Tuesday, 28 April 2015

SILIBUS, ILMU DAN PETUA

Kawan pernah menulis berkenaan silibus beberapa isu terdahulu. Boleh rujuk kembali untuk mendapat pencerahan berkenaan silibus di sini

Ada yang bertanyakan kawan melalui emel, adakah silibus yang ada dalam perguruan Lian Padukan merangkumi kesemua ilmu Lian Padukan? Bagus soalan ini. Memandangkan kawan bukanlah autoriti yang layak memberi jawapan rasmi, maka kawan berikan jawapan berdasarkan pandangan peribadi. Boleh komen jika jawapan tersebut tidak berkenaan di hati tuan-tuan sidang pembaca yang diredhai Allah Subhanahu wa Taala sekalian.

Pada pandangan kawan, silibus yang terdapat dalam pembelajaran Lian Padukan merupakan gambaran secara permukaan kepada keseluruhan ilmu Lian Padukan. Seperti yang pernah kawan tuliskan dahulu, silibus dirangka sebagai guideline untuk pelatih Lian mendalami pelajaran-pelajaran yang termaktub dalam keilmuan Lian Padukan.

Maka, silibus tidak ada retak renggang dengan ilmu Lian Padukan.

Namun, semata-mata meneroka silibus, tidak akan menyampaikan pelatih kepada maksud ilmu Lian Padukan sebagai ilmu buah pukul dan ilmu buah usul. Di sini, peranan gurulatih sebagai penunjuk arah diperlukan.

Ibarat kata, silibus adalah peta topografi. Yang menunjuk arah adalah ilmu sebagai kompas, yang akan memastikan keseluruhan silibus dirangkumkan ke dalam sebuah kefahaman.

Apabila kita faham sesuatu perbuatan yang ada dalam silibus, maka kita akan sampai kepada maksud ilmu Lian Padukan. Oleh itu, sekecil-kecil pelajaran Jurus 1 sekalipun, janganlah dienteng-entengkan peranannya. Tidak faham perbuatan titik perisai penumbuk sampai, kita takkan sampai pada mana-mana silibus, jangankan pada keilmuan Lian Padukan. 

Dan ada juga, ilmu yang tidak disilibuskan dalam sukatan pelajaran Lian Padukan. Ini memerlukan pelatih rajin-rajin ringankan mulut bertanya, maniskan senyuman dan indahkan akhlak apabila berhadapan dengan Ayahanda Haji Hasyim atau guru-guru lama kepercayaannya. Kadangkala silibus yang terlihat mudah akan dihuraikan dengan panjang lebar untuk lebih kefahaman. Itulah ilmu.

Kadangkala ada Lian yang tidak pernah kita pelajari melalui latihan mingguan, namun hasil beramah mesra, dihadiahkan oleh Ayahanda Haji Hasyim yang mungkin menjadi rezeki kita ketika itu. Ada juga yang dikursuskan secara umum supaya pelatih luar juga merasa manisnya bergelanggang dengan ilmu Lian Padukan. Ada juga ilmu yang hanya diperturunkan apabila sampai ketika dan syaratnya, seperti Lian Singkir Tapak Seratus Asmaul Husna. Tanyalah apabila syarat sudah dipenuhi sebagai pelatih Lian Padukan.

Dan akhirnya, petua yang merangkumi segala silibus dan keilmuan Lian Padukan. Petua yang kadangkala laju meluncur dari mulut atau jejari yang menaip, apabila kita galak bersembang perihal buah pukul di bukan pada medannya.  

Ada kata-kata orang lama, "ilmu alah pada petua".

Apa pun, atas kitalah.

Ada silibus, ada ilmu, ada petua bergunung sekalipun, kalau tak dilatih, takdelah maknanya.


Thursday, 16 April 2015

INOVASI

Dalam FB Dunia Seni Silat Melayu, seorang guru silat ternama bernama Guru Wan Yusmar menimbulkan suatu persoalan yang memerlukan kita berfikir - 'perlukah inovasi dalam silat?'

Secara peribadi, kawan kongsikan jawapan kawan di sini.

Inovasi sangat perlu dalam persilatan. Guru Wan Yusmar sendiri adalah contoh guru yang berinovasi.

Ini kerana, silat merupakan suatu cabang ilmu dari titisan ilmu-ilmu yang Allah subhanahu wa taala anugerahkan kepada manusia dalam meneruskan kelangsungan di muka bumi selaku khalifah. Terutama manusia berbangsa Melayu yang Islam itu dijunjung di puncak ubun-ubunnya.

Ilmu itu sifatnya sentiasa berkembang dan menyebar. Dalam Islam sendiri, ada ilmu-ilmu yang dahulunya tidak pun diajarkan oleh Baginda Rasulullah sallallhu alaihi wassalam, namun ijtihad ilmuan kemudian dari zaman Baginda Sallallahu alaihi wassalam mewujudkan disiplin ilmu tertentu agar umat terkini dan akan datang tidak putus meraih manfaat ilmu dari Baginda Sallallahu alaihi wassalam.  Antaranya ialah ilmu usul fiqh dan mustalah hadith.

Maka, ilmu dunia juga memerlukan inovasi agar selari dengan perkembangan dunia.

Sebelum itu, apa maksud inovasi?


Inovasi ialah kaedah mencari jalan untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik samada melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan.

Di sini, produk yang kita bincangkan ialah 'silat'.

Untuk memastikan 'produk' tersebut menjadi lebih baik dan diterima, maka pengubahsuaian atau penambahbaikan merupakan proses yang perlu dilalui. Antara kaedahnya, melalui R&D yang pernah kawan kongsikan dahulu.

Ramai melihat 'pegangan tradisi' sebagai halangan kepada inovasi. Namun pada kawan, tradisi adalah jati diri.

Malah, tradisi sebenarnya tidak pun menghalang inovasi berlangsung. Inovasi dan tadisi sebenarnya saling melengkapi.

Pening? Kawan pun sama pening.

Memudahcara, kita ambil suatu situasi yang merisaukan warga silat untuk berinovasi.

Ramai warga silat risau inovasi akan membuatkan kita menceduk teknik-teknik beladiri luar ke dalam silat. Pada kawan, pandangan itu sebenarnya cuba menjatuhkan martabat silat.

Silat sebenarnya sudah lengkap sebagai ilmu perang, atau setidak-tidaknya ilmubeladiri, atau ilmu sukan tempur.

Meminjam pendekatan Jeet Kune Do yang kawan pernah baca dalam majalah Seni Beladiri, silat sudah pun lengkap dalam 'range-range' pertarungan iaitu 'puching range', 'kicking range', 'trapping range' dan 'ground/grappling range', dilengkapi dengan ilmu persenjataan. Tidak timbul isu berkenaan ceduk-menceduk dan, apa itu MMA sebenarnya?

Sesudah diyakinkan bahawan silat sudah pun lengkap sebagai ilmu bertempur, maka di mana ruang inovasinya?

Infiniti. Mungkin.

Namun yang kawan lihat, ruang inovasi adalah dari segi penyampaian. Betul, kita selalu dikhabarkan oleh orang-orang lama bahawa latihan dulu-dulu dahsyat, keras, begitu, begini. Kalau diaplikasi kepada orang muda sekarang, tak terbawak.

Kata-kata sebegitu boleh ditanggapi sebagai motivasi, atau demotivasi kepada penuntut baru untuk bergelanggang.

Maka, dari situ inovasi boleh mengambil tempat. Kaedah penyampaian boleh disesuaikan agar penuntut baru boleh menjiwai ilmu silat, tanpa meninggalkan tradisi perguruan. Kalau dari silibus, itu bergantung kepada perguruan. Namun rata-rata perguruan yang kawan sempat pelajari atau berkenal-kenal, 90% sudah berinovasi walaupun mereka mendakwa keaslian pelajaran dan amalan bergelanggang mereka. Contoh paling ketara adalah wujudnya sukatan pelajaran atau silibus yang berperingkat.

Inovasi juga boleh dilihat melalui penggunaan bahan bantu berlatih yang semakin moden dan penyerapan elemen kesukanan dalam latihan bergelanggang. Kewujudan sukan silat olahraga juga merupakan suatu inovasi yang dahulunya hangat juga ditentang. Namun sekarang kemunculan sukan-sukan tempur atas nama 'MMA' diraikan pula.

Lian Padukan sendiri adalah sebuah inovasi yang berakar dari buah pukul. Inovasi yang kuat memegang kepada identiti tradisi.

Inovasi yang mencerahkan makna kepada kata-kata 'Senjata pada kita, perisai pada musuh', 'Hendak mengena, tak nak kena',  dan lain-lain.

Inovasi dan tradisi beriring pada suatu paksi selari, dalam Lian Padukan.




Saturday, 11 April 2015

ROHANI-MENTAL-FIZIKAL

Melalui al-Quran, Allah Subhanahu wa Taala menyeru umat Islam supaya sentiasa bersedia dengan segala kekuatan dan kelengkapan untuk menghadapi ancaman-ancaman. Ayat mana, rujuk sendiri Al-Quran. Jangan malas mengaji.

Rasulullah sallahu alaihi wassalam juga menganjurkan akitiviti yang menjurus kepada ilmu perang dan kecergasan fizikal.

Pendek kata, Islam mahukan umatnya sentiasa bersedia, baik dari segi rohani, mental dan fizikal!

Pernah di suatu waktu, kawan dan seorang rakan menonton video di youtube mengenai latihan komando Malaysia yang sangatlah hardcorenya. Kawan kira, kalian semua sudah menontonnya. Kalau kita rasa kita gagah, dan latihan kita cukup keras untuk sesuka hati melabel diri sebagai pendekar atau pejuang bangsa, fikirkan semula. Kenyataan dan angan-angan berlainan kastanya.

Cuma yang tak berkenannya kawan, rakan kawan komen, 

"Setakat fizikal memang handal komando ni. Tapi zaman nabi, sahabat, yang penting rohani. Kekuatan rohani paling utama. Fizikal kemudian."

Maka, kawan cuba memperbetul persepsi tersebut melalui tulisan ini. Harap rakan kawan itu terbaca, walaupun dia tak tau siapa yang menulisnya di sini.

Pertama, kembali kepada realiti. Kita mewarisi ujian akhir zaman yang sudah dimaklumkan awal dulu oleh Baginda Sallallahu alaihi wassalam, yang ujian itu akan dipenuhi oleh fitnah. 

Kedua, kita ambil intipati seni beladiri Asia yang banyak menekankan gabungjalin rohani-mental-fizikal.

Dalam mendepani cabaran fitnah di akhir zaman, kita memerlukan kekuatan hasil gabungjalin antara rohani-mental-fizikal. 

Sifirnya, berdasarkan latihan komando, fizikal didera bertalu-talu supaya menghadirkan kekuatan mental. Mereka para tentera adalah baris utama pertahana negara, maruah negara adalah tanggungan mereka, amanah yang amat berat untuk dipikul. Tanpa latihan yang mendera fizikal, mental mereka tidak akan mampu menanggung amanah tersebut.

Rohani? Sungguhpun apa yang dipaparkan dalam video tersebut hanyalah latihan fizikal yang mendera, tahukah kita pengisian rohani mereka? Jangan dipandang enteng hal itu, kerana mereka yang bertarung di baris hadapan lebih maklum keperluan pengisian rohani berbanding kita.

Sultan Salahudin Al-Ayubi dan angkatan tenteranya amat terkenal dengan keperibadian unggul, kehebatan ibadah dan kehandalan di medan perang. Ini contoh pejuang yang lengkap rohani-mental-fizikal.

Dan kita pesilat diangaukan bahawa kita adalah 'third force' dalam menghadapi ancaman dan mempertahan maruah agama, bangsa dan negara.

Iye ke? Cermin dahulu diri kita, ibadah kita, peribadi kita, adab kita. Atau adakah kita hanyalah tegolong di kalangan mereka yang masih bergantung kepada lagenda kehebatan pendekar dan guru terdahulu, tanpa mencuba menghikayat lagenda sendiri?

Atau lagenda kita hanyalah menjadi mereka yang 'handal bila ramai, senyap menunduk bila seorang' atau bersidang tentang menjaga ketuanan bangsa di hotel-hotel dengan bersut-sut, tapi waktu solat dilanggar ikut suka.

Ini cadangan cabaran rohani-mental-fizikal yang kawan cabar diri sendiri dahulu, dan harapnya ada yang ikut menyahut.

Cabarannya adalah....

SUBUH BERJEMAAH DI MASJID ATAU SURAU TERDEKAT KEDIAMAN MASING-MASING

Istiqamahkan yang ini, insyaAllah lengkap rohani-mental-fizikal kita.

Cuba.


Wednesday, 25 March 2015

HIKAYAT 1001 PENUMBUK

Biasanya, apabila kita melirik perkataan 'hikayat' seperti yang tertera pada 'Hikayat Hang Tuah', 'Hikayat Merong Mahawangsa, 'Hikayat Raja Pasai, 'Hikayat Banjar', 'Hikayat Awang Sulung Merah Muda' dan lain-lain hikayat, automatik otak kita akan mentafsirkan perkataan itu sebagai pengkisahan atau penceritaan.

Dalam ilmu bertumbuk juga, sebenarnya ada cerita dan kisahnya yang tersendiri. Atas asbab itu juga adanya ilmu buah pukul, yang asal berbenih dari akar sanad yang sama, iaitu Syed Abdul Rahman Al-Yunani, kemudian terpencar ke serata pelusuk tanah air melalui guru-guru yang dipercayai pegangan amanahnya.

Seperti mana sebuah hikayat, guru buah pukul adalah ibarat 'penglipur lara' yang mewarisi 'pengkisahan' berkenaan ilmu tempur, yang kadang-kala kisah-kisah itu sama ada ditokok tambah atau dikurangkan, atau dibunga-bungabahasakan atau berterus-terang dengan isi asal kisahnya apabila kisah-kisah itu disampaikan kepada khalayak.

Yang penting, asal akar ceritanya tetap yang itu juga. Hang Tuah tetap adalah wira lagenda agung Melayu yang tidak akan sewenang-wenangnya diubah menjadi wira Rom, Yunan,  Mesir, apatah lagi China dan India.  Hang Tuah Eksklusif wira Melayu, walau hikayatnya pelbagai.

Perihal bertumbuk, begitu juga. Sungguhpun aliran buah pukul itu pelbagai, aliran silat itu pelbagai, aliran seni beladiri itu pelbagai, kisahnya tetap paksi yang sama.

Maka, Ayahanda Dr. Haji Hasyim diilhamkan mengolah, merumus, mengsinopsis, mengabstrak, meringkas, dan apa-apa lagi yang mendatangkan mudah bagi peminat buah pukul memahami bab bertumbuk melalui HIKAYAT 1001 PENUMBUK.

Pernah dikursuskan sekitar 2009 dahulu. Huraian Ayah perihal bertumbuk ini seperti namanya, melalui pengkisahan yang menarik. Petua-petua digarap seringkas mungkin, sepadat mungkin. Kawan, secara peribadi, sungguhpun Hikayat 1001 Penumbuk ini adalah ekstrak daripada silibus-silibus Lian Padukan, tetap meletakkan permainan ini pada kelasnya yang tersendiri. Ada penuntut luar mengibaratkannya seperti permainan itu,permainan ini. Wallahu a'lam..Kawan tidak pernah ada pengalaman dengan permainan-permainan tersebut, maka tidaklah layak untuk membuat bandingbeza (mencari persamaan dan perbezaan). Takut amat kawan, untuk bercerita perkara di luar pengalaman kawan, apatah lagi memandai-mandai. Mereka-reka, lebih-lebih lagi minta dijauhkan.

Hikayat 1001 Penumbuk juga mudah dihayati oleh mereka yang belum berpengalaman dalam mana-mana seni tempur. Dalam dunia hari ini yang serba sibuk dengan urusan harian, sedikit pengetahuan melalui permainan ini insyaAllah ada manfaatnya, baik untuk kesihatan mahupun keselamatan.

Maka, sinonim amatlah Hikayat 1001 Penumbuk ini dengan Ayahanda Haji Hasyim dan Lian Padukan. Mana-mana pengamal Lian Padukan yang berkesempatan menziarahi Ayah, rujuk-rujuklah permainan ini dengan adab dan akhlak yang selayaknya. Kalau dah rezeki, mendapatlah kita. Kalaupun tak banyak yang kita peroleh, pun insyaAllah mencukupi sebagai bekalan kita. Madah orang lama-lama, 'yang sikit tu lah dikatakan dapat. Kalau banyak, belum tentu jadi hak'.


Friday, 13 March 2015

ETIKA DALAM BERGURU

Etika, kalau kita rujuk pada mahasiswa sains sosial dan kemasyarakatan, akan memberi makna yang lebih deskriptif dan tepat. Tapi, selaku orang biasa-biasa macam kita semua, etika bolehlah kita maknakan sebagai 'adab'.

Dalam kehidupan kita selaku manusia, lebih-lebih lagi manusia yang beragama Islam, tidak dapat tidak, adab adalah tuntutan utama dalam beragama. Disolek lagi dengan kalungan anugerah sebagai bangsa Melayu, adab mencorak kehidupan kita menjadi lebih teratur dan bertamadun.

Hakikat didatangkan baginda Rasulullah sallallahu alaihi wassalam antara lain adalah memperbaiki akhlak manusia, selain menzahirkan syariat yang mengEsakan Allah subhanahu wa taala. Melalui akhlak, keindahan Islam lebih menyilau pancaran sinarnya. Kalau mulut rajin meratib mewarid, jari tak renggang dengan tasbih, berserban jubah labuh, tapi mulut rajin maki hamun orang, tidak beradab dengan masyarakat, maka orang macam ni layaknya disumbat pasir ke mulutnya. Islam tidak hanya zahir tubuh, tetapi dizahirkan melalui akhlak dan perbuatan. Bilal bin Rabah radhiAllahu anhu yang tidaklah kacak, hitam pula mengikut kata riwayat, namun tapak kaki sudah terkesan di dalam syurga.

Dan masuk ke tajuk supaya tidak melaut melalut, etika dalam berguru. Dewasa ini, sungguhpun percambahan gelanggang persilatan pelbagai aliran, tetap terdapat semacam trend yang berkadar songsang dengan pertambahan guru, gelanggang dan aliran. Adab berguru berkadar songsang dengan percambahan gelanggang. Ngerti?

Adab berguru semakin kurang dihayati penuntut kini.

Adab merupakan kunci pintu menuju keberkatan berilmu. Guru hanyakah penghala laluan, pemudahcara kita meresapi ilmu ke dalam jiwa dan jasad kita. Andai kata kuncinya tidak kita jaga, manakan mungkin zuk menuntut dapat kita rasa.

Sudah banyak ulama menggariskan panduan etika menuntut atau adab berguru. Kawan tidaklah mahu mendahului para salafus soleh yang sudah terbukti kelimuan mereka. Namun, sebagai penuntut masa kini, kawan sedikit terkilan melihat masih ramai kalangan penuntut yang masih belum memahami adab berguru.

Antara yang paling dipandang ringan dewasa ini ialah - merokok apabila berhadapan guru.

Tak perlu kawan kongsikan fatwa pengharaman rokok, kerana akan ada yang berusaha mencari dalil memakruhkan rokok. Makruh kalau ikut anjuran Rasulullah sallallahu alaihi wassalam adalah perkara yang semoleknya dijauhi, namun pada kita pula 'tak apa'.

Sungguh, guru yang kita ada itu tidak pun kisah kalau muridnya merokok di hadapan. Namun, sebagai murid, mana adab kita? Sedangkan menggoyangkan kaki ketika mendengar tausiyah atau bayan pun dianggap tidak sopan pada guru. Lihat sahaja iktibar yang ditunjukkan Imam Besar pendiri Mazhab Syafie, nak menghalakan kaki ketika tidur ke rumah gurunya Imam Malik rahimullahu taala pun tak gamak.

Bukanlah kerana kawan bukan perokok, maka sesedap tangan je kawan menulis hal ini. Tak. Cuma, ada riwayat dari baginda sallallahu alaihi wassalam mengatakan bahawa setiap majlis ilmu atau zikir akan didatangi malaikat yang membentangkan sayap-sayapnya seluas-luasnya, menandakan betapa berkahnya majlis tersebut kerana mengagungkan kehebatan Allah subhanahu wa taala, namun majlis semurni itu dicemari pula oleh asap-asap tajaan puak yahudi yang menjadi makanan bangsa jin. Ibarat menghalau pergi keberkatan yang baru dijemput bertandang.

Sungguh, ilmu yang kita tuntut di gelanggang adalah ilmu bertumbuk. Namun, tidakkah sepanjang kita bergelanggang, guru turut menyelitkan kata-kata nasihat dan peringatan dalam beragama, serta pujian menggunung kepada Allah? InsyaAllah, syarat untuk diziarahi malaikat ada di situ. Sayang, majlis murni sebegitu dihiasi asap rokok merata.

Dan kita, tidakkah kita sayang pada guru kita, dengan membiarkan asap binasa itu menyinggahi peparu guru yang kita cintai? Saja-saja dah jadi secondary smoker, guru kita tu. Ada kajian mengatakan, secondary smoker lebih terdedah kepada bahaya berbanding primary smoker.

Dan sebagai Islam, sangat sepatutnya lah rokok tidak menjadi hiasan mulut.

Kesimpulan, peliharalah adab kita dalam menuntut.

Sunday, 1 March 2015

KEPERLUAN SILIBUS



Hari ini, kita berborak berkenaan keperluan silibus dalam Lian Padukan, atau mana-mana seni beladiri. Perkara ini berbangkit kerana suatu perbualan antara kawan dengan pengamal persilatan lain yang lebih dewasa dalam dunia seni beladiri.

"Silat dulu-dulu mana ada silibus-silibus ni. Takde. Orang dulu-dulu ajar kefahaman je, mana yang nak digerakkan, cara nak melangkah, pukulan mana nak disambut, nak dibuang. Silat sekarang-sekarang je yang ada silibus-silibus ni"

Kawan angguk kecil kenyataan tersebut. Namun, bagi kawan, brader ni mungkin terlepas pandang satu perkara. Apa yang dikatakan 'tiada silibus' itulah sebenarnya adalah silibus. Kita kena fahamkan dahulu, apakah itu silibus dan kepentingannya.

Menurut wikipedia, silibus ialah garis panduan dan kesimpulan bagi topik-topik yang akan dipelajari dalam sesebuah pengajian. Di sini, kita boleh faham yang silibus itu diolah sebagai outline atau blueprint bagi sesebuah perguruan. Silibus diolah secara umum dan menyeluruh (deskriptif), dan...... baca sendiri la kat wikipedia ye. Cari je syllabus.

Jadi, dari penerangan yang dipinjam di atas, silibus adalah garis panduan kepada penuntut sesebuah perguruan untuk mendalami apa yang perguruan mereka hidangkan. Ada yang makan tahun untuk dihabiskan. Ada yang sehari kursus sudah cukup dihabiskan. Terpulang. Yang penting, menyudahkan silibus hendaklah diiringi dengan kefahaman.

Kita ambik contoh, Lian Padukan sendiri. Alhamdulillah, sejak zaman berzaman, bangsa buah pukul sudah didedahkan dengan silibus-silibus yang berperingkat untuk dikuasai. Selaku pengamal buah pukul bersanad hingga Syed Abdul Rahman Al-Yunani, kita diperkenalkan dengan istilah 'Lian' iaitu pelajaran-pelajaran yang perlu dimahiri bagi menguasai pergerakan anggota senjata lapan yang bergayang lima. Setiap Lian diolah dengan unik dan efektif untuk 'hendak mengena, tak nak kena' yang menjadi tujuan bangsa buah pukul. Ada aliran yang mempunyai 12 Lian, ada yang hanya 8, dan pelbagai lagi bilangan Lian. Dalam Lian Padukan sendiri terdapat 16 Lian yang perlu pelatih kuasai sebelum khatam permainan.

Lian-lian ini dicipta pelbagai rupa sebagai guideline kepada bangsa buah pukul yang mewarisi Lian, dan seterusnya guideline tersebut diserahkan kepada pelatih seterusnya dan seterusnya. Kesinambungan perwarisan Lian ini menunjukkan buah pukul mempunyai silibus tersendiri yang mudah diterangkan dan difahami oleh generasi akan datang.

Namun, guideline tersebut kadang-kala diubah, atau ditambahbaik, oleh pendiri-pendiri yang mempunyai karisma tersendiri. Namun, identiti buah pukul ttap tidak lari dan hilang, kerana silibus buah pukul yang terkandung dalam Lian itu sendiri sangatlah utuh untuk dicemari. Sepertimana Lian Padukan sendiri, tanpa menafikan adu domba berkenaan keasliannya, tetap berpegang pada hakikat penumbuk dan perisai sebagai identiti, dan masih mengikut rapat ajarannyang terkandung dalam Nukil dan Buku Nukil, serta kata-kata pukul.

Sebab itu, ada yang mengatakan Lian Padukanlah antara yang paling tepat menterjemahkan kata-kata 'Senjata pada kita, perisai pada musuh'.

Silibus yang diwujudkan oleh kebanyakan perguruan juga bertindak sebagai pemudahcara dan keseragaman. Dengan adanya silibus-silibus yang susunannya sudah dipersetujui dari pucuk pimpinan perguruan dan para jurulatih, memudahkan khalayak mengenalpasti identiti perguruan. Lihat sahaja taekwondo, karate, wing chun, muay thai, brazillian jujitsu dan lain-lain seni beladiri luar, tak terkecuali silat-silat ternama di negara kita seperti silat gayung, silat sendeng, silat cekak dan lain-lain.

Kesimpulan yang boleh kawan buat, silibus adalah pemudahcara guru menyampaikan pelajaran kepada murid, dan langkah pengekalan dan pelestarian pelajaran agar sentiasa kekal seragam dan relevan merentangi zaman.

Saturday, 27 December 2014

MEMILIH 'BUAH' PAKAIAN DIRI?

Setelah kita berborak berkenaan kesesuaian Lian Padukan dengan tubuh badan kita berdasarkan silibus-silibusnya, hari ini kita luangkan masa untuk sama-sama berfikir tentang buah pakaian diri sendiri.

Selama kita bergelanggang dalam Lian Padukan, pernah tak kita fikir atau pilih sekurang-kurangnya 1 buah untuk menjadi andalan kita? Tak kisahlah berapa lama kita menuntut,

Sepatutnya, ya. Kita patut fikirkan 1 buah yang bakal kita jadikan 'buah angkat' untuk kita harapkan. Haaa, ada pulak 'buah angkat'...

Sebelum itu, cuba kita renung kembali, selama pengajian kita dalam Lian Padukan, tak kira baru seminggu atau sudah bertahun-tahun. Kita maklum bahawa dalam Lian Padukan tidak ada susunan buah-buah tertentu yang perlu kita hafal. Yang ada ialah susunan silibus asas pergerakan Jurus dan Lian yang perlu kita fahamkan dan drill selalu, atau ada silat yang istilahkan sebagai belebat atau pecah.

Jurus atau Lian kalau kita mudahkan, sebenarnya adalah susunan kombinasi pukulan dari senjata lapan kita yang bergayang lima. Seperti mana dalam boxing yang ada kombo 1-2, 1-2-3, 1-2-5-2, 1-6-3-2... apa-apalah. Kombinasi adalah infiniti.

Maka, Jurus dan Lian yang kita latih adalah kombinasi terpilih yang sudah dirumuskan oleh Allahyarham Pak Mat Kedidi, diperkasakan lagi oleh Allahyarham Razak Sharif dan dimurnikan lagi oleh Ayahanda Haji Hasyim. Disampaikan pula kepada kita melalui gurulatih-gurulatih dan senior-senior yang diiktiraf oleh Ayah.

Oleh yang demikian, pelajaran Jurus dan Lian yang kita perolehi itu sebenarnya membantu kita mengolah permainan 'hak' kita bersesuaian dengan fizikal, minat, kemampuan dan peribadi kita, berpandukan landasan petua-petua dan kata-kata pukul.

Namun, sebelum kita berkebolehan mengolah sendiri permainan atau buah, kita dibekalkan dengan buah-buah cadangan yang boleh diaplikasikan semasa melaksanakan sesuatu silibus. Sebagai contoh, bagi membiasakan diri dan memahamkan diri tentang Jurus 1, pelatih baru akan didedahkan dengan buah Jurus 1, kemudian dilatih lapisnya seperti 'buah kopak' dan 'buah seberang'. Ini adalah kombinasi asas atau cadangan untuk memahamkan pelatih tentang Jurus 1. Hari demi hari, latihan demi latihan dan kefahaman demi kefahaman, kemahiran yang siap di'install' dalam diri pelatih akan memungkinkan pelbagai lagi variasi buah hanya dari Jurus 1. Baru Jurus 1. Ada lagi Jurus 2 hingga ke Lian 16. Bayangkan banyaknya variasi buah. Infiniti.

Akan tetapi, dalam sayembara sebenar, kita tidak mempunyai waktu untuk berfikir atau memilih buah antara pelbagai buah yang boleh digunakan dalam berhadapan musuh. Maka, dalam keadaan terdesak, 'muscle memory' yang kita sudah 'install'kan kemahiran Jurus dan Lian akan mengambil alih, meng'output'kan buah mengikut situasi dan keadaan.

Sebab itu, kita boleh cuba harapkan pada 'buah angkat' kita tadi. Apa yang kawan maksudkan dengan 'buah angkat' ialah pilih satu buah, dari mana-mana Jurus atau Lian yang kita rasa paling sesuai dengan tubuh badan kita. Buat analisis SWOT pada buah tersebut dengan mengkaji kelebihan buah (mudah dilaksanakan), kelemahan buah (kemungkinan mudah dilapis), peluang melaksanakan buah dan ancaman pada buah (musuh orang berpengalaman) tersebut.

Melalui analisis tersebut, kita boleh juga menilai kelebihan dan kekurangan diri kita. Mungkin dari segi pengalaman, kekuatan, kepantasan, keberanian dan lain-lain.

Tu baru satu. Kalau rajin, analisis semua buah yang kita dah belajar. Yang paling mahir itulah kita bawa bersama diri kita. Tapi analisis-analisis ini sesuainya dilakukan waktu tenang. Kalau kat situasi sebenar baru nak fikir macam-macam,  masak kita. Apa pun, latihanlah yang paling utama. Kalau selalu berlatih, insyaAllah, tak fikir tentang buah pun, buah akan keluar sendiri mengikut kehendak situasi.

Kalau tanya kawan, buah andalan kawan adalah buah dari Jurus 2 Lian Padukan.

Anda bagaimana?