Thursday, 3 April 2025

BERDIRI, MUSUH!

BERDIRI, MUSUH!

 Slogan lama yang semakin dilupakan, hatta pengamal lama LP.

 Sedangkan kata-kata inilah yang mendarahdaging dalam jasad pengamal LP.

 Melalui jalan latihan yang wajib Keras, Ganas, Pantas, Tangkas agar kita Ikhlas dan Tidak Was-was. Barulah Tidak Tewas.

 "Berdiri, Musuh!" itu sendiri 'berdiri' dari 'Syarat Berdiri'. Kerana manusia itu hakikat kemanusiaannya adalah 'berdiri', setegak berdirinya 'Alif'.

 Maka, apabila berhadap musuh, wajib menjadikan musuh itu tidak lagi 'berdiri'. Selagi dia berdiri dan berhasrat memudaratkan kita, selagi itulah dia 'musuh'.

 Sebab itu, hendaklah diiktikadkan bahawasanya tiada apa yang mampu mendatangkan mudarat, mahupun keuntungan, melainkan atas izin Ilahi. Makhluk tak punya daya upaya. Semuanya hanya Allah Subhanahu Wa Taala yang punya. Allahu Allah Haq.

 Asal bergerak keluar kediaman, biasakan diri melafazkan Bismillahillazi la yadhurru ma'smihi syai'un fil ardhi wa la fissama'i wa hiwasami'ul 'alim. 

 Lafazkan juga La hau la wa la quwwata illa billahil 'aliyil 'azhim... Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan keizinan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. 

Genggamlah kembali kata hikmah 'Berdiri, Musuh!". Jika di Johor, rujuklah kepada Ayah (Ayahanda Haji Hasyim) apa maksudnya 'Berdiri' dan apa maksudnya 'Musuh' untuk lebih pengertian.

Monday, 13 May 2024

HAKIKAT TEMPUR

 Tempur bermaksud perkelahian, pertembungan, perlawanan, peperangan dan lain-lain yang berpadanan maksud.

Selaku pengamal sesuatu aliran seni bela diri, sudah pasti kita kerap didoktrinkan dengan teknik-teknik terbaik aliran yang kita sertai dalam mendepani situasi tempur, sama ada di medan sukan mahupun jalanan.

Hakikatnya, tempur adalah suatu situasi yang unik, yakni tersendiri.

Suatu keadaan tempur bergantung kepada lawan yang kita hadapi (saiz badan, bilangan lawan, keadaan lawan yang bersenjata atau tidak), tempat, masa dan keadaan berlakunya pertempuran (lantai yang licin, hujan, lorong-lorong gelap, gelap malam, hutan, bangunan, bilik sempit, dan lain-lain).

Sudah tentu sukan tempur dan tempur jalanan, malahan peperangan itu sendiri berbeza keadaan, dengan satu diikat undang-undang, syarat dan peraturan, dan satu lagi bebas tanpa taklukan peraturan yang dikhuatiri boleh membawa maut.

Oleh yang demikian, bolehlah kita membuat kesimpulan bahawa tiada seni beladiri yang bersifat 'one size fit all'.

Cumanya, melalui perjalanan, pengajian, pengamalan, dan penghayatan yang kita lalui dalam suatu seni beladiri, kita berpeluang menjadikan aliran yang kita pelajari itu sebagai penanda aras atau panduan atau draf idea untuk kita kembangkan dalam menghadapi satu-satu situasi tempur.

Sudah tentu kita memerlukan suatu landasan untuk kita jadikan panduan sebagai kaedah latihan. Dari situ lahirnya pelbagai aliran seni beladiri, daripada kefahaman para pendiri yang pelbagai, sesuai dengan pengalaman dan 'world view' mereka. Kita mengikuti setiap corak latihan yang telah mereka susun, untuk kita sendiri meneroka pengalaman dan pandangan alam kita sendiri. Unik.

Kawan pernah bersahabat dengan seorang atlet sukan judo. Pernah juga sparring secara persahabatan, bermodalkan sukan silat olahraga yang kawan dalami ketika itu (zaman universiti). Merasa dibanting mentah-mentah ke tanah. Dia juga merupakan pengamal aliran Aikido.Boleh dikatakan bantingan, buangan dan kuncian merupakan 'forte'nya. Namun apabila ditanya tentang aplikasi ilmunya di tempur jalanan, katanya,

"Nak selamat, kurangkan main grappling. Sebab kita tak tau yang menyerang tu bersenjata atau tidak, bawak geng atau tidak. Stick pada take down, hempas ke jalan kalau terpaksa main rapat. Boleh capai apa-apa benda untuk buat senjata, capai je. Pastikan jarak yang neutral untuk kita bertindak, sama ada untuk lari atau untuk jauhkan diri."


Pengalaman kawan sendiri, sewaktu ke sebuah pantai peranginan dengan kenderaan sendiri bawak anak isteri jalan-jalan makan angin. Suatu waktu, perjalanan kami terencat kerana ada 2 penunggang motosikal bersembang-sembang si tengah perjalanan. Melihat cermin sisi yang semakin bersusun kenderaan di belakang, kawan pun menekan hon supaya mereka memudahkan perjalanan orang lain.

Selang beberapa ketika, kawan diekori dan dihimpit oleh 2 motosikal tersebut. Mungkin terlihat di plate kereta kami yang kami ni orang luar, dan mereka orang tempatan. 'Berdarah' telinga dihon orang luar. Isteri agak risau ketika itu, namun kawan tetap menghentikan kereta di pinggir jalan.

Turunlah kami dari kereta dan motosikal masing-masing dengan wajah masam mencuka. Sebaik mereka menanggalkan helmet, terpapar wajah muda remaja belasan tahun yang masih berdarah panas bersikap berani tapi belum cukup berumur menggauli dunia. Kawan seraya menghulur tangan untuk bersalam, sambil bersedia untuk membuat 'salam mayat' seandainya pihak di sana memulakan provokasi fizikal.

''Adik, abang mintak maaf, dan kita setel je la ye. Tapi kalau adik nak jugak bertumbuk, pastikan adik cukup bersiap nak hadap 'barang-barang' yang dalam poket abang ni."

Agak terdiam anak muda tu dengan ugutan kawan, dan tangan yang bersalam pun semakin dilonggarkan. Kami pun saling bermaafan dan berjanji untuk sama-sama tidak mengulangi perbuatan kami - block jalan orang dan hon orang banyak-banyak kali.

Sekembali kawan ke kereta, isteri bertanya butir perbualan kami yang asalnya kelihatan tegang, namun kemudiannya nampak rancak dan ceria bersembang. Kawan pun keluarkan gula-gula Hacks dari poket kawan dan meneruskan perjalanan kami.

Sebenarnya, kawan sendiri berdebar dan gugup menghadapi situasi itu. Namun, teringat kata-kata hikmah yang kawan temui di media sosial tentang hakikat tempur, kawan pun bersyukur melaluinya dengan selamat.

"The best fight is the fight that we can avoid".






Saturday, 28 October 2023

TERSENTAK

 

 Selalu juga kawan hubungi sahabat-sahabat yang berada di Johor. Ada yang bercerita kepada kawan, yang ' Ayah tak main macam kita dulu-dulu. Dah tak berkasar sangat, tak keras sangat.''

Kawan pun macam, ye jugak kan. Lian Padukan ni ras utamanya wajib Keras, Ganas, Tangkas, Pantas, Ikhlas agar Tak Tewas. Kalau dah tak dihenyak betul-betul, essences tu tak sampai kepada pelatih.

Sehinggalah kawan ditakdirkan uzur. Faktor usia barangkali. Nak mencangkung pun jenuh. Kalau nak membuang, kena cari bilik air yang berjamban duduk.

Tersentak kawan. '' Dulu-dulu''yang sahabat-sahabat kawan maksudkan adalah lebih 10 tahun dahulu. Waktu itu kami juga muda belia, rata-rata masih bujang lagi. Masih gagah kalau setakat nak buat Jurus 1 sampai Lian 16 one shot secara non stop.

Belasan tahun kemudian, kawan sendiri dah tak larat. Berat badan naik, seiring dengan keuzuran tubuh badan.

Tak adil sungguh kami kepada Ayah, membandingkan Ayah yang belasan hatta puluhan tahun dahulu punya pendekatan, dengan Ayah yang sekarang. Kalau kami pun dah meningkat usia, apatah lagi Ayah...

Maka terfikirlah kawan. Yang sepatutnya mendidik pelatih kini dengan tatakelola latihan terdahulu adalah jurulatih yang ada sekarang, malahan bertambah-tambah lagi dengan adanya guru-guru khatam yang terkini. 

Peranan Ayah cukup sekadar menyampai petua, inti dan insight Lian Padukan selaku Guru Utama. Di sekolah pun, Pengetua tak ambik subjek utama. Kelas pun tak banyak, sesuai dengan tanggungjawabnya selaku pemimpin yang banyak lagi nak ditanggung.

Maka, tanggungjawab gurulatih-gurulatih khatam yang ada kinilah sepatutnya menyampai dan mengasuh generasi terkini dan akan datang dengan apa yang sepatutnya diperturunkan.

Keratan komik di atas, walaupun berkenaan BJJ, ada terkena kepada kita juga. Sayangnya Ayah kepada Lian Padukan, masih lagi meluang masa mengasuh pelatih terkini dengan semampu kudrat tuanya..

Sunday, 23 April 2023

INSYAALLAH, SAMPAI MASANYA NANTI...

 Alhamdulillah...

Allah Subhanahu Wa Taala masih menganugerahkan kawan kesempatan untuk mengarang di sini. Walaupun di sela masa yang agak panjang...

Lagipun, siapa je yang sudi baca tulisan kawan ni. Ni kan zaman Tik Tok. Baca-baca ni dah 'outdated'. Generasi sekarang nakkan sesuatu yang cepat dan tidak kompleks. Kalau bab bertumbuk tu, kalau boleh nak satu malam belajar cukup, dah khatam. Maka, Tik Tok, Reels, Shorts, merupakan suatu medan yang lebih mudah diterima.

Kadang-kadang kalau kita ulas sesuatu isu di media sosial panjang berjela pun, habis koman dibalasnya "panjang sangat tulis pun. Lukis boleh?"

Kawan masih lagi agak ortodoks dalam pencarian dan penyimpanan ilmu. Berguru masih perlu melalui bersemuka dan fizikal, namun tidak pula kawan menolak pembelajaran melalui online. Asalkan berguru, yakni ada pengiktirafan yang kita ni berguru, melalui pembayaran yuran, diskusi atau soal jawab atau pembetulan gerak gaya melalui hantaran rakaman. 

Namun bab 'mengikat' ilmu, kawan masih menggunakan medium 'menulis'. Rakaman melalui video ni kadang-kadang ibarat angin berlalu sahaja, tak dapat nak 'ditambat'  ingatan. Buku jugak yang best.

Sepanjang kawan menulis beberapa keluaran, kawan sedar sebenarnya ada juga tulisan kawan yang di'quote' oleh senior atau guru Lian Padukan, mahupun luar daripada perguruan Lian Padukan. Sebab ada antaranya terlalu 'copy paste' sangat, sampaikan font dan saiz tulisan pun tak diubah.

Kawan perlu ingatkan, tulisan kawan di sini adalah lahir dari kefahaman kawan sendiri melalui latihan dan tanya-tanya orang lama. Ada antaranya sulit untuk didedahkan, namun kawan permudahkan ayat supaya kawan faham. Sudah tentu kefahaman kawan akan berbeza dengan khalayak pembaca, kerana walaupun pelajaran dan pengalaman yang dilalui sama, penerimaan boleh jadi berbeza.

Maka kawan nasihatkan janganlah dijadikan tulisan kawan sebagai sumber primer untuk berhujah tentang Lian Padukan. Media sosial utama Lian Padukan boleh dirujuk melalui FB Persatuan Seni Silat Lian Padukan Malaysia yang lebih berautoriti, kerana bawah pemantauan langsung Guru Utama Lian Padukan, Ayahanda Haji Hasyim Salleh. Yang kawan tulis di sini, adalah rentetan kefahaman kawan yang mungkin menyimpang daripada penyampaian Guru Utama mahupun guru-guru senior yang lain.

Maka, kenapa diwujudkan blog ini?

Tidak lain, untuk memeriahkan sumber bacaan, walaupun bukan sumber rasmi. Bertambahnya sumber bacaan bermakna bertambah sumber pencetus pemikiran. Ya, Lian Padukan adalah seni untuk orang yang berfikir, walaupun kisahnya tentang bertumbuk, bertumbuk, bertumbuk. Orang yang berfikir pasti akan melihat lapik-lapik pelajaran yang disampaikan melalui ilmu bertumbuk tersebut.

Apa pun, insyaAllah, sampai masanya kawan akan isytihar juga siapa diri ini selaku penulis di sini, walaupun tak penting pun untuk diketahui. Tak lama dah pun, kawna nak jangkau usia 40an. Dan lebih dari sedekad dah kawan belajar Lian Padukan. Maka kawan rasa, kawan perlu lebih bertanggungjawab dengan hala tuju hasil tulisan kawan. Sekurang-kurangnya, pembaca tahu siapa hendak mereka hamburkan kemarahan jika tulisan kawan tidak bertepatan dengan kefahaman mereka.

Kawan juga sedar, ada jurulatih dan guru aktif Lian Padukan yang mengambil tulisan kawan di sini untuk dipos di media sosial peribadi mereka. Dengan rendah diri, kawan persilakan dan berdoa semoga ia memberi manfaat kepada pembaca. 

Dan kepada pengamal keluarga buah pukul Syed Abdul Rahman Al-Yunani yang lain, maaf jika kawan tidak ataupun jarang berkongsi tentang perguruan lain. Sudah tentu kawan tidak berani untuk menyentuh hal yang tidak kawan bidangi. Di sini, kawan berpada dengan Lian Padukan semata-mata, kerana hanya Lian Padukan sahaja kawan beroleh izin untuk bercerita dan berkongsi sekadar adanya, selaku 'keluarga'.

Salam Aidil Fitri buat semua. Semoga terus bersemangat awan dalam melegasikan Lian Padukan.

Sunday, 18 December 2022

PERLUKAH ELEMEN ‘GRAPPLING’ DIMASUKKAN KE DALAM SILIBUS LIAN PADUKAN?

Dalam era pertandingan diterima sebagai suatu indikator untuk menentukan keabsahan atau praktikaliti suatu seni beladiri, terdapat suatu tuntutan untuk memasukkan beberapa elemen yang sebelum ini agak asing dalam permainan buah pukul, iaitu elemen gusti, kuncian atau ‘grappling’. Tidak terkecuali, Lian Padukan.

Secara peribadi, sungguhpun kawan merupakan pengamal rasmi Lian Padukan yang bersifat progresif, namun kawan boleh dikategorikan sebagai pengamal ortodoks yang masih memegang kepada rukun dan petua yang terdapat dalam Lian Padukan, dan buah pukul secara tradisinya. Antaranya ialah ‘Berdiri Musuh’.

Permainan Lian Padukan tertegak atas prinsip tersebut, dan masih berpegang kepada saranan yang tercatat di nukil, iaitu ‘Ukur dan Jangka Hendaklah Dipelajari, Barulah Diketahui Syarat Berdiri’. Setiap silibus pelajaran Lian Padukan adalah berkisar kepada rukun yang ini, iaitu ‘Ukur’ dan ‘Jangka’, di mana kawan perhatikan bab inilah yang mengikat setiap aliran buah pukul yang berakar kepada Syed Abdul Rahman Al-Yunani, walaupun tafsirannya pelbagai mengikut penilaian guru pendiri masing-masing.

Lian Padukan juga secara aktif mempromosikan petua ‘mendulu’ yang dipelajari sedari Jurus 1 lagi di peringkat Pengenalan Senjata Lapan, di mana inilah ‘wajah’ Lian Padukan, apabila kita bercerita kepada orang baharu berkenaan Lian Padukan.

Selaku permainan ‘Buah Pukul’, setiap pelajaran dari Jurus 1 sehingga ke Lian Tapak 100 (khusus kepada pelatih yang sudah menjalani istiadat khatam, bukan yang ‘dah nak khatam’, kerana ada sumpahnya dengan Ayahanda Guru Utama), identiti buah pukul diterapkan dalam setiap terjemahan gerak dan lian. Hatta, perbuatan ‘simpan’ itu sendiri ada aplikasinya dalam buah pukul.

Namun, kehendak zaman, ada ahli yang beranggapan bahawa pelajaran Lian Padukan tidak lengkap tanpa adanya pelajaran banting-membanting, pergelutan di lantai, kunci-mengunci dan lain-lain yang dilihat relevan di pentas pertandingan. Malah, sudah terdengar ada yang mengatakan perbuatan titik-perisai-tumbuk tidak pun berfungsi di gelanggang tempur.

Selaku pelatih baru yang masih bertatih di kelas Lian Padukan, kawan selalu merasakan yang ‘ketidaklengkapan’ pelajaran Lian Padukan itulah yang menjadi keistimewaannya yang tersendiri.

Pertama, pelatih hendaklah memegang hakikat yang Lian Padukan adalah ‘buah pukul’, yang sudah pun berjasa sebelum adanya pentas pertandingan, di ‘pentas’ tanpa peraturan, yang menang kalah ditentukan dalam keadaan ‘berdiri’ dan lebih realiti.

Kedua, sekiranya terdapat pelatih yang mempertikaikan tentang pelajaran titik-perisai-tumbuk, rujuklah kepada guru gelanggang atau kelas masing-masing berkenaan petua ‘2 gerak 3 ruat’ yang diwajahkan oleh titik-perisai-tumbuk tersebut, yang membawa kepada petua ‘bertalu-talu’ yang mengiringi ‘mendulu’. Petua ini apabila kita regukan dengan kejadian atau sifat ‘air’, lihatlah bagaimana air akan sentiasa mengalir mencari hala melalui atau menembusi halangan.  Lian Padukan yang resminya ‘buah pukul’, juga mendasari petua ‘berguru kepada alam’ dengan unsur-unsur ‘api, angin, air dan tanah’.

Ketiga, sungguhpun Lian Padukan adalah pelajaran ‘buah pukul’, namun pengajiannya tidak menghalang pelatih meneroka khazanah persilatan atau beladiri yang terdapat dalam silibus Jurus dan Lian-liannya. Ayahanda Haji Hasyim sendiri kadang-kala menunjukkan aplikasi kuncian yang diolah daripada pelajaran Jurus dan Lian, selain dari persilatan atau beladiri lain yang pernah dipelajarinya. Kawan sendiri biasa melihat seorang guru khatam menggunakan aplikasi Lian Tapak 100 membanting pasangannya dalam suatu sparring bebas.

Keempat, ‘ketidaklengkapan’ Lian Padukan ini sebenarnya membuka ruang kepada pelatih untuk mempelajari seni tempur yang lain, jika mahu diasosiasikan dengan peraturan gelanggan tempur. Sudah ada pun guru khatam yang bersijil jurulatih sukan tempur Muay Thai, ada juga guru khatam yang mendalami seni Brazillian Jiu Jutsu, dan ada juga guru khatam yang masih menggali khazanah persilatan yang lain. Tidak kurang juga, ada pelatih Lian Padukan yang merupakan jurulatih seni beladiri atau silat yang lain, dan masih aktif mendalami Lian Padukan. ‘Ketidaklengkapan’ Lian Padukan membuka pesona ilmu lain, yang akhirnya menjadi bonus buat pelatih Lian Padukan sendiri.

Namun, secara peribadi, kawan berpandangan sebagaimana pandangan Ayahanda haji Hasyim sendiri iaitu ‘boleh tambah, jangan ubah’. Silibus yang telah diseragamkan, janganlah diubah, kerana itulah ‘blueprint’ Lian Padukan yang nak disampaikan kepada pelatih generasi seterusnya. Namun untuk ditambah dalam aplikasi atau huraian atau perkongsian teknik luar, pada kawan, tiada masalah, malah digalakkan. Dalam Lian Padukan sendiri masih terdapat beberapa pelajaran luar silibus yang dihimpunkan dalam Lian-lian Asing.

Sebenarnya, dalam kita mengajarkan Lian Padukan, selain diperturunkan teknik tempur atau kesukanan, janganlah dilupakan sama perturunkan konsep ‘penyerahan’, selayaknya terjemahan PADUKAN itu sendiri, iaitu Pada Allah Diserahkan Untuk Keselamatan Anda Nanti. Inilah pelajaran yang sebenar-benarnya perlu kita hayati, kerana dengan menyerahkan diri kita semata-mata kepada Allah Subhanahu Wa Taala sahajalah, keselamatan diri kita terpelihara dan menundukkan keakuan atau keegoan kita.

Untuk mengatakan Lian Padukan tiada teknik itu, tiada teknik ini, sebenarnya kita kena berbalik kepada tujuan buah pukul itu sendiri iaitu ‘Hendak Mengena Tak Nak Kena’. Matlamat Allahyarham Pak Mat Kedidi sendiri mahukan yang Lian Padukan menjadi himpunan teknik-teknik tempur terbaik, di mana istilah ‘terbaik’ itu sendiri adalah terpakai di situasi yang berbeza. Teknik yang tak terpakai di gelanggang sukan tempur, boleh jadi adalah teknik terbaik mempertahankan nyawa di situasi jalanan. Contohnya buah ‘telur mata’ itu sendiri. Tuju tang telur, tang mata. Ada lagi ka ‘buah’ yang lebih berkesan dari ‘buah’ yang ini dalam menghentikan pergaduhan?

Dan, secara peribadi, kawan berpendapat yang Lian Padukan itu sendiri, di suatu peringkat kefahaman, sudah hilang ikatan ‘rupanya’ yang tersendiri, kerana berpegang kepada istilah P.A.D.U.K.A.N itu sendiri. Sebagi contoh, seorang guru kawan pernah berkongsikan kefahaman ‘Pakai-Tak Pakai, Tak Pakai-Pakai’ yang popular di kalangan pesilat Cekak sebagai “kalau kita bergantung kepada teknik (pakai), tak menjadi teknik tu (tak pakai), tapi kalau kita buang keakuan diri (tak pakai), insyaAllah terpakailah ilmu yang kita pelajari, dengan kehendak Allah (pakai)’’. Sungguhpun kawan tak pasti huraian sebenar di kalangan pesilat Cekak, namun yang kawan fahami adalah kita dituntut meletakkan diri dalam penyerahan kepada Allah Subhanahu Wa Taala tanpa menafikan usaha belajar dan terus memperbaiki diri.

Maka, berbalik kepada tajuk, tak salah menyesuaikan pelajaran Lian Padukan dengan tuntutan pertandingan atau zaman, namun janganlah diubah pelajarannya. Atas akal budi bicara guru gelangganglah. Insaflah, bukan semua pelatih Lian Padukan berhasrat untuk memasuki gelanggang sukan tempur. Jika perlu, wujudkan cabang kesukanan di gelanggang atau kelas masing-masing, dan import sahaja jurulatih luar yang diiktiraf badan sukan tersebut untuk perkongsian teknik. Pelatih kita pun ada yang sekadar berhobi untuk mengurus stress, dan ada yang sekadar mahu menyiapkan diri dengan sedikit ilmu mempertahankan diri. Menambah-nambah pelajaran dikhuatiri hanya akan melama-lamakan tempoh pembelajaran, yang suatu ketika dahulu, hanya dengan bekalan Jurus 1 sahaja sudah cukup buat pelatih menambah keyakinan diri.

Mungkin sekiranya ada pelatih yang beranggapan perlunya penerapan teknik tempur lantai atau bantingan kerana kehendak susunan ‘tumbuk – pukul – lapis – gelut – bergelut-gelut berkeputusan pantas tewas’, kerana suasana tempur kini sudah tidak sama dengan tempur dahulu, pun boleh jadi.

Apa pun, pada kawan, ‘ketidaklengkapan’ Lian Padukan itulah ‘keistimewaannya’ yang tersendiri. Namun, jika difikirkan kembali dengan akal yang waras, benarkah ‘tidak lengkap’?

Kalau ikut Ayahanda Haji Hasyim sendiri, pelajaran buah pukul ni dikategorikan kepada 3, iaitu ‘buah tunjuk/ gelanggang’, ‘buah try’ dan ‘buah gaduh’. Tanggungjawab pelatihlah untuk mengkaji letak duduk setiap pelajaran di kategori yang mana. Buah yang sama, boleh ‘dirupakan’ pelbagai mengikut suasana. Sebab itu kawan ada sebutkan ‘hilang rupa’.

Tulisan kawan ini sedikit pun tidak menafikan keperluan pertandingan sukan tempur. Sukan tempur tetap ada kelebihannya, antaranya ialah disiplin, ukhwah, kesedaran diri, kerendahan ego dan kefahaman teknik mengikut situasi dan diadili melalui juri yang profesional. Kawan sendiri pernah berkecimpung dalam sukan tempur, namun ketika ini lebih selesa menyampaikan pelajaran Lian Padukan mengikut kehendak pelajaran itu sendiri.

 Apa pun, terpulang kepada kefahaman masing-masing. Sebab itulah pentingnya istiadat khatam, kerana selepas khatam, insyaAllah datang pencerahan tentang sebenar permainan LIAN PADUKAN. Selagi belum khatam atau ‘dah nak khatam’, kita akan terapung-apung dalam andaian demi andaian. Semoga Allah Subhanahu Wa Taala memudahkan majlis khatam istiadat dijalankan dalam tahun ini, kerana sudah ramai kedapatan pelatih yang layak dikhatamkan. InsyaAllah.

Thursday, 10 March 2022

INNALILLAHI WA INNA ILAIHI ROJIUN - CIKGU COMEL




 Innalillahi wa inna ilaihi rojiun...

Salam takziah diucapkan buat keluarga Cikgu Ustaz Ungku Najib Bin Ungku Abu Bakar atau lebih dikenali di kalangan ahli Lian Padukan Johor sebagai Cikgu Comel.


Agak lewat sebenarnya kawan mencatatkan berita ini di sini. Namun, semoga paparan pemergian beliau ini diiringi doa agar rahmat Allah Subhanahu Wa Taala sentiasa bersamanya.

Allahyarham merupakan antara guru awal kawan semasa mempelajari Lian Padukan dahulu. Seorang yang memegang teguh konsep 'cega curiga waspada' di celahan peribadinya yang tidak lekang bergurau dan tersenyum. Seorang sahabat yang prihatin, teritama kepada Ayahanda Haji Hasyim, namun keras ketika mengajar buah pukul. 

Semoga ilmu bermanfaat yang dicurahkannya menjadi peneman di alam sana, insyaAllah...

Al Fatihah buat Cikgu Comel..

Thursday, 23 December 2021

SAKIT

 'Sakit' dalam Lian Padukan adalah diwarisi secara turun-temurun dari satu generasi pelatih ke satu generasi yang lain.

Bermula 'sakit' itu dirasai adalah semasa pelatih Lian melakukan pelampas seperti bilai atau lempang, pelampas titik perisai tumbuk serangkai, dan lain-lain yang memerlukan pelatih menampar atau memukul anggota tubuh sendiri. Kemudian 'sakit' itu dirasai semasa melakukan pelampas secara berpasangan seperti lawan 'titik' tangan kawan, laga lengan, laga keting, jintat dan lain-lain.

'Sakit' kemudian turut dirasai semasa berlatih aplikasi buah Jurus dan Lian. 'Sakit' itu hanya akan dirasai apabila cukup elemen 5 'As' iaitu Keras, Ganas, Pantas, Tangkas dan Ikhlas. InsyaAllah kita akan merasa Puas bergelanggang, dan di waktu memerlukan,Tidak Tewas.

 'Sakit' itu perlu kita rasai supaya kita boleh mencipta toleransi terhadap sensasi 'sakit' tersebut, dan tahu bahagian mana nak menerima 'sakit' atau bahagian mana nak dielak 'sakit'. 'Sakit' itu yang akan menjadi sempadan kepada kita supaya tidak menyalahgunakan ilmu buah pukul bukan pada tempat,waktu dan orangnya. 'Sakit' itu juga kita akan 'pindahkan' kepada musuh apabila kena pada tempat, waktu dan orangnya. Sungguhpun kita 'mendulu', tetapi bukan kita yang 'cari pasal dahulu'. Beza mendulu dengan melulu adalah mendulu akal di depan, tetapi melulu akal di belakang. Sentiasa ada jalan penyelesaian sebelum kita terpaksa 'berdiri'. 

Suatu ketika, 'sakit' itulah yang menjadi indikator kualiti kemenjadian sesuatu teknik atau buah aplikasi. Namun itu hanya boleh dicapai apabila sesama rakan seperlatihan 'ikhlas' dalam memberi dan menerima pukulan. Tanpa keikhlasan menerima untuk merasa 'sakit'nya dipukul, dihempas,dijatuhkan, langkah kaki takkan lama terpasak di gelanggang.

Walaupun dimaklumi, 'sakit' itulah punca isi gelanggang semakin mengecil dari sehari ke sehari, semoga kualiti 'sakit' itu berkekalan dari generasi ke generasi.

Tuesday, 19 October 2021

FORM OR WITHOUT FORM

 "Tak perlu belajar silat yang ada form-form ni. Masa bergaduh bukan sempat nak bukak bunga, lian ni. Tau bertumbuk je, cukup. Nak berlatih pun, ambik drill yang asas je."

'Form' yang dimaksudkan, kalau buah pukul, kita panggil Lian. Kalau silat lain, bunga atau tari. Dalam Sendeng, dipanggil pecah. Dalam silat Gayong ADMAR, disebut 'gulungan' atau 'golongan'. Kalau taekwondo, dipanggil 'pattern'. Dalam karate, dipanggil 'kata'. Setakat itu pengetahuan kawan tentang 'form' yang dimaksudkan.

Benarkah 'form' ini tidak perlu?

Bagi yang menjunjung falsafah Mendiang Bruce Lee, ada yang beranggapan 'form' ini hanya akan menyekat kebebasan pergerakan atau kreativiti dalam pertempuran. 

Sepanjang kawan mengamalkan Lian Padukan, 'form' atau Lian dalam Lian Padukan adalah jalan latihan yang menghimpunkan landasan pergerakan kesepaduan anggota dan gerak. Turut terhimpun dalam Lian adalah petua-petuanya yang menjadi 'roh' kepada Lian yang dilatih. Mudah kata, Lian ini ibarat 'bekas' yang menampung pelbagai khazanah, petua dan rahsia buah pukul.

'Form' atau Lian yang dilatih juga mempunyai aplikasi atau 'buah' cadangan yang boleh digunakan ketika tempur. Dalam keadaan tempur sebenar, Lian bukan lagi jawapan kepada sesuatu situasi tempur, melainkan petua 'tumbuk, pukul, lapis, gelut, bergelut-gelut, berkeputusan pantas-tewas'. Itupun kalau kita pegang betul 'hendaklah mendulu jangan menunggu, bertalu-talu jangan tualu', boleh jadi tempur itu cuma diperingkat 'tumbuk', terus ke keputusan 'pantas-tewas'. Sebab apa-apa pun, kita cuma 'hendak mengena tak nak kena'.

Tapi, karangan di atas hanyalah tinggal karangan tanpa Lian yang dilatihkan. Sebab hanya melalui melatih 'senjata lapan' yang 'bergayang lima' melalui jalan 'Lian' sahajalah karangan di atas dapat direalisasikan.

Kadang-kadang Lian juga boleh jadi jalan motivasi untuk berlatih. Naik peringkat Lian demi Lian kadang-kadang memberi semangat untuk pelatih menggali khazanah Lian dengan lebih gigih lagi. Apa pun, kualiti pelatih bergantung kepada kualiti guru yang melatih. Sebab itu juga dikatakan 'rahsia guru pada murid, rahsia murid pada guru'.

Lian yang dilatih juga boleh dijadikan wadah latihan stamina fizikal dan mental. Dalam Lian Padukan, dikhabarkan pernah ada calon khatam suatu ketika dahulu melatih setiap Lian sehingga 100 kali, bermula dari Lian Selak Panjang hingga Lian Gulung. Dia menjalankan latihan tersebut sebaik namanya dicalonkan oleh Haji Hasyim untuk layak dikhatamkan. Berbulan juga masa diambil, sehingga selesai sebaik menghampiri minggu khatam. Kaedah tidak pun diarahkan oleh Ayahanda Haji Hasyim, inisiatifnya sendiri. Dewasa ini pun banyak pelatih yang mempelbagaikan latihan Lian, turut mengintegrasikannya dengan latihan kecergasan, agility, ketahanan dan kekuatan, menggunakan atau tanpa menggunakan bahan bantu berlatih. Perkembangan positif.

Saudara kita dari Lingkaran Gerak Lian juga khabarnya menggunakan kaedah ujian fizikal yang agak ekstrem, dengan pelatih peringkat tertinggi diuji melakukan satu Lian pilihan Guru Utama sehingga berjam-jam lamanya, katanya sampai lilin terpadam, supaya pelatih dan Lian itu 'berkahwin'. Ini kawan dengar dari Facebook Live Kalam Rumbawe bersama Ketua Jurulatih Lingkaran Gerak Lian, Guru Abang Nan. 

Maka, 'form' atau Lian itu terbukti tidak pun mengikat kreativiti dan kebolehpakaian dalam tempur dan latihan.

Dalam dunia buah pukul, ada dikatakan 'Lian itu Guru'.

Sebenarnya pelatih sendiri perlu kreatif, berdaya inovasi dan berkehendak untuk mengkayakan kepelbagaian latihan. Bukan semua tunggu disuap oleh guru atau jurulatih. Kadang-kadang latihan seminggu sekali berkadar masa 2 jam, apa sangatlah yang kita boleh, melainkan silibus-silibus yang perlu dipelajari. Maka, pelatihlah sendiri yang perlu berusaha untuk peningkatan kendiri. Tahu stamina tak cukup, pergilah joging atau berbasikal. Tahu badan naik lemak, buatlah latihan bebanan atau kalistenik. Jaga pemakanan. Takkan benda apa nak disuap ke mulut pun, nak kena tunggu guru atau juru latih cerita dalam kelas.

Dalam Lian Padukan sendiri, ada drill atau pelampas yang khusus untuk menajamkan keberkesanan 'senjata lapan'. Latih itu pun cukup sebenarnya, untuk tempur, jika nak menolak 'form' ini. Tapi bukankah rugi jika taknak ambil tahu tentang Lian, kerana pelampas-pelampas ini ibarat 'peluru', dan Lian itulah 'pistol'nya. 'Peluru' tanpa 'pistol', tidaklah ada gunanya. Begiti juga sebaliknya.

Maka, buat pengamal Lian, janganlah ditinggalkan melatih Lian. Betul kombo-kombo seperti straight, hook, cross, uppercut itu sudah cukup, seperti dalam boxing. Namun, jika dihayati Lian dengan lebih mendalam, banyak lagi sebenarnya yang menunggu untuk dibongkarkan.

Thursday, 14 October 2021

HAK LIAN

 Setiap sesuatu yang diciptakan Allah Subhanahu Wa Taala ada haknya yang perlu ditunaikan. Tambahan pula Allah Subhanahu Wa Taala menciptakan manusia selaku khalifah di muka bumi. Maka manusia wajiblah menunaikan hak-hak setiap yang dikhalifahkan kepadanya.

Hak seorang isteri adalah dipenuhi nafkah zahir dan batinnya oleh suami. Hak alam sekitar adalah dipelihara, dipulihara dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Hak lidah adalah mengeluarkan bicara yang baik-baik dan dibasahi dengan zikir dan selawat.

Sesuailah dengan firman Allah Subhanahu Wa Taala, 

" Laqad khalaqnal insana fi ahsani taqwim"

Maka, Lian juga mempunyai hak yang perlu kita selaku pengamalnya, penuhi.

Hak Lian adalah dilatih setiap anggota nafas (bergerak) secara istiqamah setiap hari.

Pengamal hendaklah mempadukan cantuman gerak dan anggota, berlandaskan lian amalan masing-masing.

"Padu" itu sendiri hanya boleh dicapai melalui latihan ulangan demi ulangan. 

Padukan latihan sehingga semuanya terhimpun menjadi "SATU".


Friday, 8 October 2021

FIKIR-FIKIRKANLAH...

 Asalnya ambil Lian Padukan dari Haji Hasyim.

Keluar Lian Padukan, mengaku susur galur ilmu yang dimarketkan dari Allahyarham Pak Mat Kedidi. Buang nama guru yang mengkhatamkan permainan.

Buat perguruan baru, tapi guna silibus Lian Padukan. Ada la olah-olah sikit, bagi nampak lain.

Fikir-fikirkan dan renung-renungkanlah...

Alhamdulillah, Lian Padukan taklah ramai, tapi taklah hilang. Masih ada lagi yang setia melatih Senjata Lapannya yang Bergayang Lima, agar Lian Padukan Ta' Hilang Di Dunia.

Setia berlatih tanpa perlu bising-bising.


Friday, 20 August 2021

LIAN - FANTASI ATAU REALITI?


 Apabila terbaca paparan iklan ini di laman Facebook, terus kawan teruja.


Tok Siak Arrembauwi khabarnya penggerak Persatuan Lingkaran Gerak Lian di Negeri Sembilan. Juga merupakan tokoh penggerak kebudayaan, terutamanya persenjataan Melayu.

Juhann Sauffy, atau nama di Facebooknya Johnny Sauffy, merupakan orang kuat Lian Padukan sendiri, di peringkat kebangsaan dan Selangor. Beliau juga merupakan jurulatih dan penggerak Akademi Lian Padukan Laksamana yang berpusat di Shah Alam.

Apabila orang-orang Lian sendiri berbual bicara tentang permainan Lian, yang sungguhpun berbeza ranting namun tetap berakar petua dan konsep yang sama, pasti banyak input yang boleh kita perolehi.

Secara tidak langsung, ini juga menguatkan ukhwah antara 2 perguruan bersanad dari Syed Abdul Rahman Al-Yunani. Seperti yang dimaklumi, perguruan Lingkaran Gerak Lian pimpinan Pendekar Guru Nazri Bin Hussin pernah diundang memeriahkan majlis khatam istiadat Lian Padukan di gelanggang induk sekitar tahun 2009 dahulu.

Kawan sendiri kadang-kadang merasa tidak puas menonton bual bicara guru Pak Mat Samurai apabila bercerita tentang Buah Pukul. Butir bicaranya sentiasa membuahkan ilmu, tak hanya tentang buah pukul, malah tentang kehidupan. Semoga Allah Subhanahu Wa Taala merahmati usia salah seorang guru kepada Ayahanda Haji Hasyim itu. Kawan juga bercita-cita mahu melanjutkan pembelajaran buah pukul dengan beliau, terutama berkenaan dasar Syarat 28.

Berbalik kepada tajuk webinar yang bakal berlangsung 25 Ogos 2021 hadapan, Lian - Fantasi atau Realiti?

Sepanjang pembelajaran kawan dalam Lian Padukan- dan masih merangkak lagi dalam dunia Lian- permainan bersusur galur Lian atau Buah Pukul Mersing ini adalah suatu permainan yang berpijak di bumi nyata. Secara zahirnya begitu, berdasarkan pernyataan di banyak sumber berkenaan Lian - permainan yang tiada lenting-melenting, melompat-lompat, atau berguling-guling.

Lian Padukan sendiri berpegang kepada konsep 'Berdiri, Musuh!'. Ini bertepatan dengan petua di nukil yang mengkehendaki kita mempelajari tentang 'ukur dan jangka' untuk mengetahui 'syarat berdiri'.

Fantasi secara umumnya adalah angan-angan atau khayalan. Tidak dinafikan, ada juga pandangan dalam dunia seni beladiri yang menghidangkan fantasi kepada pengamalnya. Alirannya yang paling hebat, permainan merekalah 'the ultimate answer' untuk semua perguruan lain. Terpulang, itu adalah cara masing-masing.

Untuk memastikan sesuatu persilatan atau perguruan itu menepati realiti tempur, 2 aspek perlu diambil kira dalam latihan beladiri, iaitu 'realisme' dan 'resistance'.

Aspek 'realisme' merujuk kepada corak pertahanan dan serangan yang bersungguh dan sebenar, berdasarkan apa yang berlaku sama ada di medan pertandingan mahu pun jalanan. Maka, latihan bercorak 'realisme' hendaklah diterapkan di kelas atau gelanggang. Cara, kelajuan atau arah serangan, bukan sekadar penumbuk yang dihulur. Untuk latihan menghadapi serangan bersenjata, banyak perguruan menggunakan senjata replika untuk mengoptimumkan unsur 'realisme' tanpa mendatangkan kecederaan fatal.

Aspek 'resistance' juga hendaklah diberi tumpuan. Kita biasa lihat, dalam latihan seni beladiri, seorang menjadi penyerang dan seorang lagi akan menjadi orang yang melaksanakan teknik. Kebiasaannya teknik akan dilihat sempurna pelaksanaannya apabila 'mangsa' sekadar menghulur dan merelakan diri 'dibelasah' atau 'dikunci'. Pada peringkat awal latihan, ini tidak menjadi masalah, memandangkan masing-masing masih baru menyesuaikan diri. Namun setelah masa demi masa berlalu, elemen 'resistance' iaitu bertahan atau melawan perlu diterapkan agar pelatih faham konsep dan kehendak pelaksanaan teknik. Dalam pertandingan mahupun jalanan, tiada siapa yang rela menghulur tangan dan dipukul atau dibelasah begitu sahaja. Biasa didendangkan dalam kelas Lian Padukan, "macam mana kita belajar, itulah yang kita ajarkan, dan itulah yang kita 'kurang ajarkan' (guna masa bertumbuk)".

Kesimpulan kawan, untuk menjadikan sesebuah permainan itu menjadi, atau boleh pakai, maka;

Realiti = Training in Realisme + Training with Resistance

Apa pun, ini sekadar pendapat kawan yang banyaknya menengok Youtube je, tapi berlatihnya malas....

Warga buah pukul, sama-samalah kita isi ruang kehadiran perkongsian ilmu di webinar itu nanti. Lian - Fantasi atau Realiti?


Tuesday, 17 August 2021

SILAT ROJAK?

 "Saya ambik contoh la ye. LIAN PADUKAN tu SILAT CINA."

Kata seseorang bertaraf Mahaguru dalam suatu siaran live di Facebook yang kawan ikuti. Jasanya dalam membawa persilatan Malaysia ke luar negara sangatlah dikagumi dan dihargai.

Kita tak nafikan, betapa bagusnya gerakan yang mengangkat martabat Silat asli tanah air kita, apatah lagi Seni Silat sudah dicopmohor sebagai Seni Beladiri Kebangsaan dan mendapat pengiktirafan UNESCO, malah ada usaha untuk menyertakan Silat dalam Olimpik.

Kawan juga tidaklah melenting apabila Lian Padukan dikatakan bukan Silat Asli Melayu. Itu hakikat yang kita perlu terima. "Padukan" itu sendiri adalah pakaian kita.

Silat, malah seni beladiri secara umumnya, adalah suatu yang hidup dan berevolusi. Itulah pendekatan yang diambil Lian Padukan. Sentiasa berevolusi demi kerelevenan merentasi zaman. Lian Padukan tidak menolak perubahan, asalkan tahu apa yang boleh diubah dan ditambah, dan tahu apa yang perlu dikekalkan.

Jadi kita tak perlulah melenting, naik angin, apabila ditimpakan ke muka kita yang Lian Padukan tidak asli. Tidak asli bukan bermaksud TIDAK BAGUS.

Namun, kita tidak pernah lupa, sungguhpun Lian Padukan tidak 100% berdarah Melayu, namun ada titisan darahnya tetap mengalir darah Melayu. Garapan petuanya tetap berDNA Melayu. Akarnya tetap dari persilatan Melayu, terutamanya silat-silat tua seperti Sendeng dan Sunting. Hebatnya Melayu, boleh Memelayukan permainan Syed Abdul Rahman Al-Yunani yang asalnya bukan Melayu, digarap bersama persilatan Melayu.

Hinggakan, Lian Padukan sudah pun 'asli' dalam bentuknya yang tersendiri. Cuba sebut, di mana elemen 'Cina' yang masih ketara dalam Lian Padukan. Paling tidak pun, yang melihat akan kata "macam Wing Chun lah", pada hal hanya jauhari yang mengenal manikam. Sepanjang kawan menggeluti Lian Padukan, kawan tak nampak pun di mana "Wing Chun"nya. Tumbukan berantai tu? Adakah kalian tak pernah mendengar petua pukulan Melayu "Jangan bermalam"? 

Maka, pun tidak salah jika kita terima sahajalah yang Lian Padukan adalah permainan Melayu. Petuanya petua Melayu. Konsepnya konsep Melayu. 

Kawan pernah juga mempelajari silat-silat lain, sebelum dan selepas Lian Padukan. Secara peribadi, kawan boleh katakan yang Lian Padukan adalah "bikin serupa cakap, cakap serupa bikin". Memang petua-petua dan garapan permainan Lian Padukan, apa yang dipelajari, itulah yang diaplikasi, sama ada tempur jalanan atau ring perlawanan. 

Lian Padukan tidak menghadkan pergerakan hanya mengikut panduan Lian, namun Lian itu hendaklah dikupas dan difahami untuk membebaskan gerak, berdasarkan petua yang "battle-tested", "ring-tested" dan  "street-tested". Apa pun, itu semua atas kehendak Allah Subhanahu Wa Taala jua.

Suatu ketika, kawan tidak berkira berhabis belanja untuk menyertai kursus atau kelas silat lain, yang akhirnya hanyalah membuktikan kebolehpakaian Lian Padukan, dan keluarga Buah Pukul Mersing lainnya. Tidak ads retak renggang antara persilatan Melayu lain dengan Lian Padukan yang kawan amalkan. Saling 'mengetatkan yang longgar' antara satu sama lain. Apa pun, itu hanyalah pengalaman peribadi kawan. Dah blog ni pun blog Lian Padukan, kan..

Apa pun, silat rojak atau tidak, selera kita ni berbeza. Ada yang nak meratah timun sahaja. Ada yang nak makan cucuq sahaja. Ada yang teringin sengkuang sahaja.

Ada yang kreatif, dipadukan semua bahan, digaul dalam kuah yang power, naaahh. Hidangan rojak untuk semua. Lebih terangkat, lebih sedap, lebih padu.

"Kuah" yang power itulah petuanya. InsyaAllah, petua persilatan Melayu masih terpelihara dalam Lian Padukan. 


Friday, 6 August 2021

HENDAK MENGENA TAK NAK KENA

Hendak Mengena Tak Nak Kena.

Ini adalah tujuannya kita belajar buah pukul, khususnya Lian Padukan. Kerja orang buah pukul ni, itulah dia. Nak mengenakan sahaja, tak nak dikenakan.

Maka, pelbagailah terbitan konsep-konsep yang keluar untuk mencapai matlamat atau tujuan tersebut. Antara yang paling disebut-sebut ialah 'Hendaklah Mendulu Jangan Menunggu, Bertalu-talu Jangan Tualu'.

Namun, pelajaran buah pukul ni, lebih dari itu sebenarnya. Lebih daripada sekadar menggunakan kudrat tulang 4 kerat. Lebih dari sekadar teknik dan taktik bertumbuk.

Biasa dengar bukan, disebut orang lama yang 'buah pukul topeng buah usul'.

Kalau dihurai tentang 'Hendak Mengena Tak Nak Kena' dari sudut usul sahaja pun, masyaAllah... Kawan sendiri terpana apabila Ayahanda Haji Hasyim menghuraikan 'Hendak Mengena Tak Nak Kena' dari sudut lain yang orang jarang nak tanya.

Ketika itu sedarlah kita, kita ni takda apa pun... Innalillahi wa inna ilaihi rojiun...

Maka, sebaiknya, belajarlah dan perhalusilah melalui guru-guru yang baik asuhannya. Bagi yang sudah khatam, mahupun yang bakal khatam, ketahuilah 'khatam' yang dilalui itu hanyalah permulaan kepada sebuah lagi perjalanan yang lebih jauh dan berliku.

Sesungguhnya buah pukul bukan sekadar cerita bertumbuk bertendang. Alangkah sayangnya jika berpuluh tahun kita bergelanggang buah pukul, bersakit-sakitan tapi manis ilmuNya tak kita kecapi. Ingatlah, ilmu yang baik membuahkan akhlak pengamal yang baik. 

Sudah sepatutnya Syarat 28 dijadikan wadah utama pembelajaran dalam buah pukul, terutamanya kita di Lian Padukan. Sungguhpun Syarat 28 hampir sahaja sinonim dengan perguruan bawaan Guru Pak Mat Samurai, jangan kita lupa Ayahanda Haji Hasyim sendiri merupakan asuhan Pak Mat Samurai, malah sentiasa megah dengan gurunya itu.  




Sunday, 6 June 2021

TITIK. PERISAI. TUMBUK

 Titik. Perisai. Tumbuk.

Merupakan pelajaran pertama dalam LIAN PADUKAN.

Tanpa Titik Perisai Tumbuk ini, perjalanan pengamal Lian Padukan belum pun bermula.

Pelajarannya sangat mudah, cuma mungkin kekok di awalnya, terutama nak memahirkan penggunaan perisai. 

Kalau kita amati berdasarkan kaca mata boxing moden, kedudukan titik dan tumbuk adalah pada jab, manakala perisai pada cross. Perbuatan titik perisai tumbuk ini pula, segerak.

Asas inilah yang akan diguna pakai dalam kesemua peringkat pelajaran Lian Padukan. 

Jangan bosan mengulang-ulang Jurus 1 ini. Jadikan perbuatan titik perisai tumbuk itu sebati dengan kita. 

Asas Jurus  ini juga merangkumi kesepaduan tangan dan kaki. Langkahan yang menyampaikan titik perisai tumbuk kepada lawan. Sebab itu kena berdiri, kerana melalui berdiri baru datangnya langkahan. Tanpa melangkah, macam mana penumbuk nak mengena? Macam mana penendang nak menyampai?

Langkahan pula perlu ada landasan. Maka, landasan langkahan itulah yang kita namakan 'tapak'. 

Hampir sahaja, tiada pelajaran yang lebih penting berbanding Jurus 1 ini dalam Lian Padukan.

Wednesday, 14 April 2021

SEKIAN WAKTU BERLIAN PADUKAN, AKHIRNYA....

 Setelah sekian waktu berkecimpung dalam Lian Padukan, akhirnya kawan sedar yang bukan semua perkara kawan tahu...

Perjalanan dalam Lian Padukan ini rupanya adalah perjalanan yang tak berpenghujung, namun berpenamat.

Penamatnya bila kita disapa Izrail Alaihissalam...

Namun Lian Padukan yang kita lumati ini, buahnya tetap manis walaupun berakar pengalaman yang pahit.

Buahnya pada akhlak.

Bak kata pengamal suatu perguruan silat yang kawan kenali,

Penamat tumbuk, tak perlu menumbuk.

Penamat tepis, tak lagi menepis.

Semoga kita semua dirahmati Allah Subhanahu wa Taala bersempena Ramadan Al Mubarak ini.

Jadikan ini bulan melatih rohani kita. Perbanyakkan berdoa, insyaAllah Allah Subhanahu wa Taala permudahkan laluan kita dalam berLian Padulan.



Monday, 1 March 2021

BUAH ILMU ITULAH AKHLAK

 Alhamdulillah.


Bersyukur kerana kita, walaupun melalui pelbagai pancaroba, tambahan dengan dugaan wabak COVID19, kita masih dianugerahkan hidup yang baru, hari yang baru saban hari.


Allah Subhanahu wa Taala masih mengurniakan kita kesempatan untuk bertaubat, bermuhasabah diri, menilik setiap cela diri untuk diperbaiki.

Lian Padukan adalah antara ilmu Allah Subhanahu wa Taala dari sekalian ilmu Allah Subhanahu wa Taala yang mustahil kita mahu menghitungnya. Ilmu yang Allah Subhanahu wa Taala pinjamkan kepada kita untuk diamalkan.

Ayahanda Haji Hasyim mengertikan Lian Padukan kepada dua cabang, iaitu ukhrawi dan duniawi.

Di cabang ukhrawi, Luntur Iman Angkara Nafsu, Penuhkan Amalan Demi Untuk Kehidupan Akhirat Nanti.

Di cabang duniawi, Latihan Istiqamah Anggota Nafas, Pada Allah Diserahkan Untuk Keselamatan Anda Nanti.

Inilah 'rahsia umum' yang diketahui baik pengamal mahupun yang bukan pengamal Lian Padukan. Namun, adakah hafalan pengertian ini sekadar tinggal hafalan?

Maka kawan kembalikan persoalan tersebut kepada tajuk 'Buah Ilmu Itulah Akhlak'.

Sebagaimana ilmu Allah Subhanahu Wa Taala yang lain,pohon ilmu Lian Padukan juga sepatutnya membawa kita mengecap manisnya buah akhlak.

Penghubung ilmu dan akhlak adalah amal. Bagaimana cara kita beramal dengan Lian Padukan, hujungnya akan membawa kepada bagaimana kita berakhlak.

Dalam suatu hadith, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud,

"Sebaik-baik amalan di sisi Allah adalah amalan yang berterusan, biarpun sedikit"

Maka, ilmu Lian Padukan ini hendaklah diistiqamahkan latihannya, di samping kita berusaha menyampaikan diri kita kepada dua pengertian Lian Padukan yang disebutkan tadi.

Dalam pada kita beristiqamah berlatih dan belajar, hati tempat menampung ilmu hendaklah sentiasa dalam mujahadah, kesungguhan untuk membersihkan hati dari perasaan keakuan, ketakutan dan lain-lain sifat mazmumah.

Walaupun Lian Padukan merupakan ilmu buah pukul, yang sangat sinonim dengam bertumbuk, namun melalui penghayatan 2 pengertian Lian Padukan secara ukhrawi mahupun duniawi sepatutnya membentuk akhlak kita dengan sebaik-baik akhlak.

Pujangga buah pukul, Chu Aman pernah mengatakan,

"Sebelum hujan sediakan payung, dah ada payung bukanlah bererti tak kena hujan, tapi pada tempat-tempatnya lah".

Makna kata, buah pukul Lian Padukan yang kita pelajari ini adalah 'payung' yang kita usung, tak lebih sekadar usaha dan tawakal kita kepada Allah Subhanahu wa Taala. Pada kehendak Allah Subhanahu wa Taala sahaja menang seri kalah berlaku. Maka 'payung' itu walaupun diusung selalu, bukan bermakna kita nak mengembangkannya setiap masa. 

Sepatutnya, semakin lama kita berilmu dalam Lian Padukan, semakin terzahir hasil latihan yang kita amalkan. Mungkin terzahir dari segi kesihatan, mungkin terzahir dari segi keyakinan. Paling penting, ilmu itu biarlah menzahirkan akhlak yang terpuji. Kita cega dan curiga terhadap diri sendiri, agar sentiasa menjaga dari melakukan perkara yang dimurkai Allah Subhanahu wa Taala.

Ada yang kata, ramai pelatih Lian Padukan yang dah khatam, tapi tak faham-faham. Memang betul. Kerana kefahaman ini adalah langsung dari Allah Subhanahu wa Taala. Jaga-jaga diri kita dari merasa akulah yang paling faham, khuatir tergelincir ke lembah istidraj. Kelebihan yang hanya menjauhkan kita dari rahmat Allah Subhanahu wa Taala.

Tanya diri kita sendiri, beberapa kali kita khatam Al-Quran, adakah kita faham seluruh isinya? Kalau faham, adakah diamal seluruhnya? 

Kefahaman adalah proses. Proses berjalan mestilah satu per satu, langkah per langkah. Jangan boros. Istiadat khatam yang dilalui adalah langkah awal proses tersebut, yang sepatutnya dibaja dengan doa dan galakan supaya mengkaji dan terus mengkaji, berlatih dan terus berlatih. Anak-anak Lian Padukan mengharapkan doa ibu bapa dan guru-guru lama supaya keberkatan ilmu diraih mereka. Sebab itu adanya pelbagai doa dianugerahkan kefahaman, seperti doa yang dibaca anak-anak di sekolah sebelum memulakan pembelajaran. Kerana, kefahaman itu adalah anugerah Allah Subhanahu wa Taala yang bukan milik kita untuk didabik-dabikkan.

Berdoalah, dan beramallah mengikut acuan Islam. Semoga ilmu yang kita pelajari, duniawi mahupun ukhrawi, membuahkan kemanisan akhlak. Sebaik mungkin kita cuba contohi akhlak Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam.

Sesungguhnya tulisan ini adalah peringatan buat diri kawan di masa hadapan. Kawan 'kapsul masa' kan di sini, supaya diri kawan di masa hadapan yang ketika itu tergelincir mencari megah Lian Padukan, kembali ke landasan.






Saturday, 16 January 2021

SETELAH...

 Alhamdulillah. Setelah 2 tahun menyepi, kawan kembali mengajak pembaca berbual kosong berkenaan cinta kita, Lian Padukan.


2 tahun yang padat...

InsyaAllah, sempena PKP 2.0 ni, kawan cuba luangkan masa untuk sama-sama menggali dan berkongsi khazanah Lian Padukan, agar semua tahu dan kenal, bagaimanakah permainan Lian Padukan, setakat yang kawan tahu dan pelajari, dan bagaimanakah sepatutnya kita menyikapi permainan ini.


Kenapa permainan, adakah kita bermain-main semasa belajar Lian Padukan?


Tergerak hati kawan untuk kembali menulis, setelah menonton 'live' di FB, demonstrasi yang ditunjukkan oleh Ayahanda Din Misai, Pengerusi Lian Padukan Selangor/Kuala Lumpur.

Boleh kawan katakan, terlalu banyak input yang dikongsikan oleh Ayah Din Misai. Dan rata-rata guru buah pukul yang kawan temui, begitulah sikapnya. Sangat terbuka, lagi berterus-terang, seperti permainan buah pukul itu sendiri yang straight forward, berterus terang.

Bagi perguruan lain, kawan tak pasti. Tapi bagi Lian Padukan, memang itulah amalannya. Sedari hari pertama melangkah ke kelas Lian Padukan, pelatih akan dilanyak dengan titik demi titik, selalunya membawa lebam yang bukan kepalang di lengan sebagai sagu hati. Kalau hati lembut, kita akan berkata yang guru atau pelatih lama membuli pelatih baru. Tapi sebenarnya tidak. Itulah keikhlasan yang dipaparkan oleh guru dan pelatih lama Lian Padukan. 

Hakikat pembelajaran buah pukul mesti dimulai dengan apa yang dinamakan SAKIT, sebab itu yang diwarisi dari generasi ke generasi.

Namun, keikhlassan itu dibayar dengan harga yang mahal. Datang 5 orang boleh jadi tinggal seorang. Datang seorang, boleh jadi tak datang dah kemudian hari.

Sebab itu kelas buah pukul jarang yang ramai dalam sela masa yang lama. Tapi insyaAllah dan alhamdulillah, sentiasa ada.

Kawan harap tahun ini boleh jadi permulaan yang baik untuk kita semua, walaupun diuji dengan pelbagai dugaan. Bagi bakal pelatih, percayalah Lian Padukan khususnya, seni beladiri umumnya, boleh menjadi medan melampias tekanan. Kalau ada punching bag di rumah, lagi cantik. Lian Padukan boleh dijadikan jalan untuk mengawal amarah, mengiringi amalan yang semakin patut kita tingkatkan, mendepani pelbagai ujian akhir zaman.


Setelah 2 tahun tidak menaip di sini, alangkah....


Tuesday, 3 July 2018

STAMINA

Dalam suatu perbualan kawan bersama seorang rakan setugas, yang juga seorang pesilat, kami sedikit berselisih berkenaan mana antara berikut lebih penting, teknik atau stamina?

Menurut sahabat kawan, teknik memainkan peranan yang sangat penting dalam tempur. Teknik juga dirangkum dalam strategi, yang apabila berhadapan lawan, teknik yang lancar lagi berkesan akan menentukan menang kalah sesuatu perlawanan.

Namun pada kawan, kawan lebih memilih stamina berbanding teknik. Ini adalah berdasarkan pengalaman peribadi kawan yang tak seberapa dalam arena sukan tempur kira-kira 11,12 tahun lepas.

Stamina secara mudah difahami adalah daya tahan kardiovaskular ketika melakukan aktiviti fizikal.

Alasan kawan, untuk melaksanakan 1001 teknik, stamina adalah 'bateri' utama yang menentukan kemenjadian teknik. Atlet yang mempunyai kelebihan stamina lebih tenang melaksanakan teknik berbanding atlet yang kurang stamina. Ibaratnya, kita mahu melalui suatu perjalanan jauh berkereta, dengan segala kelengkapan, peta perjalanan, perancangan tempat persinggahan dan penginapan, dan lain-lain (teknik dan strategi). Namun akhirnya perancangan kita hampa apabila 10 minit perjalanan, kereta bermasalah pada bateri dan kurang minyak.

Kita boleh lihat sendiri rejim latihan atlet, antara yang paling utama adalah joging. Joging merupakan simulasi sebenar tahap stamina kita. Malah, barisan tentera juga tak terkecuali melakukan larian berjadual dengan bebanan. Kalau kita bandingkan dengan nenek moyang kita yang gagaj bersilat tanpa perlu berjoging, jangan lupa kerja seharian mereka berbendang, ke laut, ke hutan, ke bukit menuntut stamina yang bukan kepalang. Mereka dah 'cover' bahagian stamina melalui kerja harian, selebihnya bergelanggang lebih kepada mengasah skil dan kefahaman. Kita?

Itu sekadar pendapat kawan. Kawan sendiri merutinkan joging 10km setiap hujung minggu untuk memastikan kesediaan dan kesiapsiagaan, di samping melatih teknik Lian Padukan.

Nanti kita cerita lagi secara lebih lanjut tentang kepentingan stamina.

Sunday, 11 March 2018

YANG DILATIH DAN DIBIASAKAN

Yang dilatih dan dibiasakan hendaklah perkara yang sama. Jangan yang dilatih benda lain, yang digunakan benda lain. Jangan sampai latihan mengkhianat diri waktu diperlukan.

Bak kata Ayah,

"Dalam Lian Padukan, itulah yang kita belajar, itulah kita ajar, itu jugalah yang kita 'kurang ajar'"

'Kurang ajar' di sini bermaksud 'aplikasi dalam situasi sebenar tempur'. Sudah tentu adab adalah antara fokus utama dalam pembelajaran Lian Padukan, cuma ada istilah-istilah janganlah kita semberono menafsirnya.

Itulah titiknya, itulah perisainya, itulah tumbuknya. Itu yang dibelajar, itu yang diajar, itu yang 'dikurangajarkan'.

Friday, 5 January 2018

CABARAN

Dalam dunia seni beladiri, cabaran tidak mampu diketepikan. Cabaran datang daripada dua sudut, iaitu internal dan eksternal. Internal yakni cabaran dari dalam diri sendiri, eksternal sebaliknya, dari pihak lain.

Setelah beberapa tempoh kita mengenal potensi diri kita melalui latihan demi latihan yang dilalui, mengikut aliran masing-masing, kadang-kadang kita dicabar oleh ego diri sendiri, mahu ilmu yang dipelajari diuji. Maka jika kita alah pada cabaran itu, sudah tentu kita dipandu oleh ego untuk membuktikan kejaguhan.

Maka mendepang dadalah kita berjalan, hidung menongkat langit. Berharap ada kutu yang 'sudi' melaga bahu kita, supaya nantinya boleh kita jadikan percikan api pergaduhan. Atau mulalah kita mengintai-ngintai kekurangan permainan lain, yang kononnya tidaklah teruji sehebat mana, seperti kita.

Dalam lain keadaan yang lebih murni, kita pula memandu kehendak ego kita, ke tempat yang sepatutnya diadukan hasil latihan kita, iaitulah medan sukan tempur. Alhamdulillah, dewasa ini semakin bangkit ahli-ahli Lian Padukan menyertai sukan tarung berperaturan yang penuh semangat kesukanan. Menang tak seberapa, kalah pun ada. Yang pasti sakit dan pengalaman terbekal buat seusia hayat.

Cabaran juga datang dari luar. Seperti memandu, kadang-kadang bila kita yang terlebih berhemah memandu mematuhi aturan jalanraya mengikut kehendak kerajaan, ada pula kutu yang membuat angkara, yang kesannya terpalit pada kita, dihentamnya kita dari belakang, kiri, kanan atau hadapan, dalam keadaan paling kita berwaspada.

Sama halnya kita. Dalam kita berdiam memeram ilmu beladiri yang kita pelajari dan warisi, ada yang galak mencabar untuk kita mempamerkan kejaguhan. Kita pun, kalau dipandu ego, menyahutlah ajakan cabaran 'berdiri'. Menang sorak, kampung tergadai bak Pak Kaduk.

Ada baiknya cabaran seperti itu, kita sahut dengan kejaguhan akhlak selayaknya seorang Islam yang diperikan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu alaihi wassalam. Dilempar najis, dikata hina, dibaling batu, diperangi malah mahu dibunuh, marak nyalaan akhlak Baginda tidak langsung suram. Betapa ramai yang akhirnya Islam hanya dengan kejaguhan akhlak Rasulullah Sallallahu alaihi wassalam.

Maka, jangan ghairahlah kita mahu menguji ilmu, atau mahu ilmu diuji. Sebagai umat Islam, hamba Allah Subhanahu wa Taala, ujian pasti tiba tanpa mampu kita tepis atau kesampingkan. Sebagai ahli seni beladiri, latihan keras sudah sepatutnya menyiapkan jasad yang kejap padat, rohani yang bersih dan mental yang jiti dalam mendepani cabaran dan ujian. Al-Quran mengingatkan kita agar jangan mendabik beriman andai belum benar-benar teruji. Maka, bersiaplah atas segala upaya.

Kenallah diri dengan sesungguhnya, iaitu menginsafi diri ini tak lain hanyalah hamba Allah Subhanahu wa Taala, yang sama-sama dicipta dari pancuran mani hina seorang manusia. Maka, selayak hamba, patuhilah segala kehendakNya, mengikut apa yang dicontohkan Rasulullah Sallallahu alaihi wassalam, ahli keluarga Baginda Sallallahu alaihi wassalam, para sahabat, tabi tabiin, dan ulama-ulama Ahlussunnah wal Jamaah.

Dan tidak juga putus berlatih, berlatih, berlatih. Siapkan jasad supaya sihat dan kuat menampung dan mengamalkan amanahNya.

Sama-samalah kita saling ingat-mengingat. InsyaAllah...

Tulisan pertama 2018, selepas hanya 1 di tahun 2017. Doakan kawan istiqamah...