Wednesday 15 June 2016

RAMADAN : MEDAN MENGASAH ROHANI DAN JASMANI

Alhamdulillah, kita berpeluang lagi untuk melalui suatu fasa penuh barakah, rahmat, keampunan Allah dan insyaallah, pembebasan dari neraka jahanam,

Ramadan namanya.

Itupun kalau syarat-syaratnya dipenuhi. Apa pun, bukan niat kawan untuk bersyarah perihal tersebut, yang sudah pun saban waktu diceramahkan oleh para asatizah dan ulama di mana-mana medium.

Yang kawan teringin nak kongsikan hanyalah peringatan buat diri kawan sendiri yang penuh dengan dosa, kejahilan, kelalaian dan kealpaan. Kalaulah syurga itu dimeritkan melalui pahala semata-mata, masya Allah, ke nerakalah kawan nampak gayanya. Semoga rahmat Allah yang namaNya Ar Rahman Ar Rahim menaungi kita semula dari terjerumus ke lembah neraka terdalam. Amin...

Di bulan inilah, diri pendekar kita diuji. Kita layak merasa diri kita pendekar hanya apabila tuntutan agama dipenuhi, latihan beladiri tidak diselangi, dan karisma diri dihiasi akhlak yang memikat nurani. InsyaAllah.

Teringat kawan apabila berkesempatan mengopi dengan seorang guru silat. Antara pesan yang dipanjangkan ialah, jangan tinggal solat sunat tarawih sepanjang Ramadan. Yang wajib sudah tentu kita wajib buat tanpa tapi-tapi.

Katanya, solat tarawih adalah medan menguji stamina rohani kita, selain puasa di siang hari yang mengharap keampunan dari Allah. Katanya, lihat sahaja usai 8 rakaat tarawih. Saf berbaris-baris barangkali tinggal paling tidak 2 baris sahaja, itupun orang tua-tua. Lihat mereka, sungguhpuh tenaga tidak lagi muda, namun stamina ibadah tetap melangit.

Teringat kawan pesan guru mengaji kami. Buatlah solat tarawih yang hanya tersedia untuk bulan Ramadan ini, sepenuh mungkin mengikut jemaah kariah kita, yang biasanya 20 rakaat dan 3 rakaat witir. Kita belum tentu ketemu Ramadan tahun depan, jadi peluang yang terhidang inilah kita gapai sebaik mungkin.

Al-Quran juga jangan dipinggirkan. Umum mengetahui bahawa di bulan Ramadan mulia inilah ayat pertama Al-Quran diturunkan. Rasulullah sallallahu alaihi wassalam berlama-lama membaca Al-Quran di bulan ini. Dan hendaklah difahami, di bulan ini sunnah adalah MEMPERBANYAKKAN membaca Al-Quran, bukan meligan MENGKHATAMKAN Al-Quran sehinggakan tartil dan tajwid bacaan langsung tidak terjaga. Bacalah dengan menjaga segala hukum-hakamnya dengan fasahah yang baik, termampu kita. Al-Quran itu bila dibaca sebaik mungkin, seronok, ketagih kita nak mengadap hari-hari.

Latihan buah pukul, jangan kita abaikan. Jadikan senaman harian, agar kita tetap gagah menghadapi siang yang penuh dugaan. Bahkan, dalam keadaan berpuasa, latihan-latihan buah pukul mampu membangkitkan kepekaan deria kita. Biasa bukan, kita didendangkan dengan kisah-kisah kependekaran silam yang berpuasa untuk meningkatkan kekuatan batin. Hayati sahaja kisah Perang Badar, yang berlaku di bulan Ramadan. Dalam berpuasa, gagah menghadap perang menentang kafir laknatullah. Pahlawan Islam silam sinonim dicanangkan sebagai bait-bait yang dilagukan kumpulan nasyid lagenda, Nada Murni,


Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid memburu syahid

Dibuang dia berkelana
Dipenjara dia uzlah dibunuh syahid
Namun jiwa tetap mara menuju cita
Membara demi Allah dan Rasulnya

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang tegang silih berganti
Inilah sunnah, orang berjuang

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa airmata
Siangnya bagaikan singa dirimba
Memerah keringat, meluah tenaga

Berjuang memang pahit
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran
Antara dua pasti terjadi
tunggulah syahid
Atau menang...

Semoga kita semua beroleh keberkatan di Ramadan kali ini. Amin.

No comments:

Post a Comment