Friday 25 December 2015

GRADING 2015

Esok merupakan hari grading Lian Padukan bagi tahun 2015.

Kawan ucapkan selamat maju jaya buat yang bakal naik peringkat esok.

Seperti semua sedia maklum, grading akan menguji kekemasan, kemahiran, kefahaman, dan lain-lain aspek senibeladiri yang berlandaskan Lian Padukan.

Penting untuk kita naik peringkat, sebenarnya. Supaya kita dinilai oleh autoriti yang terpilih, yakni jurulatih-jurulatih Lian Padukan yang terlebih dahulu sudah melalui pelbagai fasa penilaian dan pengalaman melatih Lian Padukan kepada ahli-ahli baru. Tanpa penilaian melalui grading, kita duk rasa yang kita tahu, kita mahir, kita faham. Semua perbuatan kita dalam mengalunkan Lian, kita perasan kita buat dengan kemas. Walhal, perasan tinggal perasan.

Di samping itu juga, ini medan kita saling berkenalan dengan ahli-ahli gelanggang lain. Pusing-pusing pun, keluarga kita juga. Logo yang sama, madah yang sama. Titik perisai penumbuk sampai.

Peluang juga terhidang untuk berkenalan dengan guru-guru gelanggang lain. Lihatlah, sungguhpun Lian Padukan yang sama, tapi pelbagai ragam bahasa gerak permainannya. Bukti bahawa Lian Padukan tidak bersifat mengongkong, malah menyahut seruan Al-Quran bahawa kita dicipta pelbagai bangsa (pelbagai ragam fikiran dan kefahaman, konteks di sini) untuk saling berkenal-kenalan. Kenen-kenenlah guru-guru lain, mana tahu melekat satu dua buah yang lain dari yang ada di 'rumah' kita sendiri. Kan untungnya pada kita sendiri.

Semoga jalinan ukhwah terus utuh antara kita semua, warga Lian Padukan, mengambil semangat Maulid Rasulullah.

Semoga dimulakan majlis esok dengan berselawat ke atas junjungan besar baginda Rasulullah.

Semoga semuanya berjalan lancar. Amin...