Sunday 28 February 2016

AZAM

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, agak lewat jugak kawan menjengah dengan catatan terkini. Kekangan tugasan hakiki yang semakin menghambat, ditambah tanggungjawab keluarga yang bertambah.

Alasan...

Apa pun, 'better late than never'. Kawan usahakan juga menulis di ruangan terhad ini, kerana kawan berazam menjadikan medan ini berterusan dipenuhi dengan pengisian tentang minat dan cinta kawan kepada seni beladiri, khususnya Lian Padukan dan penulisan.

Hiatus kawan selama ini bukanlah kerana ketandusan idea, malah lebih dari itu. Ilmu Allah subhanahu wa taala yang bernama seni beladiri ini terlalu luas untuk diteroka dan difikrahkan, rugi kalau diterhadkan hanya berperihal tentang tumbuk tendang tumbuk tendang sahaja.

Sepanjang beberapa bulan kawan tidak menulis di sini, alhamdulillah kawan diilhamkan dengan pelbagai tajuk yang menunggu masa diterjemahkan dalam bentuk penulisan. Cuma, azam kawan, untuk menjadikan tulisan kawan lebih berintegriti, kawan peram dulu supaya ada rujukan yang boleh disandarkan ketika kawan menulis. Bukan ikut sedap rasa, sedap tangan menulis. Dan harapnya, kawan istiqamah menjadikan laman ini medan perkongsian fikiran, memandangkan lambakan blog dan website berkenaan persilatan yang tergendala selepas sekian banyak tulisan bermanfaat dicurahkan. Kawan baru lagi belajar tentang kata-kata hikmah 'amal yang istiqamah lebih baik dari 1000 karamah'.

Kematanganlah kononnya. Harap begitulah. Kita yang mendaki gunung usia, tahun demi tahun pengalaman mendidik kita supaya lebih meneropong dunia menggunakan teleskop, malah Google map, bukan lagi kanta pembesar kedai 2 ringgit.

Diharapkan, di tahun dan usia yang baru, kita lebih berkeinginan mendalami  ilmu agama dari autoriti yang mursyid dan diyakini. Tetapkan aqidah kita di atas manhaj Ahlul Sunnah wal Jamaah dan berfiqah Imam Mazhab yang muktabar. Jangan terjerat dengan kata-kata manis bermadu tentang pembebasan diri dari bermazhab dan suka-suki menafsir ajaran Islam sesedap hati, dan membidaahkan amalan ulama nusantara. Siapalah kita dalam menghukum.

 Kita sama-sama perdalami ilmu fiqah, ilmu tauhid dan ilmu akhlak supaya kita mampu memperlengkap diri kita sebagai pendekar dengan erti kata pendekar yang sebenar. Dunia sudah di hujung zaman, kalaulah hiburan dunia masih mengkhayalkan kita, masih berdaki lagi iman kita. Sama-samalah kita gilapkan dengan memperbanyak membaca Al-Quran, banyakkan berselawat kepada Junjungan Mulia Nabi kita dan menghadiri majlis-majlis ilmu. Santuni orang-orang warak dan ahli kariah kejiranan kita. Sambut jemaah tabligh yang hadirnya mereka membawa rahmat ke kejiranan kita. Kita tak mampu mendukung usaha dakwah Rasululllah sallallahu alaihi wassalam, sekurang-kurangnya mesrakanlah dakwah menjengah ke cuping telinga kita melalui usaha jemaah tabligh.

Rajinkan diri kita berlatih persilatan yang kita sertai. Selain latihan kerohanian melalui zikir-zikir mathur dan ibadat yang terjaga, latihan fizikal tidak kurang pentingnya, kerana jasad zahir kitalah yang menanggung beban amanah sebagai khalifah di muka bumi Allah. Latih fizikal kita hingga mendatangkan kegerunan kepada musuh Islam yang memandang yang jahat niatnya. Kawal nafsu kita dari menjamah makanan-makanan segera yang khusus untuk melemahkan jasad kita.

Menulisnya kawan di sini dalam kesedaran bahawa kawanlah yang terjahil lagi faqir. Semoga ada manfaat buat yang mahu beringat.