Showing posts with label Ceramah sikit-sikit. Show all posts
Showing posts with label Ceramah sikit-sikit. Show all posts

Saturday, 19 November 2016

KONSEP

Baru-baru ini, setelah sekian lama tak bukak emel, kawan jengah jugaklah emel titikperisai@gmail.com. Rupanya ada 1 emel dari seorang pengirim yang bertanyakan tentang statement kawan dalam entry yang lepas-lepas, tentang Lian Padukan sebagai sebuah 'concept based martial art'.

Makna konsep kalau kita merujuk laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu ialah 'pengertian am atau idea yang mendasari sesuatu'. Secara umumnya, konsep dalam Lian Padukan adalah asas kefahaman yang membentuk apa yang ada dalam Lian Padukan.

Mengapa kawan mengatakan Lian Padukan adalah seni beladiri yang berasaskan konsep?

Pertama, tunjang Lian Padukan adalah berdasarkan 'kefahaman'. Setiap perbuatan dalam pelajaran Lian Padukan sentiasa ditekankan supaya 'difahami', bukan 'dihafal' semata-mata. Atas dasar itulah, sedari Jurus 1 lagi, penuntut baru akan diasuh dan diasah memahami setiap inci perbuatan titik-perisai-tumbuk. Jurus 1 adalah terpenting untuk dikuasai kerana ia adalah pintu memahami konsep-konsep dia dalam Lian Padukan.

Hebatnya pendiri buah pukul terdahulu, terutama Lian Padukan, konsep-konsep ini tersembunyi dalam madah pujangga. Maka, ahli-ahli tak lekang mendengar istilah 'hendaklah mendulu, jangan menunggu, bertalu-talu, tak tualu', 'enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas', 'buah dagang yatim piatu, sambut 2 tanti 1', dan banyak lagi. Konsep-konsep ini kalau diistilahkan boleh juga sebagai 'petua'.

Jurus, Buah, Lian yang disusun dan diseragamkan dalam pelajaran Lian Padukan tak lain adalah untuk mengisi konsep-konsep tersebut ke dalam jiwa raga penuntut Lian Padukan. Ia adalah jalan latihan, kerana latihan wajiblah berstruktur. Latihan tanpa struktur, olahan atau perancangan tidak akan membawa kita memahami konsep Lian Padukan, atau seni beladiri secara umumnya. Bermain gym angkat berat siang malam takkan menjadikan kita pendekar, atau paling tidak, tidak menjadikan penumbuk kita sampai mencecah ke muka lawan.

Kalau diizinkan kawan memerihalkan suatu petua atau konsep, kita ambil contoh 'bertalu-talu' dari salah satu madah di atas. Fungsi bertalu-talu adalah untuk mengisi ruang yang kosong antara kita dan lawan kita. Dalam situasi pertarungan atau pergaduhan, sela masa yang terbazir ketika kita 'tualu' memungkinkan musuh kembali menguasai kita. Atas sebab itu, pukulan kita hendaklah bertalu-talu, dan di dalam bertalu-talu itu masih ada petua yang boleh menyusul seperti 'mengarahkan musuh'. Sekadar contoh.

Maka, kalau kita lihat secara umum, asal Lian Padukan ini adalah tiada bentuk (belum dipelajari) hingga berbentuk (dipelajari dan dihayati) kemudian kembali tiada bentuk (terasimilasi menjadi kefahaman kendiri). Semuanya daripada kefahaman konsep-konsep atau idea asas yang terdapat dalam Lian Padukan.

Kawan berharap sangat, pengetahuan tentang konsep-konsep ini dikekalkan, agar keaslian dan kelainan Lian Padukan dapat dipertahankan. Alhamdulillah, keaktifan Lian Padukan dalam acara sukan tarung bebas memungkinkan konsep-konsep ini disebarluaskan penghayatannya. Namun beringatlah, kemenjadian penuntut Lian Padukan juga mahu kita jadikan keutamaan.

Kemenjadian dari segi integriti, akhlak, kerohanian dan kenegaraan. Konsep-konsep dalam Lian Padukan kalau kita fahami, bukan hanya teraplikasi dalam sesi bertumbuk semata-mata, malah boleh juga dihidupkan dalam kehidupan seharian.

'Hendaklah mendulu' dalam membuat kebajikan. 'Hendaklah mendulu' awal bersubuh-subuhan. 'Jangan menunggu' sahaja hidayah tiba ke riba, menunggu seru membuat kebajikan dunia akhirat. Kita yang memaksa jasad kita 'mendulu' memburu ilmu. 'Bertalu-talu' bermaksud tidak putus, yakni istiqamah. 'Bertalu-talu'lah membuat amal, 'jangan tualu' yakni putus asa pada amal yang dijalankan.

Sekadar itu dahulu. Wassalam.


Friday, 13 March 2015

ETIKA DALAM BERGURU

Etika, kalau kita rujuk pada mahasiswa sains sosial dan kemasyarakatan, akan memberi makna yang lebih deskriptif dan tepat. Tapi, selaku orang biasa-biasa macam kita semua, etika bolehlah kita maknakan sebagai 'adab'.

Dalam kehidupan kita selaku manusia, lebih-lebih lagi manusia yang beragama Islam, tidak dapat tidak, adab adalah tuntutan utama dalam beragama. Disolek lagi dengan kalungan anugerah sebagai bangsa Melayu, adab mencorak kehidupan kita menjadi lebih teratur dan bertamadun.

Hakikat didatangkan baginda Rasulullah sallallahu alaihi wassalam antara lain adalah memperbaiki akhlak manusia, selain menzahirkan syariat yang mengEsakan Allah subhanahu wa taala. Melalui akhlak, keindahan Islam lebih menyilau pancaran sinarnya. Kalau mulut rajin meratib mewarid, jari tak renggang dengan tasbih, berserban jubah labuh, tapi mulut rajin maki hamun orang, tidak beradab dengan masyarakat, maka orang macam ni layaknya disumbat pasir ke mulutnya. Islam tidak hanya zahir tubuh, tetapi dizahirkan melalui akhlak dan perbuatan. Bilal bin Rabah radhiAllahu anhu yang tidaklah kacak, hitam pula mengikut kata riwayat, namun tapak kaki sudah terkesan di dalam syurga.

Dan masuk ke tajuk supaya tidak melaut melalut, etika dalam berguru. Dewasa ini, sungguhpun percambahan gelanggang persilatan pelbagai aliran, tetap terdapat semacam trend yang berkadar songsang dengan pertambahan guru, gelanggang dan aliran. Adab berguru berkadar songsang dengan percambahan gelanggang. Ngerti?

Adab berguru semakin kurang dihayati penuntut kini.

Adab merupakan kunci pintu menuju keberkatan berilmu. Guru hanyakah penghala laluan, pemudahcara kita meresapi ilmu ke dalam jiwa dan jasad kita. Andai kata kuncinya tidak kita jaga, manakan mungkin zuk menuntut dapat kita rasa.

Sudah banyak ulama menggariskan panduan etika menuntut atau adab berguru. Kawan tidaklah mahu mendahului para salafus soleh yang sudah terbukti kelimuan mereka. Namun, sebagai penuntut masa kini, kawan sedikit terkilan melihat masih ramai kalangan penuntut yang masih belum memahami adab berguru.

Antara yang paling dipandang ringan dewasa ini ialah - merokok apabila berhadapan guru.

Tak perlu kawan kongsikan fatwa pengharaman rokok, kerana akan ada yang berusaha mencari dalil memakruhkan rokok. Makruh kalau ikut anjuran Rasulullah sallallahu alaihi wassalam adalah perkara yang semoleknya dijauhi, namun pada kita pula 'tak apa'.

Sungguh, guru yang kita ada itu tidak pun kisah kalau muridnya merokok di hadapan. Namun, sebagai murid, mana adab kita? Sedangkan menggoyangkan kaki ketika mendengar tausiyah atau bayan pun dianggap tidak sopan pada guru. Lihat sahaja iktibar yang ditunjukkan Imam Besar pendiri Mazhab Syafie, nak menghalakan kaki ketika tidur ke rumah gurunya Imam Malik rahimullahu taala pun tak gamak.

Bukanlah kerana kawan bukan perokok, maka sesedap tangan je kawan menulis hal ini. Tak. Cuma, ada riwayat dari baginda sallallahu alaihi wassalam mengatakan bahawa setiap majlis ilmu atau zikir akan didatangi malaikat yang membentangkan sayap-sayapnya seluas-luasnya, menandakan betapa berkahnya majlis tersebut kerana mengagungkan kehebatan Allah subhanahu wa taala, namun majlis semurni itu dicemari pula oleh asap-asap tajaan puak yahudi yang menjadi makanan bangsa jin. Ibarat menghalau pergi keberkatan yang baru dijemput bertandang.

Sungguh, ilmu yang kita tuntut di gelanggang adalah ilmu bertumbuk. Namun, tidakkah sepanjang kita bergelanggang, guru turut menyelitkan kata-kata nasihat dan peringatan dalam beragama, serta pujian menggunung kepada Allah? InsyaAllah, syarat untuk diziarahi malaikat ada di situ. Sayang, majlis murni sebegitu dihiasi asap rokok merata.

Dan kita, tidakkah kita sayang pada guru kita, dengan membiarkan asap binasa itu menyinggahi peparu guru yang kita cintai? Saja-saja dah jadi secondary smoker, guru kita tu. Ada kajian mengatakan, secondary smoker lebih terdedah kepada bahaya berbanding primary smoker.

Dan sebagai Islam, sangat sepatutnya lah rokok tidak menjadi hiasan mulut.

Kesimpulan, peliharalah adab kita dalam menuntut.

Saturday, 9 August 2014

THE WAY OF PADUKAN - APA ERTINYA SAYA MEMPELAJARI LIAN PADUKAN?

Tulisan paling sinonim dengan pemikir Islam bernama Fathi Yakan yang sudah diterjemahkan ke Bahasa Melayu ialah 'Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam'. Merupakan antara rujukan utama usrah-usrah di sekolah-sekolah, pusat-pusat pengajian dan pergerakan-pergerakan dakwah dan kesedaran Islamiah. Kawan sarankan, milikilah buku ini untuk menambah kefahaman kita berkenaan agama Islam yang kita anuti. Seeloknya wajibkanlah rumah-rumah kita supaya ada dibeli buku ini dan diperbacakan kepada anak-anak kita, supaya tersemat sebenar-benar maksud 'jihad fi sabilillah' ke dalam jasad dan rohani mereka, bukan semata-mata memboikot membabi-buta sampai masjid-masjid pun ikut kena boikot atau buat 'gathering' makan-makan atas nama 'memperjuangkan agama dan bangsa'.
Kawan pinjam tajuk buku itu untuk tulisan hari ini.

APA ERTINYA SAYA MEMPELAJARI LIAN PADUKAN?

Jika ditanya kepada pengamal-pengamal seni beladiri tentang tujuan mempelajari seni beladiri, terdapat pelbagai jawapan yang boleh didapati. Mahu mempertahankan diri, mahu beriadah dan menyihatkan diri, mahu mencari kenalan baru, mahu aktif dalam sukan tempur dan macam-macam lagi. 

Apabila kawan baru mula mengkaji-kaji mencari gelanggang buah pukul, tujuan mempelajari buah pukul yang selalu didendangkan ialah 'nak bertumbuk'.

Dikatakan kata-kata orang lama, 'belajar buah pukul ni untuk bertumbuk, tiada lain'. Asalnya kawan kurang boleh terima kata-kata itu, namun hari semakin hari, kawan mula jinak hat menerima pendekatan itu.

Bagi kawan, perincian kata-kata itu adalah berdasarkan 'level of acceptance' seseorang pelatih. semakin didalami dan dialami, buah pukul tidak hanya bercerita tentang bertumbuk, bahkan ia juga bercerita tentang frasa 'tiada lain'.

Berbalik ke tajuk, apa ertinya saya mempelajari Lian Padukan? Dari sisi kawan sendiri, asalnya kawan menyertai Lian Padukan kerana 'simplicity' yang ditonjolkan. Kawan di ketika itu bergelut dengan kecederaan lutut akibat terlalu aktif dalam sukan, dan baru pulih dari kemalangan jalan raya. Maka, hambur-menghambur dan berguling-guling bukan lagi keutamaan kawan, sesuai dengan peningkatan usia. Usia meningkat, kadar pemulihan dari kecederaan menurun. Namun minat kawan dalam seni beladiri tidak pula ikut menurun, sebaliknya sentiasa merasa perlu untuk terus mempelajari seni beladiri. Maka, hasil research, sembang-sembang kedai kopi, pembacaan dari internet dan majalah Seni Beladiri serta tontonan Youtube, kawan langsung memilih Lian Padukan.

Awal pembelajaran, kawan terpesona dengan kelasakan yang dilatih dalam Lian Padukan, pukulan-pukulan yang tidak rigid namun penuh dengan petua, dan sudah semestinya pengetahuan luas Ayahanda Dr. Haji Hasyim dan gurulatih-gurulatih Lian Padukan. Masing-masing mempunyai 'trademark' tersendiri dalam mengamalkan dan memberi kefahaman kepada kami pelatih-pelatih baru, terutamanya dua 'Din' yang menjadi tulang belakang Ayah iaitu Cikgu Din Gondrong dan Cikgu Dr. Din Misai. Melihatkan karektor mereka berlian dan bermain buah, menunjukkan Lian Padukan memberi kebebasan untuk pelatih merangka identiti sendiri ketika 'berdiri' berlandaskan silibus-silibus yang sudah cantik dirangka dan menepati ilmu pendidikan bahawa setiap manusia adalah unik dan tersediri, maka kaedah atau uslub untuk menyampaikan ilmu kepada manusia juga harus pelbagai berdasarkan tahap penerimaan dan kefahaman manusia tersebut.

Semakin kawan dewasa dengan Lian Padukan, kawan dapati Lian Padukan khususnya dan buah pukul amnya bukan lagi berkisar hanya pada bertumbuk. Semakin kawan cinta kepada Lian Padukan, semakin kawan dapati ia sangat membantu dalam peningkatan sahsiah dan kendiri, malah membantu kawan mengenali diri.

Terlalu kerap kita didendangkan dengan ilmu yang kita pelajari - tak kira apa aliran sekalipun - kita mampu menghadapi atau mengalahkan musuh luaran atau ilmu aliran-aliran lain. Namun, cuba kita kembali renung ke dalam diri, mencari musuh yang lebih besar dan lebih sukar ditumpaskan. Ya, tidak lain, dalam diri kita sendiri yang memakai nama NAFSU.

Nafsu itu yang mendorong kita mencari kehebatan diri. Bila kita berjaya menumbangkan lawan ketika bertumbuk, nafsu itu pula yang memuji-muji dan takjub dengan kehandalan diri sendiri. Nafsu yang itu juga menyuruh kita mencanang-canang kehebatan diri dan ilmu yang dituntuti, sehingga memandang rendah keilmuan dan keupayaan orang lain, sedangkan ada termaktub dalam Syarat 28 yang dipegang ahli buah pukul bahawa 

" 27. Hendaklah adil dan insaf serta kasih sayang kepada makhluk Allah. Memuliakan guru-guru meskipun guru yang bukan daripada ilmu serta jangan dihina ilmu pengetahuan seorang pun." (ehsan facebook PERBUKU)

Nafsu itu juga yang membisikkan 'malaslah', 'ada kerja lain' dan pelbagai alasan yang menidakkan keinginan kita untuk berlatih dan memajukan diri. Nafsu itu juga yang merajinkan kita untuk makan, makan dan makan melebihi kadar keperluan yang sepatutnya. Malas berlatih + rajin makan = lu pikirla sendiri. 

Sudah sampai masanya, kita ubah cara berfikir kita dalam menanggapi ilmu buah pukul, terutamanya kita pengamal Lian Padukan. 

Dan selalu-selalulah tanya diri sendiri - APA ERTINYA SAYA MEMPELAJARI LIAN PADUKAN?




Sunday, 29 June 2014

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK


Alhamdulillah. Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia rahmatNya kita bersama-sama sekali lagi bertemu Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang dijanjikan oleh Allah dan RasulNya seribu satu keberkatan di dalamnya.

Di kesempatan ini, kawan menyusun sepuluh jari memohon keampunan andai kedapatan tulisan kawan yang mengguris hati sesiapa, juga kedapatan tulisan kawan yang tidak menepati selera mana-mana pembaca. Kawan menulis dari hati, dari pengalaman, dari pengamatan yang sangat cetek dan gelap. Maafkan kawan.

Di kesempatan ini juga, marilah kita menjernihkan mana-mana yang keruh antara kita. Cukup-cukuplah dengan segala perselisihan yang pernah bertandang sesama kita. Kita gantikan dengan hubungan baru yang lebih utuh, yakni saling sandar-menyandar antara kita, bangsa buah pukul.

Perisikanlah Ramadhan kita dengan amal ibadah yang sudah pun kita istiqamahkan selama ini. Bagi yang baru berjinak-jinak nak memulakan amal macam kita-kita ni, sekaranglah masa terbaik, memandangkan keseluruhan umat Islam bermotivasi untuk beribadat.

Jadikan bulan ramadhan ini sebagai bulan memohon keampunan Allah dan syafaat Rasulullah s.a.w. Jadikan juga bulan ini sebagai bulan keramat mengisi 'kebatinan' diri kita. Bab batin-batin ni, bukanlah nak jadi kebal, nak jadi handal, nak terbang-terbangkan orang. Kebatinan di sini bermaksud proses penyucian rohani. Kalau selama ini rohani kita tercemar dengan sifat-sifat mazmumah seperti sumaah, ujub, riak, takbur, sombong, iri hati, dan lain-lain, kita bersihkan dengan sifat-sifat mahmudah, dan teruskan beristiqamah walaupun habis bulan Ramadhan.

Itu sebab, ada yang memanggil bulan Ramadhan sebagai "Universiti Tarbiyah Ramadhan". Tarbiyah yang diperolehi dan dilatih sepanjang Ramadhan, diamalkan dan diteruskan ke bulan-bulan berikutnya, sepanjang tahun, sepanjang hayat.

Kalau kita biasa mendengar orang dulu-dulu mencari kehebatan dan penyucian rohani dengan bertapa, bersuluk dan lain-lain, jadikan bulan Ramadhan ini untuk kita berjinak-jinak dengan amalan kerohanian yang sederhana, namun penuh keberkatan dan terhindar dari fitnah. Beramal bukan mengejar pahala, tapi memohon rahmat Allah dan syafaat Rasulullah. Tapi dapat pahala, Alhamdulillah. Itupun kita tak tau amalan kita nilainya bagaimana di sisi Tuhan. berserah sahajalah padaNya.

Tapi, tak salah nak uji diri kita di bulan mulia ini. Kalau sepanjang bulan sebelum Ramadhan ini, kita berlatih buah pukul bagai nak rak, berlatih fitness sampai katang-katang badan, menelaah teori-teori, falsafah-falsafah, petua-petua dan berdebat pula dalam medan maya, di bulan mulia ini kita uji pula kesanggupan kita beribadat sekuat mana. Buah pukul itu sampingan sahaja, yang penting 'buah' akhirat kita. Cuba tengok larat mana kita menyudahkan solat fardhu dan solat sunat terawih berjemaah. Kalau full tiap-tiap hari, sebulan ni, alhamdulillah. Kalau celam-celup, kejap lapan kejap full, kita faham sendiri kita di mana.

Kita tau 'kebatinan' kita setakat mana..

Selamat berpuasa semua, dari kawan..........

Sunday, 1 June 2014

BUDAYA 'MENYUDI'

Menyudi dalam istilah persilatan bukanlah bermaksud 'Saya sangat menyukai awak. Harap SUDIlah menerima salam perkenalan saya. Kalau SUDI, makan la coklat ni'. Bukan.

Menyudi dalam jagat persilatan adalah perbuatan menguji kemampuan dan kebolehan persilatan seseorang individu atau perguruan. Cara dihulurkan sudian itu yang membezakan penerimaan orang yang disudi, samada melalui jalan persahabatan atau cabaran.

Untuk hari ini, kawan nak fokuskan pada budaya 'menyudi' dalam bentuk cabaran. Cabaran datang disebabkan beberapa faktor, antaranya mahu mengetahui setakat mana kehandalan bakal lawan, jeles dengan publisiti yang diterima bakal lawan dan mahu cari gah dan nama dari hasil mengalahkan bakal lawan.

Kita selaku pelatih muda selalu didendangkan dengan cerita-cerita sudi-menyudi ini, kan? Kadang-kala, kisah-kisah ini memberi nilai tambah untuk kita lebih meyakini aliran yang kita tuntuti. Kawan tak mahu secara spesifik bercerita tentang kisah-kisah dan aliran-aliran yang terlibat, cuma mahu berkisah suatu hal, atau memanjangkan suatu pesan dari orang lama di kampung kawan perihal menyudi ni.

Sekarang merupakan cuti persekolahan, dan ramai juga yang mengambil peluang percutian ini untuk main kawen-kawen'. Ok, tak main. Memang kawen betul-betul. Maka, sempat jugalah kawan bercuti hujung minggu menghadiri majlis adik-beradik dan kawan-kawan kawan di kampung. Seperti biasa, kalau kawan berkesempatan pulang ke kampung, kawan akan ditolak ke medan untuk memperagakan silat pulut sebagai halwa mata 'raja sehari' dan tetamu. Selalunya berpulut, cuma balik kali ni kawan nak ubah sikit. Teringat pulak yang Ayahanda Haji Hasyim pernah mainkan Lian di suatu majlis perkahwinan seorang ahli Lian Padukan sebelum ni, yang kawan tertengok di fesbuk Ayah. Orang sini jarang tengok Lian, maka kawan alunkan Lian Campur, iaitu kombinasi Lian Selak Panjang, Lian Siku, Lian Lintang dan Lian Pagar Simbur (tapi kaki tak naik). Dapatlah sekejap.

Tak sangka, dengar jugak macam-macam bunyi lepas tu. "Eh, silat ke kungfu apa ni?",  "Nampak cam keras je. Takde bunga-bunga cam selalu dia main" dan lain-lain. Kawan tugaskan adik kawan lah nak explain itu semua....

Cuma masa makan, ada sorang pakcik, orang lama kampung kami, orang kuat surau jugak, datang menepuk bahu kawan. Bertanyalah beliau akan permainan yang kawan pamerkan masa pengantin datang tadi. Kawan ceritalah serba ringkas tentang Lian Padukan yang berakar dari selatan tanah air, bertunjangkan permainan buah pukul. Pakcik otai ni mendengar dan mengangguk-angguk sahaja. Matang.

"Bagus lah usia-usia kamu ni, dah merantau, belajar silat-silat ni. Buat bekal. Jangan ditidakkan ilmu Melayu, dan jangan pulak dinafi-nafikan ilmu orang."

"Paling penting, bila dah handal, jangan sibuk nak menyudi, nak mencabar-cabar orang. Nak tau gagah sendiri di mana, kononnya. Nak uji diri sendiri, kononnya."

"Jangan dicari-cari nak diuji, sebab lambat laun, memang kita diuji pun. Hidup ni sendiri ujian. Handal bersilat pun, belum tentu mampu tegak berdiri bila Tuhan uji."

Ayat yang ni paling best.

"Malah, RASA DIRI HANDAL itu sendiri adalah UJIAN. Ujian ni la yang paling ramai orang silat kantoi. MERASA DIRI HANDAL. Lama-lama bawak ke sombong. Tu yang bila rasa terer sikit, nak try orang. Lupa kot, qudrah iradah tu milik Allah".

Lauk kenduri hari ni, walaupun bersulam ikan masin je, adalah lauk paling nikmat pernah kawan makan di kenduri.

*Ayat pakcik di atas kawan alter sikit bagi dramatik dan mudah difahami. Kawan pun terkial-kial nak transfer dia punya slang ke bahasa yang umum faham.








Sunday, 6 April 2014

DOA RABITAH - MENYATUPADUKAN KEKITAAN LIAN PADUKAN

Hati ini telah bersatu berkumpul diperut bumiMu
Hati ini telah berpadu bersatu memikul beban dakwahMu
Hati ini telah mengikat setia untuk mendaulat untuk mendukung
SyariatMu di alam maya
Maka Ya Allah eratkanlah
Ikatan yang
Maka Ya Allah eratkanlah
Ikatan yang ada

Lirik di atas adalah sebuah nasyid yang sering kami nyanyikan sewaktu kawan bersekolah di sebuah sekolah beraliran agama kira-kira 16 tahun dahulu, selepas berhizib wajib setiap selepas Subuh dan Asar, iaitu  Al-Mathurat susunan  As Syahid Imam Hassan Al Bana. Nasyid tersebut merupakan manifestasi daripada Doa Rabitah yang terdapat dalam hizib tersebut.

Al-Mathurat, apabila dilantunkan secara berjemaah, sungguh-sungguh membangkitkan semangat jihad dalam diri. Jihad bukan hanya bermakna mengangkat pedang, jihad juga adalah segala apa daya yang kita curahkan dalam memperjuangkan agama Allah di muka bumi.

Al-Mathurat adalah zikir-zikir masyhur anjuran Baginda Rasulullah s.a.w di samping ayat-ayat al-Quran yang apabila dihayati makna-makna dan diselami  pengertiannya, akan mendatangkan 'zuk' dalam menyintai setiap amalan yang mendatangkan kebaikan di sisi Allah. Amalkanlah stiap hari, insyaAllah banyak keberkatan yang bakal diperolehi berdasarkan janji-janji nabi yang pernah diriwayatkan bagi setiap wirid.

Kawan petik Doa Rabitah dalam tulisan kali ini, memandangkan ini adalah doa menuntut perjuangan kita diredhai dan menyatukan hati-hati jemaah Lian Padukan sekalian.

Kita selaku ahli Lian Padukan mengetahui secara umum, yang perjalanan kita untuk menyebarluas ilmu Allah, berkongsi kelainan dalam keilmuan buah pukul, dan lain-lain lagi seringkali bertemu onak ranjau yang bukan kepalang. Malah kita sebagai anak-anak juga melihat sendiri tanggungan beban yang dipikul Ayahanda Haji Hasyim dalam mendidik dan memiin kita selama ini.

Maka, apa lagi yang mampu kita bekalkan kepada Ayah dan keluarga kita selain doa dan semangat kekitaan antara kita.

Doa Rabitah ini jugalah yang menjadi amalan ikhwan-ikhwan dalam Ikhwanul Muslimin dalam memarakkan bara semangat perjuangan menegakkan agama Allah di muka bumi. Mereka boleh, kita juga boleh insyaAllah.

Petua membaca doa tersebut, yang selalu kita dengar di mana -mana kuliah, adalah membacanya sambil memejamkan mata membayangkan keseluruhan wajah ahli-ahli jemaah, atau dalam skop kita, Lian Padukan. Kita menuntut penyatuan hati setiap ahli keluarga kita agar tetap hati dan dikuatkan semangat untuk terus bersama mendalami, mendukung dan menyebarluas ilmu persilatan Lian Padukan agar sedikit sebanyak boleh diandalkan untuk membantu perjuangan Islam di kemudian hari.

Apa kata kita cuba amalkan sewaktu buka gelanggang. Biar doa yang dibaca meresap hati-hati kita untuk berlatih lebih bersungguh-sungguh. Takpe tak hafal pun. Selalu-selalu baca, insyaAllah lekat.

Buku Al-Mathurat boleh didapati di kedai-kedai buku seluruh negara, atau download sahaja di internet. Dalam apps pun banyak jugak. Jadikan amalan untuk kekuatan dalaman. Siap-siapkan diri dari sekarang, kerana amalan-amalan dalam Lian Padukan juga ada terkandung dalam Al-Mathurat.



Friday, 4 April 2014

TUNTUTAN PENGAJIAN AGAMA

Dalam pada kita berlatih, hadir ke gelanggang, berpeluh riadah dan menunaikan tugasan tanggungjawab harian, janganlah kita lupa akan sebenar-benar tuntutan dalam menuntut, iaitu menuntut ilmu agama.

Disiplin pengajian dalam ilmu Islam terlalu luas. Tersangat luas untuk diteroka, dan terlalu dalam untuk diselami. Namun, luas atau dalam mana sekalipun pengajian agama Islam, hanya berpandukan Al-Quran dan Hadith, kita tidak akan hilang puncanya. Semakin diteroka semakin cinta, semakin diselami semakin memahami.

Apa pun, dalam menuntut ilmu, janganlah lupa dimulakan dengan Bismillah, al-fatihah dan doa. Banyak diriwayatkan doa-doa masyhur dari Al-Quran dan Al-Hadith yang boleh kita jadikan amalan, di samping doa-doa susunan ulama muktabar yang boleh kita jadikan amalan memulai suatu pengajian. Kita biasa dengan doa yang diajarkan di sekolahan, dan ingin kawan kongsikan suatu doa yang sangat masyhur diamalkan, terutama untuk anak-anak kecil. Biasa dengar bukan, doa Rasululullah s.a.w kepada Ibnu Abbas r.a yang berbunyi:

"Allahumma faqihhu fiddin wa alimhu takwil" yang bermaksud " Ya Allah, faqihkan (cerdikkan) dia dalam hal agama dan alimkan dia dalam takwil (ilmu tafsir).

Sebab itu, ulama-ulama hadith memandang berat setiap periwayatan yang datang dari Ibnu Abbas r.a, kerana khususnya doa Nabi kepada beliau.

Suatu waktu dalam kuliah tafsir hadith yang sempat kawan sertai, guru mengimamkan doa yang berbunyi Allahumma faqihna fiddin wa alimna takwil yang bermaksud Ya Allah, faqihkan kami hal agama dan alimkan kami ilmu takwil.

Meminjam doa Rasulullah s.a.w kepada Ibnu Abbas r.a.

Apa pun, dalam bab menuntut agama, memang berat dugaannya. Ye lah, benda baik, sudah tentu syaitan benci. Sedang kita nak ke gelanggang tuntut ilmu dunia pun di halang-halang, apa lagi ilmu akhirat.

Sebab itu, dalam doa masyhur dari Al-Quran iaitu "Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhirati hasanah wa qina azabannar", Imam Hassan Al-Basri diberitakan merujuk 'fid dunya hasanah' yang bermaksud 'kebaikan di dunia' sebagai kelapangan menuntut ilmu dan istiqamah dalam beribadat. Harta juga bagi kita adalah kebaikan di dunia, namun harta dengan ilmu, mana yang lebih tinggi nilainya?

Sempatkanlah diri kita menuntut ilmu agama. Kita yang berLian Padukan, tuntutlah ilmu agama kerana Lian Padukan bukan hanya bercerita bab pukul memukul.

Di hujung nanti, kita akan bercerita mengenai PADUKAN itu sendiri. Pada Allah Diserahkan Untuk Keselamatan Nanti (Akhirat).