Thursday, 12 November 2015

COMBAT SPORT - MEDAN MENGIKTIRAF KEHEBATAN?

Kawan terbaca dalam sebuah page berkaitan buah pukul, tentang seorang hamba Allah yang lantang mencanang cabaran supaya pelatih-pelatih buah pukul naik 'ring' bagi membuktikan kejagoan sebenar, bukan semata-mata berkokok di laman maya bersandangkan gelaran 'keyboard warrior'.

Kawan senyum kelat je baca.

Sebelum kita ke isu sebenar, mari kawan bawa sidang pembaca memahami lebih kurang tentang combat sport, atau sukan combat.

Secar ringkasnya, sukan tempur adalah SUKAN yang ada undang-undang, ada peraturan, ada pengadil, ada juri, ada penonton, ada tempat-tempat yang boleh dan tak boleh dikenakan pukulan, ada teknik yang boleh dan tidak boleh digunakan, ada disiplinnya, ada latihannya, ada kelas berat, dan ada macam-macam lagi yang membawa sukan tempur sebagai SUKAN.

Mudah kata, tonton sahaja UFC yang kita kata ganas, tempur sebenar, real punya, tetap ada peraturan yang perlu dipatuhi. Tak boleh pukul spinal area, tak boleh cucuk mata, tak boleh tendang telur, dan ada kelas berat. Tapi bagi sesiapa yang dah ikut UFC sedari The Begining lagi, pukul telur boleh ye, dan tak ada kelas berat. Royce Gracie selaku atlet paling ringan ketika itu menjuarai The Begining, dan menaikkan nama Brazillian Jujutsu mencanak-canak.

Apa pun, ia tetap sukan. Pertaruhannya pada menang kalah, bukan hidup mati.

Secara peribadi, kawan berpandangan yang gelanggang tempur adalah medan menguji kemahiran beladiri yang dimiliki. Dalam gelanggang tempur, stamina, skill, teknik, emosi, mental, rohani, latihan yang dijalankan diuji sama ada cukup rencah atau tidak. Kalau kalah, bermaksud bukan rezeki kita.

Kalau menang pun, bukan bermaksud gahnya kita.

Dan bagi yang baru cuba-cuba masuk, bukanlah bermaksud kita terlajak berani hingga mempunyai ruang untuk mempelekehkan orang yang belum berpeluang menjejakkan kaki atas ring.

Secara peribadi, kawan pernah naik ring. Kawan tau betapa gabranya, betapa cuaknya, betapa libang-libunya kita atas ring. Walhal, sebelum masuk ring, bukan main lagi konfiden. Dalam kepala siap mind map lagi, kalau lawan masuk cara ni, aku nak buat yang ni. Kalau lawan tak masuk-masuk, aku nak tibai cara ni.
Tapi , semuanya disimpulkan dengan baik oleh Myke Tyson.

"Everyone has a plan, till they get punched in the face."

Sebaik terkena 'power bomb' atau kena pacak (kepala kena hempas ke lantai), dunia berputar untuk suatu tempoh masa, sehingga wasit datang bertanya keadaan kawan. Sebaik ok, kawan tak tahu dah apa kawan buat. Berbalas-balas serangan hingga ke sudah. Dan kawan kalah.

Kawan balik, muhasabah diri. Faktor kekalahan kawan adalah  kerana lemahnya kawan dalam melancarkan tendangan. Kawan usahakan mengasah tendangan, namun hampa kerana kawan tidak flexible di bahagian kaki. Kawan tak mampu buat split seluas mungkin. Maka, usaha kawan adalah, memahirkan tumbukan, tepisan dan elakan. Alhamdulillah, walaupun hanya dengan 3 kemahiran itu sahaja, langkah kawan bolehlah dibanggakan kalau nak cerita dengan anak cucu, tercalon mewakili...... ah, dah 15 tahun kenangan ni. Malas nak kenang.

Pokoknya, kawan menggunakan medium gelanggang tempur untuk menggali dan mengkaji potensi dan kelemahan diri kawan. Dan ye, ia adalah SUKAN.

Itu sebabnya, kawan lebih teruja menonton boxing berbanding kickboxing atau MMA. Dengan 'senjata' yang lebih terhad, iaitu hanya 2 penumbuk sahaja, atlet lebih dipaksa mengatur strategi dan latihan bagi mengatasi lawan.

Tahukah anda, mengikut kajian sebuah universiti sukan antarabangsa, sukan boxing lebih mengakibatkan kecederaan parah berbanding MMA? Memang MMA mengujakan dengan darah berceceran, namun kebanyakan KOnya lebih melibatkan kuncian, berbandig KO boxing yang melibatkan head concusion yang lebih severe.

Untuk menyimpulkan tulisan ke laut ini, SUKAN adalah medan menguji diri. SUKAN adalah penanda aras setakat mana kemahiran kita. Maka, kehebatan sebenar tidak teruji di medan sukan tempur.

Kehebatan sebenar kita teruji melalui penghayatan kita pada aliran  yang kita tuntuti. Dato Awang Daik tidak pernah kita dengar naik ring, tapi kehebatannya diakui zaman berzaman. Grandmaster Morio Higaonna dari Okinawa, tunjang karate aliran Goju Ryu digelar 'the most dangerous man in real fight' di Jepun, tanpa perlu melalui pertarungan berdaftar dalam gelanggang tempur.

Kehebatan sebenar lahir dari kesedaran bahawa betapa lemahnya diri kita sendiri.




Wednesday, 11 November 2015

TEKNIK TERBAIK?

Dalam senibeladiri, senantiasa menjadi persoalan, apakah teknik terbaik dalam membeladiri, atau dalam sukan tempur, atau dalam pergaduhan?

Jawapannya tersangatlah subjektif.

Dalam Lian Padukan sendiri, terdapat banyak buah-buah terbitan dan olahan samada dari Jurus atau Lian. Buah-buah pukulan tersebut samada diajar oleh guru, jurulatih atau senior, atau terbit dari ilham sendiri, melalui penghayatan atau kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.

Maka, bagaimana memilih teknik terbaik sebagai sandaran dari buah-buah pukul yang pelbagai ini?

Jawapannya tersangatlah subjektif.

Maka, sekadar pendapat kawan, kawan 'goreng' sedikit di sini, sekadar perkongsian.

Lihat bagaimana Ronda Rousey, yang dikatakan atlet paling dominan untuk acara yang disertainya, sangat selesa dengan bantingan dan kuncian dari Judo dan Jujutsu yang dilatihnya. Ramai lawannya yang melihat kelemahan Ronda Rousey dalam aspek striking, tetap tewas, dalam pusingan pertama untuk hampir kesemua perlawanan yang disertainya dalam UFC.

Manny Pacman Pacquiao yang dominan dengan southpaw dan slugfestnya, tetap tewas kepada Floyd Mayweather Jr yang terlihat selesa dengan 'hit and run' outboxnya yang teruk dikritik. Dikritik pun, juta-juta jugak dia dapat.

Lihat pula pesilat-pesilat olahraga. Dalam silat olahraga, teknik sapuan yang jarang diajarkan dalam kebanyakan perguruan silat, menjadi antara teknik paling wajib dikuasai olah atlet silat olahraga. Sangat berkesan apabila berhadapan dengan lawan yang bermain secara meluru dan mudah termakan umpan.

Maka, sekadar dari 3 contoh ini, yang dapat kawan simpulkan ialah, teknik terbaik adalah teknik yang terpakai kepada situasi yang mengena.

Keperluan kita mempelajari sekian banyak teknik dalam silibus perguruan adalah untuk menyediakan kita dalam pelbagai situasi.

Itulah sebabnya, terbaik untuk pelatih diselalukan dengan free sparring yang terkawal, supaya pelatih dapat mengaplikasi mana-mana teknik yang dipelajari dengan berkesan, yang kadang-kadang berakhir dengan saling bergelut dan bergumpal.

Teknik terbaik adalah teknik yang mengena.

Maka, hendak mengena tak nak kena adalah rukun yang wajib difahami oleh warga Lian Padukan, insyaAllah...

Saturday, 24 October 2015

HENDAKLAH MENDULU...

"Hendaklah mendulu, jangan menunggu. Bertalu-talu, agar tak tualu".

Ini adalah antara kata-kata yang kerap diulang sebut oleh Ayahanda Haji Hasyim kepada anak-anak Lian Padukan. Terlalu kerap sehingga kadang-kadang kita culas dalam menghalusi maknanya.

Umum maklum, dalam Lian Padukan, pelatihnya diajar supaya mendulu dalam latihan, samada latihan 1 step sparring atau sparring betul-betul.

Ini mungkin berbeza dengan kebanyakan seni beladiri lain, yang latihan asasnya adalah menunggu serangan dilancarkan terlebih dahulu untuk dilapis.

Indahnya seni beladiri. Pelbagai rupa dan gaya.

Kawan berkisahkan secara asas berkenaan 'mendulu'. Penerangan lanjut, bergelangganglah.

Mendulu sebenarnya membuka lebih ruang untuk mengumpan tindak balas musuh. Namun mendulu juga mengundang risiko jika kita gagal memahirkan diri dengan asas, terutama juus satu.

Atas sebab itulah, 'ukur dan jangka hendaklah dipelajari, barulah diketahui syarat berdiri'.

Mendulu sendiri mempunyai syarat-syarat yang wajib dipenuhi, agar serangan tidak pantas dipintas lawan. Kita kena kembali kepada 'buah dagang yatim piatu, sambut 2 tanti 1'.

Bagi yang berkesempatan membelek nukil, perihal mendulu ada diceritakan, namun tidaklah secara terperinci.

Susunan-susunan 'bunuh' juga bermula dengan 'dulu'. Namun itu atas mahir, atas faham, atas halusnya kefahaman pelatih.

Namun wajib juga diingat. Mendulu bukanlah bermaksud CARI PASAL DAHULU'.

Jalan mendepang dada berlaga bahu orang lalu-lalang, dengan niat membuka peluang bertumbuk. Bukan itu tujuan mendulu.

Wajib atas kita untuk tahu, mana yang wajib didahulukan, akal atau nafsu. Agama atau 'baju'.

Hendaklah berguru dalam menghalus perihal MENDULU.


Saturday, 26 September 2015

MENGAPA PELBAGAI ALIRAN, DARI BENIH YANG SAMA?

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar

Wa lillahilhamd..

Alhamdulillah, ketemu kita kembali dalam perborakan yang agak lama juga ditinggalkan. Sebelum tu, kawan ucapkan selamat Hari Raya Aidil Adha buat semua muslimin muslimat.

Ambillah iktibar kisah Nabi Ibrahim-Nabi Ismail yang tanpa dakwa dakwi dan banyak soal melaksanakan tugasan Allah. Walaupun para liberalis mengingkari kisah itu dengan melanjutkan soalan-soalan yang sengaja mencabar keimanan, kita tetap utuhkan pegangan kita pada manhaj Ahlul sunnah wal jamaah, insyaallah.

Juga doakanlah kesejahteraan para jemaah haji di bumi penuh keberkatan, Makkah Al Mukarramah dan Madinah Al Munawarah. Sungguhnya kejadian demi kejadian, walaupun terlihat malang, namun itu semua tidaklah terjadi melainkan Allah mahu menunjukkan kekuasaanNya.

Zoom kembali tajuk, mengapa pelbagai aliran, dari benih yang sama?

Bagi peminat tegar aliran Buah Pukul Mersing, jika ditanya supaya menyenaraikan aliran-aliran yang bersusurgalur dari BPM, sudah tentu boleh dijawab tanpa merujuk Google, lebih dari 10 jawapan. Tanpa menyebut yang lain, Lian Padukan adalah di antaranya.

Jika ditinjau, aliran persilatan itu sendiri pelbagai. Yang sama adalah kata nama 'silat', walaupun pada zahirnya permainan-permainan silat berbeza. Zahir silat gayung berbeza dengan zahir silat cekak, dan berbeza dengan aliran buah pukul. Pada pandangan mata kasarlah. Pada yang celik silat, semuanya sama pada mereka. Itu, cerita lain.

Buah Pukul Mersing, selain selalu dicanangkan keasliannya, tetap  membenihkan permainan-permainan yang pelbagai gaya dan ragam, namun tetap beridentitikan buah pukul. Perisai dan penumbuk tetap tersemat.

Persoalan ini diterbitkan oleh seorang rakan setugas kawan, yang menonton aliran-aliran buah pukul di Youtube. Kenapa asal sama, tapi aliran lain-lain, cara main pun nampak lain? Antara soalan dari dia.

Kawan selaku pengamal mentah Lian Padukan merasa terpanggil untuk menjawab persoalan itu, dengan menghadirkan buah durian sebagai metafora.

Buah durian asal dinamakan sebagai buah 'saka'. Melalui proses pencarannya yang dijalankan samada melalui manusia atau haiwan, biji-biji buah durian mulai bertebaran dan membenih menjadi anak benih, anak pokok dan akhirnya pokok durian.

Namun, walaupun pokok-pokok durian tersebut berasal dari benih yang sama, tetap ada perbezaan pada setiap pokok. Berbeza pada bilangan dahan dan rantingnya, berbeza ketinggiannya, berbeza bilangan hasil buahnya, dan lain-lain.

Rasa juga boleh jadi lain. Ada yang manis, ada yang mangkak.

Datang pula akal manusia, dalam nak memastikan tekak sentiasa memperoleh rasa yang pelbagai, dikacukkan pula durian-durian yang pelbagai. Akhirnya lahirlah buah-buah durian pelbagai nama seperti D24 lah, musang king lah, dan lain-lain. Rasanya juga agak berbeza dari durian saka, namun namanya tetap durian jua.

Walaupun kacuk-mengacuk berlaku, identiti buah durian tetap tak hilang. Tetap berduri kulitnya, tetap kena tunggu luruh sendiri baru sedap makan, dan belum pernah gagal menewaskan orang-orang putih pada cubaan yang pertama.

Seperti mana buah pukul, durian juga mendatangkan sakit kepada pengopek kulitnya. Dan seperti mana buah pukul, isinya amatlah lazat disantap. Tak boleh berhenti kalau dah hadap.

Begitulah lebih kurangnya metafora kawan, dalam nak memahamkan mengapa ada perbezaan nama dan aliran dari titisan-titisan aliran Buah Pukul Mersing.

Asal benih yang sama dari Syed Abdul Rahman Al-Yunani, kemudian dikembangkan oleh Dato Awang Daik dan Pak Long Md Yassin, yang sudah tentu selera dan kefahaman mereka berbeza, tapi masih bermatlamatkan yang sama. Masih berakarkan 'Hendak Mengena Tak Nak Kena'.

Kemudian lahir pula guru-guru terkemudian, asuhan dari mereka. Uniknya manusia, kefahaman kadangkala berbeza walaupun berinputkan yang sama. Maka masing-masing mencorak permainan mengikut kefahaman mereka. Hendaklah kita fahami, mereka-mereka yang kita maksudkan adalah guru-guru buah pukul yang ada autoriti, memang diakui kepakaran mereka dalam arena berbuah pukul. Ijtihad mereka untuk buah pukul mengikut kefahaman mereka diterima masyarakat buah pukul. Bukan sebarang-sebarang nak ubah, nak tambah.

Maka dari situlah, lahirnya pelbagai aliran yang boleh saja kita google pada hari ini.

Sekian, perborakan kawan hari ini. Doakan kawan dikurniakan ilham dan kesihatan untuk terus melorek rasa tentang kecintaan kepada buah pukul, terutamanya Lian Padukan.

Sunday, 2 August 2015

ILMU KEBATINAN, RAHSIA DAN ETIKA BERGURU DAN MENJAGA HAK GURU

Kawan rasa belum terlambat untuk kawan ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat sidang pembaca sekalian.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.

Dalam kita bergembira, jangan dilupakan mereka yang tidak berkesempatan merasa kegembiraan yang kita kecapi, yang masih hidup mahupun yang sudah pergi meninggalkan kita. Buat yang masih hidup, kita permudahkan urusan mereka di dunia. Yang fakir, kita infakkan semampu kita buat mereka merasa. Yang sudah tiada, kita kirimkan doa agar sejahtera hendaknya mereka di alam sana.

Isu kebatinan dalam persilatan.

Tidak disangkal lagi, komuniti persilatan banyak yang berpegang bahawa kebatinan penting dalam persilatan. Ibaratnya, silat tanpa kebatinan ibarat berjalan tanpa pakaian. Telanjang tanpa persediaan menutup aurat dari pandangan insan.

Kawan setuju pendapat itu, namun tetap bersyarat. Ilmu kebatinan yang dinyatakan biarlah berjalan atas landasan syarak agama dan bukanlah bersandarkan kehebatan duniawi semata-mata.

Lian Padukan juga, selain menekankan kemahiran berpencak secara fizikal, tetap mengutamakan kebatinan sebagai perisai diri. Namun kebatinan yang dinyatakan di sini bukanlah silat hembus-hembus pelanting sana-sini. Kawan secara peribadi, adalah orang yang mengambil jalan jauh dari permainan sebegitu. Walaupun hujah pengamal persilatan begitu, segala yang terjadi atas izin Allah Subhanahu Wa Taala, namun kawan lebih percaya kepada latihan seni beladiri yang berfokuskan kepada perkembangan rohani, mental dan fizikal yang sihat. Dan sudah tentu ini juga atas keizinan Allah Subhanahu Wa Taala.

Maka, disarankan oleh guru-guru kami di dalam Lian Padukan supaya mengamalkan zikir-zikir mathur untuk mengasah batin supaya tetap tunduk kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Kawan percaya, kebanyakan silat juga sebegitu, kerana ilmu mentauhidkan Allah Subhanahu Wa Taala ada disemaikan oleh guru-guru persilatan yang faqih dalam beragama, walaupun bukan semua.

Cuma...

Ya, cuma dewasa ini kawan melihat terdapat kecenderungan semberono pengamal-pengamal silat, mana-mana persilatan sekalipun, termasuklah Lian Padukan, yang mudah memboroskan butir-butir kerahsiaan ilmu persilatan. Alasan mereka, dapat dari guru, tapi tak faham. Saja kongsi dalam fesbuk untuk tanya maksudnya pada yang tahu.

Bukankah berlaku ketirisan amanah di situ? Guru dengan sepenuh kepercayaan mengamanahkan butir berlian  pengetahuan dan amalan mereka, kita mudah-mudah dedahkan untuk tatapan umum.

Betul, apabila kita meragukan sesuatu, wajib bertanya pada yang tahu. Wajib atas kita sebenarnya. menghindarkan diri dari berada atas jambatan syubhah, risau-risau tegelincir ke arus deras haram. Namun tempat bertanya juga patut berpada-pada. Tanyalah mereka yang tahu, secara peribadi. Adab berguru, kan. Sebaik mungkin mata bertentang mata, telinga menangkap butir kata-kata guru. Ilmu itu diwarisi secara talaqi, maka bertanya juga sepatutnya secara talaqi.

Ini tidak, ragu sikit, habis tanya dalam fesbuk. Tahunya sedikit, habis kongsi dalam fesbuk.

Betul, ilmu itu wajar dkongsi. Tapi cara perkongsian juga biar berada dan bertempat, risau-risau 'kera dapat bunga, habis lunyai 'bunga' dikerjakan kerana tidak tahu duduk letak nilai 'bunga' tersebut.

Sepatutnya, sebagai pengamal yang matang, diri kita sendiri terpasang 'filter' dalam menapis ilmu-ilmu yang diturunkan oleh guru-guru kita. Betul, guru kita jauh dari maksum, kerana maksum itu adalah mutlak milik para Nabi dan Rasul Alaihum Salam yang dikurniakan Allah Azza Wa Jalla. Menapis di sini bermaksud, terima ilmu yang diajarkan, amal yang serasi dan diyakini, simpan ketat-ketat yang baki, dari tatapan umum. Ilmu yang kita pelajari dari guru kita semuanya bersanad, maka janganlah jadi pemutus sanad.

Kita lihat sendiri, berapa ramai pemutus sanad yang akhirnya tewas dengan nafsu sendiri,  mengepalai perguruan sendiri kerana merasa diri layak, sedangkan ilmu masih setengah masak. Keluar dari Lian Padukan pimpinan Ayahanda Haji Hasyim, namun silibus yang diajar tetap merupa-rupa Lian Padukan. Sungguhpun kisah Ayahanda dengan Allahyarham Guru Pak Mat Kedidi digembar-gemburkan tidak molek, namun Allahyarham tetap dijunjung sebagai guru pendiri Lian Padukan oleh Ayahanda Haji Hasyim, yang tahlil kepadanya tidak pernah ditinggalkan dalam mana-mana majlis Lian Padukan. Begitu juga, umum mengetahui Lian Padukan yang diteroka oleh Allahyarham, sungguhpun menghadapi pancaroba dan tentangan dari generasi terdahulu kerana kelainannya dari keaslian, tetap tidak putus sanad dari guru-guru terdahulu.

Perguruan lain titisan permainan Pak Mat Kedidi, mungkin sempat menyambung sanad dengan beliau sebelum Allahyarham menghembus nafas akhir. Itu sekalian kita akui. Namun yang muncul di era selepas ketiadaan Pak Mat, kita tidak tahu. Mungkin melencong mencari sanad dengan guru lain, asalkan permainan mereka ada sejarahnya. Terpulang.

Apa pun, tempat ilmu adalah dalam amal. Ragu tempatnya dalam bertanya. Bertanya tempatnya pada yang tahu.






Friday, 29 May 2015

PERSEPSI

Baru-baru, laman group fb Gelanggang Induk Lian Padukan digegarkan dengan suatu soalan berkenaan "benarkah Lian Padukan tidak ada seni? Benarkah Lian Padukan ilmu bergaduh?" Lebih kuranglah, matan soalan tersebut.

Maka, jawapan demi jawapan muncul, hingga kelihatan membawa hangat dan akhirnya, post tersebut dipadam. Tukang soal yang mewujudkan status juga merupakan seorang  jagoan yang agak dikenali dalam begelanggang di alam maya. Apa-apa pun, terima kasih atas isu tersebut yang ternyata memberi kawan ilham untuk berkongsi di laman setelah ketandusan idea sekian lama.

Soalan samada benarkah Lian Padukan tiada seni, hanya semata-mata ilmu bergaduh, perlulah didepani dengan lapang dada, bukan terperangkap dalam persepsi semata-mata. Tuan punya soalan nyata terperangkap dalam persepsinya sendiri, apabila berterusan menegakkan pengalaman dan ilmu yang dipegang keluarganya sahajalah yang benar dalam mendefinisi ilmu buah pukul.

Melalui laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu, persepsi antara lain membawa maksud 'tanggapan' atau 'gambaran'.

Dalam isu mengenai 2 soalan di atas, seperti yang kawan usulkan di perenggan ketiga, tuan punya soalan terperangkap dalam persepsinya sendiri yang mengepungnya dalam lingkungan permainan di persekitaran hayatnya sahaja, tanpa membawa dirinya merasai pengalaman di luar kotak hidup selesanya.

Sebelum memberi cadangan jawapan kepada soalan tersebut, mari kawan bawa tuan punya soalan kepada budaya pembelajaran di gelanggang Lian Padukan, di mana-mana gelanggang yang ada di seluruh negara.

Selama kawan mempelajari Lian Padukan, 2 kaedah utama yang digunapakai oleh gurulatih. Pertama, gurulatih mengajar berdasarkan silibus yang diterimapakai seragam di mana-mana gelanggang seluruh negara. Perincian pelajaran, gerak tubuh, senaman, kesukanan, kesihatan dan lain-lain dikongsikan secara khusus dan umum kepada pelatih.

Kedua, gurulatih mengajar berdasarkan peribadi, pengalaman dan pengamalannya secara praktikaliti di lapangan sayembara. Maka, penekanan diberi secara khusus tentang teknik-teknik berkesan yang pernah diaplikasi dan lain-lain teknik berkesan dalam beladiri. Cerita hanya berlegar tumbuk, pukul, gaduh. Direct to the point, tiada basa basi.

2 kaedah pengajaran ini diaplikasi pula kepada 2 jenis kumpulan pelatih. Pertama, pelatih yang cepat tangkap atau cepat faham pelajaran. Pelatih sebegini mudah dibawa bersembang tentang falsafah, sejarah, petua, ilmu-ilmu agama, dan lain-lain. Memang banyak kona sana-sini, tapi pelatih sebegini suka apabila gurulatih memanjangkan pelajaran dengan pelajaran-pelajaran tambahan. Kedua, pelatih yang lambat tangkap atau sukar mahir pelajaran. Pelatih begini didedahkan direct kepada intipati bertumbuk. Mudah.

Walaupun 2 kumpulan pelatih berbeza tahap cepat fahamnya, Lian Padukan tidak mendreskiminasikan pelatih-pelatihnya. Kaedah pengajaran walaupun berbeza, tetap membawa pelatih-pelatih kepada tujuan buah pukul iaitu 'Hendak Mengena, Taknak Kena'. Sangat biasa berlaku, pelatih yang lambat tangkap bab-bab falsafah, dialah yang mahir dan handal dalam aplikasi buah pukul.

Setelah jauh kawan pusing, kawan balik kepada 2 soalan awal. "Benarkah Lian Padukan tiada seni?" " Benarkah Lian Padukan ilmu bergaduh?"

Jawapan kawan, atau permintaan kawan kepada yang bertanya, "Betulkan persepsi kamu dahulu".

Apa yang disampaikan oleh kedua-dua soalan sebenarnya adalah menjurus kepada kaedah gurulatih mengajar. Gurulatih Lian Padukan tidak sedikit, maka peribadi setiap satunya unik dan berbeza. Ada gurulatih yang tak pernah bertumbuk di luar gelanggang pun, tapi ilmunya diiktiraf Guru Utama untuk meneruskan kesinambungan ilmu Lian Padukan kepada generasi terkemudian. Ada gurulatih yang pernah mengaplikasi ilmu Lian Padukan secara real life, bukan sembang kencang. Maka pendekatannya lebih direct to the point. Lian Padukan memang untuk bertumbuk. Takde seni-seni.

"Takde seni" itu juga sebenarnya adalah suatu seni. Seni itu infiniti pengertiannya. Orang yang bergelanggang dengan ilmu buah pukul bersanad Syed Abdul Rahman Al-Yunan sepatutnya faham dengan pendekatan "takde seni" ni. Ini sebenarnya suatu seni atau uslub nak memahamkan pengamal buahpukul, tak terkecuali Lian Padukan. Atau kamu sorang je yang tak faham?

Lian Padukan memang ilmu bergaduh. Antara banyak komen dalam status bertempoh masa singkat itu, kawan petik sorang pengomen yang berbunyi lebih kurang "belajar bukan untuk bergaduh, tapi kalau kena gaduh, dah ada ilmu gaduh. Sediakan payung sebelum hujan. Bukanlah tak kena hujan langsung, kalau kena pun berpada pada tempatnya".

Lian Padukan memang ilmu bergaduh. Tapi bukan 'ilmu cari gaduh'. Kena  faham bezanya tu. Ada orang ilmunya tak seberapa, tapi dalam mencari gaduh, dia handal orangnya.

Dan ini juga merupakan suatu bentuk penyampaian kepada pelatih, kerana ada pelatih yang mahukan jawapan direct to the point.

Maka, sebaik mungkin kepada yang bertanya, bergelangganglah dahulu dalam Lian Padukan. Rasalah dahulu menjadi murid yang bermula dengan titik perisai penumbuk sampai. Rasalah sepuas-puasnya tangan dititik, badan dipukul. Lawatilah guru-guru dan jangan hanya lawat, rasailah air tangan pukulan mereka 1st hand. Ketika itu, persepsi kamu akan lebih meluas, tidak terhad dengan apa yang ada di depan mata kamu sahaja.

Dan kita kena faham suatu hal. Kalau pun kita tak faham satu-satu perkara, tak semestinya orang lain pun macam kamu juga, tak faham. Bila tak faham, bertanya. Dah tanya tu,janganlah diprovokasi pula. Berlapanglah dada.




Friday, 8 May 2015

KHATAM

"Dah khatam Al-Quran?"


"Dah, pakcik. Masa umur 10 tahun lagi khatam dah"

"Alhamdulillah... Macam tu la.  Nak jadi orang laki, kena khatam Al-Quran. Pastu,kena belajar silat."

Perbualan di atas adalah contoh sahaja, gambaran daripada perbualan kawan dengan sahabat-sahabat, guru-guru kaka dan guru-guru tua yang selain aktif bersilat, mempunyai pesona akhlak yang sangat mengasyikkan mata memandang.

Kebanyakan mereka hanya menyertai silat selepas usai pengajian bacaan Al-Quran secara asas. Sudah kenal sifat huruf, tajwid dan boleh dikedepankan menjadi imam solat jemaah adik beradik di rumah di usia kecil itu.

Berbalik kepada tajuk. KHATAM.

Merujuk kepada laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu, antara maksud khatam ialah tamat atau selesai, dengan antara contoh yang diberikan ialah khatam Al-Quran.

Mengimbau kepada Hikayat Awang Sulung Merah Muda, sewaktu dalam jagaan ayahanda angkatnya, Datuk Batin Alam, Awang Sulung dihantar mengaji Al-Quran dahulu sehingga khatam, kemudian dihantar berguru ilmu berbahasa. Usai pengajian, barulah Awang Sulung dididik dengan ilmu kependekaran oleh ayahanda angkatnya sendiri.

8 perenggan pendahuluan di atas adalah berkenaan apa yang akan kawan nukilkan di sini, berkenaan istiadat khatam dalam Lian Padukan.

Sebagaimana ilmu persilatan lain, Lian Padukan juga mempunyai istiadat khatam pelajaran yang tersendiri. Segala jerih perih pelatih ketika bergelanggang akan mendapat pengesahan dari Ayahanda Guru Utama, Dr. Haji Hasyim bin Dato Hj. Salleh melalui istiadat ini.

Maka, secara umumnya, istiadat khatam Lian Padukan ialah acara mengesahkan pelatih menamat silibus-silibus pelajaran Lian Padukan.  Wajib diingat, menamat silibus, bukanlah bermaksud menamat ilmu. Pencarian ilmu tidak akan tamat sampai bila-bila, malah khatam adalah permulaan kepada sebuah pencarian ilmu yang lebih jitu dan ampuh.

Khatam dalam Lian Padukan membawa kepada pelatih meneroka lebih jauh maksud LIAN PADUKAN.

Istiadat khatam juga merupakan pengesahan kesetiaan pelatih kepada Ayah  dan perguruan. Namun, kebiasaan juga berlaku, apabila adanya pengamal khatam yang merasa 'lebih sudu dari kuah', akhirnya berlakulah pembelotan, pengkhianatan dan lain-lain lagi. Ini tidak lain, berlaku apabila pengamal tersebut merasakan khatam itu adalah tiket untuk mencari kemegahan dan merasa diri lengkap. Itulah ujian kehidupan. Nauzubillahi min zalik. 

Atas dasar itu, pelatih wajiblah melengkapkan diri dengan segala macam persediaan sebelum melalui istiadat khatam. Rohani, mental, jasmani. Asas kepada kekuatan rohani adalah agama, dan asas kepada agama adalah membaca Al-Quran.

Kenang kembali saat pertama Baginda Rasulullah sallallahu alaihi wassalam menerima wahyu Allah subhanahu wa taala dari perantaraan Jibril alaihi salam.

"Iqra' bismirabbikallazi khalaq".

Banyakkan beramal kerana Allah taala, bukan kerana mahu mencapai khatam dan keilmuan. Yang ini, niat mahulah dijaga, jangan sampai kita beramal berkehendakkan kepada mahu hebat dan kemenjadian ilmu.

Jasmani hendaklah dilatih. Jadikan diri selayaknya sebagai calon khatam. Segala silibus hendaklah tidak hanya dihafal, tetapi dihayati dan dilaksana dengan kefahaman. Stamina hendaklah dipertingkat. Cabar diri supaya  melepasi had kemampuan diri. Contohnya, selalu mampu tekan tubi 70 sahaja dalam 1 minit. Cuba paksa sampai mampu dapat 80 tekan tubi per minit. Ini contoh, bagaimana mahu melatih kuasa dan kelajuan tumbukan.

Ingat, seusai khatam, status berubah dari pelatih kepada gurulatih. Khatam silibus bukanlah khatam latihan. Malah, latihan wajib digandakan, kerana seorang gurulatih mesti ada lebihnya dari pelatih. Pelatih mampu tekan tubi 100 kali, gurulatih mesti mampu 120 kali. Contoh.

Dan akhlak hendaklah semakin diperbaiki, kerana pengamal yang melalui khatam istiadat sudah menambah nama Al-Padukani secara ghaib di hujung namanya. Perlakuan kita melambangkan perguruan keseluruhannya. Ada cacat cela pada tingkah laku kita, carik nama perguruan seluruhnya. Atas dasar itu, kawan berpendapat secara peribadi, calon khatam istiadat biarlah di usia layak mengundi, kerana di usia itu sudah layak menentukan hala tuju negara. 

Buat pengamal yang bakal melalui khatam istiadat, berusahalah. Sebarkan nama Lian Padukan selayaknya. Selamat menjadi Keluarga Lian Padukan.