Monday, 1 March 2021

BUAH ILMU ITULAH AKHLAK

 Alhamdulillah.


Bersyukur kerana kita, walaupun melalui pelbagai pancaroba, tambahan dengan dugaan wabak COVID19, kita masih dianugerahkan hidup yang baru, hari yang baru saban hari.


Allah Subhanahu wa Taala masih mengurniakan kita kesempatan untuk bertaubat, bermuhasabah diri, menilik setiap cela diri untuk diperbaiki.

Lian Padukan adalah antara ilmu Allah Subhanahu wa Taala dari sekalian ilmu Allah Subhanahu wa Taala yang mustahil kita mahu menghitungnya. Ilmu yang Allah Subhanahu wa Taala pinjamkan kepada kita untuk diamalkan.

Ayahanda Haji Hasyim mengertikan Lian Padukan kepada dua cabang, iaitu ukhrawi dan duniawi.

Di cabang ukhrawi, Luntur Iman Angkara Nafsu, Penuhkan Amalan Demi Untuk Kehidupan Akhirat Nanti.

Di cabang duniawi, Latihan Istiqamah Anggota Nafas, Pada Allah Diserahkan Untuk Keselamatan Anda Nanti.

Inilah 'rahsia umum' yang diketahui baik pengamal mahupun yang bukan pengamal Lian Padukan. Namun, adakah hafalan pengertian ini sekadar tinggal hafalan?

Maka kawan kembalikan persoalan tersebut kepada tajuk 'Buah Ilmu Itulah Akhlak'.

Sebagaimana ilmu Allah Subhanahu Wa Taala yang lain,pohon ilmu Lian Padukan juga sepatutnya membawa kita mengecap manisnya buah akhlak.

Penghubung ilmu dan akhlak adalah amal. Bagaimana cara kita beramal dengan Lian Padukan, hujungnya akan membawa kepada bagaimana kita berakhlak.

Dalam suatu hadith, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud,

"Sebaik-baik amalan di sisi Allah adalah amalan yang berterusan, biarpun sedikit"

Maka, ilmu Lian Padukan ini hendaklah diistiqamahkan latihannya, di samping kita berusaha menyampaikan diri kita kepada dua pengertian Lian Padukan yang disebutkan tadi.

Dalam pada kita beristiqamah berlatih dan belajar, hati tempat menampung ilmu hendaklah sentiasa dalam mujahadah, kesungguhan untuk membersihkan hati dari perasaan keakuan, ketakutan dan lain-lain sifat mazmumah.

Walaupun Lian Padukan merupakan ilmu buah pukul, yang sangat sinonim dengam bertumbuk, namun melalui penghayatan 2 pengertian Lian Padukan secara ukhrawi mahupun duniawi sepatutnya membentuk akhlak kita dengan sebaik-baik akhlak.

Pujangga buah pukul, Chu Aman pernah mengatakan,

"Sebelum hujan sediakan payung, dah ada payung bukanlah bererti tak kena hujan, tapi pada tempat-tempatnya lah".

Makna kata, buah pukul Lian Padukan yang kita pelajari ini adalah 'payung' yang kita usung, tak lebih sekadar usaha dan tawakal kita kepada Allah Subhanahu wa Taala. Pada kehendak Allah Subhanahu wa Taala sahaja menang seri kalah berlaku. Maka 'payung' itu walaupun diusung selalu, bukan bermakna kita nak mengembangkannya setiap masa. 

Sepatutnya, semakin lama kita berilmu dalam Lian Padukan, semakin terzahir hasil latihan yang kita amalkan. Mungkin terzahir dari segi kesihatan, mungkin terzahir dari segi keyakinan. Paling penting, ilmu itu biarlah menzahirkan akhlak yang terpuji. Kita cega dan curiga terhadap diri sendiri, agar sentiasa menjaga dari melakukan perkara yang dimurkai Allah Subhanahu wa Taala.

Ada yang kata, ramai pelatih Lian Padukan yang dah khatam, tapi tak faham-faham. Memang betul. Kerana kefahaman ini adalah langsung dari Allah Subhanahu wa Taala. Jaga-jaga diri kita dari merasa akulah yang paling faham, khuatir tergelincir ke lembah istidraj. Kelebihan yang hanya menjauhkan kita dari rahmat Allah Subhanahu wa Taala.

Tanya diri kita sendiri, beberapa kali kita khatam Al-Quran, adakah kita faham seluruh isinya? Kalau faham, adakah diamal seluruhnya? 

Kefahaman adalah proses. Proses berjalan mestilah satu per satu, langkah per langkah. Jangan boros. Istiadat khatam yang dilalui adalah langkah awal proses tersebut, yang sepatutnya dibaja dengan doa dan galakan supaya mengkaji dan terus mengkaji, berlatih dan terus berlatih. Anak-anak Lian Padukan mengharapkan doa ibu bapa dan guru-guru lama supaya keberkatan ilmu diraih mereka. Sebab itu adanya pelbagai doa dianugerahkan kefahaman, seperti doa yang dibaca anak-anak di sekolah sebelum memulakan pembelajaran. Kerana, kefahaman itu adalah anugerah Allah Subhanahu wa Taala yang bukan milik kita untuk didabik-dabikkan.

Berdoalah, dan beramallah mengikut acuan Islam. Semoga ilmu yang kita pelajari, duniawi mahupun ukhrawi, membuahkan kemanisan akhlak. Sebaik mungkin kita cuba contohi akhlak Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam.

Sesungguhnya tulisan ini adalah peringatan buat diri kawan di masa hadapan. Kawan 'kapsul masa' kan di sini, supaya diri kawan di masa hadapan yang ketika itu tergelincir mencari megah Lian Padukan, kembali ke landasan.






Saturday, 16 January 2021

SETELAH...

 Alhamdulillah. Setelah 2 tahun menyepi, kawan kembali mengajak pembaca berbual kosong berkenaan cinta kita, Lian Padukan.


2 tahun yang padat...

InsyaAllah, sempena PKP 2.0 ni, kawan cuba luangkan masa untuk sama-sama menggali dan berkongsi khazanah Lian Padukan, agar semua tahu dan kenal, bagaimanakah permainan Lian Padukan, setakat yang kawan tahu dan pelajari, dan bagaimanakah sepatutnya kita menyikapi permainan ini.


Kenapa permainan, adakah kita bermain-main semasa belajar Lian Padukan?


Tergerak hati kawan untuk kembali menulis, setelah menonton 'live' di FB, demonstrasi yang ditunjukkan oleh Ayahanda Din Misai, Pengerusi Lian Padukan Selangor/Kuala Lumpur.

Boleh kawan katakan, terlalu banyak input yang dikongsikan oleh Ayah Din Misai. Dan rata-rata guru buah pukul yang kawan temui, begitulah sikapnya. Sangat terbuka, lagi berterus-terang, seperti permainan buah pukul itu sendiri yang straight forward, berterus terang.

Bagi perguruan lain, kawan tak pasti. Tapi bagi Lian Padukan, memang itulah amalannya. Sedari hari pertama melangkah ke kelas Lian Padukan, pelatih akan dilanyak dengan titik demi titik, selalunya membawa lebam yang bukan kepalang di lengan sebagai sagu hati. Kalau hati lembut, kita akan berkata yang guru atau pelatih lama membuli pelatih baru. Tapi sebenarnya tidak. Itulah keikhlasan yang dipaparkan oleh guru dan pelatih lama Lian Padukan. 

Hakikat pembelajaran buah pukul mesti dimulai dengan apa yang dinamakan SAKIT, sebab itu yang diwarisi dari generasi ke generasi.

Namun, keikhlassan itu dibayar dengan harga yang mahal. Datang 5 orang boleh jadi tinggal seorang. Datang seorang, boleh jadi tak datang dah kemudian hari.

Sebab itu kelas buah pukul jarang yang ramai dalam sela masa yang lama. Tapi insyaAllah dan alhamdulillah, sentiasa ada.

Kawan harap tahun ini boleh jadi permulaan yang baik untuk kita semua, walaupun diuji dengan pelbagai dugaan. Bagi bakal pelatih, percayalah Lian Padukan khususnya, seni beladiri umumnya, boleh menjadi medan melampias tekanan. Kalau ada punching bag di rumah, lagi cantik. Lian Padukan boleh dijadikan jalan untuk mengawal amarah, mengiringi amalan yang semakin patut kita tingkatkan, mendepani pelbagai ujian akhir zaman.


Setelah 2 tahun tidak menaip di sini, alangkah....


Tuesday, 3 July 2018

STAMINA

Dalam suatu perbualan kawan bersama seorang rakan setugas, yang juga seorang pesilat, kami sedikit berselisih berkenaan mana antara berikut lebih penting, teknik atau stamina?

Menurut sahabat kawan, teknik memainkan peranan yang sangat penting dalam tempur. Teknik juga dirangkum dalam strategi, yang apabila berhadapan lawan, teknik yang lancar lagi berkesan akan menentukan menang kalah sesuatu perlawanan.

Namun pada kawan, kawan lebih memilih stamina berbanding teknik. Ini adalah berdasarkan pengalaman peribadi kawan yang tak seberapa dalam arena sukan tempur kira-kira 11,12 tahun lepas.

Stamina secara mudah difahami adalah daya tahan kardiovaskular ketika melakukan aktiviti fizikal.

Alasan kawan, untuk melaksanakan 1001 teknik, stamina adalah 'bateri' utama yang menentukan kemenjadian teknik. Atlet yang mempunyai kelebihan stamina lebih tenang melaksanakan teknik berbanding atlet yang kurang stamina. Ibaratnya, kita mahu melalui suatu perjalanan jauh berkereta, dengan segala kelengkapan, peta perjalanan, perancangan tempat persinggahan dan penginapan, dan lain-lain (teknik dan strategi). Namun akhirnya perancangan kita hampa apabila 10 minit perjalanan, kereta bermasalah pada bateri dan kurang minyak.

Kita boleh lihat sendiri rejim latihan atlet, antara yang paling utama adalah joging. Joging merupakan simulasi sebenar tahap stamina kita. Malah, barisan tentera juga tak terkecuali melakukan larian berjadual dengan bebanan. Kalau kita bandingkan dengan nenek moyang kita yang gagaj bersilat tanpa perlu berjoging, jangan lupa kerja seharian mereka berbendang, ke laut, ke hutan, ke bukit menuntut stamina yang bukan kepalang. Mereka dah 'cover' bahagian stamina melalui kerja harian, selebihnya bergelanggang lebih kepada mengasah skil dan kefahaman. Kita?

Itu sekadar pendapat kawan. Kawan sendiri merutinkan joging 10km setiap hujung minggu untuk memastikan kesediaan dan kesiapsiagaan, di samping melatih teknik Lian Padukan.

Nanti kita cerita lagi secara lebih lanjut tentang kepentingan stamina.

Sunday, 11 March 2018

YANG DILATIH DAN DIBIASAKAN

Yang dilatih dan dibiasakan hendaklah perkara yang sama. Jangan yang dilatih benda lain, yang digunakan benda lain. Jangan sampai latihan mengkhianat diri waktu diperlukan.

Bak kata Ayah,

"Dalam Lian Padukan, itulah yang kita belajar, itulah kita ajar, itu jugalah yang kita 'kurang ajar'"

'Kurang ajar' di sini bermaksud 'aplikasi dalam situasi sebenar tempur'. Sudah tentu adab adalah antara fokus utama dalam pembelajaran Lian Padukan, cuma ada istilah-istilah janganlah kita semberono menafsirnya.

Itulah titiknya, itulah perisainya, itulah tumbuknya. Itu yang dibelajar, itu yang diajar, itu yang 'dikurangajarkan'.

Friday, 5 January 2018

CABARAN

Dalam dunia seni beladiri, cabaran tidak mampu diketepikan. Cabaran datang daripada dua sudut, iaitu internal dan eksternal. Internal yakni cabaran dari dalam diri sendiri, eksternal sebaliknya, dari pihak lain.

Setelah beberapa tempoh kita mengenal potensi diri kita melalui latihan demi latihan yang dilalui, mengikut aliran masing-masing, kadang-kadang kita dicabar oleh ego diri sendiri, mahu ilmu yang dipelajari diuji. Maka jika kita alah pada cabaran itu, sudah tentu kita dipandu oleh ego untuk membuktikan kejaguhan.

Maka mendepang dadalah kita berjalan, hidung menongkat langit. Berharap ada kutu yang 'sudi' melaga bahu kita, supaya nantinya boleh kita jadikan percikan api pergaduhan. Atau mulalah kita mengintai-ngintai kekurangan permainan lain, yang kononnya tidaklah teruji sehebat mana, seperti kita.

Dalam lain keadaan yang lebih murni, kita pula memandu kehendak ego kita, ke tempat yang sepatutnya diadukan hasil latihan kita, iaitulah medan sukan tempur. Alhamdulillah, dewasa ini semakin bangkit ahli-ahli Lian Padukan menyertai sukan tarung berperaturan yang penuh semangat kesukanan. Menang tak seberapa, kalah pun ada. Yang pasti sakit dan pengalaman terbekal buat seusia hayat.

Cabaran juga datang dari luar. Seperti memandu, kadang-kadang bila kita yang terlebih berhemah memandu mematuhi aturan jalanraya mengikut kehendak kerajaan, ada pula kutu yang membuat angkara, yang kesannya terpalit pada kita, dihentamnya kita dari belakang, kiri, kanan atau hadapan, dalam keadaan paling kita berwaspada.

Sama halnya kita. Dalam kita berdiam memeram ilmu beladiri yang kita pelajari dan warisi, ada yang galak mencabar untuk kita mempamerkan kejaguhan. Kita pun, kalau dipandu ego, menyahutlah ajakan cabaran 'berdiri'. Menang sorak, kampung tergadai bak Pak Kaduk.

Ada baiknya cabaran seperti itu, kita sahut dengan kejaguhan akhlak selayaknya seorang Islam yang diperikan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu alaihi wassalam. Dilempar najis, dikata hina, dibaling batu, diperangi malah mahu dibunuh, marak nyalaan akhlak Baginda tidak langsung suram. Betapa ramai yang akhirnya Islam hanya dengan kejaguhan akhlak Rasulullah Sallallahu alaihi wassalam.

Maka, jangan ghairahlah kita mahu menguji ilmu, atau mahu ilmu diuji. Sebagai umat Islam, hamba Allah Subhanahu wa Taala, ujian pasti tiba tanpa mampu kita tepis atau kesampingkan. Sebagai ahli seni beladiri, latihan keras sudah sepatutnya menyiapkan jasad yang kejap padat, rohani yang bersih dan mental yang jiti dalam mendepani cabaran dan ujian. Al-Quran mengingatkan kita agar jangan mendabik beriman andai belum benar-benar teruji. Maka, bersiaplah atas segala upaya.

Kenallah diri dengan sesungguhnya, iaitu menginsafi diri ini tak lain hanyalah hamba Allah Subhanahu wa Taala, yang sama-sama dicipta dari pancuran mani hina seorang manusia. Maka, selayak hamba, patuhilah segala kehendakNya, mengikut apa yang dicontohkan Rasulullah Sallallahu alaihi wassalam, ahli keluarga Baginda Sallallahu alaihi wassalam, para sahabat, tabi tabiin, dan ulama-ulama Ahlussunnah wal Jamaah.

Dan tidak juga putus berlatih, berlatih, berlatih. Siapkan jasad supaya sihat dan kuat menampung dan mengamalkan amanahNya.

Sama-samalah kita saling ingat-mengingat. InsyaAllah...

Tulisan pertama 2018, selepas hanya 1 di tahun 2017. Doakan kawan istiqamah...

Sunday, 28 May 2017

JATI DIRI

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Selamat menunaikan kewajiban berpuasa dan berzakat fitrah di bulan Ramadan Al-Mubarak yang baru menjengah hari ke 3 bagi sesi tahun ini.

Agak lama juga kawan tak mengarang di laman ini. Sebenarnya ada juga menulis sikit-sikit, tapi atas himpitan waktu yang jarang mengizinkan, tulisan-tulisan itu terperam tidak di'publish'. Insyaallah bila sampai waktunya, ada lagi artikel yang bakal mengiringi.

Dewasa ini, kita boleh lihat kerancakan sukan tempur yang semakin mendominasi masyarakat, terutama peminat seni beladiri. Tambahan pula, sukan tempur, spesifikasinya Mix Martial Art (MMA) dikatakan sebagai sukan yang paling cepat berkembang di dunia, baik dari segi penganjuran, olahan teknik dan latihan, dan macam-macam lagi.

Di sebalik kecanggihan teknik yang diadunkan dalam MMA, ada juga yang melihat seni beladiri tradisi semakin diketepikan, dengan alasan ' tidak praktikal di gelanggang tempur'. Menambah pedih, viral beberapa rakaman menunjukkan praktisi seni beladiri tradisional dibelasah atlet MMA yang boleh ditonton di media sosial.

Sebenarnya, pada pandangan kawan, ia haruslah dikembalikan kepada niat awal kita melangkah ke dalam dunia seni beladiri.

Jika kehebatan kendiri yang kita cari, berlatihlah sungguh-sungguh aliran yang dipelajari. Jika mahukan aliran tradisi terus bertahan, berlatihlah bersungguh-sungguh agar diri selari kemegahan ilmu yang dipelajari, dan mampu dibuktikan jika diperlukan. Jika mahukan seni beladiri menjadi jati diri, berlatihlah bersungguh-sungguh agar kesungguhan dan disiplin dapat diterapkan dalam diri, mengekal menjadi peribadi.

Pokok pangkalnya, BERLATIH BERSUNGGUH-SUNGGUH.

Latihan yang bersungguh-sungguh menyampaikan kita kepada hakikat kepada apa yang kita kerjakan. Seperti halnya kita mengusahakan ibadah berpuasa. Kita bersungguh-sungguh memelihara diri dari segala perbuatan yang mengurangkan kualiti ibadah kita. Jauhi perbuatan mengumpat, apatah lagi memfitnah. Pelihara mata dari memandang segala hal yang menggoda nafsu. Kawal nafsu membeli juadah yang belum tentu termakan. Hiasi bulan Ramadan dengan solat sunat tarawih. Uji stamina beribadah dengan ikut berjemaah 20 rakaat tarawih. Kejar Lailatul Qadar. Hujung Ramadan, percayalah, Allah Subhanahu wa Taala akan bimbing kita mencapai hakikat berpuasa yang banyak mendidik.

Yang hanya akan kita capai dengan bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah puasa.

Hal yang sama kita pinjamkan ke dalam seni beladiri. Sungguh-sungguh berlatih yang mana kesungguhan itu akan membawa kita mengenal hakikat seni beladiri.

Maka, sekadar pengalaman kawan dalam jagat persilatan, Lian Padukan khasnya, seni beladiri adalah jati diri. Kita mengenal diri, kita kenal potensi diri, kita kenal kelemahan diri.

Kenal yang membawa kita kepada maksud "innalillahi wa inna ilaihi rajiun". Kita milik Allah dan padanya kita akan kembali.

Oleh itu, janganlah ada sekelumit riak mahu pun iri hati, kerana segalanya adalah milik Allah subhanahu wa taala belaka.

Ada sebilangan ahli senibeladiri yang apabila tidak mampu mengikuti sesuatu sistem pembelajaran aliran seni beladiri yang sudah establish, seperti silat, atas sebab kelemahannya sendiri dalam memahami, menghayati, dan menyesuaikan diri, keluar dari aliran tradisi dan menyertai aliran lebih moden dan sporty dengan alasan, lebih praktikal.

Tak kurang juga yang masuk aliran tu sikit, ikut kursus ni sikit, tau-tau buka aliran sendiri, dengan alasan sama, lebih praktikal.

Pada kawan, sikap ini melambangkan bermasalahnya jati diri seseorang.

Gagal dalam memahami maksud 'istiqamah'.

Memetik nama mendiang Maestro hebat Bruce Lee, bukanlah kawan menolak langsung falsafah-falsafahnya. Cuma hayatnya yang singkat menjadikan beberapa pegangannya dalam senibeladiri belum sepenuhnya dibuktikan, terutama point of viewnya terhadap seni beladiri tradisi seperti Wing Chun. Kawan percaya, sekiranya mendiang dianugerahkan lebih masa, merasa menjadi seorang tua, beliau akan menjadi 'wiseman' seperti mendiang Grandmasternya, Ip Man. Mungkin juga beberapa pegangannya akan dirombak, seiring dengan peningkatan usia.

Sebab itu kawan lebih terkesan dengan falsafah mendiang Masutatsu Oyama, pengasas Kyokushin Karate. Membaca fasa-fasa hidupnya, banyak mempengaruhi aliran yang didirikannya, sehingga menjadi antara aliran paling besar di dunia.

Sebagai Melayu yang berLian Padukan, kawan memilih untuk menjadikan Lian Padukan sebagai jati diri. Genius Allahyarham Pak Mat Kedidi menjadikan Lian Padukan tidak hanya boleh diisi dengan kisah bertumbuk, tetapi juga ruang untuk terus ditingkatkan. Di tangan Haji Hasyim, ruang-ruang itu akan terus diisi dengan kefahaman demi kefahaman.

Maka kita selaku Melayu yang Islam agamanya, selaku Islam yang Melayu bangsanya, pelajarilah silat selaku jati diri kita. Setidak-tidaknya kita maklum yang isi pelajaran kita berwasilah guru-guru yang bersyahadah. Suatu hari, kalau tidak hari ini, pasti akan berguna. Praktikal tak praktikal, kita serah pada Allah.

Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.


Thursday, 8 December 2016

PERIHAL GURU DAN BERGURU

Kalau kita rujuk mana-mana kitab yang sering ditadah di masjid surau, antaranya Sairus Salikin karangan Sheikh Abdus-Shamad Al-Falimbani, sebagai contoh, hal-hal yang menjadi penekanan utama adalah perihal ADAB. Ulama terdahulu sangat menekankan perihal tentang adab dan beradab, serta hak-hak yang mesti kita lunaskan selaku umat Islam yang soleh. Sangat kerap ditekankan tentang adab hingga kita yang mendengar akan faham bahawa adab adalah lebih utama daripada ilmu. 

Ini kerana seseorang yang tinggi adab namun kurang ilmunya adalah lebih afdhal berbanding orang yang tinggi ilmunya namun kurang pada adab.

Sheikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari dalam pada memerihalkan tentang orang Islam yang SOLEH, adalah seorang yang menunaikan HAK ALLAH dan HAK MANUSIA. Kita solat, puasa, mengaji siang malam, zakat tak pernah tertinggal, namun HAK MANUSIA kita tidak tunaikan. Kita aniaya jiran kita, kita buat tak peduli kepada kaum kerabat kita, dan kita khianati guru kita, maka belum sampailah kita ke makam INSAN SOLEH.

Yang kawan nak ajak diri kawan renungkan adalah berkenaan guru dan berguru. Kalau nak ikut renung bersama, silakanlah.

Guru selaku seorang yang berilmu, kedudukannya sangat tinggi di sisi Allah Subhanahu wa Taala. Tanpa perlu kawan nukilkan dalil-dali naqli mahupun aqli tentang kedudukan guru. Semua sudah maklum.

Yang nak disuruhkan kawan fikirkan adalah tentang adakah hak guru, adakah sudah kawan tunaikan. 

Antara hak guru yang perlu kita tunaikan, ikut pendapat kawan sendiri, bukan rujukan mana-mana kitab, adalah mengajarkan ilmu yang diperturunkan oleh guru kepada kita, bagi yang layak dan sudah dilayakkan (diijazahkan) kepada mereka-mereka yang mahu, tanpa mengubah apa-apa mengikut selera kita.

Ayahanda Haji Hasyim selalu dalam perkataannya mengulang-ulang ayat "tambah boleh, ubah jangan". Yang dimaksudkan "tambah boleh'' itu adalah infokan kepada pelatih-pelatih gelanggang sebarang maklumat atau pengalaman atau nilai-nilai yang kita perolehi melalui pembelajaran atau pemerhatian kita. Tidak menjadi kesalahan pun mengajarkan aspek kesukanan dan pertandingan dalam sesi latihan, malah digalakkan supaya pelatih melihat Lian Padukan tidak hanya ilmu bertumbuk, malah merincikan hal-hal kesihatan. Juga tidak bersalahan mengajarkan buah-buah tambahan kepada para pelatih, selain dari buah-buah aplikasi silibus. Kadang-kala perbezaan buah antara satu gelanggang dengan gelanggang yang lain menjadi keunikan yang patut dikongsikan sesama ahli Lian Padukan. Sekadar contoh. 

Yang "diubah jangan" itu adalah penurunan silibusnya. Titik-perisai-tumbuk sudah ada bentuknya yang baku, ajarkan mengikut apa yang sudah diperturunkan turun-temurun. Perbuatan gelek, melangkah, sisip dan macam-macam lagi gerak laku yang sudah 'dibakukan', perturunkan sewajarnya. Agar murid seluruh negara, di mana-mana negeri pun akan mudah tahu dan selaras penerimaannya. 4 Jurus dan 16 Lian sudah ada bentuknya yang tetap dan teruji. Jangan sewenang ditambah, melainkan Guru Utama sendiri yang menyelaraskan perubahan bilangan Lian. Setakat ini, betul, memang Lian yang ada di dalam Lian Padukan, lebih daripada yang dinyatakan. Namun Lian-lian tersebut tersimpan dalam Lian-lian asing, selain Lian Tapak 100 yang dipelajar oleh waris Lian Padukan yang sudah khatam istiadat.

Juga hak guru adalah, kita sebagai murid hormat padanya. Manusia tidak ada yang sempurna. Guru juga manusia. Namun hormat perlu ada pada guru yang menurunkan butir mutiara ilmu kepada kita. Kedudukan ilmu sangat tinggi di sisi Allah Subhanahu wa Taala, maka para penanggung ilmu itu wajiblah mempunyai adab untuk menampung bebanan ilmu, memandangkan ilmu adalah amanah. Kita selaku murid, hormatlah akan guru kita, Ayahanda Haji Hasyim dan gurulatih-gurulatih yang lain.

Ini kerana, antara tanda keberkatan dan kemenjadian ilmu yang kita amalkan adalah melalui menghormati guru.

Jangan mudah merasa sombong dengan setitis ilmu yang kita ada. Ada kedapatan kita apabila di suatu tahap, merasa ilmu sudah cukup untuk meletakkan diri sebaris dengan guru sendiri. Jangan.... Hingga ada antara kita yang meninggalkan guru dan menerbitkan perguruan sendiri. Kawan yakin, letaklah apa nama sekalipun, yang keluar tetap titik-perisai-tumbuk itu juga. Bagi murid yang pernah  bergelanggang Lian Padukan, faham mengapa sukarnya diri membuang kaedah tersebut. Hingga kita terfikir, apakah mungkin kita men'sanadkan' permainan tersebut dengan sekian guru lain, sekian guru lain, padahal terang lagi bersuluh itu adalah hak Lian Padukan. "Menendang dengan tangan, menumbuk dengan kaki" adalah dendangan guru kita sehari-hari, dan kita iklankan untuk me'laku'kan diri bagai itu kita yang ilhami.

Besarnya hati guru kita apabila diajukan hal sedemikian, dijawabnya cuma, "Tak apalah... Sudah pun bahagian dia...Rezeki dia lah..."

Terlintas di hati kawan menulis hal ini, adalah melihatkan senario yang berlaku bukan hanya dalam Lian Padukan, malah mana-mana perguruan pun. Ini sebenarnya suatu peristiwa yang tidak sihat. Guru tidak lagi dianggap dengan sepatutnya. Keberkatan berguru bukan lagi jadi keutamaan, sebaliknya kehebatan bertumbuk yang dijadikan tujuan semata-mata. Jangan. Jangan kita pandang bab belajar ini sekadar memastikan aspirasi 'value for money' yuran yang kita bayarkan setiap bulan dipenuhi. 

Berguru itu juga membentuk suatu hubungan rohaniah turun-temurun dari guru pendiri asal hingga terkini. Janganlah kita jadi pemutus tali rohaniah ini, dengan menafikan hak guru dan membelakangkan adab berguru.