya yang tidak lekang bergurau dan tersenyum. Seorang sahabat yang prihatin, teritama kepada Ayahanda Haji Hasyim, namun keras ketika mengajar buah pukul. 

Semoga ilmu bermanfaat yang dicurahkannya menjadi peneman di alam sana, insyaAllah...

Al Fatihah buat Cikgu Comel..

Thursday, 23 December 2021

SAKIT

 'Sakit' dalam Lian Padukan adalah diwarisi secara turun-temurun dari satu generasi pelatih ke satu generasi yang lain.

Bermula 'sakit' itu dirasai adalah semasa pelatih Lian melakukan pelampas seperti bilai atau lempang, pelampas titik perisai tumbuk serangkai, dan lain-lain yang memerlukan pelatih menampar atau memukul anggota tubuh sendiri. Kemudian 'sakit' itu dirasai semasa melakukan pelampas secara berpasangan seperti lawan 'titik' tangan kawan, laga lengan, laga keting, jintat dan lain-lain.

'Sakit' kemudian turut dirasai semasa berlatih aplikasi buah Jurus dan Lian. 'Sakit' itu hanya akan dirasai apabila cukup elemen 5 'As' iaitu Keras, Ganas, Pantas, Tangkas dan Ikhlas. InsyaAllah kita akan merasa Puas bergelanggang, dan di waktu memerlukan,Tidak Tewas.

 'Sakit' itu perlu kita rasai supaya kita boleh mencipta toleransi terhadap sensasi 'sakit' tersebut, dan tahu bahagian mana nak menerima 'sakit' atau bahagian mana nak dielak 'sakit'. 'Sakit' itu yang akan menjadi sempadan kepada kita supaya tidak menyalahgunakan ilmu buah pukul bukan pada tempat,waktu dan orangnya. 'Sakit' itu juga kita akan 'pindahkan' kepada musuh apabila kena pada tempat, waktu dan orangnya. Sungguhpun kita 'mendulu', tetapi bukan kita yang 'cari pasal dahulu'. Beza mendulu dengan melulu adalah mendulu akal di depan, tetapi melulu akal di belakang. Sentiasa ada jalan penyelesaian sebelum kita terpaksa 'berdiri'. 

Suatu ketika, 'sakit' itulah yang menjadi indikator kualiti kemenjadian sesuatu teknik atau buah aplikasi. Namun itu hanya boleh dicapai apabila sesama rakan seperlatihan 'ikhlas' dalam memberi dan menerima pukulan. Tanpa keikhlasan menerima untuk merasa 'sakit'nya dipukul, dihempas,dijatuhkan, langkah kaki takkan lama terpasak di gelanggang.

Walaupun dimaklumi, 'sakit' itulah punca isi gelanggang semakin mengecil dari sehari ke sehari, semoga kualiti 'sakit' itu berkekalan dari generasi ke generasi.

Tuesday, 19 October 2021

FORM OR WITHOUT FORM

 "Tak perlu belajar silat yang ada form-form ni. Masa bergaduh bukan sempat nak bukak bunga, lian ni. Tau bertumbuk je, cukup. Nak berlatih pun, ambik drill yang asas je."

'Form' yang dimaksudkan, kalau buah pukul, kita panggil Lian. Kalau silat lain, bunga atau tari. Dalam Sendeng, dipanggil pecah. Dalam silat Gayong ADMAR, disebut 'gulungan' atau 'golongan'. Kalau taekwondo, dipanggil 'pattern'. Dalam karate, dipanggil 'kata'. Setakat itu pengetahuan kawan tentang 'form' yang dimaksudkan.

Benarkah 'form' ini tidak perlu?

Bagi yang menjunjung falsafah Mendiang Bruce Lee, ada yang beranggapan 'form' ini hanya akan menyekat kebebasan pergerakan atau kreativiti dalam pertempuran. 

Sepanjang kawan mengamalkan Lian Padukan, 'form' atau Lian dalam Lian Padukan adalah jalan latihan yang menghimpunkan landasan pergerakan kesepaduan anggota dan gerak. Turut terhimpun dalam Lian adalah petua-petuanya yang menjadi 'roh' kepada Lian yang dilatih. Mudah kata, Lian ini ibarat 'bekas' yang menampung pelbagai khazanah, petua dan rahsia buah pukul.

'Form' atau Lian yang dilatih juga mempunyai aplikasi atau 'buah' cadangan yang boleh digunakan ketika tempur. Dalam keadaan tempur sebenar, Lian bukan lagi jawapan kepada sesuatu situasi tempur, melainkan petua 'tumbuk, pukul, lapis, gelut, bergelut-gelut, berkeputusan pantas-tewas'. Itupun kalau kita pegang betul 'hendaklah mendulu jangan menunggu, bertalu-talu jangan tualu', boleh jadi tempur itu cuma diperingkat 'tumbuk', terus ke keputusan 'pantas-tewas'. Sebab apa-apa pun, kita cuma 'hendak mengena tak nak kena'.

Tapi, karangan di atas hanyalah tinggal karangan tanpa Lian yang dilatihkan. Sebab hanya melalui melatih 'senjata lapan' yang 'bergayang lima' melalui jalan 'Lian' sahajalah karangan di atas dapat direalisasikan.

Kadang-kadang Lian juga boleh jadi jalan motivasi untuk berlatih. Naik peringkat Lian demi Lian kadang-kadang memberi semangat untuk pelatih menggali khazanah Lian dengan lebih gigih lagi. Apa pun, kualiti pelatih bergantung kepada kualiti guru yang melatih. Sebab itu juga dikatakan 'rahsia guru pada murid, rahsia murid pada guru'.

Lian yang dilatih juga boleh dijadikan wadah latihan stamina fizikal dan mental. Dalam Lian Padukan, dikhabarkan pernah ada calon khatam suatu ketika dahulu melatih setiap Lian sehingga 100 kali, bermula dari Lian Selak Panjang hingga Lian Gulung. Dia menjalankan latihan tersebut sebaik namanya dicalonkan oleh Haji Hasyim untuk layak dikhatamkan. Berbulan juga masa diambil, sehingga selesai sebaik menghampiri minggu khatam. Kaedah tidak pun diarahkan oleh Ayahanda Haji Hasyim, inisiatifnya sendiri. Dewasa ini pun banyak pelatih yang mempelbagaikan latihan Lian, turut mengintegrasikannya dengan latihan kecergasan, agility, ketahanan dan kekuatan, menggunakan atau tanpa menggunakan bahan bantu berlatih. Perkembangan positif.

Saudara kita dari Lingkaran Gerak Lian juga khabarnya menggunakan kaedah ujian fizikal yang agak ekstrem, dengan pelatih peringkat tertinggi diuji melakukan satu Lian pilihan Guru Utama sehingga berjam-jam lamanya, katanya sampai lilin terpadam, supaya pelatih dan Lian itu 'berkahwin'. Ini kawan dengar dari Facebook Live Kalam Rumbawe bersama Ketua Jurulatih Lingkaran Gerak Lian, Guru Abang Nan. 

Maka, 'form' atau Lian itu terbukti tidak pun mengikat kreativiti dan kebolehpakaian dalam tempur dan latihan.

Dalam dunia buah pukul, ada dikatakan 'Lian itu Guru'.

Sebenarnya pelatih sendiri perlu kreatif, berdaya inovasi dan berkehendak untuk mengkayakan kepelbagaian latihan. Bukan semua tunggu disuap oleh guru atau jurulatih. Kadang-kadang latihan seminggu sekali berkadar masa 2 jam, apa sangatlah yang kita boleh, melainkan silibus-silibus yang perlu dipelajari. Maka, pelatihlah sendiri yang perlu berusaha untuk peningkatan kendiri. Tahu stamina tak cukup, pergilah joging atau berbasikal. Tahu badan naik lemak, buatlah latihan bebanan atau kalistenik. Jaga pemakanan. Takkan benda apa nak disuap ke mulut pun, nak kena tunggu guru atau juru latih cerita dalam kelas.

Dalam Lian Padukan sendiri, ada drill atau pelampas yang khusus untuk menajamkan keberkesanan 'senjata lapan'. Latih itu pun cukup sebenarnya, untuk tempur, jika nak menolak 'form' ini. Tapi bukankah rugi jika taknak ambil tahu tentang Lian, kerana pelampas-pelampas ini ibarat 'peluru', dan Lian itulah 'pistol'nya. 'Peluru' tanpa 'pistol', tidaklah ada gunanya. Begiti juga sebaliknya.

Maka, buat pengamal Lian, janganlah ditinggalkan melatih Lian. Betul kombo-kombo seperti straight, hook, cross, uppercut itu sudah cukup, seperti dalam boxing. Namun, jika dihayati Lian dengan lebih mendalam, banyak lagi sebenarnya yang menunggu untuk dibongkarkan.

Thursday, 14 October 2021

HAK LIAN

 Setiap sesuatu yang diciptakan Allah Subhanahu Wa Taala ada haknya yang perlu ditunaikan. Tambahan pula Allah Subhanahu Wa Taala menciptakan manusia selaku khalifah di muka bumi. Maka manusia wajiblah menunaikan hak-hak setiap yang dikhalifahkan kepadanya.

Hak seorang isteri adalah dipenuhi nafkah zahir dan batinnya oleh suami. Hak alam sekitar adalah dipelihara, dipulihara dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Hak lidah adalah mengeluarkan bicara yang baik-baik dan dibasahi dengan zikir dan selawat.

Sesuailah dengan firman Allah Subhanahu Wa Taala, 

" Laqad khalaqnal insana fi ahsani taqwim"

Maka, Lian juga mempunyai hak yang perlu kita selaku pengamalnya, penuhi.

Hak Lian adalah dilatih setiap anggota nafas (bergerak) secara istiqamah setiap hari.

Pengamal hendaklah mempadukan cantuman gerak dan anggota, berlandaskan lian amalan masing-masing.

"Padu" itu sendiri hanya boleh dicapai melalui latihan ulangan demi ulangan. 

Padukan latihan sehingga semuanya terhimpun menjadi "SATU".


Friday, 8 October 2021

FIKIR-FIKIRKANLAH...

 Asalnya ambil Lian Padukan dari Haji Hasyim.

Keluar Lian Padukan, mengaku susur galur ilmu yang dimarketkan dari Allahyarham Pak Mat Kedidi. Buang nama guru yang mengkhatamkan permainan.

Buat perguruan baru, tapi guna silibus Lian Padukan. Ada la olah-olah sikit, bagi nampak lain.

Fikir-fikirkan dan renung-renungkanlah...

Alhamdulillah, Lian Padukan taklah ramai, tapi taklah hilang. Masih ada lagi yang setia melatih Senjata Lapannya yang Bergayang Lima, agar Lian Padukan Ta' Hilang Di Dunia.

Setia berlatih tanpa perlu bising-bising.