Rembat tanpa belas kasihan dari fesbuk
Alhamdulillah, keahlian di
gelanggang induk dewasa ini bertambah. Di sebalik pelbagai tohmahan dan
kontroversi, Lian Padukan kian berkembang.
Bagi penuntut baru, kawan ucapkan
selamat datang. Semoga semangat kalian tidak mudah luntur dan sentiasa sihat
dan berkelapangan untuk ke gelanggang.
Baiklah, mari kita bualkan
berkenaan motivasi untuk konsistensi bergelanggang. Motivasi secara umumnya
ialah matlamat atau tujuan yang memangkin kesungguhan untuk mencapai sesuatu. Konsistensi
pula ialah berterusan atau istiqamah dalam melakukan sesuatu. Dalam Islam
sendiri, kita dianjuran istiqamah dalam melakukan sesuatu ibadat atau pekerjaan
yang bermanfaat. Dalam bab mengamal pun, biar istiqamah walaupun
berdikit-dikit. Kita orang buah pukul juga selalu dicanangkan dengan mutiara
kata ‘biar sedikit, selalu diamal, boleh dibuat haikal, dari banyak selalu
tertinggal.’
Maka, dalam Lian Padukan juga,
untuk mencapai kemahiran dan kefahaman yang diinginkan, kita hendaklah istiqamah
hadir ke gelanggang latihan. Secara umumnya, setiap insan adalah unik dan
tersendiri perkembangannya dan dalam dunia pendidikan sendiri ada diistilahkan
dengan ‘kecerdasan pelbagai’ (multiple intelligences). Tahap penguasaan
seseorang penuntut berbeza dengan penuntut yang lain. Bagi yang tahu tahap
diri, kekerapan hadir ke gelanggang mampu membantu peningkatan kendiri dalam
berLian Padukan. Bagi yang cepat mahir, kekerapan hadir ke gelanggang
menambahkan lagi ketajaman skill yang diperlukan.
Untuk memastikan konsistensi
hadir ke gelanggang terpelihara, kita hendaklah setkan motivasi-motivasi
tertentu. Pertama sekali, niat. Tentukan niat kita sedari hari pertama ke
gelanggang. Nak jadi hero ke, nak jadi pejuang agama ke, nak sihat atau kurus
ke, nak jadi orang handal dan gedebe ke, nak jadi gurulatih dan pelestari seni
warisan bangsa, nak berkawan-kawan atau lain-lain yang ‘lillahi taala’. Niat
sangat penting kerana itu juga adalah ‘roh’ bagi setiap perbuatan kita. Niat
lillahi taala bagi perkara yang membawa kebaikan sudah dikira ibadah di sisi
Allah s.w.t.
Ketika di gelanggang, cuba enjoy
dan hayati setiap pengisian silibus dan latihan. Selalunya, orang yang enjoy
dengan apa yang dilakukan akan membuahkan kepuasan yang bukan kepalang. Hadirkan
enjoy ketika menitik tangan kawan, dan enjoy apabila dititik kawan. Ikhlaskan
hati apabila diseberang rakan, semoga jatuhnya kita itu membawa kefahaman
kepada rakan sepelatihan. Enjoykan diri melaksanakan setiap senaman dan
pelampas, walaupun memenat dan menyakitkan, hasilnya tetap ada untuk kita
banggakan.
Memang akan ada pelbagai kekangan
yang menghalang seperti kesihatan, masa kerja, kematian, kemalangan,
majlis-majlis, keadaan cuaca dan sebagainya. Jika tidak dapat hadir ke
gelanggang, paling tidak hantarlah mesej untuk memaklumkan kepada guru
gelanggang.
Secara peribadi, perkara yang
memotivasikan kawan untuk ke gelanggang ialah ‘kejahilan’ kawan dalam bab
bertumbuk dan kemusykilan kawan dalam persoalan kehidupan. Maka, tempat terbaik
untuk kawan ajukan setiap soalan adalah di gelanggang. Ayahanda Haji Hasyim
seperti yang kita kenali, tidak pernah jemu melayan kedatangan murid mahupun
tetamu luar ke rumahnya. Kalau bersembang bab ilmu, boleh dilayannya penuntut
atau tetamu sehingga ke azan subuh berkumandang. Sebab itu, sebelum ke gelanggang, kawan
usahakan diri mencari soalan-soalan samada berkaitan persilatan atau kehidupan
supaya ada modal untuk dirujuk kepada Ayahanda. Catat siap-siap soalan yang nak
ditanya dalam buku catatan. Seeloknya buku lah, berbanding gajet-gajet. Lebih sentimental
dan bersungguh-sungguh. Bila dibaca balik setiap catatan pada waktu-waktu lain,
setidak-tidaknya menyalakan semangat untuk berlian. Secara peribadi, walaupun
berjauhan dengan gelanggang, buku catatan peribadi Lian Padukan sentiasa kawan
belek untuk tujuan ingatan dan kefahaman. Contohnya, kadang-kala kawan lupa
perkara yang pernah dibincangkan dengan Ayahanda berkenaan ‘Hikayat 1001
Penumbuk’, maka catatan-catatan (bertarikh) itu banyak membantu. Bagi sesiapa
yang mahu bertandang ke rumah Abang Din Gondrong, dengan adab yang betul,
cuba-cubalah kecek nak tengok buku catatan beliau. Pasti bermotivasi nak
menulis selepas itu. Kalau kita tengok pun, orang dulu-dulu dah lama
membudayakan mencatat ilmu seperti ini, seperti yang dicontohkan oleh
Allahyarham Pak Sani Abu Samah (al-fatihah) yang menghasilkan ‘Buku Nukil’ yang
menerangkan segala hal tentang bertumbuk dan rahsia-rahsia nukil.
Motivasi boleh jadi dalam
pelbagai bentuk. Paling penting, istiqamah dalam perbuatan. Hadirlah kerap-kerap
ke gelanggang pada waktu kelas. InsyaAllah, kita dapat apa yang kita hajati,
dengan didahului doa. Paling tidak, kita berpeluh wajib secara berkala. Banyak
kajian mengatakan senaman secara berkala mingguan mampu menyumbang kesihatan
berpanjangan. Kehadiran yang konsisten juga menunjukkan kekuatan semangat
penuntut untuk berjaya dalam Lian Padukan.
Apa pula ukuran kejayaan dalam
Lian Padukan? Hadirlah secara istiqamah ke gelanggang, mana-mana gelanggang
sekalipun. InsyaAllah, sama-sama kita beroleh jawapan.
No comments:
Post a Comment