Apabila menyentuh berkenaan seni
beladiri, antara isu yang selalu dibahaskan di forum-forum online, di
kedai-kedai kopi, di gelanggang dan di mana – mana sahaja, adalah KEBERKESANAN.
Keberkesanan juga boleh
dimaknakan sebagai kemenjadian dan kebolehbergantungan (dependable), samada
dari segi jenis beladiri, teknik, praktikaliti dan logikaliti.
Persoalan berkenaan keberkesanan
sesuatu beladiri atau teknik diperdebat dan dipersoalkan atas beberapa sebab
dan medium, dan kawan nukilkan hanya beberapa iaitu:
1.
Ego pengamal sesebuah beladiri
2.
Pengalaman on field pengamal (pertandingan atau
jalanan)
3.
Perkongsian (melalui seminar atau cross
training)
4.
Kajian
EGO PENGAMAL
Ini adalah faktor besar, jika
bukan utama, sesebuah beladiri atau teknik beladiri diperdebatkan. Ego wujud dari
ketakjuban dan ketaksuban seseorang penuntut terhadap aliran yang dipelajari. Minda
‘’silat aku yang terbaik’’ adalah ‘booster’ bagi maraknya api keegoan. Mengkritik
corak perguruan lain, menafikan keaslian perguruan lain, menidakkan
keberkesanan sesebuah teknik tanpa kajian teliti dan lain-lain lagi kudis
menambahkan lagi parah kurap keegoan ini.
Antara aliran yang sering menjadi
mangsa keegoan sesebuah aliran ialah muay thai dan taekwondo. “Silat aku,
setakat taekwondo duk main tendang tinggi tu, mudah-mudah je nak makan. Petik je
teluq dia” dan “Tomoi? Depa memang keras, tapi kita boleh main lagi dengan
depa. Guru kita pun pernah tumbangkan champion depa” adalah antara ayat klise
yang menghukum pengamal kedua-dua aliran tersebut sebelum diuji di medan. Kedua-dua
aliran tersebut sering menjadi penanda aras ‘kehebatan’ sesebuah aliran kerana
ramainya (taekwondo) dan kerasnya (muay thai) aliran-aliran tersebut.
Apa pun, secara peribadi, gurulah
punca sesebuah keegoan. Dalam mempertikaikan keberkesanan sesebuah beladiri,
guru lupa menerapkan akhlak dan keterbukaan minda kepada penuntut.
PENGALAMAN ON FIELD
Pengalaman adalah guru terbaik.
Betul. Tidak dapat dinafikan, manusia belajar terlalu banyak dari pengalaman
hidup, dalam apa jua bidang sekalipun. Bayi perlu belajar merasa jatuh beberapa
kali sebelum merasa nikmatnya berdiri dan tersadung beberapa kali sebelum
merasa nikmatnya berjalan dan tersungkur beberapa kali sebelum merasa nikmatnya
berlari.
Dalam hal beladiri, begitu juga. Terdapat
pengamal yang tegar sanggup menyudi lain-lain perguruan hanya untuk membuktikan
sendiri apa yang dipelajari adalah berkesan. Ego masih menyeliputi di sini. Menjatuhkan
lawan lain aliran adalah sebuah kebanggaan dan perakuan yang aliran dianuti
adalah terbaik. Turut biasa dilihat di pertandingan.
Ada juga kes sebenar, sesebuah
aliran diuji keberkesanan. Cubaan ragut, rompak atau rogol dipatahkan melalui
teknik beladiri yang dipelajari. Di sini, nilai sebenar BELADIRI menonjol
keluar, iaitu digunakan pada keadaan yang mendesak. Dan di sini juga
keberkesanan sesebuah aliran dipersoalkan, apabila seseorang yang mempelajari
beladiri gagal memanfaatkan ilmu sebaiknya dan menjadi mangsa.
Bersambung…