Saturday 27 August 2016

MERDEKA

Alhamdulillah....

Kita berada di ambang sambutan kemerdekaan, hanya beberapa hari sahaja lagi.

Semoga Allah subhanahu wa taala mengurniakan kita keamanan yang berpanjangan dan berterusan lagi berkekalan, buat kita wariskan kepada generasi selepas kita, sesudah kita menerima amanah 'Bahtera Merdeka' daripada nenek moyang kita yang berpenat berpayah berdarah bergadai segala yang mereka ada, hatta nyawa, demi memastikan kemerdekaan dapat dikecapi kita generasi anak cucu.

Perbanyakkanlah doa dan tahlil buat para pejuang terdahulu. Al- Fatihah...

Kadang-kadang kita lupa nikmat kemerdekaan, kerana kita lahir-lahir terus jatuh atas tilam empuk, atas harta menggunung, atas segala macam kesenangan duniawi. Ibarat semut jatuh atas timbunan gula, lama-lama lupa akan hakikat susah payah yang dilalui demi mengangkut seketul gula ke koloninya. 

Atas sebab itu, didiklah diri, didiklah anak-anak bini, didiklah masyarakat terdekat akan pentingnya mengekalkan kemerdekaan. Bersyukurlah kita masih boleh ke surau masjid tanpa risau, masih boleh menyanyikan lagu Negaraku dengan bebas, masih boleh melihat kibaran Jalur Gemilang gah menghias angkasa. Bayangkan, andai kata Jalur Gemilang tiba-tiba ditukar warna dan rupa kepada negara yang menjajah kita, sudah pasti kita kembali bermimpi ngeri, sengeri nenek moyang kita yang terpaksa menyanyikan lagu penjajah Jepun suatu ketika dahulu.

Sembang-sembang tentang merdeka, baru-baru ini kawan ditanya oleh sahabat handai kedai kopi, apa maksud Merdeka? Amboih, ilmiah bebenor bunyinya sembang kedai kopi kami ni. Haha. Biasalah, benda mengarut tetap ada, tapi tanggungjawab sosial kepada negara tetap kena jaga. Masing-masing kami memberi tafsiran tersendiri tentang erti Merdeka yang dikecapi. Sampai giliran kawan, kawan senaraikan beberapa ikut gorengan suka hati kawan. Antara definisi Merdeka ikut suka hati kawan ialah:

1. Bebas berusaha meningkatkan diri sendiri tanpa sekatan ideologi yang membingkai perkembangan.

2. Bebas diri dan keluarga mengamalkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bermanhaj As-Syairah wal Maturidiyah serta berfiqah mazhab As-Syafie seperti yang diyakini ulama-ulama nusantara yang tak putus mata rantai hubungan dari Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam hingga kini tanpa gangguan fikrah sesat puak pelampau yang ideologinya membawa kepada penubuhan ISIS Daesh. Nauzubillah...

3. Bebas mengamalkan kehidupan bermasyarakat harmoni dari menjumudkan diri dengan ikatan rasis keterlaluan. 

4. Bebas berlatih beladiri terutama Lian Padukan sebagai senaman dan persediaan untuk agama, bangsa dan negara tanpa pandangan jumud sesetengah pihak yang penuh prejudis.

5. Bebas mengekalkan kemerdekaan sedia ada, dengan mengabdikan diri berkhidmat untuk masyarakat tanpa membenarkan anasir negatif kembali menjajah tanah air, mahupun minda generasi kini.

6. Dan lain-lain.

Apa pula tafsiran MERDEKA kepada anda?








Monday 1 August 2016

LIAN PADUKAN MARTIAL ART ACADEMY STUDIO


Ayahanda Dr. Haji Hasyim bergaya dengan 'wooden dummy'

Alhamdulillah, kita sudah pun di minggu hujung Syawal. Sempat lagi kiranya untuk kawan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat semua yang sudi menjengah ke laman ini. Andai ada karangan kawan yang tidak enak di pandangan mata, mohon diampunkna kekhilafan kawan dalam menyusun kata.

Lian Padukan di Johor sudah di era baru! Berkat gandingan hebat pendiri-pendiri terkini, Alhamdulillah, Lian Padukan mengetuk pintu kemodenan dengan membuka sebuah lagi studio latihan beladiri yang kawan dikhabarkan bernama Lian Padukan Martial Art Studio.

Kita sedia maklum, kehendak masa sentiasa berubah-ubah. Jika dahulu, rumah guru menjadi medan melatih rohani jasmani bergelanggang, kini di studio yang serba lengkap, latihan yang sama tetap diterapkan. Malah mungkin lebih lagi.

Latihan di studio kelak lebih menekankan aspek kesukanan, kesihatan dan kecergasan, sudah tentu ilmu-ilmu tempur berasaskan Lian Padukan, selain lebih selesa, sesuai dengan gaya hidup masyarakat kini. Walaupun kawan secara peribadi adalah golongan yang tradisionalis, iaitu lebih banyak bergelumang bergumpal bergelanggang di tanah, berembun malam ke pagi dibumbungi langit gelap yang sesekali disinari sang rembulan (ewah, bahasa...), namun kawan tidak menidakkan keperluan Lian Padukan bergerak seiring dengan kemodenan. Malah, ia adalah tuntutan zaman, terutama golongan wanita yang mahukan ruang yang lebih privasi.

Dengan yuran (penebus waktu dan air mata guru berhempas-pulas menuntut ilmu, juga keikhlasan murid menuntut ilmu) yang sangat mampu dan kelengkapan kelas atasan seperti wooden dummy, punching bag, rubber mat, ruang yang kondusif dan gurulatih bertauliah, malah anda boleh mendapat terus tunjuk ajar dari Ayahanda Haji Hasyim selaku Guru Utama Lian Padukan Malaysia secara first hand, jangan tidak-tidak.

Boleh hubungi terus seperti yang tertera di bawah untuk maklumat lanjut:

Dr. Hj. Mohammed Hasyim Salleh Al-Masyhur
(Ayahanda Yang Dipertua Lian Padukan / PhD. Martial Art)
012-7848558
fb: Lian Padukan Johor (Gelanggang Induk)

Abdul Rahman Bin Sapian
(Pengurus Lian Padukan Martial Art Academy)
013-3300100

Lian Padukan Martial Art Academy Studio
No. 58-02, Jalan Setia Tropika 1/18,
Taman Setia Tropika, 81200 Johor Bahru
Johor Darul Takzim