Dalam era pertandingan diterima sebagai suatu indikator untuk menentukan keabsahan atau praktikaliti suatu seni beladiri, terdapat suatu tuntutan untuk memasukkan beberapa elemen yang sebelum ini agak asing dalam permainan buah pukul, iaitu elemen gusti, kuncian atau ‘grappling’. Tidak terkecuali, Lian Padukan.
Secara peribadi, sungguhpun kawan
merupakan pengamal rasmi Lian Padukan yang bersifat progresif, namun kawan
boleh dikategorikan sebagai pengamal ortodoks yang masih memegang kepada rukun
dan petua yang terdapat dalam Lian Padukan, dan buah pukul secara tradisinya. Antaranya
ialah ‘Berdiri Musuh’.
Permainan Lian Padukan tertegak
atas prinsip tersebut, dan masih berpegang kepada saranan yang tercatat di
nukil, iaitu ‘Ukur dan Jangka Hendaklah Dipelajari, Barulah Diketahui Syarat
Berdiri’. Setiap silibus pelajaran Lian Padukan adalah berkisar kepada rukun
yang ini, iaitu ‘Ukur’ dan ‘Jangka’, di mana kawan perhatikan bab inilah yang
mengikat setiap aliran buah pukul yang berakar kepada Syed Abdul Rahman Al-Yunani,
walaupun tafsirannya pelbagai mengikut penilaian guru pendiri masing-masing.
Lian Padukan juga secara aktif
mempromosikan petua ‘mendulu’ yang dipelajari sedari Jurus 1 lagi di peringkat
Pengenalan Senjata Lapan, di mana inilah ‘wajah’ Lian Padukan, apabila kita
bercerita kepada orang baharu berkenaan Lian Padukan.
Selaku permainan ‘Buah Pukul’, setiap
pelajaran dari Jurus 1 sehingga ke Lian Tapak 100 (khusus kepada pelatih yang
sudah menjalani istiadat khatam, bukan yang ‘dah nak khatam’, kerana ada sumpahnya
dengan Ayahanda Guru Utama), identiti buah pukul diterapkan dalam setiap
terjemahan gerak dan lian. Hatta, perbuatan ‘simpan’ itu sendiri ada
aplikasinya dalam buah pukul.
Namun, kehendak zaman, ada ahli
yang beranggapan bahawa pelajaran Lian Padukan tidak lengkap tanpa adanya
pelajaran banting-membanting, pergelutan di lantai, kunci-mengunci dan
lain-lain yang dilihat relevan di pentas pertandingan. Malah, sudah terdengar
ada yang mengatakan perbuatan titik-perisai-tumbuk tidak pun berfungsi di
gelanggang tempur.
Selaku pelatih baru yang masih
bertatih di kelas Lian Padukan, kawan selalu merasakan yang ‘ketidaklengkapan’
pelajaran Lian Padukan itulah yang menjadi keistimewaannya yang tersendiri.
Pertama, pelatih hendaklah
memegang hakikat yang Lian Padukan adalah ‘buah pukul’, yang sudah pun berjasa
sebelum adanya pentas pertandingan, di ‘pentas’ tanpa peraturan, yang menang
kalah ditentukan dalam keadaan ‘berdiri’ dan lebih realiti.
Kedua, sekiranya terdapat pelatih
yang mempertikaikan tentang pelajaran titik-perisai-tumbuk, rujuklah kepada
guru gelanggang atau kelas masing-masing berkenaan petua ‘2 gerak 3 ruat’ yang
diwajahkan oleh titik-perisai-tumbuk tersebut, yang membawa kepada petua ‘bertalu-talu’
yang mengiringi ‘mendulu’. Petua ini apabila kita regukan dengan kejadian atau
sifat ‘air’, lihatlah bagaimana air akan sentiasa mengalir mencari hala melalui
atau menembusi halangan. Lian Padukan
yang resminya ‘buah pukul’, juga mendasari petua ‘berguru kepada alam’ dengan
unsur-unsur ‘api, angin, air dan tanah’.
Ketiga, sungguhpun Lian Padukan
adalah pelajaran ‘buah pukul’, namun pengajiannya tidak menghalang pelatih
meneroka khazanah persilatan atau beladiri yang terdapat dalam silibus Jurus
dan Lian-liannya. Ayahanda Haji Hasyim sendiri kadang-kala menunjukkan aplikasi
kuncian yang diolah daripada pelajaran Jurus dan Lian, selain dari persilatan
atau beladiri lain yang pernah dipelajarinya. Kawan sendiri biasa melihat
seorang guru khatam menggunakan aplikasi Lian Tapak 100 membanting pasangannya
dalam suatu sparring bebas.
Keempat, ‘ketidaklengkapan’ Lian
Padukan ini sebenarnya membuka ruang kepada pelatih untuk mempelajari seni
tempur yang lain, jika mahu diasosiasikan dengan peraturan gelanggan tempur. Sudah
ada pun guru khatam yang bersijil jurulatih sukan tempur Muay Thai, ada juga
guru khatam yang mendalami seni Brazillian Jiu Jutsu, dan ada juga guru khatam
yang masih menggali khazanah persilatan yang lain. Tidak kurang juga, ada
pelatih Lian Padukan yang merupakan jurulatih seni beladiri atau silat yang
lain, dan masih aktif mendalami Lian Padukan. ‘Ketidaklengkapan’ Lian Padukan
membuka pesona ilmu lain, yang akhirnya menjadi bonus buat pelatih Lian Padukan
sendiri.
Namun, secara peribadi, kawan
berpandangan sebagaimana pandangan Ayahanda haji Hasyim sendiri iaitu ‘boleh
tambah, jangan ubah’. Silibus yang telah diseragamkan, janganlah diubah, kerana
itulah ‘blueprint’ Lian Padukan yang nak disampaikan kepada pelatih generasi
seterusnya. Namun untuk ditambah dalam aplikasi atau huraian atau perkongsian
teknik luar, pada kawan, tiada masalah, malah digalakkan. Dalam Lian Padukan
sendiri masih terdapat beberapa pelajaran luar silibus yang dihimpunkan dalam
Lian-lian Asing.
Sebenarnya, dalam kita
mengajarkan Lian Padukan, selain diperturunkan teknik tempur atau kesukanan,
janganlah dilupakan sama perturunkan konsep ‘penyerahan’, selayaknya terjemahan
PADUKAN itu sendiri, iaitu Pada Allah Diserahkan Untuk Keselamatan Anda Nanti. Inilah
pelajaran yang sebenar-benarnya perlu kita hayati, kerana dengan menyerahkan
diri kita semata-mata kepada Allah Subhanahu Wa Taala sahajalah, keselamatan diri
kita terpelihara dan menundukkan keakuan atau keegoan kita.
Untuk mengatakan Lian Padukan
tiada teknik itu, tiada teknik ini, sebenarnya kita kena berbalik kepada tujuan
buah pukul itu sendiri iaitu ‘Hendak Mengena Tak Nak Kena’. Matlamat
Allahyarham Pak Mat Kedidi sendiri mahukan yang Lian Padukan menjadi himpunan
teknik-teknik tempur terbaik, di mana istilah ‘terbaik’ itu sendiri adalah
terpakai di situasi yang berbeza. Teknik yang tak terpakai di gelanggang sukan
tempur, boleh jadi adalah teknik terbaik mempertahankan nyawa di situasi
jalanan. Contohnya buah ‘telur mata’ itu sendiri. Tuju tang telur, tang mata. Ada
lagi ka ‘buah’ yang lebih berkesan dari ‘buah’ yang ini dalam menghentikan
pergaduhan?
Dan, secara peribadi, kawan
berpendapat yang Lian Padukan itu sendiri, di suatu peringkat kefahaman, sudah
hilang ikatan ‘rupanya’ yang tersendiri, kerana berpegang kepada istilah P.A.D.U.K.A.N
itu sendiri. Sebagi contoh, seorang guru kawan pernah berkongsikan kefahaman ‘Pakai-Tak
Pakai, Tak Pakai-Pakai’ yang popular di kalangan pesilat Cekak sebagai “kalau
kita bergantung kepada teknik (pakai), tak menjadi teknik tu (tak pakai), tapi
kalau kita buang keakuan diri (tak pakai), insyaAllah terpakailah ilmu yang kita
pelajari, dengan kehendak Allah (pakai)’’. Sungguhpun kawan tak pasti huraian
sebenar di kalangan pesilat Cekak, namun yang kawan fahami adalah kita dituntut
meletakkan diri dalam penyerahan kepada Allah Subhanahu Wa Taala tanpa
menafikan usaha belajar dan terus memperbaiki diri.
Maka, berbalik kepada tajuk, tak
salah menyesuaikan pelajaran Lian Padukan dengan tuntutan pertandingan atau
zaman, namun janganlah diubah pelajarannya. Atas akal budi bicara guru
gelangganglah. Insaflah, bukan semua pelatih Lian Padukan berhasrat untuk
memasuki gelanggang sukan tempur. Jika perlu, wujudkan cabang kesukanan di
gelanggang atau kelas masing-masing, dan import sahaja jurulatih luar yang
diiktiraf badan sukan tersebut untuk perkongsian teknik. Pelatih kita pun ada yang
sekadar berhobi untuk mengurus stress, dan ada yang sekadar mahu menyiapkan
diri dengan sedikit ilmu mempertahankan diri. Menambah-nambah pelajaran
dikhuatiri hanya akan melama-lamakan tempoh pembelajaran, yang suatu ketika
dahulu, hanya dengan bekalan Jurus 1 sahaja sudah cukup buat pelatih menambah
keyakinan diri.
Mungkin sekiranya ada pelatih
yang beranggapan perlunya penerapan teknik tempur lantai atau bantingan kerana
kehendak susunan ‘tumbuk – pukul – lapis – gelut – bergelut-gelut berkeputusan
pantas tewas’, kerana suasana tempur kini sudah tidak sama dengan tempur
dahulu, pun boleh jadi.
Apa pun, pada kawan, ‘ketidaklengkapan’
Lian Padukan itulah ‘keistimewaannya’ yang tersendiri. Namun, jika difikirkan
kembali dengan akal yang waras, benarkah ‘tidak lengkap’?
Kalau ikut Ayahanda Haji Hasyim
sendiri, pelajaran buah pukul ni dikategorikan kepada 3, iaitu ‘buah tunjuk/
gelanggang’, ‘buah try’ dan ‘buah gaduh’. Tanggungjawab pelatihlah untuk
mengkaji letak duduk setiap pelajaran di kategori yang mana. Buah yang sama,
boleh ‘dirupakan’ pelbagai mengikut suasana. Sebab itu kawan ada sebutkan ‘hilang
rupa’.
Tulisan kawan ini sedikit pun tidak menafikan keperluan pertandingan sukan tempur. Sukan tempur tetap ada kelebihannya, antaranya ialah disiplin, ukhwah, kesedaran diri, kerendahan ego dan kefahaman teknik mengikut situasi dan diadili melalui juri yang profesional. Kawan sendiri pernah berkecimpung dalam sukan tempur, namun ketika ini lebih selesa menyampaikan pelajaran Lian Padukan mengikut kehendak pelajaran itu sendiri.
Apa pun, terpulang kepada kefahaman
masing-masing. Sebab itulah pentingnya istiadat khatam, kerana selepas khatam,
insyaAllah datang pencerahan tentang sebenar permainan LIAN PADUKAN. Selagi belum
khatam atau ‘dah nak khatam’, kita akan terapung-apung dalam andaian demi
andaian. Semoga Allah Subhanahu Wa Taala memudahkan majlis khatam istiadat dijalankan dalam tahun ini, kerana sudah ramai kedapatan pelatih yang layak dikhatamkan. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment