Thursday 23 December 2021

SAKIT

 'Sakit' dalam Lian Padukan adalah diwarisi secara turun-temurun dari satu generasi pelatih ke satu generasi yang lain.

Bermula 'sakit' itu dirasai adalah semasa pelatih Lian melakukan pelampas seperti bilai atau lempang, pelampas titik perisai tumbuk serangkai, dan lain-lain yang memerlukan pelatih menampar atau memukul anggota tubuh sendiri. Kemudian 'sakit' itu dirasai semasa melakukan pelampas secara berpasangan seperti lawan 'titik' tangan kawan, laga lengan, laga keting, jintat dan lain-lain.

'Sakit' kemudian turut dirasai semasa berlatih aplikasi buah Jurus dan Lian. 'Sakit' itu hanya akan dirasai apabila cukup elemen 5 'As' iaitu Keras, Ganas, Pantas, Tangkas dan Ikhlas. InsyaAllah kita akan merasa Puas bergelanggang, dan di waktu memerlukan,Tidak Tewas.

 'Sakit' itu perlu kita rasai supaya kita boleh mencipta toleransi terhadap sensasi 'sakit' tersebut, dan tahu bahagian mana nak menerima 'sakit' atau bahagian mana nak dielak 'sakit'. 'Sakit' itu yang akan menjadi sempadan kepada kita supaya tidak menyalahgunakan ilmu buah pukul bukan pada tempat,waktu dan orangnya. 'Sakit' itu juga kita akan 'pindahkan' kepada musuh apabila kena pada tempat, waktu dan orangnya. Sungguhpun kita 'mendulu', tetapi bukan kita yang 'cari pasal dahulu'. Beza mendulu dengan melulu adalah mendulu akal di depan, tetapi melulu akal di belakang. Sentiasa ada jalan penyelesaian sebelum kita terpaksa 'berdiri'. 

Suatu ketika, 'sakit' itulah yang menjadi indikator kualiti kemenjadian sesuatu teknik atau buah aplikasi. Namun itu hanya boleh dicapai apabila sesama rakan seperlatihan 'ikhlas' dalam memberi dan menerima pukulan. Tanpa keikhlasan menerima untuk merasa 'sakit'nya dipukul, dihempas,dijatuhkan, langkah kaki takkan lama terpasak di gelanggang.

Walaupun dimaklumi, 'sakit' itulah punca isi gelanggang semakin mengecil dari sehari ke sehari, semoga kualiti 'sakit' itu berkekalan dari generasi ke generasi.

Tuesday 19 October 2021

FORM OR WITHOUT FORM

 "Tak perlu belajar silat yang ada form-form ni. Masa bergaduh bukan sempat nak bukak bunga, lian ni. Tau bertumbuk je, cukup. Nak berlatih pun, ambik drill yang asas je."

'Form' yang dimaksudkan, kalau buah pukul, kita panggil Lian. Kalau silat lain, bunga atau tari. Dalam Sendeng, dipanggil pecah. Dalam silat Gayong ADMAR, disebut 'gulungan' atau 'golongan'. Kalau taekwondo, dipanggil 'pattern'. Dalam karate, dipanggil 'kata'. Setakat itu pengetahuan kawan tentang 'form' yang dimaksudkan.

Benarkah 'form' ini tidak perlu?

Bagi yang menjunjung falsafah Mendiang Bruce Lee, ada yang beranggapan 'form' ini hanya akan menyekat kebebasan pergerakan atau kreativiti dalam pertempuran. 

Sepanjang kawan mengamalkan Lian Padukan, 'form' atau Lian dalam Lian Padukan adalah jalan latihan yang menghimpunkan landasan pergerakan kesepaduan anggota dan gerak. Turut terhimpun dalam Lian adalah petua-petuanya yang menjadi 'roh' kepada Lian yang dilatih. Mudah kata, Lian ini ibarat 'bekas' yang menampung pelbagai khazanah, petua dan rahsia buah pukul.

'Form' atau Lian yang dilatih juga mempunyai aplikasi atau 'buah' cadangan yang boleh digunakan ketika tempur. Dalam keadaan tempur sebenar, Lian bukan lagi jawapan kepada sesuatu situasi tempur, melainkan petua 'tumbuk, pukul, lapis, gelut, bergelut-gelut, berkeputusan pantas-tewas'. Itupun kalau kita pegang betul 'hendaklah mendulu jangan menunggu, bertalu-talu jangan tualu', boleh jadi tempur itu cuma diperingkat 'tumbuk', terus ke keputusan 'pantas-tewas'. Sebab apa-apa pun, kita cuma 'hendak mengena tak nak kena'.

Tapi, karangan di atas hanyalah tinggal karangan tanpa Lian yang dilatihkan. Sebab hanya melalui melatih 'senjata lapan' yang 'bergayang lima' melalui jalan 'Lian' sahajalah karangan di atas dapat direalisasikan.

Kadang-kadang Lian juga boleh jadi jalan motivasi untuk berlatih. Naik peringkat Lian demi Lian kadang-kadang memberi semangat untuk pelatih menggali khazanah Lian dengan lebih gigih lagi. Apa pun, kualiti pelatih bergantung kepada kualiti guru yang melatih. Sebab itu juga dikatakan 'rahsia guru pada murid, rahsia murid pada guru'.

Lian yang dilatih juga boleh dijadikan wadah latihan stamina fizikal dan mental. Dalam Lian Padukan, dikhabarkan pernah ada calon khatam suatu ketika dahulu melatih setiap Lian sehingga 100 kali, bermula dari Lian Selak Panjang hingga Lian Gulung. Dia menjalankan latihan tersebut sebaik namanya dicalonkan oleh Haji Hasyim untuk layak dikhatamkan. Berbulan juga masa diambil, sehingga selesai sebaik menghampiri minggu khatam. Kaedah tidak pun diarahkan oleh Ayahanda Haji Hasyim, inisiatifnya sendiri. Dewasa ini pun banyak pelatih yang mempelbagaikan latihan Lian, turut mengintegrasikannya dengan latihan kecergasan, agility, ketahanan dan kekuatan, menggunakan atau tanpa menggunakan bahan bantu berlatih. Perkembangan positif.

Saudara kita dari Lingkaran Gerak Lian juga khabarnya menggunakan kaedah ujian fizikal yang agak ekstrem, dengan pelatih peringkat tertinggi diuji melakukan satu Lian pilihan Guru Utama sehingga berjam-jam lamanya, katanya sampai lilin terpadam, supaya pelatih dan Lian itu 'berkahwin'. Ini kawan dengar dari Facebook Live Kalam Rumbawe bersama Ketua Jurulatih Lingkaran Gerak Lian, Guru Abang Nan. 

Maka, 'form' atau Lian itu terbukti tidak pun mengikat kreativiti dan kebolehpakaian dalam tempur dan latihan.

Dalam dunia buah pukul, ada dikatakan 'Lian itu Guru'.

Sebenarnya pelatih sendiri perlu kreatif, berdaya inovasi dan berkehendak untuk mengkayakan kepelbagaian latihan. Bukan semua tunggu disuap oleh guru atau jurulatih. Kadang-kadang latihan seminggu sekali berkadar masa 2 jam, apa sangatlah yang kita boleh, melainkan silibus-silibus yang perlu dipelajari. Maka, pelatihlah sendiri yang perlu berusaha untuk peningkatan kendiri. Tahu stamina tak cukup, pergilah joging atau berbasikal. Tahu badan naik lemak, buatlah latihan bebanan atau kalistenik. Jaga pemakanan. Takkan benda apa nak disuap ke mulut pun, nak kena tunggu guru atau juru latih cerita dalam kelas.

Dalam Lian Padukan sendiri, ada drill atau pelampas yang khusus untuk menajamkan keberkesanan 'senjata lapan'. Latih itu pun cukup sebenarnya, untuk tempur, jika nak menolak 'form' ini. Tapi bukankah rugi jika taknak ambil tahu tentang Lian, kerana pelampas-pelampas ini ibarat 'peluru', dan Lian itulah 'pistol'nya. 'Peluru' tanpa 'pistol', tidaklah ada gunanya. Begiti juga sebaliknya.

Maka, buat pengamal Lian, janganlah ditinggalkan melatih Lian. Betul kombo-kombo seperti straight, hook, cross, uppercut itu sudah cukup, seperti dalam boxing. Namun, jika dihayati Lian dengan lebih mendalam, banyak lagi sebenarnya yang menunggu untuk dibongkarkan.

Thursday 14 October 2021

HAK LIAN

 Setiap sesuatu yang diciptakan Allah Subhanahu Wa Taala ada haknya yang perlu ditunaikan. Tambahan pula Allah Subhanahu Wa Taala menciptakan manusia selaku khalifah di muka bumi. Maka manusia wajiblah menunaikan hak-hak setiap yang dikhalifahkan kepadanya.

Hak seorang isteri adalah dipenuhi nafkah zahir dan batinnya oleh suami. Hak alam sekitar adalah dipelihara, dipulihara dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Hak lidah adalah mengeluarkan bicara yang baik-baik dan dibasahi dengan zikir dan selawat.

Sesuailah dengan firman Allah Subhanahu Wa Taala, 

" Laqad khalaqnal insana fi ahsani taqwim"

Maka, Lian juga mempunyai hak yang perlu kita selaku pengamalnya, penuhi.

Hak Lian adalah dilatih setiap anggota nafas (bergerak) secara istiqamah setiap hari.

Pengamal hendaklah mempadukan cantuman gerak dan anggota, berlandaskan lian amalan masing-masing.

"Padu" itu sendiri hanya boleh dicapai melalui latihan ulangan demi ulangan. 

Padukan latihan sehingga semuanya terhimpun menjadi "SATU".


Friday 8 October 2021

FIKIR-FIKIRKANLAH...

 Asalnya ambil Lian Padukan dari Haji Hasyim.

Keluar Lian Padukan, mengaku susur galur ilmu yang dimarketkan dari Allahyarham Pak Mat Kedidi. Buang nama guru yang mengkhatamkan permainan.

Buat perguruan baru, tapi guna silibus Lian Padukan. Ada la olah-olah sikit, bagi nampak lain.

Fikir-fikirkan dan renung-renungkanlah...

Alhamdulillah, Lian Padukan taklah ramai, tapi taklah hilang. Masih ada lagi yang setia melatih Senjata Lapannya yang Bergayang Lima, agar Lian Padukan Ta' Hilang Di Dunia.

Setia berlatih tanpa perlu bising-bising.


Friday 20 August 2021

LIAN - FANTASI ATAU REALITI?


 Apabila terbaca paparan iklan ini di laman Facebook, terus kawan teruja.


Tok Siak Arrembauwi khabarnya penggerak Persatuan Lingkaran Gerak Lian di Negeri Sembilan. Juga merupakan tokoh penggerak kebudayaan, terutamanya persenjataan Melayu.

Juhann Sauffy, atau nama di Facebooknya Johnny Sauffy, merupakan orang kuat Lian Padukan sendiri, di peringkat kebangsaan dan Selangor. Beliau juga merupakan jurulatih dan penggerak Akademi Lian Padukan Laksamana yang berpusat di Shah Alam.

Apabila orang-orang Lian sendiri berbual bicara tentang permainan Lian, yang sungguhpun berbeza ranting namun tetap berakar petua dan konsep yang sama, pasti banyak input yang boleh kita perolehi.

Secara tidak langsung, ini juga menguatkan ukhwah antara 2 perguruan bersanad dari Syed Abdul Rahman Al-Yunani. Seperti yang dimaklumi, perguruan Lingkaran Gerak Lian pimpinan Pendekar Guru Nazri Bin Hussin pernah diundang memeriahkan majlis khatam istiadat Lian Padukan di gelanggang induk sekitar tahun 2009 dahulu.

Kawan sendiri kadang-kadang merasa tidak puas menonton bual bicara guru Pak Mat Samurai apabila bercerita tentang Buah Pukul. Butir bicaranya sentiasa membuahkan ilmu, tak hanya tentang buah pukul, malah tentang kehidupan. Semoga Allah Subhanahu Wa Taala merahmati usia salah seorang guru kepada Ayahanda Haji Hasyim itu. Kawan juga bercita-cita mahu melanjutkan pembelajaran buah pukul dengan beliau, terutama berkenaan dasar Syarat 28.

Berbalik kepada tajuk webinar yang bakal berlangsung 25 Ogos 2021 hadapan, Lian - Fantasi atau Realiti?

Sepanjang pembelajaran kawan dalam Lian Padukan- dan masih merangkak lagi dalam dunia Lian- permainan bersusur galur Lian atau Buah Pukul Mersing ini adalah suatu permainan yang berpijak di bumi nyata. Secara zahirnya begitu, berdasarkan pernyataan di banyak sumber berkenaan Lian - permainan yang tiada lenting-melenting, melompat-lompat, atau berguling-guling.

Lian Padukan sendiri berpegang kepada konsep 'Berdiri, Musuh!'. Ini bertepatan dengan petua di nukil yang mengkehendaki kita mempelajari tentang 'ukur dan jangka' untuk mengetahui 'syarat berdiri'.

Fantasi secara umumnya adalah angan-angan atau khayalan. Tidak dinafikan, ada juga pandangan dalam dunia seni beladiri yang menghidangkan fantasi kepada pengamalnya. Alirannya yang paling hebat, permainan merekalah 'the ultimate answer' untuk semua perguruan lain. Terpulang, itu adalah cara masing-masing.

Untuk memastikan sesuatu persilatan atau perguruan itu menepati realiti tempur, 2 aspek perlu diambil kira dalam latihan beladiri, iaitu 'realisme' dan 'resistance'.

Aspek 'realisme' merujuk kepada corak pertahanan dan serangan yang bersungguh dan sebenar, berdasarkan apa yang berlaku sama ada di medan pertandingan mahu pun jalanan. Maka, latihan bercorak 'realisme' hendaklah diterapkan di kelas atau gelanggang. Cara, kelajuan atau arah serangan, bukan sekadar penumbuk yang dihulur. Untuk latihan menghadapi serangan bersenjata, banyak perguruan menggunakan senjata replika untuk mengoptimumkan unsur 'realisme' tanpa mendatangkan kecederaan fatal.

Aspek 'resistance' juga hendaklah diberi tumpuan. Kita biasa lihat, dalam latihan seni beladiri, seorang menjadi penyerang dan seorang lagi akan menjadi orang yang melaksanakan teknik. Kebiasaannya teknik akan dilihat sempurna pelaksanaannya apabila 'mangsa' sekadar menghulur dan merelakan diri 'dibelasah' atau 'dikunci'. Pada peringkat awal latihan, ini tidak menjadi masalah, memandangkan masing-masing masih baru menyesuaikan diri. Namun setelah masa demi masa berlalu, elemen 'resistance' iaitu bertahan atau melawan perlu diterapkan agar pelatih faham konsep dan kehendak pelaksanaan teknik. Dalam pertandingan mahupun jalanan, tiada siapa yang rela menghulur tangan dan dipukul atau dibelasah begitu sahaja. Biasa didendangkan dalam kelas Lian Padukan, "macam mana kita belajar, itulah yang kita ajarkan, dan itulah yang kita 'kurang ajarkan' (guna masa bertumbuk)".

Kesimpulan kawan, untuk menjadikan sesebuah permainan itu menjadi, atau boleh pakai, maka;

Realiti = Training in Realisme + Training with Resistance

Apa pun, ini sekadar pendapat kawan yang banyaknya menengok Youtube je, tapi berlatihnya malas....

Warga buah pukul, sama-samalah kita isi ruang kehadiran perkongsian ilmu di webinar itu nanti. Lian - Fantasi atau Realiti?


Tuesday 17 August 2021

SILAT ROJAK?

 "Saya ambik contoh la ye. LIAN PADUKAN tu SILAT CINA."

Kata seseorang bertaraf Mahaguru dalam suatu siaran live di Facebook yang kawan ikuti. Jasanya dalam membawa persilatan Malaysia ke luar negara sangatlah dikagumi dan dihargai.

Kita tak nafikan, betapa bagusnya gerakan yang mengangkat martabat Silat asli tanah air kita, apatah lagi Seni Silat sudah dicopmohor sebagai Seni Beladiri Kebangsaan dan mendapat pengiktirafan UNESCO, malah ada usaha untuk menyertakan Silat dalam Olimpik.

Kawan juga tidaklah melenting apabila Lian Padukan dikatakan bukan Silat Asli Melayu. Itu hakikat yang kita perlu terima. "Padukan" itu sendiri adalah pakaian kita.

Silat, malah seni beladiri secara umumnya, adalah suatu yang hidup dan berevolusi. Itulah pendekatan yang diambil Lian Padukan. Sentiasa berevolusi demi kerelevenan merentasi zaman. Lian Padukan tidak menolak perubahan, asalkan tahu apa yang boleh diubah dan ditambah, dan tahu apa yang perlu dikekalkan.

Jadi kita tak perlulah melenting, naik angin, apabila ditimpakan ke muka kita yang Lian Padukan tidak asli. Tidak asli bukan bermaksud TIDAK BAGUS.

Namun, kita tidak pernah lupa, sungguhpun Lian Padukan tidak 100% berdarah Melayu, namun ada titisan darahnya tetap mengalir darah Melayu. Garapan petuanya tetap berDNA Melayu. Akarnya tetap dari persilatan Melayu, terutamanya silat-silat tua seperti Sendeng dan Sunting. Hebatnya Melayu, boleh Memelayukan permainan Syed Abdul Rahman Al-Yunani yang asalnya bukan Melayu, digarap bersama persilatan Melayu.

Hinggakan, Lian Padukan sudah pun 'asli' dalam bentuknya yang tersendiri. Cuba sebut, di mana elemen 'Cina' yang masih ketara dalam Lian Padukan. Paling tidak pun, yang melihat akan kata "macam Wing Chun lah", pada hal hanya jauhari yang mengenal manikam. Sepanjang kawan menggeluti Lian Padukan, kawan tak nampak pun di mana "Wing Chun"nya. Tumbukan berantai tu? Adakah kalian tak pernah mendengar petua pukulan Melayu "Jangan bermalam"? 

Maka, pun tidak salah jika kita terima sahajalah yang Lian Padukan adalah permainan Melayu. Petuanya petua Melayu. Konsepnya konsep Melayu. 

Kawan pernah juga mempelajari silat-silat lain, sebelum dan selepas Lian Padukan. Secara peribadi, kawan boleh katakan yang Lian Padukan adalah "bikin serupa cakap, cakap serupa bikin". Memang petua-petua dan garapan permainan Lian Padukan, apa yang dipelajari, itulah yang diaplikasi, sama ada tempur jalanan atau ring perlawanan. 

Lian Padukan tidak menghadkan pergerakan hanya mengikut panduan Lian, namun Lian itu hendaklah dikupas dan difahami untuk membebaskan gerak, berdasarkan petua yang "battle-tested", "ring-tested" dan  "street-tested". Apa pun, itu semua atas kehendak Allah Subhanahu Wa Taala jua.

Suatu ketika, kawan tidak berkira berhabis belanja untuk menyertai kursus atau kelas silat lain, yang akhirnya hanyalah membuktikan kebolehpakaian Lian Padukan, dan keluarga Buah Pukul Mersing lainnya. Tidak ads retak renggang antara persilatan Melayu lain dengan Lian Padukan yang kawan amalkan. Saling 'mengetatkan yang longgar' antara satu sama lain. Apa pun, itu hanyalah pengalaman peribadi kawan. Dah blog ni pun blog Lian Padukan, kan..

Apa pun, silat rojak atau tidak, selera kita ni berbeza. Ada yang nak meratah timun sahaja. Ada yang nak makan cucuq sahaja. Ada yang teringin sengkuang sahaja.

Ada yang kreatif, dipadukan semua bahan, digaul dalam kuah yang power, naaahh. Hidangan rojak untuk semua. Lebih terangkat, lebih sedap, lebih padu.

"Kuah" yang power itulah petuanya. InsyaAllah, petua persilatan Melayu masih terpelihara dalam Lian Padukan. 


Friday 6 August 2021

HENDAK MENGENA TAK NAK KENA

Hendak Mengena Tak Nak Kena.

Ini adalah tujuannya kita belajar buah pukul, khususnya Lian Padukan. Kerja orang buah pukul ni, itulah dia. Nak mengenakan sahaja, tak nak dikenakan.

Maka, pelbagailah terbitan konsep-konsep yang keluar untuk mencapai matlamat atau tujuan tersebut. Antara yang paling disebut-sebut ialah 'Hendaklah Mendulu Jangan Menunggu, Bertalu-talu Jangan Tualu'.

Namun, pelajaran buah pukul ni, lebih dari itu sebenarnya. Lebih daripada sekadar menggunakan kudrat tulang 4 kerat. Lebih dari sekadar teknik dan taktik bertumbuk.

Biasa dengar bukan, disebut orang lama yang 'buah pukul topeng buah usul'.

Kalau dihurai tentang 'Hendak Mengena Tak Nak Kena' dari sudut usul sahaja pun, masyaAllah... Kawan sendiri terpana apabila Ayahanda Haji Hasyim menghuraikan 'Hendak Mengena Tak Nak Kena' dari sudut lain yang orang jarang nak tanya.

Ketika itu sedarlah kita, kita ni takda apa pun... Innalillahi wa inna ilaihi rojiun...

Maka, sebaiknya, belajarlah dan perhalusilah melalui guru-guru yang baik asuhannya. Bagi yang sudah khatam, mahupun yang bakal khatam, ketahuilah 'khatam' yang dilalui itu hanyalah permulaan kepada sebuah lagi perjalanan yang lebih jauh dan berliku.

Sesungguhnya buah pukul bukan sekadar cerita bertumbuk bertendang. Alangkah sayangnya jika berpuluh tahun kita bergelanggang buah pukul, bersakit-sakitan tapi manis ilmuNya tak kita kecapi. Ingatlah, ilmu yang baik membuahkan akhlak pengamal yang baik. 

Sudah sepatutnya Syarat 28 dijadikan wadah utama pembelajaran dalam buah pukul, terutamanya kita di Lian Padukan. Sungguhpun Syarat 28 hampir sahaja sinonim dengan perguruan bawaan Guru Pak Mat Samurai, jangan kita lupa Ayahanda Haji Hasyim sendiri merupakan asuhan Pak Mat Samurai, malah sentiasa megah dengan gurunya itu.  




Sunday 6 June 2021

TITIK. PERISAI. TUMBUK

 Titik. Perisai. Tumbuk.

Merupakan pelajaran pertama dalam LIAN PADUKAN.

Tanpa Titik Perisai Tumbuk ini, perjalanan pengamal Lian Padukan belum pun bermula.

Pelajarannya sangat mudah, cuma mungkin kekok di awalnya, terutama nak memahirkan penggunaan perisai. 

Kalau kita amati berdasarkan kaca mata boxing moden, kedudukan titik dan tumbuk adalah pada jab, manakala perisai pada cross. Perbuatan titik perisai tumbuk ini pula, segerak.

Asas inilah yang akan diguna pakai dalam kesemua peringkat pelajaran Lian Padukan. 

Jangan bosan mengulang-ulang Jurus 1 ini. Jadikan perbuatan titik perisai tumbuk itu sebati dengan kita. 

Asas Jurus  ini juga merangkumi kesepaduan tangan dan kaki. Langkahan yang menyampaikan titik perisai tumbuk kepada lawan. Sebab itu kena berdiri, kerana melalui berdiri baru datangnya langkahan. Tanpa melangkah, macam mana penumbuk nak mengena? Macam mana penendang nak menyampai?

Langkahan pula perlu ada landasan. Maka, landasan langkahan itulah yang kita namakan 'tapak'. 

Hampir sahaja, tiada pelajaran yang lebih penting berbanding Jurus 1 ini dalam Lian Padukan.

Wednesday 14 April 2021

SEKIAN WAKTU BERLIAN PADUKAN, AKHIRNYA....

 Setelah sekian waktu berkecimpung dalam Lian Padukan, akhirnya kawan sedar yang bukan semua perkara kawan tahu...

Perjalanan dalam Lian Padukan ini rupanya adalah perjalanan yang tak berpenghujung, namun berpenamat.

Penamatnya bila kita disapa Izrail Alaihissalam...

Namun Lian Padukan yang kita lumati ini, buahnya tetap manis walaupun berakar pengalaman yang pahit.

Buahnya pada akhlak.

Bak kata pengamal suatu perguruan silat yang kawan kenali,

Penamat tumbuk, tak perlu menumbuk.

Penamat tepis, tak lagi menepis.

Semoga kita semua dirahmati Allah Subhanahu wa Taala bersempena Ramadan Al Mubarak ini.

Jadikan ini bulan melatih rohani kita. Perbanyakkan berdoa, insyaAllah Allah Subhanahu wa Taala permudahkan laluan kita dalam berLian Padulan.



Monday 1 March 2021

BUAH ILMU ITULAH AKHLAK

 Alhamdulillah.


Bersyukur kerana kita, walaupun melalui pelbagai pancaroba, tambahan dengan dugaan wabak COVID19, kita masih dianugerahkan hidup yang baru, hari yang baru saban hari.


Allah Subhanahu wa Taala masih mengurniakan kita kesempatan untuk bertaubat, bermuhasabah diri, menilik setiap cela diri untuk diperbaiki.

Lian Padukan adalah antara ilmu Allah Subhanahu wa Taala dari sekalian ilmu Allah Subhanahu wa Taala yang mustahil kita mahu menghitungnya. Ilmu yang Allah Subhanahu wa Taala pinjamkan kepada kita untuk diamalkan.

Ayahanda Haji Hasyim mengertikan Lian Padukan kepada dua cabang, iaitu ukhrawi dan duniawi.

Di cabang ukhrawi, Luntur Iman Angkara Nafsu, Penuhkan Amalan Demi Untuk Kehidupan Akhirat Nanti.

Di cabang duniawi, Latihan Istiqamah Anggota Nafas, Pada Allah Diserahkan Untuk Keselamatan Anda Nanti.

Inilah 'rahsia umum' yang diketahui baik pengamal mahupun yang bukan pengamal Lian Padukan. Namun, adakah hafalan pengertian ini sekadar tinggal hafalan?

Maka kawan kembalikan persoalan tersebut kepada tajuk 'Buah Ilmu Itulah Akhlak'.

Sebagaimana ilmu Allah Subhanahu Wa Taala yang lain,pohon ilmu Lian Padukan juga sepatutnya membawa kita mengecap manisnya buah akhlak.

Penghubung ilmu dan akhlak adalah amal. Bagaimana cara kita beramal dengan Lian Padukan, hujungnya akan membawa kepada bagaimana kita berakhlak.

Dalam suatu hadith, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud,

"Sebaik-baik amalan di sisi Allah adalah amalan yang berterusan, biarpun sedikit"

Maka, ilmu Lian Padukan ini hendaklah diistiqamahkan latihannya, di samping kita berusaha menyampaikan diri kita kepada dua pengertian Lian Padukan yang disebutkan tadi.

Dalam pada kita beristiqamah berlatih dan belajar, hati tempat menampung ilmu hendaklah sentiasa dalam mujahadah, kesungguhan untuk membersihkan hati dari perasaan keakuan, ketakutan dan lain-lain sifat mazmumah.

Walaupun Lian Padukan merupakan ilmu buah pukul, yang sangat sinonim dengam bertumbuk, namun melalui penghayatan 2 pengertian Lian Padukan secara ukhrawi mahupun duniawi sepatutnya membentuk akhlak kita dengan sebaik-baik akhlak.

Pujangga buah pukul, Chu Aman pernah mengatakan,

"Sebelum hujan sediakan payung, dah ada payung bukanlah bererti tak kena hujan, tapi pada tempat-tempatnya lah".

Makna kata, buah pukul Lian Padukan yang kita pelajari ini adalah 'payung' yang kita usung, tak lebih sekadar usaha dan tawakal kita kepada Allah Subhanahu wa Taala. Pada kehendak Allah Subhanahu wa Taala sahaja menang seri kalah berlaku. Maka 'payung' itu walaupun diusung selalu, bukan bermakna kita nak mengembangkannya setiap masa. 

Sepatutnya, semakin lama kita berilmu dalam Lian Padukan, semakin terzahir hasil latihan yang kita amalkan. Mungkin terzahir dari segi kesihatan, mungkin terzahir dari segi keyakinan. Paling penting, ilmu itu biarlah menzahirkan akhlak yang terpuji. Kita cega dan curiga terhadap diri sendiri, agar sentiasa menjaga dari melakukan perkara yang dimurkai Allah Subhanahu wa Taala.

Ada yang kata, ramai pelatih Lian Padukan yang dah khatam, tapi tak faham-faham. Memang betul. Kerana kefahaman ini adalah langsung dari Allah Subhanahu wa Taala. Jaga-jaga diri kita dari merasa akulah yang paling faham, khuatir tergelincir ke lembah istidraj. Kelebihan yang hanya menjauhkan kita dari rahmat Allah Subhanahu wa Taala.

Tanya diri kita sendiri, beberapa kali kita khatam Al-Quran, adakah kita faham seluruh isinya? Kalau faham, adakah diamal seluruhnya? 

Kefahaman adalah proses. Proses berjalan mestilah satu per satu, langkah per langkah. Jangan boros. Istiadat khatam yang dilalui adalah langkah awal proses tersebut, yang sepatutnya dibaja dengan doa dan galakan supaya mengkaji dan terus mengkaji, berlatih dan terus berlatih. Anak-anak Lian Padukan mengharapkan doa ibu bapa dan guru-guru lama supaya keberkatan ilmu diraih mereka. Sebab itu adanya pelbagai doa dianugerahkan kefahaman, seperti doa yang dibaca anak-anak di sekolah sebelum memulakan pembelajaran. Kerana, kefahaman itu adalah anugerah Allah Subhanahu wa Taala yang bukan milik kita untuk didabik-dabikkan.

Berdoalah, dan beramallah mengikut acuan Islam. Semoga ilmu yang kita pelajari, duniawi mahupun ukhrawi, membuahkan kemanisan akhlak. Sebaik mungkin kita cuba contohi akhlak Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam.

Sesungguhnya tulisan ini adalah peringatan buat diri kawan di masa hadapan. Kawan 'kapsul masa' kan di sini, supaya diri kawan di masa hadapan yang ketika itu tergelincir mencari megah Lian Padukan, kembali ke landasan.






Saturday 16 January 2021

SETELAH...

 Alhamdulillah. Setelah 2 tahun menyepi, kawan kembali mengajak pembaca berbual kosong berkenaan cinta kita, Lian Padukan.


2 tahun yang padat...

InsyaAllah, sempena PKP 2.0 ni, kawan cuba luangkan masa untuk sama-sama menggali dan berkongsi khazanah Lian Padukan, agar semua tahu dan kenal, bagaimanakah permainan Lian Padukan, setakat yang kawan tahu dan pelajari, dan bagaimanakah sepatutnya kita menyikapi permainan ini.


Kenapa permainan, adakah kita bermain-main semasa belajar Lian Padukan?


Tergerak hati kawan untuk kembali menulis, setelah menonton 'live' di FB, demonstrasi yang ditunjukkan oleh Ayahanda Din Misai, Pengerusi Lian Padukan Selangor/Kuala Lumpur.

Boleh kawan katakan, terlalu banyak input yang dikongsikan oleh Ayah Din Misai. Dan rata-rata guru buah pukul yang kawan temui, begitulah sikapnya. Sangat terbuka, lagi berterus-terang, seperti permainan buah pukul itu sendiri yang straight forward, berterus terang.

Bagi perguruan lain, kawan tak pasti. Tapi bagi Lian Padukan, memang itulah amalannya. Sedari hari pertama melangkah ke kelas Lian Padukan, pelatih akan dilanyak dengan titik demi titik, selalunya membawa lebam yang bukan kepalang di lengan sebagai sagu hati. Kalau hati lembut, kita akan berkata yang guru atau pelatih lama membuli pelatih baru. Tapi sebenarnya tidak. Itulah keikhlasan yang dipaparkan oleh guru dan pelatih lama Lian Padukan. 

Hakikat pembelajaran buah pukul mesti dimulai dengan apa yang dinamakan SAKIT, sebab itu yang diwarisi dari generasi ke generasi.

Namun, keikhlassan itu dibayar dengan harga yang mahal. Datang 5 orang boleh jadi tinggal seorang. Datang seorang, boleh jadi tak datang dah kemudian hari.

Sebab itu kelas buah pukul jarang yang ramai dalam sela masa yang lama. Tapi insyaAllah dan alhamdulillah, sentiasa ada.

Kawan harap tahun ini boleh jadi permulaan yang baik untuk kita semua, walaupun diuji dengan pelbagai dugaan. Bagi bakal pelatih, percayalah Lian Padukan khususnya, seni beladiri umumnya, boleh menjadi medan melampias tekanan. Kalau ada punching bag di rumah, lagi cantik. Lian Padukan boleh dijadikan jalan untuk mengawal amarah, mengiringi amalan yang semakin patut kita tingkatkan, mendepani pelbagai ujian akhir zaman.


Setelah 2 tahun tidak menaip di sini, alangkah....