Sunday 12 October 2014

THE WAY OF PADUKAN : PERKEMBANGAN KENDIRI

Berlatihlah.

Walaupun hanya melontarkan 'titik' ke udara berulang kali.

Pastikan dalam sehari-hari, kita tetap ada fikir tentang latihan. Tidak hanya terhad di gelanggang latihan.

Di mana kita berada sekalipun, merupakan medan juang yang bakal memerlukan apa yang kita punyai. Ilmu yang selalu kita amalkan. Yang selalu kita latih tubi.

Memang silibus Lian Padukan tidak banyak untuk dihabiskan. Memang ada yang baru setahun dua, sudah dikhatamkan pelajaran.

Namun, khatam bukanlah penamat, bahkan itulah sebenar-benar permulaan bagi sebuah pencarian.

Memang betul, permainan Lian Padukan ini mudah yang amat. Ringkas yang amat.

Namun, mudah dan ringkas itu janganlah dijadikan hujah untuk berpuas hati dengan apa yang dimiliki. Seringkas-ringkas sifir dua pun, kalau tak diulang guna, gagap juga kita bila ditanya.

Apabila kita berpuas hati dengan setakat peringkat yang kita perolehi, berpuas hati dikhatamkan, berpuas hati dengan keefektifan buah yang kita andalkan, tanpa meneruskan latihan secaa konsisten, ketahuilah sebenarnya kita merencatkan perkembangan kendiri kita.

Personal growth.

Ketahuilah, kekuatan dan keberhasilan ilmu kita adalah produk dari latihan demi latihan, ulangan demi ulangan, kajian demi kaijan, dan talaqi deki talaqi dengan guru.