Sunday 18 December 2022

PERLUKAH ELEMEN ‘GRAPPLING’ DIMASUKKAN KE DALAM SILIBUS LIAN PADUKAN?

Dalam era pertandingan diterima sebagai suatu indikator untuk menentukan keabsahan atau praktikaliti suatu seni beladiri, terdapat suatu tuntutan untuk memasukkan beberapa elemen yang sebelum ini agak asing dalam permainan buah pukul, iaitu elemen gusti, kuncian atau ‘grappling’. Tidak terkecuali, Lian Padukan.

Secara peribadi, sungguhpun kawan merupakan pengamal rasmi Lian Padukan yang bersifat progresif, namun kawan boleh dikategorikan sebagai pengamal ortodoks yang masih memegang kepada rukun dan petua yang terdapat dalam Lian Padukan, dan buah pukul secara tradisinya. Antaranya ialah ‘Berdiri Musuh’.

Permainan Lian Padukan tertegak atas prinsip tersebut, dan masih berpegang kepada saranan yang tercatat di nukil, iaitu ‘Ukur dan Jangka Hendaklah Dipelajari, Barulah Diketahui Syarat Berdiri’. Setiap silibus pelajaran Lian Padukan adalah berkisar kepada rukun yang ini, iaitu ‘Ukur’ dan ‘Jangka’, di mana kawan perhatikan bab inilah yang mengikat setiap aliran buah pukul yang berakar kepada Syed Abdul Rahman Al-Yunani, walaupun tafsirannya pelbagai mengikut penilaian guru pendiri masing-masing.

Lian Padukan juga secara aktif mempromosikan petua ‘mendulu’ yang dipelajari sedari Jurus 1 lagi di peringkat Pengenalan Senjata Lapan, di mana inilah ‘wajah’ Lian Padukan, apabila kita bercerita kepada orang baharu berkenaan Lian Padukan.

Selaku permainan ‘Buah Pukul’, setiap pelajaran dari Jurus 1 sehingga ke Lian Tapak 100 (khusus kepada pelatih yang sudah menjalani istiadat khatam, bukan yang ‘dah nak khatam’, kerana ada sumpahnya dengan Ayahanda Guru Utama), identiti buah pukul diterapkan dalam setiap terjemahan gerak dan lian. Hatta, perbuatan ‘simpan’ itu sendiri ada aplikasinya dalam buah pukul.

Namun, kehendak zaman, ada ahli yang beranggapan bahawa pelajaran Lian Padukan tidak lengkap tanpa adanya pelajaran banting-membanting, pergelutan di lantai, kunci-mengunci dan lain-lain yang dilihat relevan di pentas pertandingan. Malah, sudah terdengar ada yang mengatakan perbuatan titik-perisai-tumbuk tidak pun berfungsi di gelanggang tempur.

Selaku pelatih baru yang masih bertatih di kelas Lian Padukan, kawan selalu merasakan yang ‘ketidaklengkapan’ pelajaran Lian Padukan itulah yang menjadi keistimewaannya yang tersendiri.

Pertama, pelatih hendaklah memegang hakikat yang Lian Padukan adalah ‘buah pukul’, yang sudah pun berjasa sebelum adanya pentas pertandingan, di ‘pentas’ tanpa peraturan, yang menang kalah ditentukan dalam keadaan ‘berdiri’ dan lebih realiti.

Kedua, sekiranya terdapat pelatih yang mempertikaikan tentang pelajaran titik-perisai-tumbuk, rujuklah kepada guru gelanggang atau kelas masing-masing berkenaan petua ‘2 gerak 3 ruat’ yang diwajahkan oleh titik-perisai-tumbuk tersebut, yang membawa kepada petua ‘bertalu-talu’ yang mengiringi ‘mendulu’. Petua ini apabila kita regukan dengan kejadian atau sifat ‘air’, lihatlah bagaimana air akan sentiasa mengalir mencari hala melalui atau menembusi halangan.  Lian Padukan yang resminya ‘buah pukul’, juga mendasari petua ‘berguru kepada alam’ dengan unsur-unsur ‘api, angin, air dan tanah’.

Ketiga, sungguhpun Lian Padukan adalah pelajaran ‘buah pukul’, namun pengajiannya tidak menghalang pelatih meneroka khazanah persilatan atau beladiri yang terdapat dalam silibus Jurus dan Lian-liannya. Ayahanda Haji Hasyim sendiri kadang-kala menunjukkan aplikasi kuncian yang diolah daripada pelajaran Jurus dan Lian, selain dari persilatan atau beladiri lain yang pernah dipelajarinya. Kawan sendiri biasa melihat seorang guru khatam menggunakan aplikasi Lian Tapak 100 membanting pasangannya dalam suatu sparring bebas.

Keempat, ‘ketidaklengkapan’ Lian Padukan ini sebenarnya membuka ruang kepada pelatih untuk mempelajari seni tempur yang lain, jika mahu diasosiasikan dengan peraturan gelanggan tempur. Sudah ada pun guru khatam yang bersijil jurulatih sukan tempur Muay Thai, ada juga guru khatam yang mendalami seni Brazillian Jiu Jutsu, dan ada juga guru khatam yang masih menggali khazanah persilatan yang lain. Tidak kurang juga, ada pelatih Lian Padukan yang merupakan jurulatih seni beladiri atau silat yang lain, dan masih aktif mendalami Lian Padukan. ‘Ketidaklengkapan’ Lian Padukan membuka pesona ilmu lain, yang akhirnya menjadi bonus buat pelatih Lian Padukan sendiri.

Namun, secara peribadi, kawan berpandangan sebagaimana pandangan Ayahanda haji Hasyim sendiri iaitu ‘boleh tambah, jangan ubah’. Silibus yang telah diseragamkan, janganlah diubah, kerana itulah ‘blueprint’ Lian Padukan yang nak disampaikan kepada pelatih generasi seterusnya. Namun untuk ditambah dalam aplikasi atau huraian atau perkongsian teknik luar, pada kawan, tiada masalah, malah digalakkan. Dalam Lian Padukan sendiri masih terdapat beberapa pelajaran luar silibus yang dihimpunkan dalam Lian-lian Asing.

Sebenarnya, dalam kita mengajarkan Lian Padukan, selain diperturunkan teknik tempur atau kesukanan, janganlah dilupakan sama perturunkan konsep ‘penyerahan’, selayaknya terjemahan PADUKAN itu sendiri, iaitu Pada Allah Diserahkan Untuk Keselamatan Anda Nanti. Inilah pelajaran yang sebenar-benarnya perlu kita hayati, kerana dengan menyerahkan diri kita semata-mata kepada Allah Subhanahu Wa Taala sahajalah, keselamatan diri kita terpelihara dan menundukkan keakuan atau keegoan kita.

Untuk mengatakan Lian Padukan tiada teknik itu, tiada teknik ini, sebenarnya kita kena berbalik kepada tujuan buah pukul itu sendiri iaitu ‘Hendak Mengena Tak Nak Kena’. Matlamat Allahyarham Pak Mat Kedidi sendiri mahukan yang Lian Padukan menjadi himpunan teknik-teknik tempur terbaik, di mana istilah ‘terbaik’ itu sendiri adalah terpakai di situasi yang berbeza. Teknik yang tak terpakai di gelanggang sukan tempur, boleh jadi adalah teknik terbaik mempertahankan nyawa di situasi jalanan. Contohnya buah ‘telur mata’ itu sendiri. Tuju tang telur, tang mata. Ada lagi ka ‘buah’ yang lebih berkesan dari ‘buah’ yang ini dalam menghentikan pergaduhan?

Dan, secara peribadi, kawan berpendapat yang Lian Padukan itu sendiri, di suatu peringkat kefahaman, sudah hilang ikatan ‘rupanya’ yang tersendiri, kerana berpegang kepada istilah P.A.D.U.K.A.N itu sendiri. Sebagi contoh, seorang guru kawan pernah berkongsikan kefahaman ‘Pakai-Tak Pakai, Tak Pakai-Pakai’ yang popular di kalangan pesilat Cekak sebagai “kalau kita bergantung kepada teknik (pakai), tak menjadi teknik tu (tak pakai), tapi kalau kita buang keakuan diri (tak pakai), insyaAllah terpakailah ilmu yang kita pelajari, dengan kehendak Allah (pakai)’’. Sungguhpun kawan tak pasti huraian sebenar di kalangan pesilat Cekak, namun yang kawan fahami adalah kita dituntut meletakkan diri dalam penyerahan kepada Allah Subhanahu Wa Taala tanpa menafikan usaha belajar dan terus memperbaiki diri.

Maka, berbalik kepada tajuk, tak salah menyesuaikan pelajaran Lian Padukan dengan tuntutan pertandingan atau zaman, namun janganlah diubah pelajarannya. Atas akal budi bicara guru gelangganglah. Insaflah, bukan semua pelatih Lian Padukan berhasrat untuk memasuki gelanggang sukan tempur. Jika perlu, wujudkan cabang kesukanan di gelanggang atau kelas masing-masing, dan import sahaja jurulatih luar yang diiktiraf badan sukan tersebut untuk perkongsian teknik. Pelatih kita pun ada yang sekadar berhobi untuk mengurus stress, dan ada yang sekadar mahu menyiapkan diri dengan sedikit ilmu mempertahankan diri. Menambah-nambah pelajaran dikhuatiri hanya akan melama-lamakan tempoh pembelajaran, yang suatu ketika dahulu, hanya dengan bekalan Jurus 1 sahaja sudah cukup buat pelatih menambah keyakinan diri.

Mungkin sekiranya ada pelatih yang beranggapan perlunya penerapan teknik tempur lantai atau bantingan kerana kehendak susunan ‘tumbuk – pukul – lapis – gelut – bergelut-gelut berkeputusan pantas tewas’, kerana suasana tempur kini sudah tidak sama dengan tempur dahulu, pun boleh jadi.

Apa pun, pada kawan, ‘ketidaklengkapan’ Lian Padukan itulah ‘keistimewaannya’ yang tersendiri. Namun, jika difikirkan kembali dengan akal yang waras, benarkah ‘tidak lengkap’?

Kalau ikut Ayahanda Haji Hasyim sendiri, pelajaran buah pukul ni dikategorikan kepada 3, iaitu ‘buah tunjuk/ gelanggang’, ‘buah try’ dan ‘buah gaduh’. Tanggungjawab pelatihlah untuk mengkaji letak duduk setiap pelajaran di kategori yang mana. Buah yang sama, boleh ‘dirupakan’ pelbagai mengikut suasana. Sebab itu kawan ada sebutkan ‘hilang rupa’.

Tulisan kawan ini sedikit pun tidak menafikan keperluan pertandingan sukan tempur. Sukan tempur tetap ada kelebihannya, antaranya ialah disiplin, ukhwah, kesedaran diri, kerendahan ego dan kefahaman teknik mengikut situasi dan diadili melalui juri yang profesional. Kawan sendiri pernah berkecimpung dalam sukan tempur, namun ketika ini lebih selesa menyampaikan pelajaran Lian Padukan mengikut kehendak pelajaran itu sendiri.

 Apa pun, terpulang kepada kefahaman masing-masing. Sebab itulah pentingnya istiadat khatam, kerana selepas khatam, insyaAllah datang pencerahan tentang sebenar permainan LIAN PADUKAN. Selagi belum khatam atau ‘dah nak khatam’, kita akan terapung-apung dalam andaian demi andaian. Semoga Allah Subhanahu Wa Taala memudahkan majlis khatam istiadat dijalankan dalam tahun ini, kerana sudah ramai kedapatan pelatih yang layak dikhatamkan. InsyaAllah.

Thursday 10 March 2022

INNALILLAHI WA INNA ILAIHI ROJIUN - CIKGU COMEL




 Innalillahi wa inna ilaihi rojiun...

Salam takziah diucapkan buat keluarga Cikgu Ustaz Ungku Najib Bin Ungku Abu Bakar atau lebih dikenali di kalangan ahli Lian Padukan Johor sebagai Cikgu Comel.


Agak lewat sebenarnya kawan mencatatkan berita ini di sini. Namun, semoga paparan pemergian beliau ini diiringi doa agar rahmat Allah Subhanahu Wa Taala sentiasa bersamanya.

Allahyarham merupakan antara guru awal kawan semasa mempelajari Lian Padukan dahulu. Seorang yang memegang teguh konsep 'cega curiga waspada' di celahan peribadinya yang tidak lekang bergurau dan tersenyum. Seorang sahabat yang prihatin, teritama kepada Ayahanda Haji Hasyim, namun keras ketika mengajar buah pukul. 

Semoga ilmu bermanfaat yang dicurahkannya menjadi peneman di alam sana, insyaAllah...

Al Fatihah buat Cikgu Comel..