Tuesday 3 July 2018

STAMINA

Dalam suatu perbualan kawan bersama seorang rakan setugas, yang juga seorang pesilat, kami sedikit berselisih berkenaan mana antara berikut lebih penting, teknik atau stamina?

Menurut sahabat kawan, teknik memainkan peranan yang sangat penting dalam tempur. Teknik juga dirangkum dalam strategi, yang apabila berhadapan lawan, teknik yang lancar lagi berkesan akan menentukan menang kalah sesuatu perlawanan.

Namun pada kawan, kawan lebih memilih stamina berbanding teknik. Ini adalah berdasarkan pengalaman peribadi kawan yang tak seberapa dalam arena sukan tempur kira-kira 11,12 tahun lepas.

Stamina secara mudah difahami adalah daya tahan kardiovaskular ketika melakukan aktiviti fizikal.

Alasan kawan, untuk melaksanakan 1001 teknik, stamina adalah 'bateri' utama yang menentukan kemenjadian teknik. Atlet yang mempunyai kelebihan stamina lebih tenang melaksanakan teknik berbanding atlet yang kurang stamina. Ibaratnya, kita mahu melalui suatu perjalanan jauh berkereta, dengan segala kelengkapan, peta perjalanan, perancangan tempat persinggahan dan penginapan, dan lain-lain (teknik dan strategi). Namun akhirnya perancangan kita hampa apabila 10 minit perjalanan, kereta bermasalah pada bateri dan kurang minyak.

Kita boleh lihat sendiri rejim latihan atlet, antara yang paling utama adalah joging. Joging merupakan simulasi sebenar tahap stamina kita. Malah, barisan tentera juga tak terkecuali melakukan larian berjadual dengan bebanan. Kalau kita bandingkan dengan nenek moyang kita yang gagaj bersilat tanpa perlu berjoging, jangan lupa kerja seharian mereka berbendang, ke laut, ke hutan, ke bukit menuntut stamina yang bukan kepalang. Mereka dah 'cover' bahagian stamina melalui kerja harian, selebihnya bergelanggang lebih kepada mengasah skil dan kefahaman. Kita?

Itu sekadar pendapat kawan. Kawan sendiri merutinkan joging 10km setiap hujung minggu untuk memastikan kesediaan dan kesiapsiagaan, di samping melatih teknik Lian Padukan.

Nanti kita cerita lagi secara lebih lanjut tentang kepentingan stamina.

Sunday 11 March 2018

YANG DILATIH DAN DIBIASAKAN

Yang dilatih dan dibiasakan hendaklah perkara yang sama. Jangan yang dilatih benda lain, yang digunakan benda lain. Jangan sampai latihan mengkhianat diri waktu diperlukan.

Bak kata Ayah,

"Dalam Lian Padukan, itulah yang kita belajar, itulah kita ajar, itu jugalah yang kita 'kurang ajar'"

'Kurang ajar' di sini bermaksud 'aplikasi dalam situasi sebenar tempur'. Sudah tentu adab adalah antara fokus utama dalam pembelajaran Lian Padukan, cuma ada istilah-istilah janganlah kita semberono menafsirnya.

Itulah titiknya, itulah perisainya, itulah tumbuknya. Itu yang dibelajar, itu yang diajar, itu yang 'dikurangajarkan'.

Friday 5 January 2018

CABARAN

Dalam dunia seni beladiri, cabaran tidak mampu diketepikan. Cabaran datang daripada dua sudut, iaitu internal dan eksternal. Internal yakni cabaran dari dalam diri sendiri, eksternal sebaliknya, dari pihak lain.

Setelah beberapa tempoh kita mengenal potensi diri kita melalui latihan demi latihan yang dilalui, mengikut aliran masing-masing, kadang-kadang kita dicabar oleh ego diri sendiri, mahu ilmu yang dipelajari diuji. Maka jika kita alah pada cabaran itu, sudah tentu kita dipandu oleh ego untuk membuktikan kejaguhan.

Maka mendepang dadalah kita berjalan, hidung menongkat langit. Berharap ada kutu yang 'sudi' melaga bahu kita, supaya nantinya boleh kita jadikan percikan api pergaduhan. Atau mulalah kita mengintai-ngintai kekurangan permainan lain, yang kononnya tidaklah teruji sehebat mana, seperti kita.

Dalam lain keadaan yang lebih murni, kita pula memandu kehendak ego kita, ke tempat yang sepatutnya diadukan hasil latihan kita, iaitulah medan sukan tempur. Alhamdulillah, dewasa ini semakin bangkit ahli-ahli Lian Padukan menyertai sukan tarung berperaturan yang penuh semangat kesukanan. Menang tak seberapa, kalah pun ada. Yang pasti sakit dan pengalaman terbekal buat seusia hayat.

Cabaran juga datang dari luar. Seperti memandu, kadang-kadang bila kita yang terlebih berhemah memandu mematuhi aturan jalanraya mengikut kehendak kerajaan, ada pula kutu yang membuat angkara, yang kesannya terpalit pada kita, dihentamnya kita dari belakang, kiri, kanan atau hadapan, dalam keadaan paling kita berwaspada.

Sama halnya kita. Dalam kita berdiam memeram ilmu beladiri yang kita pelajari dan warisi, ada yang galak mencabar untuk kita mempamerkan kejaguhan. Kita pun, kalau dipandu ego, menyahutlah ajakan cabaran 'berdiri'. Menang sorak, kampung tergadai bak Pak Kaduk.

Ada baiknya cabaran seperti itu, kita sahut dengan kejaguhan akhlak selayaknya seorang Islam yang diperikan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu alaihi wassalam. Dilempar najis, dikata hina, dibaling batu, diperangi malah mahu dibunuh, marak nyalaan akhlak Baginda tidak langsung suram. Betapa ramai yang akhirnya Islam hanya dengan kejaguhan akhlak Rasulullah Sallallahu alaihi wassalam.

Maka, jangan ghairahlah kita mahu menguji ilmu, atau mahu ilmu diuji. Sebagai umat Islam, hamba Allah Subhanahu wa Taala, ujian pasti tiba tanpa mampu kita tepis atau kesampingkan. Sebagai ahli seni beladiri, latihan keras sudah sepatutnya menyiapkan jasad yang kejap padat, rohani yang bersih dan mental yang jiti dalam mendepani cabaran dan ujian. Al-Quran mengingatkan kita agar jangan mendabik beriman andai belum benar-benar teruji. Maka, bersiaplah atas segala upaya.

Kenallah diri dengan sesungguhnya, iaitu menginsafi diri ini tak lain hanyalah hamba Allah Subhanahu wa Taala, yang sama-sama dicipta dari pancuran mani hina seorang manusia. Maka, selayak hamba, patuhilah segala kehendakNya, mengikut apa yang dicontohkan Rasulullah Sallallahu alaihi wassalam, ahli keluarga Baginda Sallallahu alaihi wassalam, para sahabat, tabi tabiin, dan ulama-ulama Ahlussunnah wal Jamaah.

Dan tidak juga putus berlatih, berlatih, berlatih. Siapkan jasad supaya sihat dan kuat menampung dan mengamalkan amanahNya.

Sama-samalah kita saling ingat-mengingat. InsyaAllah...

Tulisan pertama 2018, selepas hanya 1 di tahun 2017. Doakan kawan istiqamah...